Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام٠ مشاهدة

Puasa Orang Yang Hilang Akal

الجواب

Ibadat puasa yang wajib mahupun sunat adalah sah dilakukan bagi mereka yang sudah mukallaf, iaitu mereka yang beragama Islam, sudah bâligh dan berakal. Dengan erti kata lain, mukallaf adalah salah satu syarat sah puasa seseorang itu. Jika seseorang yang berpuasa itu murtad atau dia kanak-kanak yang belum mumayyiz, maka tidak sah puasa mereka.

Namun puasa orang yang hilang akal, hukum sah atau tidak puasanya adalah bergantung kepada sebab hilang akalnya.

Maksud Orang yang Berakal

Sepertimana yang telah diketahui, salah satu syarat sah puasa adalah berakal. Berakal menurut ulama bermaksud at-tamyîz iaitu mumayyiz, yang dapat membezakan di antara yang baik dan buruk. Ia juga bermaksud al-gharîzah, yang bermaksud tabiat, naluri dan kebolehan untuk memulakan percakapan dan mengemukakan pandangan.

Apabila seseorang itu hilang akal, maka hilanglah kemampuannya untuk membezakan di antara yang baik dan buruk, serta hilanglah juga kemampuannya untuk memulakan percakapan dan mengemukakan pandangan.

Sebab-Sebab Hilang Akal

Hilang akal boleh terjadi dengan sebab sakit atau dengan sebab kekurangan semula jadi. Hilang akal juga boleh terjadi dengan sebab yang disengajakan tanpa ada keperluan atau dengan sebab keperluan seperti berubat. Antara sebab-sebab seseorang itu hilang akal ialah:

1. Gila. 2. Pengsan. 3. Mabuk. 4. Tidur.

Puasa Orang yang Gila

Tidak sah puasa orang yang gila, sama ada puasa yang wajib mahupun sunat, selagi mana dia dalam keadaan gila kerana puasanya dianggap ketiadaan niat. Bahkan orang yang gila tidak diwajibkan ke atasnya untuk berpuasa berdasarkan hadits dan ijmâ‘ para Muslimin. Diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Ali bin Abu Thalib Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Diangkatkan (dibebaskan) dosa daripada tiga (golongan): Orang yang tidur sehingga dia sedar, kanak-kanak sehingga dia mimpi (bâligh) dan orang gila sehingga dia berakal. (Hadits riwayat Abu Daud)

Jika seseorang itu sedar daripada gilanya, maka tidak diwajibkan ke atasnya untuk mengqadha’ puasa Ramadhan yang telah luput waktunya semasa dia dalam keadaan gila, walaupun tempoh masa dia menjadi gila itu sekejap ataupun lama, walaupun dia sedar dari gilanya itu selepas bulan Ramadhan atau ketika bulan Ramadhan. Ini adalah pendapat madzhab asy-Syafi‘i dan juga pendapat jumhûr.

Jika seseorang itu sedang berpuasa, tiba-tiba menjadi gila pada ketika itu walaupun sekejap sahaja, maka puasanya menjadi batal. Ini kerana gila itu menggugurkan kewajipan dan keahlian untuk beribadat. Namun dia tidak diwajibkan untuk mengqadha’ puasanya.

Jika seseorang itu sedar daripada gilanya pada ketika bulan Ramadhan, iaitu ketika waktu berpuasa, disunatkan baginya untuk menahan diri daripada makan dan minum sepanjang waktu berpuasa sehingga berbuka bagi menghormati waktu Ramadhan. Namun, perkara ini tidaklah diwajibkan ke atasnya dan tidak juga dituntut.

Berlainan pula halnya jika seseorang itu menghilangkan akalnya secara sengaja dan melampaui batas tanpa ada hajat atau keperluan seperti meminum ubat atau menyuntik dadah yang menyebabkannya menjadi gila. Dalam keadaan ini, puasanya tetap batal dan dia diwajibkan untuk mengqadha’ puasanya yang wajib, Dia juga berdosa kerana perbuatannya membatalkan puasa itu.

Sama juga halnya jika dia dengan sengaja menghilangkan akalnya sehingga menjadi gila pada waktu malam dan berterusan keadaannya sehingga masuk waktu Shubuh, maka puasanya tetap tidak sah jika dia telah sedar daripada gilanya selepas masuk waktu Shubuh dan wajib ke atasnya mengqadha’ puasanya dan dia tetap berdosa dengan perbuatannya itu.

Gila bukanlah satu penyakit, ia hanyalah satu kekurangan dalam diri seseorang. Oleh kerana itu para Nabi ‘Alaihimussalâm semuanya bebas dan selamat daripada sifat gila.

Puasa Orang yang Pengsan

Jika seseorang itu hilang akal disebabkan pitam atau pengsan, maka tidak diwajibkan ke atasnya puasa pada ketika dia masih pengsan kerana tidak sah puasa ke atas orang yang pengsan. Jika dia sedar daripada pengsannya, wajib ke atasnya mengqadha’ puasa yang telah ditinggalkannya sepanjang dia pengsan. Ini adalah kerana pengsan adalah satu penyakit dan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah berfirman:

Tafsirnya: Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah dia berbuka, jika dia berbuka) maka wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah al-Baqarah: 184)

Namun, jika seseorang itu sedang berpuasa dan tiba-tiba pengsan pada suatu ketika di siang Ramadhan, puasanya adalah sah dengan syarat hendaklah dia sedar walaupun sekejap pada waktu puasa itu, iaitu setelah masuk waktu Shubuh dan sebelum masuk waktu Maghrib.

Jika seseorang itu telah berniat puasa pada malam Ramadhan dan dia pengsan sebelum Shubuh (sebelum masuk waktu puasa), namun tersedar sekejap pada waktu petang hari tersebut dan pengsan semula sehingga selepas waktu Maghrib, maka sah puasanya dan tidak diwajibkan ke atasnya qadha’ puasa tersebut kerana dia sempat sedar walaupun sekejap dan memenuhi syarat sah puasanya.

Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh ada menjelaskan:

Ertinya: [Dan pada pendapat yang azhhar] dan dalam (kitab) Raudhah ath- Thâlibîn (karangan al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh): Pendapat al-madzhab, [sesungguhnya pengsan itu tidak memudharatkan (puasanya) jika dia sedar sekejap sahaja dari siang harinya] iaitu (sedar) walaupun untuk seketika mengikut tempoh masa pengsan itu dari (tempoh) kesedarannya. Jika dia tidak sedar (dari siang harinya, maka puasanya) menjadi batal.

Bagaimanapun, jika seseorang itu pengsan secara sengaja dan melampau, seperti meminum ubat yang menyebabkan dirinya pengsan tanpa ada keperluan perubatan atau hajat, maka dia berdosa dengan perbuatannya itu, batal puasanya jika dia sedang berpuasa, dan wajib ke atasnya qadha’ puasa, walaupun pengsannya itu hanya seketika pada siang hari puasa. Sama juga halnya jika dia menghilangkan akalnya pada waktu malam secara sengaja dan pengsan sehingga masuk waktu puasa, dia tetap berdosa dan tidak sah puasanya.

Puasa Orang yang Mabuk

Hukum puasa orang yang mabuk adalah sama seperti hukum puasa bagi orang yang pengsan.

Jika pada waktu malam bulan Ramadhan, seseorang itu mabuk kerana perbuatan haram seperti meminum arak dan berterusan mabuknya sepanjang hari, maka tidak ada puasa baginya dan dia diwajibkan untuk mengqadha’ puasanya. Tambahan lagi, dia tetap berdosa kerana perbuatannya meminum arak itu.

Namun dalam keadaan ini, jika dia sedar dari mabuk walaupun sekejap di siang hari puasa, maka puasanya adalah dikira sah dan dia tidak perlu untuk mengqadha’ puasanya. Namun dia tetap berdosa atas perbuatannya meminum arak itu.

Walaubagaimanapun, jika dia dengan senghaja memabukkan dirinya sama ada dengan cara meminum arak (yang jelas batal puasanya dengan perbuatan meminum) ataupun dengan melakukan suntikan yang memberi kesan sampingan mabuk kepadanya, maka puasanya adalah batal walaupun jika dia sempat sedar di siang hari Ramadhan. Dia berdosa dengan perbuatannya dan dia diwajibkan untuk mengqadha’ puasanya.

Puasa Orang yang Hilang Akal Disebabkan Berubat

Orang yang sakit dibolehkan untuk meneruskan puasanya dengan syarat puasanya itu tidak memudharatkan dirinya atau mendatangkan bahaya kepadanya.

Jika seseorang itu meminum ubat atas tujuan perubatan pada waktu malam dan akibatnya dia tidak sedar atau hilang akal keesokan harinya sepanjang hari sama ada pengsan atau mempunyai kesan sampingan seperti mabuk dan hanya sedar setelah masuk waktu berbuka, maka puasanya adalah batal jika dia telah berniat untuk berpuasa. Namun dia tidaklah berdosa dengan perbuatannya dan dia diwajibkan untuk mengqadha’ puasanya.

Namun dalam keadaan yang sama, jika seseorang itu berubat lalu hilang akalnya dan dia sempat sedar walaupun sekejap pada siang hari Ramadhan, maka puasanya adalah sah jika dia telah berniat puasa di malam hari. Dia tidak perlu untuk mengqadha’ puasanya atas pendapat yang mu‘tamad.

Perlu diambil perhatian bahawa keadaan yang dijelaskan di atas adalah berlaku pada waktu malam.

Jika seseorang itu memasukkan sesuatu seperti ubat atau darah melalui urat besar ke dalam badannya ketika sedang berpuasa, maka batal puasanya walaupun jika dia tidak hilang akal, kerana darah itu akan sampai ke rongga perutnya dan seterusnya ke jantungnya dan darah itu akan diproses untuk sampai ke seluruh badan.

Begitulah juga batal puasa bagi pesakit yang disuntikkan air seperti air gelukos bagi tujuan mengenyangkan kerana air yang disuntikkan itu akan sampai ke perutnya, bahkan sampai ke perut besarnya dan ma‘idahnya iaitu tempat memproses makanan.

Sama juga halnya jika dia meminum ubat untuk tujuan melampau seperti ingin berkhayal, maka batal puasanya jika dia sedang berpuasa dan dia berdosa dengan perbuatannya itu serta wajib baginya untuk bertaubat dan mengqadha’ puasanya.

Puasa Orang yang Tidur

Puasa orang yang tidur adalah tetap sah walaupun jika dia tidur sepanjang waktu puasa dari waktu Shubuh hingga waktu Maghrib. Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh ada menjelaskan:

Ertinya: [Dan tidak memudharatkan (puasa bagi orang yang) tidur yang terlalu lena] (iaitu tidur) bagi sepanjang hari, [pada pendapat yang shahîh] kerana masih kekal keahliannya untuk beribadat.

Ini adalah kerana orang yang tidur itu lebih senang untuk dibangunkan daripada orang yang pengsan atau gila. Sebab, orang yang tidur itu akan sedar dan bangun jika dibangunkan dari tidurnya.

Namun perlu diingat bahawa puasanya hanya sah jika dia telah berniat untuk berpuasa sebelum dia tidur. Jika dia tidak berniat pada malam sebelumnya dan berterusan tidur sehingga esok pagi, maka puasanya tidak sah kerana tidak ada niat.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, orang yang gila tidak diwajibkan puasa dan tidak juga diwajibkan qadha’ puasa. Manakala puasa orang yang pengsan, mabuk dan pesakit yang berubat di waktu malam pula, jika mereka hilang akal sepanjang hari, tidak sah puasa mereka. Jika mereka sedar walau sekejap ketika waktu puasa, sah puasa mereka.

Orang yang pengsan, mabuk dan pesakit yang meminum ubat adalah diwajibkan untuk qadha’ puasa yang telah luput atau batal sepanjang mereka hilang akal. Manakala orang yang tidur seharian pula adalah tidak menjejaskan puasanya.

Namun, jika seseorang itu dengan sengaja menghilangkan akalnya dengan sebab yang diharamkan, seperti meminum arak atau meminum ubat tanpa ada keperluan, lalu dia menjadi mabuk atau pengsan, ataupun melakukan sesuatu yang menyebabkannya menjadi gila, maka dia adalah berdosa dan batal puasanya jika dia sedang berpuasa serta wajib ke atasnya qadha’ puasanya itu.

Jika dia hilang akal atas keperluan perubatan atau keuzuran yang dibenarkan syara‘, dia tetap wajib qadha’ puasa jika dia tidak sedar sepanjang hari dan tidak perlu qadha’ jika dia sedar walau sekejap pada siang hari puasa atas pendapat yang mu‘tamad. Tidaklah dia berdosa dengan perbuatannya yang menyebabkan dia hilang akal itu

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15267

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص