Hukum Bertepuk Tangan
الجواب
Menurut Kamus Dewan, bertepuk tangan bermaksud satu perbuatan mengadakan bunyi dengan menamparkan kedua-dua telapak tangan. Ia biasanya dilakukan atas sebab-sebab tertentu antaranya kerana kagum, gembira, suka hati, tanda setuju, tanda penghormatan dan sebagainya.
Seimbas pandang, perbuatan bertepuk tangan mungkin dianggap satu tabiat biasa dan perbuatan semula jadi manusia sahaja. Akan tetapi, pada hakikatnya, bertepuk tangan ada hukum-hakamnya yang tersendiri, di mana menurut syara‘ ada kalanya ia dibolehkan dan ada kalanya pula ia dilarang. Bahkan ada ketikanya pula bertepuk tangan itu diharamkan.
Bertepuk Tangan yang Dibolehkan
1. Dalam perkara ibadat.
(i) Peringatan kepada kesilapan imam dalam sembahyang.
Sunat atas perempuan untuk menepuk tangan dalam sembahyang untuk memberi peringatan kepada imam yang terlupa atau melakukan kesilapan dalam sembahyang. Perbuatan ini, yang dikenali dengan istilah tashfîq, dituntut dan dinilai sunat bagi perempuan sahaja walaupun pada ketika itu mereka hanya mendirikan sembahyang sesama jemaah perempuan sahaja. Adapun sebab ia dinilai sunat adalah kerana bertepuk tangan dalam perkara ini merupakan satu taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Bertepuk tangan (tashfîq) ini hanya boleh dilakukan dengan cara-cara berikut:
(a) Menepukkan tapak tangan kanan ke belakang tangan kiri. (b) Menepukkan belakang tangan kanan ke tapak tangan kiri. (c) Menepukkan belakang tangan kanan ke belakang tangan kiri. (d) Menepukkan belakang tangan kiri ke tapak tangan kanan. (e) Menepukkan tapak tangan kiri ke belakang tangan kanan. (f) Menepukkan belakang tangan kiri ke belakang tangan kanan.
Perbuatan ini, jika dilakukan kerana tuntutan syara‘ serta ada keperluan yang membolehkannya, maka ia tidak membatalkan sembahyang walaupun dilakukan dengan banyak serta berturut-turut sepertimana pendapat yang terpilih dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj dan Mughni al-Muhtâj. Ini kerana menurut ulama, perbuatan tersebut dinilai sebagai perbuatan yang khafîf (ringan) sahaja. Ia juga tidak membatalkan sembahyang walaupun ia dilakukan oleh lelaki.
Adapun bagi lelaki pula, jika imam terlupa atau melakukan kesilapan dalam sembahyang, mereka tidak disunatkan melakukan tashfîq. Akan tetapi mereka disunatkan mengucapkan tasbîh dengan meniatkan bacaan tasbîh itu sebagai membaca zikir dan tujuan memberi ingat.
(ii) Peringatan terhadap perkara yang dibolehkan dalam sembahyang.
Orang yang sedang mendirikan sembahyang diharuskan untuk memberi peringatan terhadap sesuatu perkara yang dibolehkan syara‘. Contohnya, sebagai isyarat memberi keizinan masuk terhadap orang yang meminta izin atau sebagai amaran terhadap seseorang daripada berlaku ke atasnya suatu musibah atau bahaya.
Kaifiyyah memberi peringatan ini berbeza di antara lelaki dengan perempuan. Bagi perempuan, disunatkan untuk menepuk tangan dengan cara yang disebutkan sebelum ini. Adapun bagi lelaki pula, mereka disunatkan mengucapkan tasbîh sepertimana halnya dalam perkara mengingatkan imam yang terlupa atau melakukan kesilapan dalam sembahyang.
Hukum memberi peringatan ini pula tertakluk kepada hukum asal perkara yang diingatkan atau diisyaratkan itu sendiri. Contohnya seperti berikut:
a) Ia boleh menjadi harus jika peringatan itu berupa perkara yang harus umpamanya memberi izin terhadap seseorang untuk masuk ke rumah, ke bilik atau sebagainya.
b) Ia juga boleh dihukumkan wajib jika menepuk tangan itu sebagai peringatan terhadap perkara yang wajib seperti memberi peringatan atau amaran kepada orang buta jika ditakuti akan berlaku bahaya ke atasnya.
c) Ia juga boleh menjadi haram jika menepuk tangan itu sebagai peringatan terhadap perkara yang haram seperti memberi isyarat kepada seseorang untuk membunuh seseorang yang lain tanpa hak atau mencuri barang orang lain. d) Ia boleh menjadi makruh jika menepuk tangan itu sebagai peringatan terhadap perkara yang makruh seperti memberi isyarat kepada seseorang untuk melihat kepada sesuatu yang makruh dilihat.
Khusus dalam hal-hal peringatan yang wajib, sekiranya peringatan, isyarat atau amaran dengan bertepuk tangan atau tasbîh itu tidak berhasil, wajib dia memberikan peringatan dengan apa jua cara sekalipun walaupun terpaksa melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan sembahyang seperti berteriak atau melakukan pergerakan yang membatalkan sembahyang. Walau bagaimanapun, sembahyangnya tetap dianggap batal walaupun perbuatan yang dilakukannya itu hukumnya wajib.
Dalam kedua-dua hal di atas, sama ada sebagai peringatan kepada imam atau sebagai peringatan atas perkara-perkara yang dibolehkan, sekiranya lelaki yang menepuk tangan atau perempuan yang mengucap tasbîh, harus hukumnya dan tidak batal sembahyang. Bagaimanapun, yang demikian itu, walaupun tidak makruh, ia dinilai berlawanan dengan sunnah.
2. Di luar perkara ibadat.
Memberi tepukan sebagai salah satu corak penghormatan, penghargaan, pujian dan sebagainya terhadap seseorang atau apa sahaja yang dipersembahkan dalam satu majlis contohnya, adalah satu perbuatan yang dibolehkan dan tidak ditegah syara‘.
Ini kerana ia merupakan satu cara melahirkan rasa kagum atau penghargaan. Ini dengan syarat tepukan tersebut diberikan dalam perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan dan bukannya dalam perkara-perkara yang mengandungi kemungkaran atau perbuatan haram.
Bertepuk Tangan yang Tidak Dibolehkan
1. Dalam perkara ibadat.
(i) Menjadikan bertepuk tangan sebagai satu amalan atau bentuk ibadat
Dalam perkara ibadat, bertepuk tangan hanya dibolehkan dalam ibadat sembahyang bagi perempuan atas tujuan taqarrub untuk memberi peringatan kepada imam. Ia juga diharuskan dalam sembahyang bagi tujuan memberi peringatan lain yang diharuskan oleh syara‘.
Adapun perbuatan bertepuk tangan selain tujuan di atas, jika dilakukan sebagai satu amalan atau bentuk ibadat, hukumnya adalah haram kerana ia menyerupai kaum musyrikin.
Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Anfâl ayat 35:
Tafsirnya: Dan tiadalah sembahyang mereka di sekitar Baitullah itu melainkan hanyalah siulan dan tepukan tangan. Oleh itu rasakanlah azab disebabkan kekufuran kamu itu. (Surah al-Anfâl: 35)
Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ berkata bahawa kaum Quraish Jahiliyyah melakukan thawaf di Baitullah dalam keadaan bertepuk tangan, bersiul dan tidak berbaju. Menurut sangkaan mereka, perbuatan mereka itu adalah satu ibadat.
(ii) Menepuk kedua-dua telapak tangan dalam sembahyang.
Menepuk tangan dalam sembahyang hanya dibolehkan dengan enam cara yang telah disebutkan sebelum ini. Adapun menepuk kedua-dua telapak tangan, iaitu menepuk tapak tangan kanan ke tapak tangan kiri atau sebaliknya, haram dilakukan dalam sembahyang kerana ia dianggap bermain-main. Jika dilakukan juga dengan sengaja sedangkan orang itu tahu akan keharamannya, maka batal sembahyangnya.
(iii) Menepukkan tangan dalam sembahyang tanpa apa-apa tujuan atau dengan tujuan bermain-main.
Menepukkan tangan tanpa apa-apa tujuan atau dengan tujuan bermain-main dalam sembahyang juga ditegah, walaupun tepukan itu dilakukan dengan cara-cara yang dibolehkan. Jika dilakukan dengan sengaja sedangkan orang itu tahu akan keharamannya, maka batal sembahyangnya. Ini sama hukumnya sama ada ia dilakukan oleh lelaki atau perempuan.
2. Di luar perkara ibadat.
(i) Bertepuk tangan untuk bermain-main tanpa apa-apa hajat dan keperluan sehingga leka dan lalai.
Hal ini dinilai makruh oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dan dinilai haram oleh beberapa ulama lain, antaranya Imam ar-Ramli Rahimahullâh.
(ii) Haram jika dilakukan oleh lelaki dengan tujuan menyerupai perempuan.
(iii) Bertepuk tangan sebagai pujian serta penghargaan terhadap satu perbuatan maksiat atau sebagai saranan supaya membuat perkara yang haram.
(iv) Bertepuk tangan di masjid.
Perbuatan bertepuk tangan di masjid adalah satu perbuatan yang ditegah dalam syara‘ sekalipun kerana hendak memberi penghargaan kepada penceramah dan seumpamanya.
Ini kerana masjid merupakan tempat yang suci yang perlu dipelihara daripada apa jua bentuk gangguan, sehinggakan berdo‘a dan berzikir dengan suara nyaring dalam masjid pun adakalanya dihukumkan makruh malah boleh membawa kepada haram jika boleh mengganggu orang yang berada di dalam masjid.
Bertepuk tangan dalam masjid tidak syak lagi merupakan satu perbuatan yang mendatangkan gangguan sekiranya dilakukan dalam masjid dan boleh menjejaskan kehormatan masjid yang sepatutnya berkeadaan hening, bukannya hingar-bingar dan tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara keduniaan serta perkara-perkara melekakan.
Sekiranya seseorang menepukkan kedua-dua telapak tangannya dalam masjid tanpa apa-apa hajat dan keperluan, maka hukumnya adalah haram sepertimana pendapat yang dinukilkan oleh Imam asy-Syibramalissi Rahimahullâh.
Demikian penjelasan mengenai hukum bertepuk tangan. Mudah-mudahan penjelasan ini akan meningkatkan lagi ilmu dan kefahaman kita mengenai hukum-hakam syariat Islam khususnya mengenai hukum bertepuk tangan.
Khusus mengenai perbuatan bertepuk tangan apabila melihat suatu yang disukai dan dikagumi, walaupun ia diharuskan, adalah lebih elok untuk mengucapkan tasbîh atau takbîr kerana ini lebih menepati akhlak Islam. Ini kerana adalah lebih wajar kekaguman itu diungkapkan dengan puji-pujian dan zikir terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Selain dapat mengungkapkan penghargaan sesama manusia, kita juga mendapat pahala berzikir memuji keagungan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15367
دليل الألوان
