Meninggalkan Sembahyang Fardhu Jumaat Kerana Pelayaran
الجواب
Sembahyang fardhu Jumaat adalah diwajibkan (fardhu ‘Ain) ke atas setiap lelaki Islam yang merdeka, bâligh, berakal, bermuqîm dan tidak ada keuzuran. Pensyariatan sembahyang fardhu Jumaat disebutkan dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Jumu‘ah, ayat 9:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat maka pergilah kamu (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika benar kamu mengetahui. (Surah al-Jumu‘ah: 9)
Jika orang yang diwajibkan ke atasnya mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat meninggalkan kewajiban tersebut maka hukumnya adalah haram dan berdosa besar melainkan orang yang ada keuzuran syara‘ seperti sakit yang menghalangi untuk pergi ke masjid, orang yang dipenjara (dikurung), sibuk kerana menguruskan mayat dan begitu juga orang yang dalam pelayaran.
Keharusan untuk tidak mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat bagi orang yang dalam pelayaran itu tertakluk kepada tujuan pelayaran itu sendiri. Sekiranya tujuan pelayaran itu kerana perkara yang diharuskan oleh syara‘ (mubâh) seperti seseorang yang belayar kerana urusan perniagaan atau kerana perkara ketaatan, sama ada ibadat wajib seperti menunaikan ibadat haji atau ibadat sunat seperti menziarahi maqam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, dia adalah termasuk dalam golongan orang yang mendapat rukhshah untuk tidak mengerjakan
Sekiranya tujuan pelayaran itu kerana perkara maksiat seperti seseorang yang belayar untuk minum arak, mencuri atau seumpamanya, dia adalah tidak termasuk dalam golongan orang yang mendapat rukshah tersebut.
Selain dari aspek tujuan pelayaran, keharusan untuk tidak mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat itu akan tertakluk juga kepada waktu pelayaran itu dimulakan. Maka berikut adalah huraiannya:
1. Belayar pada hari Jumaat selepas tergelincir matahari.
Memulakan pelayaran pada hari Jumaat selepas tergelincir matahari hukumnya adalah haram kerana telah masuk waktu untuk mengerjakannya. Walau bagaimanapun, memulakan pelayaran pada hari Jumaat selepas tergelincir matahari tidak dihukumkan haram dalam keadaan berikut:
a. Jika kuat sangkaannya bahawa dia dapat mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat di tempat yang hendak ditujunya atau kuat sangkaannya yang dia dapat mengerjakannya di mana-mana tempat sembahyang fardhu Jumaat didirikan dalam perjalanannya, maka tidak haram dia memulakan pelayaran pada hari Jumaat selepas tergelincir matahari.
Namun keadaan ini juga tertakluk kepada ketiadaannya itu tidak akan mengurangkan bilangan empat puluh orang ahli Jumaat di tempat atau perkampungannya. Jika ini berlaku, maka haram juga baginya memulakan pelayaran selepas tergelincir matahari walaupun dia dapat mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat di tempat yang hendak ditujunya atau di mana-mana tempat sembahyang fardhu Jumaat didirikan dalam perjalanannya kerana ketiadaannya itu akan menjadikan orang lain tidak dapat mendirikan
b. Jika seseorang itu khuatir akan mudharat kerana ditinggalkan oleh rombongannya yang telah keluar sebelum fajar, maka tidak haram dia memulakan pelayaran pada hari Jumaat selepas tergelincir matahari.
c. Jika ada sesuatu yang mewajibkan seseorang itu melakukan pelayaran seperti wuqûf di ‘Arafah atau menyelamatkan harta ataupun menyelamatkan para tahanan, maka tidak haram bahkan wajib memulakan pelayaran walaupun selepas tergelincir matahari.
2. Belayar pada hari Jumaat selepas terbit fajar dan sebelum tergelincir matahari.
Memulakan pelayaran pada hari Jumaat selepas terbit fajar dan sebelum tergelincir matahari hukumnya adalah juga haram kerana siang hari Jumaat itu masuk dengan terbit fajar. Walau bagaimanapun, memulakan pelayaran pada hari Jumaat selepas terbit fajar dan sebelum tergelincir matahari tidak dihukumkan haram jika keadaan orang yang belayar itu sama dengan keadaan-keadaan yang telah disebutkan di atas dalam memulakan pelayaran pada hari Jumaat selepas tergelincir matahari.
3. Belayar pada malam Jumaat sehingga sebelum terbit fajar.
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh, hukum asal bagi memulakan pelayaran pada malam Jumaat adalah harus. Walau bagaimanapun, hukum tersebut akan menjadi makruh sekiranya dia berbuat demikian kerana hendak meninggalkan kewajiban mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.
Walaupun orang yang dalam pelayaran yang disebutkan di atas diberikan rukhshah untuk tidak mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat, namun dia tetap wajib mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur kerana itulah yang fardhu baginya. Orang yang diberikan rukhshah untuk tidak mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat boleh memilih sama ada mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur ataupun sembahyang fardhu Jumaat. Jika dia mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat, maka sembahyang Jumaat tersebut adalah memadai bagi sembahyang Zhuhurnya.
Berdasarkan penjelasan di atas jelaslah bahawa tidak semua pelayaran mengharuskan kita untuk tidak mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat kerana ada juga situasi pelayaran yang mengharamkan kita meninggalkan sembahyang Jumaat walaupun kita dalam pelayaran. Begitulah penjelasan mengenai keharusan meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat kerana pelayaran.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15540
دليل الألوان
