Perihal Sembahyang Duduk
الجواب
Berdiri dengan betul iaitu berdiri dengan menegakkan atau meluruskan sendi dan tulang belakang adalah antara rukun-rukun dalam sembahyang fardhu. Hukum menyempurnakannya adalah wajib bagi orang yang mampu berdiri. Kegagalan melaksanakannya dengan sempurna boleh menyebabkan sembahyang seseorang itu batal kerana rukun adalah sebahagian daripada sembahyang.
Sementara itu, diharuskan mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan duduk atau berbaring walaupun seseorang itu mampu untuk berdiri. Walau bagaimanapun, pahala bagi orang yang mampu untuk berdiri jika dia mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan duduk adalah separuh daripada pahala sembahyang sunat yang dikerjakan dengan berdiri dan pahala orang yang mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan berbaring adalah separuh daripada pahala sembahyang sunat yang dikerjakan dengan duduk. Oleh itu, mengerjakan sembahyang sunat dengan berdiri adalah afdhal (lebih utama).
Hukum Sembahyang Fardhu dengan Cara Duduk
Orang yang tidak mampu mengerjakan sembahyang fardhu dengan berdiri hendaklah dia mengerjakannya dengan cara duduk. Manakala jika dia tidak mampu berdiri dan duduk, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dengan cara berbaring sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (dengan rusuk mengiring). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sembahyang yang dikerjakan dengan cara duduk atau berbaring tidak lagi perlu diulang apabila seseorang itu telah mampu berdiri setelah hilang keuzuran.
Mengenai dengan pahala pula, pahala seseorang yang sembahyang fardhu dengan cara duduk atau berbaring disebabkan keuzuran tidak akan berkurang, bahkan sama sahaja pahalanya seperti pahala sembahyang yang dikerjakan dengan berdiri.
Sebab-sebab yang Mengharuskan Sembahyang Fardhu Dikerjakan dengan Cara Duduk
Seorang mukallaf harus mengerjakan sembahyang dengan cara duduk atau berbaring jika dia tidak mampu berdiri. Menurut Imam ar-Rafi‘i Rahimahullâh, yang dimaksudkan dengan “tidak mampu” itu bukan setakat hilang keupayaan untuk berdiri, tetapi juga disebabkan takut akan berlaku kerosakan atau kemudharatan ke atas diri, takut tenggelam atau pening apabila berdiri di atas perahu, takut akan menambahkan lagi kesakitan, takut air kencing terus mengalir keluar jika berdiri dan tidak mungkin menahan hadats kecuali dengan duduk atau dinasihati oleh doktor yang dipercayai jika dengan duduk atau menelentang akan dapat membantu sakitnya sembuh. Selain itu diharuskan juga sembahyang dengan cara duduk jika seseorang mengalami masyaqqah (kesukaran) yang bersangatan sehingga boleh mengganggu dan menghilangkan khusyû‘ dalam sembahyang.
Cara Duduk yang Afdhal
Tidak ditentukan cara dan keadaan duduk bagi orang yang tidak mampu untuk berdiri dan ingin menunaikan sembahyang dengan cara duduk. Adalah memadai dengan kesemua cara dan keadaan duduk sebagai ganti perbuatan berdiri.
Walau bagaimanapun, duduk dalam keadaan iftirâsy (seperti duduk tahiyyat awal) adalah afdhal untuk dilakukan berbanding dengan duduk tarabbu‘ (bersila) dan duduk yang lain. Ini kerana duduk iftirâsy adalah cara yang disyariatkan di dalam sembahyang, maka ia adalah lebih awlâ (lebih utama).
Demikian juga duduk dalam keadaan iftirâsy adalah afdhal berbanding dengan duduk tawarruk (seperti duduk tahiyyat akhir), kerana duduk iftirâsy merupakan duduk yang tidak diikuti selepasnya oleh salam.
Sementara itu, makruh hukumnya duduk dalam keadaan iq‘a (bertinggung) kerana duduk tersebut menyerupai anjing dan monyet.
Cara Ruku‘, I‘tidâl dan Sujud bagi Sembahyang Duduk
Apabila seorang mukallaf tidak mampu untuk berdiri dan dia mengerjakan sembahyang fardhu dengan cara duduk, maka cara ruku‘, i‘tidâl dan sujudnya adalah seperti berikut:
1. Ruku‘.
Ruku‘ sekurang-kurangnya dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut. Sementara cara yang paling sempurna ialah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.
2. I‘tidâl.
I‘tidâl ialah kembali kepada keadaan sebelum ruku‘ iaitu duduk dengan betul. Jika dia tidak mampu untuk kembali dengan duduk betul, maka hendaklah kembali sekadar yang termampu olehnya.
3. Sujud.
Cara sujud bagi orang yang sembahyang duduk sama sahaja seperti sujud biasa.
Tetapi jika dia tidak mampu untuk sujud seperti biasa iaitu meletakkan dahi ke lantai, maka perlu dilihat kepada dua keadaan berikut:
Pertama: Jika dia mampu untuk melakukan sekurang-kurang ruku‘ atau ruku‘ yang paling sempurna ketika dalam keadaan duduk akan tetapi tidak melebihi daripada kadar demikian, maka lakukan kadar yang termampu itu sekali untuk ruku‘ dan sekali lagi untuk sujud sekalipun kadar perbuatannya itu sama.
Kedua: Jika dia mampu untuk melakukan kadar yang melebihi daripada kadar ruku‘ yang sempurna, maka wajib dia ruku‘ dengan tidak melebihi kadar sempurna ruku‘ itu. Sementara sujud pula dilakukan dengan kadar yang melebihi ruku‘ yang sempurna itu bagi membezakan di antara sujud dan ruku‘.
Sementara itu, jika orang yang bersembahyang duduk itu tidak mampu juga untuk melakukan ruku‘ dan sujud seperti yang dijelaskan di atas, maka dia hendaklah melakukan ruku‘ dan sujud tersebut dalam keadaan duduk itu secara isyarat. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Dan jika aku memerintahkan kamu untuk mengerjakan sesuatu, maka kerjakanlah ia dengan apa yang kamu terdaya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Cara melakukan isyarat itu adalah dengan kepala. Jika dia tidak terdaya melakukan isyarat dengan kepala, maka hendaklah dengan mata. Jika tidak terdaya juga, maka hendaklah dengan hati.
Tidak pula disyariatkan untuk meletakkan kerusi atau selainnya seperti meja sebagai tempat untuk sujud di atasnya jika seseorang itu tidak mampu tunduk dan membongkok untuk melakukan sujud seperti biasa.
Sembahyang Duduk di atas Kerusi
Berdasarkan kepada keumuman maksud hadits yang membolehkan sembahyang secara duduk yang telah dijelaskan dapat difahami bahawa sembahyang dengan cara duduk di atas kerusi bagi orang yang tidak mampu untuk berdiri juga adalah dibolehkan kerana tidak ada ditetapkan cara dan keadaan duduk yang khusus mengenainya.
Apabila seorang mukallaf tidak mampu untuk berdiri dan dia mengerjakan sembahyang dengan cara duduk di atas kerusi, maka hendaklah dia ruku‘ dalam keadaan duduk di atas kerusi dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut dan paling sempurna dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.
Kemudian kembali duduk dengan betul untuk melakukan i‘tidâl. Jika dia tidak mampu kembali duduk dengan betul, maka hendaklah kembali sekadar yang termampu olehnya.
Setelah itu sujud seperti biasa dengan meletakkan dahi ke lantai.
Jika dia tidak mampu untuk sujud dengan meletakkan dahi ke lantai akan tetapi dia mampu untuk membongkokkan badan pada kadar ruku‘ paling kurang atau paling sempurna akan tetapi tidak mampu melebihi kadar demikian itu, maka bolehlah dia melakukan pada kadar yang termampu itu sekali untuk ruku‘ dan sekali lagi untuk sujud dalam keadaan duduk di atas kerusi.
Adapun jika dia mampu untuk membongkok melebihi kadar ruku‘ paling sempurna, maka wajib dia ruku‘ dengan tidak melebihi kadar ruku‘ paling sempurna dan wajib dia sujud dalam keadaan duduk di atas kerusi dengan kadar yang melebihi kadar ruku‘ paling sempurna itu.
Sementara itu, jika dia tidak mampu juga untuk melakukan ruku‘ dan sujud, maka dia hendaklah melakukan ruku‘ dan sujud tersebut dalam keadaan duduk di atas kerusi itu secara isyarat sebagaimana yang telah dijelaskan.
Beberapa Permasalahan Mengenai Sembahyang Duduk
1. Mampu berdiri tetapi tidak mampu ruku‘ dan sujud.
Jika seseorang mampu berdiri akan tetapi dia tidak mampu ruku‘ dan sujud, umpamanya disebabkan terdapat masalah pada bahagian belakangnya, maka wajib ke atasnya mengerjakan sembahyang dengan berdiri. Adapun ruku‘ dan sujud dilakukan dalam keadaan berdiri dengan membongkokkan tulang belakangnya sekadar yang dia mampu sahaja.
Jika dia tidak mampu membongkokkan tulang belakangnya untuk ruku‘ dan sujud, maka hendaklah dia menundukkan leher dan kepalanya, dan jika tidak mampu juga maka hendaklah dengan isyarat.
Dalam keadaan di atas, menurut Imam al-Halabi, apabila seseorang itu selesai melakukan sujud pertama dengan isyarat ketika dalam keadaan berdiri, kemudian dia melakukan duduk antara dua sujud seperti biasa, setelah itu hendaklah dia melakukan sujud kedua dengan isyarat dalam keadaan dia duduk bukan dengan berdiri. Ini kerana sujud keduanya dalam keadaan dia duduk itu lebih dekat dengan tempat sujud.
2. Mampu berdiri dan berbaring sahaja.
Jika seseorang mampu berdiri dan berbaring sahaja, dan tidak mampu duduk, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dengan berdiri dan memberi isyarat ruku‘ dan sujud sekadar yang mampu. Demikian juga dalam melakukan tasyahhud (tahiyyat), hendaklah dia melakukannya dalam keadaan berdiri.
3. Mampu berdiri apabila sembahyang bersendirian sahaja.
Jika seseorang mampu berdiri apabila sembahyang bersendirian, tetapi menghadapi kesulitan untuk berdiri apabila sembahyang berjemaah, melainkan dengan duduk pada sebahagian sembahyangnya, maka dalam keadaan tersebut, adalah afdhal baginya untuk sembahyang bersendirian sahaja. Namun sembahyangnya tetap sah jika dia berjemaah dan duduk pada sebahagian sembahyangnya itu.
4. Berlaku keuzuran di pertengahan sembahyang.
Apabila seorang yang sihat menunaikan sembahyang seperti biasa, tiba-tiba berlaku keuzuran yang menyebabkannya tidak mampu untuk berdiri, maka dalam hal tersebut harus dia melakukan daripada keadaan yang dia tidak mampu iaitu berdiri kepada yang termampu olehnya iaitu duduk.
Jika berlaku keuzuran ketika dia sedang membaca sebahagian surah al- Fâtihah, wajib dia meneruskan bacaan al-Fâtihah dalam waktu dia bergerak merendah untuk duduk itu.
5. Hilang keuzuran di pertengahan sembahyang.
Apabila seorang yang uzur mengerjakan sembahyang dengan cara duduk, tiba-tiba hilang keuzurannya dan mampu untuk berdiri, maka wajib baginya untuk segera bangkit dan berdiri.
Jika dia mampu untuk berdiri disebabkan hilang keuzuran atau berkurangan keuzurannya sebelum dia membaca surah al-Fâtihah, maka hendaklah dia bangkit berdiri dan membaca surah al-Fâtihah dalam keadaan berdiri.
Demikian juga, jika dia berdaya untuk berdiri disebabkan hilang atau berkurangan keuzuran ketika dia sedang membaca surah al-Fâtihah, maka hendaklah dia bangkit dan menyambung bacaannya setelah dia sempurna berdiri. Wajib ke atasnya untuk tidak meneruskan membaca surah al-Fâtihah sehinggalah dia sempurna berdiri kerana tidak memadai atau tidak dikira bacaannya jika dia membacanya ketika bergerak untuk berdiri.
Adapun jika dia mampu untuk berdiri setelah selesai membaca surah al- Fâtihah sebelum lagi melakukan ruku‘, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk tunduk ruku‘ tanpa perlu thuma’nînah dan disunatkan untuk membaca semula surah al-Fâtihah dalam keadaan berdiri sebelum ruku‘.
Dalam keadaan yang lain pula, jika seorang bersembahyang duduk lalu hilang keuzurannya ketika dia melakukan ruku‘ dalam keadaan duduk dan sebelum thuma’nînah, maka hendaklah dia terus berdiri dalam keadaan ruku‘ dan jangan berdiri tegak. Sembahyangnya menjadi batal jika dia berdiri tegak terlebih dahulu dan kemudian baharu ruku‘. Ini adalah kerana jika dia berdiri tegak terlebih dahulu, nescaya dia menambah rukun fi‘li sembahyang iaitu berdiri.
Manakala jika keuzurannya itu hilang selepas thuma’nînah, maka ruku‘nya adalah sempurna dan wajib dia berdiri dalam keadaan i‘tidâl kemudian baharulah dia sujud tanpa perlu ruku‘. Jika dia melakukan ruku‘, sembahyangnya menjadi batal kerana dia menambah satu lagi rukun fi‘li sembahyang iaitu ruku‘.
Jika keuzurannya hilang ketika melakukan i‘tidâl dalam keadaan duduk sebelum berlaku thuma’nînah, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk i‘tidâl dan thuma’nînah. Sementara itu, jika keuzurannya hilang selepas berlaku thuma’nînah, maka menurut pendapat yang ashah, tidak perlu lagi dia berdiri supaya tidak berlaku perbuatan memanjangkan tempoh i‘tidâl, kerana ‘itidal merupakan rukun pendek. Adapun jika keuzurannya hilang selepas thuma’nînah di rakaat kedua sembahyang Shubuh, sebelum dia membaca do‘a qunut, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk membaca do‘a qunut. Jika dia tidak bangkit berdiri namun dia terus membaca do‘a qunut dalam keadaannya duduk, maka batal sembahyangnya kerana perbuatan tersebut dikira menambah perbuatan duduk yang bukan sepatutnya.
6. Tidak mampu berdiri lama.
Seseorang yang ada keuzuran untuk berdiri pada kadar yang lama, iaitu dia hanya mampu untuk berdiri sekadar sempat untuk membaca surah al-Fâtihah sahaja dan jika dia membaca surah lain selepas itu, nescaya dia tidak mampu lagi untuk berdiri, dalam hal yang demikian, afdhal baginya membaca surah al-Fâtihah sahaja tanpa membaca surah lain selepas al-Fâtihah itu. Ini kerana menjaga rukun sembahyang (berdiri) itu adalah lebih utama.
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat diambil kesimpulan bahawa setiap rukun di dalam sembahyang fardhu tetap wajib untuk dikerjakan oleh setiap mukallaf mengikut kadar kemampuannya.
Antaranya, bagi seseorang yang mempunyai keuzuran sehingga menyebabkan dia tidak mampu berdiri, akan tetapi dia mampu untuk duduk, maka dia hendaklah mengerjakan rukun berdiri dengan cara duduk mengikut ketetapan seperti yang telah dijelaskan. Pahala sembahyangnya sama sahaja seperti pahala sembahyang yang dikerjakan dengan berdiri.
Sementara itu pula, diharuskan mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan duduk walaupun seseorang itu mampu untuk berdiri. Walau bagaimanapun, pahala sembahyangnya adalah separuh daripada pahala sembahyang sunat yang dikerjakan dengan berdiri.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14838
دليل الألوان
