Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

“Suruhlah Anak-Anak Kamu Mendirikan Sembahyang…” Pimpinan Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wa Sallam Dalam Mendidik Anak-Anak Bersembahyang

الجواب

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam diutus bukan hanya semata-mata untuk menyampaikan wahyu dan risalah Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada umat manusia, malahan sebagai pemimpin dan pembimbing yang memiliki jiwa penuh kasih sayang. Dengan kasih sayang, Baginda memimpin umat Islam membina ketamadunan yang maju dan berakhlak tinggi sehingga cemerlang di dunia. Dengan kasih sayang jugalah, Baginda membimbing umat Islam mematuhi hukum Allah bagi mencapai kejayaan Hari Akhirat. Kepimpinan berteraskan kasih sayang inilah yang perlu dimiliki oleh ibu bapa atau ketua keluarga bagi memastikan diri dan keluarganya berjaya bukan sahaja di dunia, malahan juga di akhirat kelak.

Rahsia utama kejayaan hidup seorang Muslim itu adalah ketaatannya mengerjakan sembahyang lima waktu sebagaimana perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Pemimpin kita, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, di dalam hadits-hadits yang diriwayatkan oleh para sahabat pun banyak menyebut tentang kewajipan sembahyang lima waktu, kelebihan serta keistimewaan yang dikurniakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hambaNya yang mengerjakan sembahyang, balasan buruk bagi yang meninggalkannya serta menerangkan dan menjelaskan cara pelaksanaan sembahyang dengan betul melalui percakapan dan perbuatan Baginda. Semua ini berupa bimbingan dan didikan bagi memastikan kejayaan umat Baginda. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberi petunjuk kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bagi mengajak ahl (keluarga) Baginda mendirikan sembahyang sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Dan perintahkanlah keluargamu mendirikan sembahyang dan bersabarlah dalam menunaikannya. (Surah Thaha: 132)

‘Ahl’ (keluarga) dalam ayat di atas secara umumnya merangkumi keluarga Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam secara khusus dan umat Baginda keseluruhannya. Selepas sahaja ayat ini diturunkan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pergi pada setiap pagi (menjelang Subuh) ke rumah Sayyidatina Fatimah Radhiallâhu ‘anhâ dan Sayyidina ‘Ali Karamallâhu wajhah dan bersabda: “Dirikan sembahyang”.

Ibu Bapa Berperanan Menyuruh Anak-anak Bersembahyang Menurut Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik anak-anak selain daripada kewajipan memberi nafkah. Memastikan kejayaan anak-anak di akhirat kelak merupakan kewajipan yang dituntut ke atas mereka. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka … (Surah at-Tahrîm: 6)

Maksud ‘peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka’ ialah memelihara daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia merupakan suatu perintah bagi seseorang untuk menjaga dirinya dan ahli keluarganya daripada neraka. Dengan itu seseorang itu perlu memperbaiki dirinya dan memperbaiki ahli keluarganya dengan melakukan ketaatan (mentaati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ).

Terdapat beberapa pendapat para sahabat dan ulama mengenai pesanan supaya memelihara diri dan ahli keluarga daripada neraka sebagaimana maksud ayat di atas, iaitu:

1. Memerintahkan ahli keluarga untuk taat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan melarang mereka menderhakaiNya.

2. Mengajar ahli keluarga tentang kewajipan-kewajipan yang tertanggung ke atas mereka dan mendidik mereka tentang kehidupan keduniaan mereka.

3. Mengajar ahli keluarga tentang kebaikan dan memerintahkan untuk melaksanakan kebaikan itu, di samping menerangkan kepada mereka tentang keburukan dan melarang mereka daripada melakukannya.

Termasuk juga dalam maksud ayat di atas ialah anak-anak. Oleh yang demikian, pimpinan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada ibu bapa untuk memerintahkan anak-anak mereka mengerjakan sembahyang turut termasuk dalam konteks ayat di atas. Diriwayatkan daripada ‘Amr bin Syu‘aib Radhiallâhu ‘anhu daripada bapanya daripada datuknya, beliau berkata: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Suruhlah anak-anak kamu itu (anak-anak laki-laki atau perempuan) mendirikan sembahyang apabila umur mereka tujuh tahun…. (Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits di atas menunjukkan bahawa wajib ke atas ibu bapa menyuruh kanak-kanak yang sudah berumur tujuh tahun qamariyyah mengerjakan sembahyang dengan cukup syarat-syarat dan rukun-rukun sembahyang.

Namun jika kanak-kanak itu tiada mempunyai ibu atau bapa, maka datuknya mengambil tempat bapa dan ibunya. Jika tiada datuknya, maka diambil tanggungjawab ini oleh orang yang dipesankan oleh bapa atau datuknya. Jika tidak ada, maka berpindah kepada penjaga kanak-kanak itu. Jika tidak ada, maka berpindah pula kepada wali-wali yang lebih hampir kepada kanak-kanak itu. Jika tidak ada, maka berpindah kepada pemerintah dan kemudiannya kepada orang-orang Islam yang salih di tempat kanak-kanak itu berada. Inilah dia susunan orang-orang yang wajib menyuruh kanak-kanak lelaki dan perempuan itu mengerjakan sembahyang dengan cukup syarat dan rukunnya.

Adapun kewajipan mendidik kanak-kanak ini tidak terhad pada sembahyang sahaja, bahkan pada semua perkara berkaitan agama. Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, adalah menjadi kewajipan bagi kedua-dua ibu bapa untuk mengajar anak-anak mereka yang masih kecil tentang perkara-perkara yang akan diwajibkan setelah mereka mencapai umur bâligh, antaranya mengajarkan thahârah (bersuci), sembahyang, puasa dan yang seumpamanya.

Umur Sesuai Mendidik Anak-anak Bersembahyang Menurut Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Suruhlah anak-anak kamu itu (anak-anak lelaki atau perempuan) mendirikan sembahyang apabila umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka enggan mendirikan sembahyang) apabila umur mereka sepuluh tahun dan kamu pisahkanlah mereka dari tempat-tempat tidur mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan ibu bapa untuk mula menyuruh anak-anak mendirikan sembahyang dengan cukup syarat dan rukun pada umur tujuh tahun qamariyyah setelah si anak mempelajarinya. Manakala bila sampai umur sepuluh tahun dan si anak enggan atau belum melakukan sembahyang, maka bolehlah dipukul.

Menurut Imam al-‘Alqami Rahimahullâh: “Suruhan memukul ketika umur sepuluh tahun disebabkan kebiasaannya umur sepuluh tahun merupakan had umur yang boleh menanggung pukulan (pukulan ringan). Pukulan yang dimaksudkan di dalam hadits di atas pula adalah pukulan yang tidak mencederakan iaitu pukulan ringan yang bertujuan untuk mengajar dan mendidik.

Adapun rahsia syariat Islam menyuruh mendidik anak agar sembahyang pada peringkat seawal umur tujuh tahun ini adalah supaya dapat mengajarkan mereka tentang hukum-hakam ibadat dan membiasakan mereka mengerjakan sembahyang sedari kecil sehingga mereka terdidik untuk mematuhi dan melaksanakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Yang sedemikian, jiwa dan hati mereka akan bersih, akhlak mereka akan terdidik serta pergaulan dan perbuatan mereka akan sentiasa terpelihara daripada perkara-perkara mungkar. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (manfaat dan kesannya). (Surah al-‘Ankabût: 45)

Oleh yang demikian, didiklah anak-anak kita bersembahyang sedari umur mereka masih kecil. Manakala bila sampai umur yang sesuai sebagaimana yang disebutkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka perintahkan mereka mendirikan sembahyang secara disiplin.

Pimpinlah mereka dengan penuh kesabaran dan kasih sayang serta berusaha terus dan tegas menyuruh mereka bersembahyang sehingga mereka baligh.

Binalah suasana kondusif yang boleh membawa anak-anak malahan seisi keluarga mendirikan sembahyang secara teratur seperti sembahyang berjemaah bersama-sama, penyediaan bilik sembahyang yang teratur dan seumpamanya.

Berdo‘alah tanpa putus-putus agar anak-anak sentiasa mendirikan sembahyang, antaranya dengan do‘a khusus yang dibaca oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm bagi anak-anak dan keturunannya agar sentiasa mendirikan sembahyang:

Tafsirnya: Ya Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang tetap mendirikan sembahyang dan (demikian juga) zuriat keturunanku. Ya Tuhan kami! Perkenankan do‘aku. (Surah Ibrahim: 40) Paling utama sebagai pemimpin keluarga adalah dengan menjadi contoh terbaik buat anak-anak. Melakukan sembahyang secara teratur dan mendirikannya pula di awal waktu serta menjadi imam ketika berjemaah adalah antara usaha yang boleh mendorong anak-anak untuk turut sama melakukan sembahyang. Contohilah junjungan besar kita, Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam memimpin dan mendidik keluarga dan umat Baginda. Baginda bukan sahaja contoh seorang pemimpin yang tegas, tetapi juga contoh seorang pendidik dan pembimbing yang kaya dengan kasih sayang, yang dengannya dapat memandu keluarga dan umat Baginda kepada jalan kejayaan dunia dan akhirat. Antaranya dalam perkara mendirikan sembahyang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14864

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص