Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأخلاق والآداب٠ مشاهدة

Jangan Abaikan Ibu Bapa Yang Lanjut Usia

الجواب

Anak merupakan amanah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang dipertanggungjawabkan kepada para ibu dan bapa. Ibu bapa yang mengetahui akan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka sememangnya akan berusaha sedaya upaya mengasuh, mendidik dan membimbing anak-anak mereka sehingga mereka menjadi orang yang berguna nanti setelah anak-anak itu dewasa sehingga mendirikan rumah tangga. Asuhan, didikan dan bimbingan yang baik daripada ibu bapa akan menjadikan anak-anak itu orang yang berguna dan bertanggungjawab. Kemudian setelah kedua-dua ibu bapa semakin tua dan lanjut usia, anak-anak pula yang akan memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka. Begitulah lumrah kehidupan yang silih berganti.

Apa yang menyedihkan, terdapat sebilangan anak-anak yang lupa akan pengorbanan yang telah ibu bapa lakukan itu. Tanggungjawab yang sepatutnya dipikul dengan penuh kesabaran menjadi satu bebanan yang membimbangkan mereka. Anak-anak seperti ini sesuai diibaratkan seperti pepatah melayu yang berbunyi “bagai kacang lupakan kulit”.

Perkara pengabaian ibu bapa khususnya ibu bapa yang berumur lanjut memang berlaku dalam masyarakat tidak terkecuali di negara kita Brunei Darussalam. Menurut statistik daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat Brunei terdapat sebanyak 22 kes pengabaian warga emas ataupun orang tua berlaku dalam tempoh lima tahun kebelakangan, iaitu dari tahun 2011 hingga 2015.

Definisi Warga Tua

Menurut Kamus Dewan, warga tua didefinisikan sebagai ahli keluarga yang sudah tua atau lanjut usia. Biasanya warga tua dapat dikesan melalui ciri-ciri fizikal seperti muka berkedut, badan lemah, penglihatan kabur dan sebagainya. Selain daripada itu, warga tua juga dapat dilihat daripada biologinya, sebagai contoh berlaku “menopause” kepada wanita dan “andropaus” kepada lelaki.

Pada usia ini, kebiasaannya mereka menghendaki dan memerlukan perhatian dan kasih sayang kerana tahap perkembangan usia mereka akan menurun ke tahap seperti kanak-kanak. Di Negara Brunei Darussalam, definisi warga emas adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, usia lanjut ialah batasan akhir umur di mana keadaan seseorang itu menjadi lemah sebagaimana keadaan di awal umur ketika masih kecil.

Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa yang Lanjut Usia

Apabila ibu bapa kita mencapai umur lanjut, adakalanya bermacam-macam kerenah yang kita hadapi sebagai seorang anak. Ada yang sikapnya semakin cerewet, ada juga yang semakin sensitif (mudah tersinggung perasaan), ada juga yang semakin hilang daya kewarasan dan sebagainya. Semua ini tidak syak lagi merupakan ujian atau dugaan yang amat besar kepada anak-anak.

Dalam sebuah hadits ada disebutkan bahawa seseorang anak akan dipandang hina dan tidak akan masuk syurga jika dia mencuaikan atau tidak berbuat baik kepada ibu bapanya yang sudah tua atau berumur lanjut. Ini jelas sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda:

Maksudnya: Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina.” Baginda ditanya: “Siapakah (yang hina itu) wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Orang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya ketika mereka dalam keadaan tua sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak masuk syurga.” (Hadits riwayat Muslim)

Sebagaimana dijelaskan oleh Imam an-Nawawi ketika mensyarahkan hadits di atas bahawa hadits tersebut mendorong anak-anak untuk berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa yang sudah lanjut usia dan ketika berkeadaan lemah dengan berbakti dan memberikan nafkah atau seumpamanya, kerana dengan berbuat demikian akan mendapat pahala yang besar dan dijanjikan masuk syurga. Namun jika anak-anak berbuat sebaliknya iaitu tidak berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa mereka maka akan dipandang hina oleh Allah Ta‘ala dan tidak akan dimasukkan ke dalam syurga.

Maka seorang anak hendaklah bersabar dalam membuat kebaikan dan berbakti kepada ibu bapa apatah lagi kepada ibu bapa yang berumur lanjut.

Ini kerana anak-anak tidak boleh melupakan dan menafikan jasa dan pengorbanan kedua-dua ibu bapa yang amat besar khususnya dalam membesarkan dan mendidik mereka. Jasa mereka tidak akan dapat dibalas walau dengan apa pun juga. Umpamanya pengorbanan ibu semasa melahirkan ada disebutkan dalam al-Qur’an sebagaimana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan Kami perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan susah payah. Sedang tempoh menghentikan penyusuannya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Apabila dia cukup dewasa dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, dia berdo‘a: “Ya Tuhanku! Kurniakanlah aku ilham supaya aku tetap bersyukur terhadap ni‘matMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amalan salih yang Engkau redhai dan kurniakanlah kebaikan kepadaku dengan (mengurniakan kebaikan) kepada zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri (kepadaMu).” (Surah al-Ahqâf: 15)

Bagaimana mungkin pengorbanan ibu sepertimana disebutkan di dalam ayat al- Qur’an di atas dapat dibalas oleh anak-anak. Oleh sebab itu, anak-anak wajib melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menjaga hak kedua-dua ibu bapanya apatah lagi ketika mereka sudah berumur lanjut sebagai membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak.

Antara tanggungjawab anak terhadap ibu bapanya termasuk ibu bapa yang sudah berumur lanjut ialah:

1. Berbuat baik kepada ibu bapa.

Tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa apatah lagi yang sudah berumur lanjut bukanlah berdasarkan adat atau kebiasaan yang diwarisi turun-temurun tetapi merupakan tuntutan syara‘. Islam menuntut supaya setiap orang berbuat baik kepada ibu bapa mereka.

Dalil perintah berbuat baik kepada ibu bapa yang sudah lanjut usia ini ada disebutkan dalam al-Qur’an, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman dalam surah al-Isrâ’:

Tafsirnya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya berumur lanjut dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah sekali-kali engkau mengatakan kepada kedua-duanya (sebarang perkataan yang boleh menyinggung perasaan seperti perkataan) “ah” dan janganlah engkau menengking kedua-duanya, tetapi ucapkanlah kepada kedua-duanya perkataan yang mulia (dengan berlemah-lembut dan bersopan-santun). Dan hendaklah engkau merendah diri dengan penuh kasih sayang dan berdo‘alah (untuk kedua-duanya): “Ya Allah! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku dari kecil (lagi).” (Surah al-Isrâ’: 23-24)

Dalam kitab tafsir al-Qurtubi menjelaskan bahawa jika salah seorang atau kedua-dua ibu bapa sudah berumur lanjut iaitu sudah tua dan berkeadaan lemah maka setentunya ketika inilah mereka lebih memerlukan jagaan atau pemedulian yang lebih banyak daripada sebelumnya sebagaimana halnya kanak-kanak yang sentiasa memerlukan belaian dan kasih sayang ketika masih dalam usia anak damit (kecil). Sebagai seorang yang beragama, bertanggungjawab dan prihatin serta mempunyai sifat kemanusiaan, kita mestilah menjaga kebajikan mereka kerana sememangnya mereka dalam usia yang lanjut tidak lagi berdaya menguruskan diri, dan tidak berkeupayaan dalam membuat kerja hariannya. Inilah masanya mereka sangat memerlukan anak-anak dalam menguruskan hari-hari mereka yang mendatang.

Sesuai dengan maksud perkataan “dalam jagaan atau peliharaanmu” dalam ayat al- Qur’an di atas memberikan gambaran betapa ibu bapa yang lanjut usia sangat memerlukan perlindungan dan belaian kasih sayang ketika mereka sudah tua dan dalam keadaan lemah sebagaimana dijelaskan dalam kitab tafsir al-Alusi.

Namun begitu, perlu diingat, perintah berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa bukan sahaja ketika mereka sudah berumur lanjut, bahkan ketika mereka belum sampai usia lanjut pun Allah Ta‘ala dan RasulNya, Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan untuk berbuat baik kepada mereka.

Ayat-ayat al-Qur’an yang memerintahkan untuk berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, antaranya ialah:

Tafsirnya: Dan (ingatlah wahai Nabi Muhammad) ketika Kami mengikat perjanjian dengan Bani Israel (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa …” (Surah al-Baqarah: 83)

Tafsirnya: Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan suatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa … (Surah an-Nisâ’: 36)

Tafsirnya: Katakanlah: “Marilah aku bacakan apa yang diharamkan oleh Tuhan kamu ke atas kamu, iaitu jangan kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa …” (Surah al-An‘âm: 151)

Dalam sebuah hadits, ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Apakah amalan yang lebih disukai Allah Ta‘ala? Rasulullah bersabda: “Sembahyang pada waktunya.” Beliau bertanya lagi: “Kemudian apa?” Rasulullah bersabda lagi: “Kemudian berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.” Beliau bertanya lagi: “Kemudian apa?” Rasulullah bersabda lagi: “Berjihad di jalan Allah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh yang demikian, tidak dinafikan lagi bahawa anak wajib berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa sebagaimana disebutkan dalam ayat-ayat al-Qur’an dan hadits di atas.

2. Berbahasa dengan lembut dan sopan.

Dalam menjaga ibu bapa yang sudah dalam keadaan tua atau uzur, anak-anak hendaklah berbahasa dengan bahasa yang lembut dan sopan santun dan jangan sekali-kali menyinggung perasaan mereka. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan yang mulia sebagaimana disebutkan dalam ayat al-Qur‘an tadi. Walau bermacam-macam kerenah yang mereka lakukan ketika dalam usia lanjut ini, anggaplah ia sebagai cubaan atau dugaan. Cubaan atau dugaan yang diterima dengan baik dan ikhlas setentunya akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. 3. Jangan menghina atau menengking.

Sebagaimana disebutkan sebelum ini, bahawa apabila ibu bapa sudah uzur atau mencapai umur lanjut, bermacam-macam kerenah yang dihadapi oleh anak-anak. Oleh itu, menjaga atau memelihara mereka dalam keadaan ini merupakan cubaan yang sangat mencabar.

Ada di antara mereka yang dapat bersabar dan ada juga yang tidak dapat bersabar dengan cubaan-cubaan sebegini dan mungkin juga ada yang sanggup menghina dan menengking. Sebagai contoh, umpamanya ketika mendapati mereka membuang air besar atau kencing maka janganlah mereka dicaci ketika membersihkan air kencing atau kotoran mereka dengan perkataan-perkataan yang buruk seperti mengatakan mereka pengotor ataupun sebagainya.

Ingatlah bahawa larangan menengking kedua-dua ibu bapa jelas disebutkan dalam al-Qur’an sebagaimana disebutkan sebelum ini yang tafsirnya “dan janganlah engkau menengking kedua-duanya”.

4. Mendo‘akan ibu bapa.

Antara tanggungjawab anak kepada kedua-dua ibu bapa ialah sentiasa mendo‘akan mereka dengan kebaikan dan memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka yang telah mereka lakukan.

Apabila anak-anak melihat ibu bapa mereka sudah lanjut usia, hendaklah mereka merendahkan diri mereka dengan rasa tawadhu‘ dan tidak melakukan perbuatan yang di anggap melampau kepada mereka dan menjaganya dengan penuh kasih sayang di samping mendo‘akan mereka. Antara do‘a yang boleh dibaca sebagaimana disebutkan dalam ayat al-Qur’an di atas ialah:

Tafsirnya: Ya Allah! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku dari kecil (lagi). (Surah al-Isrâ’: 24)

Anak-anak selain bertanggungjawab mendo‘akan ibu bapa ketika kedua-duanya masih hidup, mereka juga bertanggungjawab mendo‘akan ibu bapa setelah kedua-duanya sudah meninggal dunia. Ini kerana do‘a anak yang salih itu merupakan salah satu amalan yang tidak putus setelah ibu atau bapa meninggal dunia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila mati seseorang manusia maka terputuslah amalannnya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak saleh yang mendo‘akannya. (Hadits riwayat Muslim)

Sementara itu, perkara berbakti kepada kedua-dua ibu bapa setelah mereka meninggal dunia ini juga pernah ditanyakan kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Usaid Malik bin Rabi‘ah Assa‘idi Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Ketika kami duduk di sisi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, tiba-tiba datang seorang lelaki dari suku Bani Salamah lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah masih ada kebaikan yang dapatku lakukan untuk berbakti kepada kedua-dua orang tuaku setelah mereka meninggal dunia?” Rasulullah bersabda: “Ya ada, mengerjakan sembahyang ke atas kedua-duanya, meminta keampunan bagi kedua-duanya, memenuhi janji mereka yang belum terlaksana, menyambung tali persaudaraan yang dahulu biasa mereka lakukan dan menghormati sahabat-sahabat mereka.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadits di atas, selain mendo‘akan mereka, anak-anak hendaklah juga turut menyembahyangkan jenazah mereka, memenuhi janji mereka yang belum terlaksana, menyambung tali persaudaraan dan menghormati sahabat-sahabat mereka. Ini merupakan perkara kebaikan yang boleh dilakukan untuk berbakti terhadap orang tua.

5. Memberi nafkah.

Termasuk dalam tuntutan berbuat al-ihsan iaitu berbuat baik kepada ibu bapa juga ialah memberi nafkah kepadanya, hatta kepada ibu bapa yang bukan Islam.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. (Surah Luqman: 15)

Para ulama sepakat mengatakan bahawa anak wajib memberikan nafkah kepada kedua-dua ibu bapa yang tidak ada pendapatan atau tidak ada harta sebagaimana disebutkan oleh Ibnu al-Munzir Rahimahullâhu Ta‘âlâ.

Oleh itu, jika seorang anak mempunyai ibu bapa yang tidak mempunyai harta (fakir), ataupun tidak berdaya untuk mencari nafkah kerana sakit umpamanya, sedang anak itu mempunyai kemampuan dari segi harta ataupun mampu untuk mencari nafkah, maka dalam keadaan ini anak tersebut wajib memberi nafkah ibu bapanya itu.

Hatta jika ibu bapa yang fakir itu mampu untuk bekerja mencari nafkah, kewajipan memberi mereka nafkah tetap tertanggung ke atas anaknya yang mempunyai kemampuan harta atau kemampuan untuk bekerja mencari nafkah. Ini kerana anak-anak adalah diperintahkan untuk berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, dan adalah tidak patut jika ibu bapa dibebankan untuk bekerja mencari nafkah dalam keadaan mereka yang sudah lanjut umur dan lemah anggota badan.

Dalam konteks ibu bapa yang sudah lanjut usia, setentunya mereka tidak lagi mampu untuk mencari rezeki sendiri. Oleh itu, anak-anak bertanggungjawab untuk memenuhi segala keperluan serta mengurus segala kebajikan yang berkaitan dengan mereka.

Inilah antara beberapa tanggungjawab anak kepada ibu bapa.

Kedudukan Anak yang Berbakti kepada Orang Tua

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ada bersabda dalam sebuah hadits mengenai seorang sahabat yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah sehingga kisah sahabat itu telah dikhabarkan oleh Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada Sayyidina ‘Umar al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu. Orang yang dimaksudkan itu ialah Uwais bin ‘Amir Al Qarni Radhiallâhu ‘anhu.

Kisah Uwais bin ‘Amir al-Qarni Radhiallâhu ‘anhu boleh dijadikan i’tibar dan pengajaran kerana baktinya kepada orang tuanya. Dia mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah Ta‘ala dan merupakan salah seorang yang do‘anya mustajab sehingga Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri mengakuinya.

Kisahnya bermula daripada pertemuannya dengan ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu. Ketika ‘Umar bin al-Khaththab didatangi oleh serombongan pasukan dari Yaman, beliau pun bertanya kepada mereka: “Adakah di kalangan kamu yang bernama Uwais bin ‘Amir?” Sehinggalah ‘Umar bertemu dengan Uwais, lalu ‘Umar mendekati Uwais dan bertanya lagi: “Adakah engkau benar-benar Uwais bin ‘Amir?” Uwais pun menjawab: “Ya.” ‘Umar bertanya lagi: “Benar engkau dari Murad dan Qaran?” Uwais menjawab: “Ya.” ‘Umar bertanya lagi: “Adakah engkau memiliki penyakit kulit tetapi sudah sembuh kecuali hanya yang tinggal sebesar satu dirham?” Uwais menjawab: “Ya.” ‘Umar bertanya lagi: “Benar engkau mempunyai seorang ibu?” Uwais menjawab: “Ya.”

‘Umar berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Nanti akan datang seseorang bernama Uwais bin ‘Amir bersama serombongan kumpulan dari Yaman. Dia berasal dari Murad dan Qaran. Dia memiliki penyakit kulit kemudian sembuh daripadanya kecuali sebahagian kecil sebesar satu dirham. Dia ada seorang ibu dan dia sangat berbakti kepadanya. Seandainya dia berdo‘a kepada Allah, maka akan diperkenankan apa yang dipohonkannya. Jika engkau mampu agar dia mahu memintakan kepada Allah supaya engkau diampuni, mohonlah kepadanya supaya dia memohonkan keampunan kepada Allah bagimu.”

‘Umar pun bertanya pada Uwais: “Engkau hendak ke mana?” Uwais menjawab: “Kufah”. ‘Umar pun berkata: “Tidakkah engkau mahu aku menulis surat kepada penguasanya?” Uwais menjawab: “Aku lebih suka menjadi orang yang lemah (miskin).”

Tahun berikutnya, ada seseorang dalam kalangan orang-orang terhormat daripada mereka pergi berhaji dan dia bertemu ‘Umar. ‘Umar pun bertanya tentang Uwais. Orang yang terhormat tersebut menjawab, “Aku tinggalkan Uwais dalam keadaan rumahnya miskin dan barang-barangnya sedikit.” ‘Umar pun berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda (yang maksudnya):

“Nanti akan datang seseorang bernama Uwais bin ‘Amir bersama serombongan kumpulan dari Yaman. Dia berasal dari Murad kemudian dari Qaran. Dia memiliki penyakit kulit kemudian sembuh darinya kecuali sebahagian kecil sebesar satu dirham. Dia mempunyai seorang ibu dan sangat berbakti kepada ibunya. Seandainya dia berdo‘a kepada Allah, maka akan diperkenankan apa yang dipintanya. Jika engkau mampu agar dia meminta kepada Allah supaya engkau diampuni, mintalah kepadanya.”

Orang yang terhormat itu pun mendatangi Uwais, dia pun meminta kepada Uwais: “Mintalah keampunan kepada Allah untukku”. Uwais menjawab: “Bukankah engkau baru saja pulang dari safar yang baik (iaitu haji), mintalah keampunan kepada Allah untukku.” Orang itu mengatakan kepada Uwais: “Bukankah engkau telah bertemu ‘Umar?” Uwais menjawab: “Ya.” Uwais pun memintakan keampunan kepada Allah untuknya.

Orang lain pun tahu akan keistimewaan Uwais. Lantaran itu, dia mengasingkan diri menjauh daripada manusia.”

Hukum Anak yang Derhaka Kepada Kedua-dua Ibu bapa

Hukum derhaka kepada kedua-dua ibu bapa termasuk di antara dosa besar sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Seorang berbangsa Arab datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah apakah dia dosa besar?” Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Menyekutukan Allah.” Dia (orang Arab itu) berkata lagi: “Kemudian apa?” Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Kemudian menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa …” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, elakkanlah daripada membuat kedua-dua ibu bapa terguris hati, menangis kerana terluka. Sebab, salah satu di antara tanda-tanda seseorang anak itu tergolong sebagai orang yang derhaka kepada ibu bapanya ialah membuatkan hati mereka terluka sehingga menyebabkan mereka menangis. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Ertinya: Menyebabkan kedua-dua ibu bapa menangis termasuk antara perkara-perkara derhaka dan dosa-dosa besar. (Kitab al-Âdâb al-Mufrad)

Apa yang dimaksudkan dengan derhaka ialah apa sahaja perbuatan yang boleh menyinggung atau menyakiti hati kedua-dua ibu bapa. Begitu juga dikira derhaka jika anak tidak menurut perintah mereka. Ini kerana taat perintah kedua-dua ibu bapa hukumnya adalah wajib.

Sebagai kesimpulan, seorang anak perlu menyedari betapa seseorang ibu atau bapa itu memerlukan pertolongan atau bantuan anak-anak ketika mereka sudah berumur lanjut. Setiap anak-anak bertanggungjawab untuk sentiasa menghormati dan menjaga kebajikan kedua-dua ibu bapa mereka yang sudah berumur lanjut dengan memberikan kasih sayang dan memastikan kesempurnaan hidup mereka terjamin. Janganlah sesekali mengabaikan dan mensia-siakan hidup mereka. Hendaklah sentiasa mendo‘akan mereka agar mereka mendapat perlindungan dan rahmat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Ingatlah bahawa keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Keredhaan Tuhan (kepada hambaNya) terletak pada keredhaan bapa (begitu juga ibu bahkan lebih utama), manakala kemurkaan Tuhan (kepada hambaNya) adalah terletak pada kemurkaan bapa. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hadits di atas menjelaskan bahawa untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta‘ala, seorang anak perlu mendapatkan keredhaan kedua-dua ibu bapanya. Ini kerana mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa merupakan perintah Allah Ta‘ala.

Oleh itu, sesiapa yang mentaati kedua-dua ibu bapa maka dia telah mentaati Allah Ta‘ala dan siapa yang tidak menta‘ati kedua-dua ibu bapanya maka sesungguhnya Allah Ta‘ala akan murka kepadanya. Sesiapa yang derhaka kepada kedua-dua ibu bapanya hukumnya adalah berdosa besar.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14962

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص