Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة٠ مشاهدة

Berniat Puasa Ketika Haidh Atau Nifâs: Adakah Sah Puasa?

الجواب

Suci daripada haidh dan nifâs adalah salah satu syarat wajib puasa. Menurut hukum yang disyariatkan, perempuan yang sedang mengalami haidh atau nifâs adalah diharamkan untuk melakukan ibadat puasa, bahkan tidak sah puasa jika dilakukan.

Sungguhpun demikian, keuzuran disebabkan haidh ataupun nifâs bukan suatu alasan untuk tidak menunaikan kewajipan puasa atau melengah-melengahkan kewajipan tersebut.

Perempuan yang mengalami haidh atau nifâs yang belum kering darahnya sehingga malam hari dan belum melakukan mandi wajib itu tidak semestinya terlepas peluang daripada menunaikan ibadat puasa pada keesokan harinya.

Syariat Islam ternyata teratur dan tidak membebankan. Perempuan yang mengalami haidh atau nifâs pada malam hari dan darahnya berhenti keluar sebelum terbit fajar tidak perlu menunggu waktu satu hari penuh untuk berada dalam keadaan suci daripada haidh dan nifâs bagi membolehkannya melakukan niat puasa. Perempuan tersebut boleh berniat untuk menunaikan puasa pada esok hari sekiranya niat dilakukan menepati ketetapan yang telah disyariatkan sebagaimana huraian berikut.

Wajib Berniat Puasa

Berniat untuk melakukan puasa adalah rukun puasa. Hukum berniat itu adalah wajib. Tidak sah puasa sama ada puasa wajib atau puasa sunat tanpa niat, kerana puasa adalah ibadat tersendiri sebagaimana juga ibadat sembahyang.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda di dalam sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu, bahawa sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda:

Maksudnya: Hanya amalan-amalan itu dengan niat dan hanya bagi setiap seorang itu apa yang diniatkannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Niat sah dilakukan pada keseluruhan malam hari iaitu bermula dari terbenam matahari hingga terbit fajar.

Tidak sah puasa seseorang jika niat dilakukan di luar waktu yang ditetapkan hatta sedetik sebelum terbenam matahari. Demikian juga jika niat dilakukan seiringan dengan terbit fajar.

Perlu diingat berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa yang dimaksudkan dengan malam hari itu adalah termasuk waktu selepas jam 12 tengah malam sehingga waktu sebelum terbit fajar iaitu sebelum masuk waktu subuh.

Berniat Puasa Ketika Haidh atau Nifâs

Khusus mengenai dengan perempuan yang mengalami haidh atau nifâs, jika darah haidh atau nifâsnya berhenti keluar pada malam hari atau sebelum lagi terbit fajar, dia boleh menunaikan puasa pada siang harinya dengan syarat dia berniat dalam tempoh waktu berniat di malam hari yang telah ditetapkan oleh syara‘ walaupun ketika dia berniat itu, darah haidh atau nifâsnya masih keluar.

Walau bagaimanapun, terdapat perkara yang perlu diambil perhatian berkenaan dengan berniat puasa ketika haidh atau nifâs sebagaimana beberapa keadaan atau permasalahan berikut:

1. Darah haidh atau nifas berhenti keluar pada malam hari dan genap tempoh maksima haidh atau nifâs.

Jika perempuan sedang haidh atau nifâs berniat untuk menunaikan puasa pada esok hari, sebelum darah haidh atau nifâsnya berhenti keluar dan darahnya itu berhenti pada malam hari dan genap tempoh maksima haidh iaitu lima belas hari ataupun genap tempoh maksima nifâs iaitu enam puluh hari, maka sah puasa dengan niat tersebut. Ini adalah kerana perempuan itu telah pasti bahawa hari esok dan berikutnya adalah dikira suci.

Niat perempuan itu juga tetap sah jika darah belum berhenti keluar. Ini kerana darah yang keluar melebihi tempoh maksima haidh atau nifâs itu ia adalah dihukumkan sebagai istihâdhah. Perempuan yang mengalami istihâdhah tidak dilarang menunaikan ibadat puasa, bahkan diwajibkan ke atasnya puasa.

Contoh:

i) Genap hari kelima belas haidh, selepas masuk waktu maghrib kira-kira jam 6:30 petang, Fatimah berniat untuk menunaikan puasa pada esok hari. Kemudian, darah haidhnya hanya berhenti keluar hampir waktu subuh iaitu kira-kira jam 4:30 pagi. Maka dengan niatnya itu, puasa Fatimah adalah sah walaupun niat dilakukan ketika darah haidhnya masih keluar.

ii) Genap hari kelima belas haidh, selepas masuk waktu maghrib kira-kira jam 6:30 petang, Fatimah berniat untuk menunaikan puasa pada esok hari. Kemudian, pada jam 7 pagi, darah haidhnya masih terus keluar dan melewati waktu terbit fajar. Maka dengan niatnya itu, puasa Fatimah tetap sah walaupun niat dilakukan ketika darahnya masih keluar. Ini adalah kerana dia sedang mengalami istihâdhah disebabkan darahnya keluar melebihi tempoh maksima haidh dan diwajibkan ke atasnya puasa.

2. Darah haidh atau nifas berhenti keluar pada malam hari dan genap tempoh kebiasaan haidh atau nifâs.

Jika perempuan sedang haidh atau nifâs berniat untuk menunaikan puasa pada esok hari, sebelum darah haidh atau nifâsnya berhenti keluar dan darahnya itu berhenti pada malam hari dan genap tempoh atau kadar kebiasaan haidh atau nifâsnya, walaupun tidak sampai tempoh maksima haidh atau nifâs, maka sah puasa dengan niat tersebut sebagaimana menurut pendapat al-ashah.

Ini adalah kerana pada zahirnya, kebiasaan itu berterusan ataupun konsisten, sama ada waktu kebiasaan itu benar-benar sama, umpamanya darah haidh berhenti keluar pada hari keenam setiap kali kitaran haidh berlaku, ataupun berlainan, akan tetapi masih sejajar ataupun teratur dan dia ingat akan waktu kitarannya itu.

Contoh:

i) Fatimah mengalami kitaran keluar darah haidh selama enam hari pada setiap bulan. Dia berniat untuk menunaikan puasa selepas masuk waktu maghrib pada jam 7 malam. Kemudian darah haidhnya berhenti keluar jam 11 malam setelah genap enam hari haidh. Maka dengan niat ini, puasa Fatimah adalah sah.

ii) Fatimah mengalami kitaran keluar darah haidh selama tiga hari pada bulan Muharram, empat hari pada bulan Safar, lima hari pada bulan Rabiulawwal. Kemudian berulang semula tempoh tersebut dengan teratur iaitu pada bulan Rabiulakhir darah haidh keluar selama tiga hari, empat hari pada bulan Jamadilawwal dan lima hari pada bulan Jamadilakhir. Demikian juga pada bulan seterusnya sehingga pada bulan Ramadhan, darah haidhnya berhenti keluar genap hari kelima haidh. Jika dia berniat pada hari kelima itu untuk menunaikan puasa setelah masuk waktu maghrib pada jam 7 malam, kemudian darah haidhnya berhenti keluar jam 11 malam sebelum lagi terbit fajar, maka dalam keadaan ini, puasa Fatimah adalah sah dengan niat tersebut kerana niat dilakukan genap hari kelima sebagaimana mengikut tempoh kitaran haidhnya yang berselisih akan tetapi tetap teratur dan konsisten. Puasa Fatimah juga sah dengan niat itu kerana dia tidak lupa akan waktu kitaran haidhnya.

iii) Fatimah mengalami kitaran keluar darah haidh selama enam hari pada setiap bulan. Jika dia telah berniat pada malam hari keenam (tempoh kebiasaan kitaran haidhnya), kemudian darah haidh masih terus keluar sehingga melewati waktu terbit fajar hari berikutnya iaitu hari ketujuh, maka dia tidak boleh menunaikan puasa pada hari ketujuh itu walaupun dia telah berniat puasa pada malam hari sebelumnya (tempoh kebiasaan kitaran haidhnya). Ini kerana dia masih di dalam keadaan haidh jika dia berpuasa pada siang hari ketujuh itu.

3. Tidak memiliki tempoh kebiasaan haidh atau nifâs dan tidak genap tempoh maksima haidh atau nifâs pada malam hari.

Jika perempuan sedang haidh atau nifâs berniat pada waktu malam untuk menunaikan puasa pada esok hari, sebelum darah haidh atau nifâsnya berhenti keluar, akan tetapi dia tidak memiliki tempoh kebiasaan haidh atau nifâs dan dia berniat pada waktu malam itu pula ketika dia belum lagi sampai tempoh maksima haidh atau nifâs, kemudian darahnya berhenti keluar sebelum waktu subuh, maka dalam hal ini puasanya tidak sah dengan niat tersebut. Ini kerana perempuan tersebut tidak pasti dengan niatnya dan dia tidak mempunyai sebarang asas atau tanda sebagai rujukan untuk membolehkannya berniat untuk berpuasa.

Contoh:

Fatimah baru pertama kali haidh. Darah haidh mula keluar pada 1 Ramadhan. Genap sepuluh hari, pada jam 7 malam setelah masuk waktu maghrib. Dia berniat untuk menunaikan puasa esok harinya. Pada jam 10 malam Darah haidhnya berhenti keluar. Dalam keadaan ini, puasa Fatimah tidak sah dengan niat tersebut kerana dia tidak pasti dengan niatnya dan niatnya itu tidak diasaskan kepada sebarang alamat atau tanda. Fatimah tidak memiliki tempoh kebiasaan haidh memandangkan dia baru pertama kali mengalami haidh. Dia juga berniat sebelum genap tempoh maksima haidh iaitu lima belas hari.

4. Memiliki tempoh kebiasaan haidh atau nifas yang berbeza-beza.

Jika perempuan sedang haidh atau nifâs berniat untuk menunaikan puasa pada esok hari, sebelum darah haidh atau nifâsnya berhenti keluar, kemudian darahnya berhenti akan tetapi dia memang memiliki tempoh haidh yang berbeza-beza sama ada kitarannya yang tidak teratur atau tidak berulang-ulang ataupun teratur akan tetapi dia lupa akan kitaran haidhnya atau lupa akan kitaran terakhirnya. Maka dalam keadaan ini, puasa perempuan itu tidak sah dengan niat tersebut. Ini adalah kerana dia tidak pasti dengan niatnya dan ia tidak diasaskan kepada sebarang tanda atau alamat.

Contoh:

i) Kitaran haidh Fatimah berbeza-beza pada kebiasaan dan kebanyakan waktu. Sebagai contoh, pada bulan Jamadilakhir, darahnya keluar selama enam hari bermula pada 10 haribulan. Dalam bulan Rejab pula, darahnya keluar selama sepuluh hari bermula pada 3 haribulan. Kemudian pada bulan Sya‘ban, darah mula keluar pada 25 haribulan dan berakhir 28 haribulan, iaitu selama empat hari. Pada bulan Ramadhan pula, darah keluar pada 1 haribulan. Pada bulan Ramadhan ini, Fatimah berniat untuk menunaikan puasa pada hari kelima haidh iaitu 5 haribulan ketika darah haidh masih keluar. Dalam keadaan ini, puasa Fatimah tidak sah dengan niat tersebut, walaupun dilakukan pada malam hari kerana Fatimah memiliki waktu dan tempoh haidh yang berbeza-beza pada setiap kali kitaran haidh berlaku dan niat dilakukan dengan tidak diasaskan kepada sebarang tanda atau alamat.

ii) Fatimah memiliki kitaran haidh yang berbeza tetapi masih teratur dan berulang-ulang. Pada bulan Muharram, darah haidh keluar selama tiga hari, kemudian empat hari pada bulan Safar dan lima hari pada bulan Rabiulawwal. Demikian kitaran seterusnya. Walau bagaimanapun, Fatimah lupa akan waktu dan tempoh kitaran haidhnya.

Genap lima hari bulan Ramadhan, Fatimah berniat pada jam 7 malam setelah masuk waktu maghrib untuk menunaikan puasa pada esok hari. Kemudian darah berhenti jam 11 malam. Dalam keadaan ini, puasa Fatimah tidak sah dengan niat tersebut kerana Fatimah tidak ingat dan tahu akan waktu atau tempoh kitaran haidhnya dan niat dilakukan dengan tidak diasaskan kepada sebarang tanda atau alamat.

5. Belum mandi wajib.

Sah puasa perempuan yang belum melakukan mandi wajib dengan syarat dia berniat pada malam hari dan darah haidh atau nifâsnya berhenti keluar pada malam hari atau sebelum terbit fajar.

Perkara ini ada disebutkan di dalam Minhâj ath-Thâlibîn bahawa apabila darah haidh atau nifâs berhenti keluar, maka tidak diharuskan ke atas setiap perempuan yang mengalaminya itu (melakukan) perkara yang diharamkan dengan sebab haidh atau nifâs sebelum mandi wajib dilakukan kecuali puasa dan thalaq.

Walau bagaimanapun, tidak sah puasa jika dilakukan tanpa berniat ataupun jika niat dilakukan di luar waktu yang ditetapkan. Begitu juga tidak sah puasa, jika darah haidh atau nifâs berhenti keluar selepas terbit fajar. Contoh:

Fatimah berniat puasa selepas masuk waktu maghrib, umpamanya pada jam 7 malam setelah genap hari ketujuh haidh. Dia memiliki kitaran haidh yang teratur dan memiliki tempoh kebiasaan haidh tujuh hari. Darah haidhnya berhenti keluar pada jam 4 pagi sebelum terbit fajar. Maka dalam keadaan ini puasa Fatimah sah dengan niat tersebut walaupun dia belum melakukan mandi wajib dan mandi setelah terbit fajar.

Demikian beberapa penjelasan berkenaan berniat puasa ketika haidh atau nifâs. Terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui. Ternyata perempuan haidh atau nifâs boleh melakukan puasa pada esok hari walaupun darah haidh atau nifâs masih keluar pada malam hari dengan syarat melakukan niat dengan menepati kehendak syara‘ sebagaimana yang telah dijelaskan. Sementara itu, puasa juga sah dilakukan jika seorang perempuan belum mandi wajib. Walaupun demikian, perkara tersebut bukan alasan untuk melengah-lengahkan daripada mandi wajib, kerana dengan melengahkannya, ibadat lain boleh terjejas seperti dikhuatiri waktu sembahyang akan luput dan terlepas peluang memperbanyak membaca al-Qur’an di bulan Ramadhan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15263

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص