Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Konsep Bid‘ah Menurut Perspektif Syariat Islam

الجواب

Bid‘ah merupakan satu isu yang bukan sahaja menjadi perbincangan besar di kalangan para ulama, bahkan ia juga turut menjadi topik hangat perbualan serta perbahasan segelintir golongan awam. Apabila disebut sahaja perkataan bid‘ah, seringkali ia akan mendatangkan tanggapan negatif pada sebilangan orang. Ini kerana menurut mereka, bid‘ah itu sinonim dengan kesesatan berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada al-‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Dan jauhilah oleh kamu perkara-perkara yang baharu diadakan, kerana tiap-tiap perkara yang baharu diadakan itu adalah bid‘ah dan tiap-tiap bid‘ah itu adalah sesat. (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Akan tetapi betulkah tanggapan tersebut? Adakah benar hadits tersebut membawa maksud sepertimana yang difahami golongan berkenaan?

Definisi Bid‘ah

Bid‘ah menurut bahasa bererti sesuatu yang baharu direka atau diadakan, tanpa contoh atau asal yang seumpamanya sebelum itu dan tiada kebiasaan sepertinya. Tidak kira sama ada dalam urusan agama ataupun urusan lainnya.

Adapun menurut istilah syara‘ pula, para ulama berbeza pendapat:

1. Imam asy-Syafi‘e, Imam ‘Izzuddin ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdul Salam, Imam an-Nawawi dan lainnya berpendapat bahawa bid‘ah adalah sesuatu yang baharu, yang tidak ada dalam al-Qur’an dan as-Sunnah atau belum wujud serta belum berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Tidak kira sama ada ia adalah sesuatu yang tercela dan dikeji ataupun sebaliknya.

Menurut pendapat ini, bid‘ah itu menurut istilah syara‘ ada yang baik dan terpuji serta ada pula bid‘ah yang buruk dan tercela.

2. Pendapat kedua pula menyatakan bahawa bid‘ah menurut istilah syara‘ adalah tiap sesuatu yang baharu, yang berlawanan dengan sunnah. Ini adalah pendapat Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Imam Ibnu Hajar al-Haitami, Imam Ibnu Rajab dan lain-lain.

Menurut pendapat ini, sesuatu yang baharu itu, jika ia tidak bertentangan dengan sunnah, maka ia dinamakan bid‘ah dari segi bahasa sahaja, iaitu semata-mata kerana ia adalah suatu yang baharu direka atau baru diadakan. Manakala jika ia bertentangan dengan sunnah pula, maka ia adalah bid‘ah menurut istilah syara‘.

Konsep Bid‘ah Menurut Ulama Ahli Sunnah Wal Jama‘ah

Secara asasnya, terdapat dua pendapat mengenai konsep bid‘ah menurut ulama mazhab Ahli Sunnah Wal Jama‘ah. Penjelasannya seperti berikut:

Pendapat Pertama:

Menurut Imam asy-Syafi‘e, Imam an-Nawawi, Imam ‘Izzuddin ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdul Salam dan lainnya, bid‘ah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:

1. Bid‘ah hasanah (yang baik atau bagus) atau bid‘ah mahmûdah (yang terpuji).

Bid‘ah hasanah atau bid‘ah mahmûdah adalah suatu perkara yang dibuat oleh orang Islam selepas zaman Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, perkara tersebut tidak diketahui sama ada pernah berlaku atau pernah dibuat pada zaman Baginda, akan tetapi perkara tersebut masih termasuk di bawah dalil khas atau dalil am dari al-Qur’an atau hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam atau atsar para sahabat atau ijmâ‘ ulama Islam.

2. Bid‘ah sayyi’ah (yang buruk) atau bid‘ah dhalâlah (yang sesat).

Bid‘ah sayyi’ah atau bid‘ah dhalâlah pula adalah suatu perkara yang dibuat oleh orang Islam selepas zaman Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, di mana perkara tersebut tidak diketahui sama ada pernah berlaku atau pernah dibuat pada zaman Baginda, dan perkara itu menyalahi dalil dari al-Qur’an, atau menyalahi dalil dari hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, atau menyalahi atsar para Sahabat atau menyalahi ijmâ‘ ulama Islam. Dalam ertikata lain, ia menyalahi akan hukum-hukum syara‘ dan menyalahi akan dalil syara‘ yang khas mahupun dalil syara‘ yang am.

Adapun pengukur atau cara untuk mengetahui sama ada sesuatu perkara itu termasuk dalam kategori bid‘ah hasanah ataupun bid‘ah sayyi’ah adalah melalui mizan (timbangan) syara‘. Apabila perkara yang baharu itu termasuk dalam perkara yang dinilai baik oleh syara‘, maka dengan sendirinya ia adalah bid‘ah hasanah. Sebaliknya apabila perkara yang baharu itu termasuk dalam perkara yang dinilai buruk oleh syara‘, maka ia adalah bid‘ah sayyi’ah.

Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh berkata: “Perkara-perkara yang baru diadakan itu terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama: Perkara baharu yang bercanggah dengan al-Qur’an, atau as- Sunnah, atau atsar para sahabat atau al-ijmâ‘. Maka perkara seumpama ini adalah bid‘ah yang sesat.

Kedua: Perkara baharu yang baik yang tidak bercanggah dengan satu pun daripada al-Qur’an, as-sunnah, atsâr para sahabat atau al-ijmâ‘. Ini adalah perkara-perkara baharu yang tidak tercela.

Imam Ibnu al-Atsir al-Jazari Rahimahullâh berkata dalam kitabnya an-Nihâyah fi Gharîb al-Hadîts wa al-Atsâr: “Bid‘ah ada dua: Bid‘ah hidâyah dan bid‘ah sesat. Maka segala apa yang bercanggah dengan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta RasulNya Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah dalam kategori (bid‘ah) yang tercela dan ditegah dan segala apa yang termasuk di bawah umum perkara yang dianjurkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta RasulNya Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pula adalah termasuk dalam kategori (bid‘ah) yang terpuji.

Dan segala apa yang belum ada contoh seumpamanya (sebelum itu) seperti semua jenis perbuatan yang berupa kebajikan dan kemurahan hati serta semua jenis perbuatan yang ma‘rûf, adalah tergolong dalam kategori perbuatan yang terpuji.

Segala perbuatan (yang berupa kebajikan, kemurahan hati serta segala jenis perbuatan yang ma‘rûf) ini tidak mungkin tersenarai dalam perbuatan yang bertentangan dengan kehendak syara‘ (sungguhpun ia tidak berlaku di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah menjanjikan baginya (segala perbuatan yang baik itu) ganjaran pahala. Sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Barang siapa yang merintis suatu sunnah hasanah dalam Islam, maka baginya pahala amalan yang dirintisnya itu serta (dia juga beroleh) pahala orang yang mengamalkannya selepasnya.” (Hadits riwayat Muslim)

Imam Ibnu al-‘Arabi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya ‘Aridhah al- Ahwazi bi Syarh Jame‘ at-Tirmidzi bahawa bid‘ah atau muhdats (sesuatu yang baru diadakan) itu tidak dikira tercela hanya kerana secara lafaznya ia digelar dengan perkataan bid‘ah atau muhdats. Katanya: “Adapun sesungguhnya dicela daripada perkara bid‘ah itu ialah apa-apa yang menyalahi sunnah dan dicela daripada perkara muhdats itu ialah apa-apa yang mengajak kepada kesesatan.”

Pendapat Kedua:

Menurut pendapat sebilangan ulama lain pula, penisbahan bid‘ah terhadap perkara-perkara baharu yang ada dasarnya dalam hukum syara‘ itu adalah dari sudut bahasa sahaja, iaitu semata-mata kerana ia adalah sesuatu yang baharu yang tidak ada contoh, tidak ada asal serta tidak ada kebiasaan yang sepertinya sebelum itu. Manakala perkara-perkara baharu yang tidak ada dasarnya dalam hukum syara‘ atau bercanggah dengan hukum syara‘ pula adalah bid‘ah dari sudut istilah syara‘.

Antara ulama yang berpendapat sedemikian adalah Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, katanya: “Manakala segala apa yang ada baginya asal atau dasar menurut dalil syara‘, maka ia bukanlah bid‘ah (dalam istilah syara‘). Adapun bid‘ah yang dimaksudkan dalam istilah syara‘ itu adalah semua bid‘ah yang tercela, manakala (bid‘ah) dari segi bahasa pula adalah sebaliknya (tidak semuanya tercela) kerana sesungguhnya (dari segi bahasa), setiap sesuatu yang baharu yang tidak ada contoh yang seumpamanya sebelum itu (semuanya) dinamakan bid‘ah, tidak kira sama ada ia adalah (bid‘ah) yang terpuji ataupun (bid‘ah) yang tercela.”

Kata-kata seumpama ini juga ada diriwayatkan daripada beberapa ulama lain, antaranya Imam Ibnu Rajab Rahimahullâh, yang berkata dalam kitabnya Jame‘ al- ‘Ulûm wa al-Hikam: “Adapun yang dimaksudkan dengan bid‘ah adalah segala apa yang baru diadakan, yang tidak ada asal dalam hukum syara‘ yang dapat menjadi dalil baginya (dalam syariat). Manakala segala apa yang ada asal dalam hukum syara‘ yang dapat menjadi dalil baginya (dalam syariat), maka ia bukan bid‘ah dari segi syara‘, bahkan ia adalah bid‘ah dari segi bahasa (semata-mata).”

Pendapat para ulama yang dinukilkan di atas, sungguhpun pada zahirnya terdapat perbezaan pendapat di antara mereka dari segi takrif atau definisi, ia tetap menjurus kepada satu natijah yang sama, iaitu tidak semua perkara baharu yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah buruk dan tercela sepertimana yang didakwa sesetengah pihak, bahkan pada hakikatnya ada sesetengah ‘bid‘ah’ itu adalah perkara-perkara yang terpuji dan berkebajikan.

Ini berdasarkan dalil-dalil yang tsabit dan shahîh, antaranya sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, bahawasanya Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang mengada-adakan (sesuatu yang baharu) pada urusan kami ini (syariat), padahal ia bukan sesuatu daripadanya, maka ia adalah tertolak. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mafhûm hadits ini ialah sesiapa sahaja yang membuat atau mengada-adakan sesuatu perkara dalam Islam dengan sesuka hatinya, dengan mendakwa bahawa perkara itu ada dalam agama Islam, padahal perkara itu tidak ada dalam agama Islam, maka ia adalah tertolak dan jadi sia-sia, bahkan sebaliknya dia akan mendapat dosa dan masuk neraka.

Dapat juga difahami daripada hadits ini, serta daripada pendapat-pendapat ulama yang telah disebutkan tadi, bahawa setiap sesuatu yang baharu itu akan menjadi tertolak dan tercela hanya apabila ia menyalahi dan bertentangan dengan hukum syara‘. Maka selagimana sesuatu itu tidak bertentangan dengan hukum syara‘ dan tidak wârid nash yang menegah atau mencelanya, walaupun ia tidak ada dan tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka ia tidak semestinya termasuk dalam perkara yang tertolak dan tercela sepertimana yang disebutkan dalam hadits shahîh di atas.

Hukum Sesuatu Bid‘ah Tertakluk Kepada Hukum Syara‘

Telah dijelaskan sebelum ini bahawa segala perkara baharu yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu tidak semuanya buruk dan tercela, dan tidak pula semuanya baik dan terpuji. Imam Ibnu Hajar al- ‘Asqalani Rahimahullâh berkata: “Dan semua yang belum ada pada zaman Baginda itu dinamakan bid‘ah (dari segi bahasa). Akan tetapi antaranya ada yang baik dan antaranya pula ada yang sebaliknya (yang buruk).”

Adapun hukum segala perkara baharu yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tertakluk kepada kedudukannya dalam hukum syara‘. Imam al-Ghazali Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm ad- Dîn: “Maka tidak semua perkara yang baru dibuat itu tertegah. Adapun yang tertegah itu adalah bid‘ah yang bercanggah dengan sunnah yang tsabit… Bahkan membuat sesuatu perkara baharu itu adakalanya menjadi wajib dalam sebahagian keadaan…”

Ini turut disokong dan diperjelaskan lagi oleh Imam ‘Izzuddin Abdul ‘Aziz bin Abdussalam Rahimahullâh seorang ulama mazhab asy-Syafie. Beliau ada menyatakan dalam kitabnya Qawa’id al-Ahkam Fi Islah al-Anam bahawa setiap perkara bid‘ah itu termasuk di bawah salah satu daripada hukum syara‘ yang lima iaitu; wajib, haram, sunat, makruh dan mubah. Penjelasannya adalah seperti berikut:

1. Bid‘ah wâjibah.

Bid‘ah wâjibah bermaksud bid‘ah yang wajib. Contohnya, mempelajari kaedah nahu Bahasa Arab untuk memahami isi-isi Kalâmullâh (al-Qur’an) dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bagi menjaga syariat Islam. Ini kerana ayat-ayat al-Qur’an serta matn (lafaz) hadits Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam tercatat dalam bahasa Arab.

Ia termasuk dalam bid‘ah wâjibah kerana menjaga syariat agama Islam itu hukumnya wajib. Tanpa penguasaan Bahasa Arab yang sempurna, tuntutan ini tidak mungkin akan dapat dilaksanakan kerana penguasaan Bahasa Arab merupakan salah satu ilmu asas yang wajib dan utama untuk memahami isi-isi al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ini sepertimana kaedah yang masyhur iaitu “sesuatu yang wajib, tetapi ia tidak sempurna kecuali dengan sesuatu yang lain, maka hukum sesuatu yang lain itu juga menjadi wajib”.

Jadi walaupun perkara seumpama ini dinamakan ‘bid‘ah’ kerana ia sesuatu yang baharu yang tidak ada dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, atau belum wujud serta belum berlaku pada zaman Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, hukum mengadakannya adalah wajib kerana ia merupakan keperluan untuk melaksanakan perkara yang wajib, iaitu menjaga syariat agama Islam.

Termasuk juga dalam perkara bid‘ah wâjibah ini perkara-perkara wajib yang lain seperti mempelajari ilmu Tafsir, ilmu Hadits, ilmu Tauhid, ilmu Fiqh, ilmu Ushul Fiqh dan lain-lain yang seumpamanya bagi memahami agama Islam serta memelihara kesuciannya dan memperteguhkan syi‘arnya.

2. Bid‘ah muharramah.

Bid‘ah muharramah adalah segala perbuatan yang menyimpang, bertentangan dan menyalahi ajaran serta hukum syara‘ seperti ajaran golongan Mujassimah yang menjadikan tuhan mereka sebagai berhala dan lain-lain golongan yang menyalahi ajaran Ahli Sunnah Wa- Jama‘ah seperti mazhab dan ajaran golongan Qadariyyah, Murji’ah, Mu‘tazilah dan Khawârij.

Begitu juga amalan-amalan karut lagi khurafât yang tidak ada sandaran serta dasarnya dalam nash-nash syara‘ seperti sembahyang sunat Nishfu Sya‘ban, mengumpul kerak nasi di ‘Arafah, tawafkan duit keliling Ka‘bah, bercelak mata pada hari ‘Asyura, sembahyang sunat ‘Asyura dan bid‘ah-bid‘ah tertegah yang lainnya.

3. Bid‘ah mandûbah.

Bid‘ah mandûbah adalah segala perkara yang baik dan berkebajikan, akan tetapi belum pernah dibuat dan belum ada di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seperti membangun sekolah, membina rumah-rumah tumpangan dan sebagainya bagi memenuhi hajat dan keperluan hidup di suatu tempat atau negeri, menulis kitab-kitab ilmu, mendirikan sembahyang sunat Tarawih di masjid secara berjemaah, mengadakan acara memperingati maulid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, mengadakan majlis-majlis perbincangan ilmu dan yang seumpamanya.

4. Bid‘ah makrûhah.

Bid‘ah makrûhah adalah segala perkara baharu yang terdapat dalil syara‘ yang menerangkan bahawa perkara tersebut tidak disukai oleh syara‘. Sebagai contoh, perbuatan menghias dan mengukir masjid, bermain catur tanpa pertaruhan dan tanpa melalaikan daripada sembahyang, serta menghias Mushhaf al-Qur’an dengan yang lain daripada emas. Adapun menghias Mushhaf al-Qur’an dengan emas pula hukumnya adalah haram.

5. Bid‘ah mubâhah.

Bid‘ah mubahah adalah segala perkara baharu yang harus dibuat. Sebagai contoh, perbuatan bersalam-salaman selepas mengerjakan sembahyang berjemaah, bersenang-senang dengan makanan yang pelbagai dan enak-enak, memakai pakaian yang indah-indah dan cantik-cantik, memiliki atau menggunakan kenderaan dan sebagainya.

Pembahagian ini menyokong dan memperkukuhkan lagi pegangan kita sebagai Ahli Sunnah Wal Jama‘ah bahawa bid‘ah atau suatu yang baharu itu bukanlah seluruhnya tertegah dan bukan pula seluruhnya secara mutlak dibenarkan, tetapi ia tertakluk kepada kedudukan perkara tersebut dalam kaedah hukum syara‘.

Jika ia termasuk dalam kategori perkara-perkara yang wajib dalam hukum syara‘, maka dengan sendirinya ia adalah dalam kategori bid‘ah wâjibah. Jika ia termasuk dalam kategori perkara-perkara yang diharamkan dalam hukum syara‘, maka dengan sendirinya ia adalah dalam kategori bid‘ah muharramah dan begitulah seterusnya.

Hadits “Tiap-Tiap Bid‘ah Itu Adalah Sesat” dan Ulasan Ulama Mengenainya

Golongan yang beranggapan bahawa setiap perkara baharu yang tidak disebutkan dalam al-Qur’an dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta tidak berlaku di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu semuanya adalah tertolak dan sesat seringkali menyandarkan hujah mereka terhadap sebuah hadits yang diriwayatkan daripada al-‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu, beliau telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Dan jauhilah oleh kamu perkara-perkara yang baru diadakan, kerana tiap-tiap perkara yang baru diadakan itu adalah bid‘ah dan tiap-tiap bid‘ah itu adalah sesat. (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Hadits ini, pada zahirnya membawa makna bahawa segala perkara yang tidak disebutkan dalam al-Qur‘an mahupun sunnah Rasulullah Shallallahu alaihi wa sallam kesemuanya adalah bid‘ah yang tertolak dan sesat. Betulkah begitu? Apakah ulasan para ulama Ahli Sunnah Wal Jama‘ah mengenainya?

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, walaupun lafaz hadits ini berbentuk ‘umum’, akan tetapi ia bermaksud ‘khusus’ sekalipun ia merangkumi semua bid‘ah. Dengan maksud yang lain, walaupun lafaz hadits ini membidas dan mencela bid‘ah secara umum, akan tetapi bidasan serta celaan tersebut ‘dikhususkan’ kepada bid‘ah dalam kategori sayyi’ah (yang buruk) atau dhalâlah (yang sesat) sahaja. Adapun bid‘ah hasanah (yang baik) pula tidak termasuk dalam bidasan serta celaan ini.

Menurut beliau lagi, umum lafaz hadits riwayat al-‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu ini ditakhshiskan (dikhususkan) maknanya oleh hadits yang diriwayatkan daripada Jarir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang merintis suatu sunnah hasanah dalam Islam, maka baginya pahala amalan yang dirintisnya itu serta (dia juga beroleh) pahala orang yang mengamalkannya selepasnya, tanpa dikurangi walau sedikit pun daripada pahala mereka itu. Dan barang siapa yang merintis suatu sunnah yang tidak baik dalam Islam, maka baginya dosa amalan yang dirintisnya itu serta (dia juga beroleh) dosa orang yang mengamalkannya selepasnya, tanpa dikurangi walau sedikit pun daripada dosa mereka itu” (Hadits riwayat Muslim)

Ketika mensyarh hadits di atas, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata: “Dalam hadits ini terdapat anjuran supaya merintis atau memulakan perkara-perkara kebaikan, di samping (anjuran supaya) merintis perkara-perkara baharu yang baik-baik serta peringatan (amaran) daripada perkara-perkara yang bâthil dan buruk.

… Dan dalam hadits ini juga terdapat takhshîs (pengkhususan) bagi hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam (iaitu hadits riwayat al-‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu yang berbunyi): “Tiap-tiap perkara yang baru diadakan itu adalah bid‘ah dan tiap-tiap bid‘ah itu adalah sesat.”

Dan bahawa sesungguhnya yang dimaksudkan dengan bid‘ah yang sesat dalam hadits berkenaan (hadits riwayat al-‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu) adalah perkara-perkara baharu yang bâthil serta segala bid‘ah-bid‘ah yang tercela.”

Berdasarkan kata-kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh ini, setelah berlaku takhshîs, maka makna atau maksud sebenar bagi hadits riwayat al-‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu ini adalah: “Tiap-tiap bid‘ah sayyi’ah itu adalah sesat”.

Imam Ibnu al-Atsir al-Jazari Rahimahullâh pula berkata: “Adapun yang dimaksudkan dengan hadits “Tiap-tiap bid‘ah itu adalah sesat” itu ialah segala apa yang bertentangan dengan asas-asas syariah dan tidak bertepatan dengan sunnah.”

Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh ketika mengulas hadits “tiap-tiap bid‘ah itu adalah sesat” berkata bahawa adapun bid‘ah yang dihukumkan sesat dalam hadits ini ialah segala apa yang baru diadakan atau direka yang tidak ada dalil ataupun dasar baginya dalam syara‘, sama ada secara umum mahupun secara khusus.

Salah satu dalil terkuat yang menyokong kefahaman Imam an-Nawawi serta ulama-ulama lain yang sependapat dengan beliau mengenai hadits riwayat al- ‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu ini ialah kata-kata Sayyidina ‘Umar bin al- Khaththab Radhiallâhu ‘anhu setelah beliau merintis suatu bid‘ah hasanah dengan mengumpulkan orang ramai mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah di belakang seorang imam. Beliau berkata:

Maksudnya: Ini sebaik-baik bid‘ah... (Hadits riwayat Imam al-Bukhari)

Siapa tidak kenal Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu? Beliau seorang sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang agung, mulia, setia lagi sangat terkenal dengan sikapnya yang tegas dan tidak ada kompromi dalam menegakkan segala yang hak dan menolak segala yang bâthil.

Kata-kata di atas adalah lafaz daripada seorang sahabat agung yang dijamin masuk syurga. Ini sudah lebih daripada cukup untuk dijadikan petunjuk dan hujah bahawa tidak semua perkara serta perbuatan yang tidak berlaku pada zaman Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu adalah buruk dan tercela. Beliau sendiri yang menggelarkan perbuatan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah setiap malam Ramadhan di belakang seorang imam itu sebagai ‘sebaik-baik bid‘ah’ setelah sekian lama dari zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ia hanya dikerjakan secara bersendirian atau dalam tompokan beberapa kelompok jemaah secara berasingan.

Menurut Imam Ibnu al-Atsir al-Jazari Rahimahullâh, memandangkan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah itu tergolong dalam perbuatan-perbuatan yang baik dan terpuji, maka Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu tetap memuji perbuatan tersebut walaupun dia sendiri yang menamakannya sebagai ‘bid‘ah’.

Adapun sebab Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu menamakannya sebagai ‘bid‘ah’ adalah kerana sembahyang sunat Tarawih pada zaman Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan pada zaman Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu tidak dikerjakan setiap malam Ramadhan secara berjemaah di belakang seorang imam. Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu adalah orang pertama memerintahkan dan menyarankan supaya sembahyang sunat Tarawih dikerjakan setiap malam Ramadhan secara berjemaah di belakang seorang imam. Perkara ini sungguhpun dinamakan bid‘ah, namun pada hakikatnya ia adalah sunnah serta ada asal dan dasarnya dalam syara‘ kerana perkara-perkara berikut:

1. Anjuran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk mendirikan qiyâm Ramadhan.

2. Orang ramai pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mendirikan sembahyang sunat Tarawih di masjid secara bersendirian atau secara berjemaah dalam beberapa kelompok jemaah yang berasingan dengan imam-imam yang berlainan.

3. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah pada beberapa malam di bulan Ramadhan. Bagaimanapun, Baginda kemudian meninggalkannya kerana khuatir ia akan diwajibkan ke atas umat Islam, lalu akan memberatkan mereka sehingga mereka tidak mampu menunaikannya.

4. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri memerintahkan supaya mengikut Sunnah Baginda serta sunnah Khalifah ar-Rashidin selepas Baginda.

Tidak mungkin seorang sahabat yang bukan calang-calang tarafnya seperti Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu yang sentiasa mendampingi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam jahil dan tidak faham akan syariat serta tidak mengetahui konsep sebenar bid‘ah dalam syara‘ lalu dengan sesuka hati mengarahkan supaya sembahyang sunat Tarawih dikerjakan setiap malam Ramadhan secara berjemaah di belakang seorang imam kemudian melabelkan pula perbuatan tersebut sebagai sebaik-baik bid‘ah.

Ini diperkukuhkan lagi apabila perbuatan Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu mengumpulkan orang ramai mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah di belakang seorang imam serta pujiannya terhadap perbuatan itu sebagai ‘sebaik-baik bid‘ah’ diterima sebulat suara tanpa sebarang tentangan oleh sahabat-sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang lain, yang sememangnya sahabat-sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa salla m yang lain ini juga pasti mengetahui bahawa sembahyang sunat Tarawih belum dilakukan pada zaman Rasulullah Shallallahu alaihi wa sallam secara berjemaah setiap malam Ramadhan di belakang seorang imam. Jika semua bid‘ah itu buruk dan sesat, sudah pasti sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu alaihi wa sallam akan bangkit menentang dan tidak mempersetujui perbuatan Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu.

Penolakan terhadap bid‘ah hasanah atau bid‘ah yang baik itu serta tidak mengiktiraf kewujudannya dalam syara‘ bererti meragui ketokohan serta perlakuan Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu. Bahkan ini juga bererti meragui ijmâ‘ seluruh sahabat yang hidup pada zaman Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu yang rata-rata mempersetujui keputusan dan saranan Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu itu. Antara mereka itu termasuklah Sayyidina ‘Utsman bin al-‘Affan dan Sayyidina ‘Ali Radhiallâhu ‘anhumâa yang merupakan Khalifah ar-Rashidin selepas Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu. Perbuatan ini sendiri sebenarnya sudah jelas sebagai satu penentangan terhadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri selain memerintahkan supaya mentaati dan mengikut ajaran serta sunnah Baginda, Baginda juga turut memerintahkan supaya mengikut ajaran dan sunnah Khalifah ar-Rashidin selepas Baginda sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini.

Selain perkara mendirikan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah setiap malam Ramadhan di belakang seorang imam, banyak lagi perkara serta amalan yang dimulai dan dirintis oleh para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang tidak berlaku pada zaman Baginda. Antaranya, pengumpulan al- Qur’an dalam satu Mushhaf serta penambahan azan pertama sembahyang fardhu Jumaat yang dirintis dan diperintahkan oleh Sayyidina ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu, sembahyang sunat dua rakaat sebelum dihukum bunuh yang dirintis oleh Khubaib bin ‘Adiy dan Hujr bin ‘Adiy Radhiallâhu ‘anhumâ serta banyak lagi.

Beberapa Contoh Amalan Bid‘ah Hasanah yang Disangka Bid‘ah Sayyi’ah

Pada hakikatnya, kekeliruan atau kurang faham terhadap konsep bid‘ah dalam perspektif syariat Islam ini adalah penyebab utama timbulnya beberapa golongan mahupun individu yang cenderung ataupun suka membid‘ah-bid‘ahkan amalan mahupun pegangan orang lain. Walhal amalan ataupun pegangan tersebut sudah pun diamalkan oleh ulama-ulama mu‘tabar yang jauh lebih berpengetahuan dan berilmu daripada mereka yang membid‘ah-bid‘ahkan itu sendiri.

Antara amalan yang sering menjadi sasaran mereka ini adalah amalan menyambut maulid Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan amalan do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah.

1. Maulid Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Kekeliruan tentang amalan menyambut maulid Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sering sahaja ditimbulkan oleh segelintir golongan yang menganggap sambutan ini adalah satu bid‘ah yang sesat dan terlarang.

Walau bagaimanapun, pada hakikatnya tohmahan ini tidak sepatutnya ditimbulkan atau dicanang-canangkan lagi kerana ia sudah pun dijawab dengan jelas dan dengan hujah-hujah yang tidak diragukan lagi oleh ulama-ulama Ahli Sunnah wal Jama‘ah sejak berabad lagi.

Sebenarnya, perayaan mauled Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukanlah perayaan yang baru timbul pada zaman kita, bahkan menurut sejarah, ia sudah pun mula diraikan pada tahun 297 Hijriyyah oleh khalifah-khalifah Fathimiyah.

Menurut catatan sejarah lagi, perayaan maulid ini kemudian dijadikan salah satu amalan rasmi secara besar-besaran oleh pihak pemerintah di Kota Irbil di utara Iraq pada kurun ke-7. Menurut catatan Imam as-Suyuthi, Imam Ibnu Katsir dan lainnya, sambutan maulid secara rasmi dan besar-besaran ini dimulakan oleh penguasa negeri Irbil, iaitu Raja al-Muzfir Abu Sa‘id Kukubri bin Zainuddin ‘Ali bin Buktakin (wafat: 630H).

Berdasarkan catatan para ulama, acara dan bentuk sambutan maulid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang telah bermula pada zaman pemerintahan Fathimiyah sehingga sekarang adalah dalam bentuk dan cara yang berbagai-bagai, antaranya:

- Memperbanyak sedekah, sama ada dalam bentuk makanan (jamuan), mata wang, pakaian dan sebagainya.

- Berzikir dan mendengar syarahan di masjid-masjid, sepertimana yang berlaku pada awal kemunculannya.

- Membaca kisah Nabi, seperti berzanji (sama ada satu malam atau selama beberapa malam) di masjid-masjid dan disudahi dengan bacaan do‘a serta syarahan agama.

- Mendengar syarahan sahaja.

- Berkumpul serta berarak dan lain-lain lagi.

Pendapat Ulama Ahli Sunnah Wal Jama‘ah Mengenai Hukum Meraikan Sambutan Maulid

Imam-imam besar Ahli Sunnah wal Jama‘ah seperti Imam as-Suyuthi, Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahumullâh berpendapat bahawa sambutan maulid adalah suatu yang baik dan harus dilakukan, tetapi menegahnya sekiranya ia disertai sama dengan perkara-perkara bid‘ah.

Dengan didasari pendapat imam-imam besar tersebut, maka banyaklah ulama, termasuk dalam mazhab asy-Syafi‘e yang memfatwakan bahawa adalah sunat memperingati hari keputeraan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Meraikan hari maulid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu boleh dengan apa saja cara yang tidak bercanggah dengan syara‘, asalkan ia diniatkan untuk membesarkan dan mengagungkan hari keputeraan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Namun dalam pada itu, janganlah pula ada di dalam perayaan itu sesuatu yang ditegah oleh agama, seperti merayakan dengan berjudi, merayakannya dengan tari menari, merayakannya dengan muzik-muzik, merayakannya semalam suntuk dengan pergaulan bebas muda-mudi dan lain-lain pekerjaan yang jelas haramnya.

Banyak dalil yang membuktikan bahawa meraikan maulid itu adalah sunat. Dalil-dalil tersebut terbahagi kepada dalil khas dan dalil umum sepertimana berikut:

Pertama: Dalil-dalil khas, antaranya:

1. Imam Jalaluddin as-Suyuthi Rahimahullâh, ketika ditanya tentang maulid Nabi pada bulan Rabiulawal, apakah hukumnya menurut syara‘, apakah pekerjaan itu dipuji atau dicela dan apakah pelakunya diberi pahala atau tidak, beliau menjawab: “Asas daripada amal maulid itu ialah, bahawa manusia berkumpul, lalu mereka membaca sekadarnya ayat-ayat al-Qur’an, kemudian membaca kisah-kisah sejarah Nabi dan kisah-kisah bagaimana situasinya pada masa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dilahirkan kemudian mereka bersama dan selepas itu bersurai, tidak lebih daripada itu. Ibadat seperti itu adalah bid‘ah hasanah (bid‘ah yang baik), yang diberi pahala mengerjakannya, kerana dalam amal ibadat tersebut terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang mulia.”

Daripada huraian ini dapatlah disimpulkan perkara-perkara berikut: i. Amalan maulid, iaitu umat Islam berkumpul di suatu tempat (di rumah, di surau atau di masjid) pada setiap bulan Rabiulawal bukan amalan baharu, tetapi telah berabad-abad dilakukan oleh orang Islam. Di dalamnya berbagai-bagai aturcara dibuat, seperti membaca sedikit ayat al-Qur’an dan sedikit kisah Nabi ketika lahir dan sedikit perjalanan hidup dan mukjizat-mukjizat Baginda, di samping untuk menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran atas kedatangan Baginda membawa agama Islam yang suci.

Sesudah itu mereka berjamu makan minum, sama ada yang disediakan oleh orang perseorangan ataupun orang ramai, kemudian bersurai.

ii. Ibadat serupa itu adalah bid‘ah, tetapi bid‘ah hasanah, sepertimana kata Imam as-Suyuthi Rahimahullâh.

iii. Orang yang mengerjakan bid‘ah hasanah menurut Imam as-Suyuthi Rahimahullâh mendapat pahala.

iv. Mengadakan perayaan maulid Nabi itu ibadat yang diberi pahala jika dikerjakan, dan tidak berdosa jika ditinggalkan.

2. Imam Abu Syamah Rahimahullâh, seorang ulama besar dalam lingkungan mazhab asy-Syafi‘e berkata:

“Antara perkara terbaik yang direka pada zaman kita ini, ialah apa yang dibuat pada hari ini pada tiap-tiap tahun bersamaan dengan hari maulid Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada perbuatan memberi sedekah, membuat kebajikan, melahirkan kegembiraan dan kesukaan. Semua perbuatan ini, di samping ihsan kepada kaum fakir, juga mengingatkan kita supaya mengasihi junjungan kita Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, membesarkan Baginda dan bersyukur kepada Allah Ta‘ala atas kurniaNya, yang telah menciptakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagai (Nabi) yang telah diutus untuk kebahagiaan seluruh alam.”

Beliau ini berpendapat:

i. Merayakan maulid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan suatu perayaan dan dengan memperbanyakkan sedekah, amal bakti serta melahirkan kegembiraan kerana maulid itu adalah suatu “bid‘ah hasanah”. Bid‘ah hasanah apabila dibuat mendatangkan pahala.

ii. Mengadakan perayaan maulid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah suatu “manifestasi” dari kecintaan kita kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Daripada pendapat Imam Jalaluddin as-Suyuthi dan Abu Syamah Rahimahumullâh ini, lebih mengukuhkan lagi pendirian kita Ahli Sunnah wal Jamaah bahawa bid‘ah itu ada dua, pertama bid‘ah yang baik (hasanah) dan kedua bid‘ah yang buruk (sayyi’ah) atau sesat (dhalâlah). Jadi walaupun maulid ar-Rasûl hanya muncul setelah lama Baginda wafat, akan tetapi memperingati dan meraikannya dianggap satu amalan yang sangat baik kerana ia membangkitkan semula semangat cintakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Kerana itu ia dibenarkan dan dianggap sebagai bid‘ah hasanah yang juga mendatangkan pahala apabila dibuat.

Kedua: Dalil-dalil umum.

Walaupun amalan maulid belum ada pada zaman Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, namun secara umum ia merupakan suatu yang dianjurkan oleh agama.

Sungguhpun tidak nyata nashnya, namun secara simbolik Allah Subhânahu wa Ta‘âlâa dan RasulNya memang menggalakkan untuk mempertingati dan meraikan hari-hari yang besar dan mulia dalam Islam seperti hari mauled Nabi, hari Isra’ dan Mi‘raj, hari Nuzul al-Qur’an, hari tahun baharu Islam yakni tahun baharu Hijriyyah, hari ‘Asyura’ dan lain-lain.

Banyak dalil yang mengisyaratkan tentang perkara ini, antaranya:

1. Tersebut dalam hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma, katanya:

Ertinya: Ketika Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam datang ke Madinah, Baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura (hari 10 Muharram). Lalu ditanyakan kepada orang-orang Yahudi akan puasa mereka itu. Kemudian mereka menjawab: “Ini adalah hari di mana Allah telah memenangkan Musa dan Bani Isra‘il ke atas Fir‘aun, dan kami berpuasa (pada hari ‘Asyura ini) kerana mengagungkannya”. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun bersabda: “Kami lebih layak terhadap Musa berbanding kamu.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani Rahimahullâh mengatakan bahawa daripada hadits ini dapatlah dipetik hukum berikut:

i Umat Islam dibolehkan dan bahkan dianjurkan agar memperingati hari-hari yang bersejarah, hari-hari yang dianggap besar dan mulia, umpama hari maulid dan lain-lain.

ii. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun memperingati hari tenggelamnya Fir‘aun dan bebasnya Nabi Musa ‘Alaihissalâm dengan mengerjakan puasa ‘Asyura sebagai tanda syukur atas terhapusnya kebatilan dan tertegaknya kebenaran.

2. Allah Ta‘ala berfirman dalam al-Qur’an al-Karim:

Tafsirnya: Maka orang-orang yang beriman kepadanya dan memuliakannya dan menolongnya serta mengikut cahaya (al-Qur’an) yang diturunkan kepadanya, mereka itulah orang-orang yang beroleh kemenangan. (Surah al-A‘râf: 157)

Di dalam ayat ini dinyatakan dengan tegas, bahawa orang-orang yang memuliakan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu adalah orang yang berjaya. Meraikan maulid Nabi tidak syak lagi adalah rangka memuliakan itu.

Bukan sahaja meraikan maulid, tetapi juga meraikan hari Isra’ dan Mi‘raj, hari awal tahun baharu Hijriyyah dan lain-lain itu adalah juga memuliakan namanya. Sekalian orang yang memuliakan Nabi itu in syâ’ Allâh akan mendapat imbalan syurga.

Ayat ini berbentuk umum dan sangat luas tafsirnya. Apa sahaja yang dilakukan dengan niat memuliakan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka pekerjaan itu diberi pahala. Kecualilah jika amalan mulia itu disambut atau dicampur-aduk dengan perkara-perkara yang memang bertentangan dengan ajaran Islam, pahala tidak dapat, sebaliknya kutukan pula yang datang. Umpamanya, seorang mengadakan perayaan maulid, walaupun dengan tujuan untuk memuliakan Nabi, namun disulam dengan judi, menyabung ayam, lakonan orang lelaki memakai pakaian wanita dan wanita memakai pakaian lelaki, maka semua ini bukan mencari pahala tetapi mengundang laknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

3. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: …Dan ingatkanlah mereka mengenai hari-hari Allah... (Surah Ibrahim: 5)

Maksud hari-hari Allah di sini ialah peristiwa-peristiwa yang bersejarah bagi sesuatu umat yang mengandungi ni‘mat-ni‘mat pertolongan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta tanda-tanda kebesaranNya atau bala bencanaNya yang membawa kepada naik atau jatuhnya sesuatu umat.

Kelahiran Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak syak lagi merupakan satu peristiwa amat bersejarah yang mengandungi hikmah dan ni‘mat besar. Oleh itu memperingati hari keputeraan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah merupakan pernyataan bersyukur terhadap ni‘mat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang tidak ada tolok bandingannya.

Hikmah Maulid

Meraikan maulid mempunyai hikmah dan kelebihannya yang tersendiri. Imam as- Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menukilkan dalam kitabnya I‘ânah ath-Thâlibîn pendapat beberapa ulama tentang maulid, hikmah dan khasiatnya.

Imam as-Sakhawi Rahimahullâh:

“Amalan maulid itu muncul selepas abad ke-3 Hijriyyah. Selepas itu umat Islam dari pelbagai negeri dan kota-kota besar teruslah mengamalkan perayaan maulid ini dengan bersedekah pada malam harinya dengan berbagai-bagai jenis sedekah dan juga secara khusus membaca sirah kelahiran Nabi. Dan adapun kesan daripada amalan ini, mereka itu telah beroleh berkatnya.”

Imam Ibnu al-Jawzi Rahimahullâh:

“Antara khasiat atau berkat mengadakan perayaan maulid ialah beroleh kedamaian dan kegembiraan pada tahun yang berkenaan itu.”

Imam al-Hasan Bashri Rahimahullâh:

“Sekiranya aku mempunyai emas seperti sebesar gunung Uhud, aku akan membelanjakannya untuk membacakan kisah maulid Nabi.”

Imam al-Junaid Rahimahullâh:

“Barang siapa yang hadir dalam perayaan maulid ar-Rasûl dan dia membesarkan pangkat Rasul, dia telah berjaya dengan iman.”

Apabila kita renungkan hikmah maulid ini, walaupun yang disebutkan di sini hanya sebahagiannya sahaja, sudah jelas membuktikan bahawa hari keputeraan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukanlah hari biasa. Bahkan ia mempunyai kelebihan daripada hari-hari lain sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Jadi melakukan amal kebajikan pada waktu-waktu yang berkat seperti itu sudah pasti pahalanya berlipat ganda.

Dari itu, tidak syak lagi bahawa membuat keraian atau kesukaan pada hari itu sebagai tanda syukur kepada Allah Ta‘ala di atas limpah kurniaNya mengutus NabiNya yang mulia adalah suatu perkara yang diperakui oleh syara‘. Akan tetapi dengan syarat keraian atau perayaan tersebut jangan dicampur dengan perkara-perkara bâthil yang ditegah oleh syara‘.

Justeru itu, orang-orang beriman pasti terdorong untuk menambahkan pahalanya dengan melakukan perkara-perkara berkebajikan pada hari yang berkat itu kerana yang demikian itu lebih menunjukkan kecintaan sejati terhadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan rasa syukur yang tidak ternilai atas pengutusan Baginda yang merupakan rahmat terhadap seluruh alam. Bukannya membuang masa dan tenaga menimbulkan kekeliruan, keresahan, perseteruan dan perdebatan dalam kalangan orang ramai kerana perkara tersebut tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada mana-mana pihak selain daripada memberi peluang musuh-musuh Islam yang sentiasa mengintai ruang untuk memecah-belahkan kesatuan umat Islam.

Amalan Membaca Do‘a Awal dan Akhir Tahun Hijriyyah

Satu lagi amalan yang di‘bid‘ah’kan segelintir golongan adalah amalan yang biasa kita buat setiap kali tiba tahun baharu Hijriyyah, iaitu amalan membaca do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah. Menurut mereka, amalan ini tidak wârid dan tidak pernah dibuat atau tidak pernah disambut pada zaman Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta para sahabat. Begitu juga nash do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah yang kita baca dalam majlis tersebut menurut mereka tidak ada sandarannya dalam al-Qur’an ataupun hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Oleh itu, menurut penilaian mereka, amalan ini berserta do‘anya adalah bid‘ah yang tidak ada sandarannya dalam syara‘ dan mesti ditinggalkan.

Berikut adalah jawapan kita terhadap dakwaan mereka itu:

1. Dakwaan bahawa amalan ini tidak wârid daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta para sahabat sememangnya tidak disangkal kebenarannya. Ini kerana memang benar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta para sahabat tidak menyambut kedatangan tahun baharu Hijriyyah. Fakta sejarah turut menyokong kenyataan ini kerana penggunaan taqwim Hijriyyah itu sendiri hanya mula diilhamkan pada zaman Khalifah ar-Rashidin yang kedua, iaitu Sayyidina ‘Umar al-Khatthab Radhiallâhu ‘anhu.

Jadi memang benar amalan ini adalah ‘bid‘ah’ dalam ertikata ia sesuatu yang baharu dan tidak ada contohnya pada zaman Baginda. Bagaimanapun, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini bahawa dalam syariat Islam, bid‘ah itu ada dua, iaitu bid‘ah hasanah dan bid‘ah sayyi‘ah. Yang menjadi persoalannya di sini, adakah amalan menyambut tahun baharu Hijriyyah ini bid‘ah hasanah? Atau adakah ia bertentangan dengan syara‘ dan termasuk dalam kategori bid‘ah sayyi‘ah?

Dalam konteks kita di Negara Brunei Darussalam ini, acara utama sambutan awal tahun baharu Hijriyyah yang saban tahun kita buat ialah kita berkumpul beramai-ramai di masjid-masjid seluruh negara, tanpa mengira darjat, keturunan, pangkat dan kedudukan untuk sama-sama berdo‘a memohon keampunan terhadap segala dosa dan kesilapan serta memohon diterima dan diberikan ganjaran terhadap segala amalan yang dikerjakan pada tahun yang bakal ditinggalkan. Kemudian berdo‘a supaya lebih didekatkan dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melalui amalan-amalan salih di samping diberikan perlindungan daripada syaitan dan dorongan hawa nafsu.

Adakah berdo‘a memohon keampunan, perlindungan, ganjaran serta taqarrub kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ suatu amalan yang dikeji dan bertentangan dengan syara‘? Jawapannya adalah tidak sama sekali! Adakah wârid suatu larangan yang mengharamkan orang Islam untuk berdo‘a pada awal dan akhir tahun Hijriyyah? Jawapannya juga adalah tidak sama sekali! Bahkan do‘a merupakan satu ibadat yang mulia dan dianjurkan syara‘ pada bila-bila masa. Bahkan dengan berdo‘a seumpama ini merupakan suatu amalan yang baik di mana selain menzahirkan rasa tawâdhu’ dengan penuh harap memohon belas dan ihsan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, ia juga menjadi pemangkin azam dan semangat kepada seseorang untuk berhijrah kepada yang lebih baik pada tahun mendatang.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdo‘alah kepadaKu nescaya Aku (Allah) perkenankan do‘a kamu. (Surah Ghâfir: 60)

2. Menyentuh tentang hujah mereka yang menyatakan bahawa do‘a ini mesti ditinggalkan kerana ia tidak ada sandarannya dalam syara‘ atau tidak wârid daripada al-Qur’an mahupun as-sunnah pula, ini sebenarnya timbul daripada kurang faham akan kategori do‘a yang secara dasarnya terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:

Pertama: Do‘a ma’tsûr, iaitu do‘a yang wârid daripada al-Qur’an dan as-sunnah.

Kedua: Do‘a yang bukan ma’tsûr, iaitu do‘a yang bukan wârid dari al- Qur’an dan as-Sunnah seperti do‘a yang direka atau dicipta oleh ulama dan seumpamanya. Salah satu contoh do‘a tidak ma’tsûr ini adalah do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah.

Do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah ini, walaupun tidak ma’tsûr, kerana ia bukan berasal daripada al-Qur’an dan as-sunnah, serta tidak juga wârid daripada para sahabat mahupun tâbi‘în, akan tetapi dalam syara‘ tidak ada halangan untuk membaca dan mengamalkannya. Ini kerana perkara-perkara berikut:

i. Menurut syara’, adalah diharuskan untuk berzikir dan berdo‘a dengan do‘a-do‘a yang tidak ma’tsûr. Ini berdasarkan beberapa buah hadits, salah satunya sebuah hadits yang diriwayatkan daripada sebahagian sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bertanya kepada seorang lelaki:

Maksudnya: Bagaimana kamu berdo‘a dalam sembahyang? Lelaki itu menjawab: “Aku bertasyahhud kemudian berdo‘a: “Ya Allah! Aku memohon kepadaMu syurga dan berlindung denganMu daripada neraka. Sesungguhnya aku tidak mendengar dengan baik kumat-kamit Tuan (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) dan tidak juga kumat-kamit Mu‘adz (ketika berdo‘a).” Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sekitar itulah kumat-kamit kami (ketika berdo‘a).” (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Imam ash-Shan‘ani Rahimahullâh berkata: “Hadits ini menunjukkan bahawa boleh seseorang insan itu berdo‘a dengan apa sahaja lafaz yang dia mahu, daripada do‘a ma’tsûr dan selainnya.”

ii. Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e, meminta perkara dunia ketika berdo‘a hukumnya adalah harus sementara meminta perkara akhirat pula hukumnya adalah sunat. Adapun dari segi kategori do‘a pula, syara‘ mengharuskan dan tidak menegah penggunaan do‘a yang bukan ma’tsûr. Bagaimanapun, adalah lebih baik mengamalkan do‘a ma’tsûr daripada yang selainnya, bagi mendapatkan berkat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan harapan agar dimakbulkan.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa sallam dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Dan perbanyakkanlah do‘a. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas merupakan satu anjuran untuk memperbanyakkan do‘a dengan apa sahaja permohonan yang diinginkan. Ini bermakna, dalam berdo‘a kita tidak dihadkan untuk berdo‘a dengan do‘a-do‘a khusus atau do‘a-do‘a ma’tsûr sahaja. Bahkan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri berdo‘a di mana-mana dengan do‘a-do‘a yang berlainan. Ini menunjukkan tidak mengapa untuk menggunakan apa sahaja do‘a.

Ini sepertimana dalam hadits daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Kemudian seseorang itu memilih do‘a (sesukanya) selepas itu. (Hadit riwayat Muslim) iii. Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz Rahimahullâh, Mufti Kerajaan pernah menyebutkan dalam fatwanya bilangan 34/89: “Hendaklah diketahui bahawa dzikir-dzikir dan do‘a yang dikarang oleh ahli dzikir itu tiadalah ditegah dan bahkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menggalakkan…”

Menurutnya lagi: “Dari itu janganlah suka-suka menegur dan ingkarkan ahli Tasawwuf dan ahli dzikir, ahli serban dan ahli jubah, ahli masjid, ahli ibadat, barangkali orang itu ada dalam peliharaan Allah, dan ia lebih yakin dan lebih kuat imannya daripada awak wahai orang yang mensia-siakan ahli serban dan jubah itu.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 34/89)

Dalam fatwa bilangan 67/91, beliau juga ada menerangkan tentang cara pemilihan lafaz-lafaz do‘a, sepertimana katanya: “Adalah lafaz-lafaz do‘a itu adalah bebas dan tiada ada sekatan padanya. Do‘a kesyukuran ada lafaz-lafaznya sendiri. Do‘a menyambut hari kemerdekaan ada lafaz-lafaznya sendiri, do‘a hari menyambut maulud Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ada coraknya sendiri, ada yang panjang, ada yang pendek, ada lafaz-lafaz tertentu bagi dibaca oleh orang ramai yang tiada pandai berdo‘a dengan caranya sendiri, dan bagi orang yang pandai memilih lafaz-lafaz do‘a, ia boleh berdo‘a dengan lafaz-lafaznya sendiri dan dengan panjang dan lanjut mengikut keadaan sesuatu majlis dan sesuatu upacara itu.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 67/91)

Daripada hujah-hujah yang disebutkan di atas, maka jelaslah bahawa amalan membaca do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah itu tidak menyalahi syara‘ kerana amalan berdo‘a itu dituntut pada bila-bila masa dan dengan apa sahaja bentuk do‘a tidak kira ia do‘a ma’tsûr ataupun tidak ma’tsûr. Ini tidak ada bezanya dengan seseorang itu berdo‘a supaya lulus dalam peperiksaan, memohon supaya menang dalam suatu pertandingan, memohon dinaikkan pangkat dan seumpamanya. Selagi ia suatu do‘a yang baik, maka yang demikian itu tidak ditegah oleh syara‘ walaupun nash do‘a tersebut tidak ada dalam al-Qur’an dan as-sunnah.

Berdasarkan keterangan di atas, adalah jelas bahawa tradisi amalan membaca do‘a awal dan akhir tahun Hijriyyah ini adalah tidak termasuk dalam apa yang dikatakan sebagai bid‘ah sayyi’ah. Sebab itu perkara tersebut turut mendapat sokongan penuh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Bahkan menurut Baginda, do‘a itu sendiri mengandungi rahsia dan keistimewaannya yang tersendiri sepertimana titah Baginda sempena menyambut awal tahun baharu Hijriyyah 1437, pada Hari Selasa, 1 Muharram 1437H bersamaan 13 Oktober 2015M:

“Pada hemat beta, do‘a kita pada setiap tahun itu adalah benar-benar menjadi punca kepada kebajikan bersama.

Dengan rahmatNya jua, negara ini benar-benar bebas daripada sebarang kemelut. Rakyat hidup bersatu hati, tiada pergaduhan atau pertelingkahan yang membebankan, bahkan semuanya adalah berjalan dengan baik.

Yang kita tahu pun, do‘a akhir dan awal tahun itu hanyalah rutin biasa saja. Tetapi beta penuh yakin, bahawa rutin inilah satu kelebihan untuk kita, di mana impaknya adalah sangat hebat, mampu untuk menjadikan negara dan kehidupan sejahtera.

Betapa tidak, isi kedua-dua do‘a tersebut, jika Allah memperkenankannya, tidak diragukan lagi, semua kebaikan adalah milik kita. Di dalam Do‘a Akhir Tahun kita meminta supaya Allah mengampunkan segala dosa dan menerima taubat kita, sementara dalam Do‘a Awal Tahun pula kita memohon agar Allah melindungi kita daripada kejahatan syaitan, pembantu-pembantu dan askar-askarnya serta meminta supaya jangan dipesongkan oleh nafsu yang jahat. Andainya do‘a-do‘a ini diterima oleh Allah, maka tidakkah ini satu jaminan untuk kita meraih segala kebaikan berupa keselamatan, kebahagiaan, kemakmuran dan lain-lain?

Beta penuh percaya, do‘a kita ini telah dimakbulkan oleh Allah. Lalu kerana itu, berlakulah apa yang patut berlaku: Negara jadi aman, rakyat dan penduduk hidup bahagia di bawah pengurusan dan pemerintahan yang adil saksama, kerana, syaitan dan konco-konconya telah tewas, tidak dapat mencampuri segala urus tadbir kehidupan di negara ini. Allahu Akbar, Maha Besar Allah yang mengurniakan semua ini.

Tidak syak lagi, do‘a adalah survival kita, survival negara. Makanya tradisi mengisi Tahun Baharu Hijrah dengan do‘a ini adalah wajar diteruskan dan malah dikekalkan.”

Penilaian Tentang Bid‘ah adalah Urusan Para Ulama Mu‘tabar

Bid‘ah ataupun tidaknya sesuatu amalan itu, tidak cukup untuk dinilai dengan ada atau tidaknya ia dibuat atau disabdakan oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam semata-mata. Begitu juga tidak cukup sekadar mencedoknya daripada sumber-sumber atau golongan-golongan yang tidak mu‘tabar, walaupun mereka itu digelarkan atau menggelarkan diri mereka sebagai ulama ataupun berimej dengan imej ulama. Ini kerana tidak semua golongan ulama itu dinilai sebagai ulama mu‘tabar.

Para ulama mu‘tabar adalah satu-satunya golongan yang layak menilai sama ada suatu perkara baharu itu adalah bid‘ah tertolak dan tercela ataupun sebaliknya. Ini kerana para ulama mu‘tabar adalah golongan yang diwakilkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai pewaris para nabi bagi menjaga syariat Islam serta menyampaikan dan memperjelaskannya sepertimana ia disyariatkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya.

Perkara ini turut mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam, dalam titah baginda pada Majlis Hafl Al- Takharruj Ke-5 UNISSA, pada hari Sabtu 17 Oktober 2015 bersamaan 4 Muharram 1437. Dalam titah tersebut, baginda menegaskan akan pentingnya berpegang kepada pendapat dan kaedah para ulama mu‘tabar ini serta mengingatkan seluruh rakyat baginda yang beragama Islam supaya menjauhi segala fahaman serta aliran yang tidak selari dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jama‘ah:

“Atas nama agama, orang suka membawa isu-isu baharu, misalnya, untuk menyangkal sesuatu perkara itu sebagai tidak ada dalam agama atau ianya tidak pernah disebut dan dibuat oleh Nabi, maka disarankanlah supaya ianya dibuang atau tidak payah dipakai lagi.

Beta melihat, pendapat seperti ini datangnya daripada orang-orang baharu, yang kadang-kadang imej mereka adalah imej ulama, tetapi tidak beretika dengan etika ulama.

Ulama mu‘tabar tidaklah secelupar itu. Mereka masih saja terikat untuk menghargai apa-apa yang baik, walaupun bukan dari hadits. Kerana itu mereka menyediakan dua kaedah atau sistem nilai: pertama, mana-mana perkara buruk yang tidak ada dalam hadits, perkara tersebut akan dikategorikan sebagai bid‘ah sayyi’ah (perkara baharu yang buruk yang sayugia jangan dilakukan), dan kedua, mana-mana perkara baik walaupun ia bukan dari hadits, maka perkara itu akan dikategorikan sebagai bid‘ah hasanah (perkara baharu yang baik dan malah jika dibuat boleh mendatangkan pahala).

Kaedah ulama mu‘tabar yang cantik dan sempurna ini, beta ingin tegaskan, hendaklah dipegang dan dipakai terus oleh UNISSA dan lain-lain pihak di negara ini. Adapun kaedah-kaedah baharu yang berlawanan dengan kaedah para ulama mu‘tabar adalah tidak berkenaan dengan kita.”

Perkara-perkara yang rumit serta memerlukan ilmu yang mantap dan kajian yang mendalam, apatah lagi dalam bab-bab agama seperti permasalahan bid‘ah ini hendaklah dirujuk kepada mereka yang benar-benar berautoriti dan mempunyai kepakaran dalam perkara-perkara serta urusan-urusan agama. Jika perkara rumit seperti penilaian bid‘ah ini dilakukan oleh golongan yang tidak mempunyai kepakaran serta asas kukuh dalam ilmu agama, ia pasti akan mengakibatkan kecelaruan dan kekeliruan terhadap syariat Islam. Bukan setakat itu sahaja, bahkan ia akan turut menjejaskan keharmonian amalan hidup beragama dalam sesebuah masyarakat.

Jelasnya, apa yang perlu diingat dan ditekankan dalam perkara bid‘ah ini ialah ia suatu perkara yang belum berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ataupun Baginda tidak melakukannya. Perkara ini tidak bererti ia haram dan tercela selagimana ia tidak bertentangan dengan hukum syara‘. Berdasarkan penjelasan di atas, para sahabat sendiri pun ada melakukan perkara-perkara baharu yang tidak berlaku di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sepertimana yang disentuh sebelum ini.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14819

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص