Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳العقيدة٠ مشاهدة

Ramalan Zodiak

الجواب

Pada masa kini, ramalan bersandarkan zodiak yang berbentuk ramalan personaliti dan nasib kehidupan seseorang sering terpapar di media-media massa seperti majalah, internet dan bahkan melalui aplikasi muat turun yang lebih mudah diakses.

Ramalan zodiak itu diperolehi bersandarkan 12 nama zodiak mengikut tarikh lahir seperti mereka yang lahir pada 21 Disember hingga 19 Januari, nama zodiaknya ialah Capricorn dan mereka yang lahir pada 20 Januari hingga 18 Februari, nama zodiaknya ialah Aquarius. Berdasarkan setiap zodiak tersebut terbit bermacam-macam ramalan sama ada berupa nasib baik ataupun buruk seperti sesiapa yang tergolong dalam zodiak sekian, pada bulan sekian akan menyaksikan penghasilan wang tambahan yang cukup besar jumlahnya dalam kewangan mereka ataupun mempunyai sifat penyayang dan sebagainya. Sebahagian orang merasa ramalan zodiak itu tepat menggambarkan perwatakan mereka dan merasa apa yang diramal itu benar-benar terjadi kepada mereka sehingga mempercayainya dan menjadikannya sebagai motivasi diri.

Ramalan zodiak juga mempengaruhi sebahagian orang sehingga menyebabkan seseorang itu merasa bimbang berlaku perkara buruk terhadap dirinya. Persoalannya, apakah pandangan syara‘ tentang ramalan zodiak?

Menurut Kamus Dewan, zodiak ialah garisan melengkung khayalan di langit yang terbahagi kepada 12 bahagian dan tiap-tiap satunya dinamakan mengikut nama gugusan bintang dua belas, mintakulburuj. Zodiak juga bermaksud gambar rajah mintakulburuj yang digunakan dalam ilmu nujum. Nama zodiak atau gugusan bintang dua belas itu ialah Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagittarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces.

Dalam Illustrated Oxford Dictionary dinyatakan bahawa zodiak pada asalnya adalah alat untuk mengukur waktu. Akan tetapi pada abad ke-5 sebelum Masihi, zodiak telah dikaitkan dalam usaha untuk menentukan perwatakan dan meramal masa depan. Pakar astrologi masih menggunakan zodiak bagi menaksir tujuan dalam kehidupan manusia dari segi emosi dan fizikal meskipun tidak ada bukti ilmiah tentang keshahîhannya.

Astrologi ialah ilmu nujum (ilmu peramalan sesuatu berdasarkan kajian bintang-bintang). Dari segi istilah fiqh, ilmu yang berkaitan dengan peramalan sesuatu berdasarkan kajian bintang-bintang ini disebut at-tanjîm iaitu ilmu yang menyimpulkan petunjuk terhadap kejadian-kejadian atau peristiwa-peristiwa yang terjadi di bumi berdasarkan bentukan dan susunan orbit atau cakerawala.

Ilmu nujum yang dibahaskan di sini ialah ilmu nujum yang menjurus kepada ramalan zodiak yang ada kaitan dengan menentukan perwatakan dan meramal masa depan kehidupan seseorang. Dari sudut pandangan Islam, mengetahui perkara-perkara ghaib adalah khusus bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan tidak diketahui oleh seorang pun melainkan Dia. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan di sisi Allah jualah kunci-kunci perbendaharaan (perkara-perkara) yang ghaib, tidak ada sesiapa pun yang mengetahuinya melainkan Dia. Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut. Dan tidak sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya dan tidak sebutir biji pun yang berada dalam kegelapan bumi dan tidak (pula) sesuatu yang basah dan tidak (juga) yang kering melainkan (semuanya tertulis) di dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfûzh). (Surah al-An‘âm: 59)

Dalam ayat yang lain, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Sesungguhnya di sisi Allah sahajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat, dan Dialah yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui apa yang akan diusahakannya esok dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti. (Surah Luqman: 34)

Dalam satu riwayat daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah menyebut tentang kedudukan orang yang mempelajari ilmu nujum sebagaimana sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Sesiapa memperolehi (mempelajari) suatu ilmu daripada ilmu nujum, dia telah memperolehi (mempelajari) satu cabang daripada ilmu sihir (yang) bertambah (ilmu sihir itu) bilamana bertambah (ilmu nujum). (Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits di atas memberi peringatan bahawa semakin seseorang itu menambah ilmunya daripada ilmu nujum yang dilarang seperti membuat ramalan dengan mendakwa dia mengetahui apa yang akan belaku pada esok hari, dia seolah-olah menambah ilmunya daripada ilmu sihir. Hukum asal ilmu sihir adalah haram dan menambah ilmu sihir adalah lebih berat keharamannya. Demikian juga menambah ilmu nujum.

Berdasarkan penjelasan di atas, ilmu nujum yang berbentuk ramalan tentang kejadian yang belum berlaku dan mungkin akan berlaku pada masa akan datang adalah salah satu bentuk tenungan atau tilikan yang disebut di dalam bahasa Arab sebagai kahânah. Orang yang mendakwa dapat membaca perkara-perkara ghaib, menyampaikan khabar mengenai kejadian-kejadian yang bakal berlaku pada hari kemudian dan mendakwa mengetahui semua rahsia-rahsia disebut sebagai kâhin.

Terdapat beberapa hadits mengenai larangan mendatangi kâhin dan mempercayainya. Antaranya daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang mendatangi ‘arrâf (tukang tilik) atau kâhin lalu mempercayai apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia telah mengingkari apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. (Hadits riwayat al-Hakim)

Ibn al-Atsir Rahimahullâh menyebut bahawa sesiapa yang mendatangi kâhin itu juga mengandungi maksud mendatangi ‘arrâf (tukang tilik) dan ahli nujum. Imam al-Khathabi Rahimahullâh dalam kitabnya Ma‘âlim as-Sunan menyebut bahawa ahli nujum juga dipanggil kâhin. Hadits tentang larangan mendatangi kâhin merangkumi larangan mendatangi ‘arrâf dan ahli nujum, mempercayai mereka dan merujuk kepada kata-kata mereka. Oleh itu, hukum mempercayai ahli nujum sama seperti hukum mempercayai kâhin.

Dalam hadits lain, Rasulullah Shallallâhu alaihi wa sallam memberi peringatan akan akibat perbuatan mendatangi ‘arrâf dan yang seumpamanya seperti ahli nujum. Orang tersebut tidak akan diberi ganjaran pahala daripada sembahyang yang dilakukannya selama empat puluh malam sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Sesiapa yang mendatangi ‘arrâf lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, (maka) tidak diterima baginya sembahyang (selama) empat puluh malam (hari). (Hadits riwayat Muslim)

Mengamalkan ilmu nujum yang dilarang dan mendatangi ahli nujum juga termasuk dalam dosa-dosa besar. Sesiapa yang mengakui mempunyai pengetahuan tentang kejadian yang akan datang bersandarkan kepada peredaran bintang-bintang, pertemuan dan perpisahan jalurnya serta kemunculannya pada sebahagian waktu sedangkan ilmu itu khusus bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka dia dikira fâsiq bahkan boleh membawa kepada kekufuran. Adapun sesiapa yang mengatakan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang menjadikan pertemuan dan perpisahan jalur bintang sebagai tanda, sesuai dengan apa yang ditetapkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, bahawa ini dan itu akan berlaku dan kadang-kadang tidak berlaku, maka dia tidak berdosa. Demikian juga maklumat yang diketahui dengan cara pengamatan yang diketahui dengannya waktu zawâl, arah qiblat, berapa banyak masa yang telah berlalu dan berapa baki masa yang ada, maka tidak berdosa bahkan ia adalah fardhu Kifayah.

Oleh yang demikian, orang-orang Islam hendaklah berwaspada daripada apa juga kegiatan menilik perkara-perkara ghaib dan meramal perkara-perkara yang akan berlaku seperti ramalan zodiak kerana ia termasuk dalam ilmu sihir. Selain daripada haram mengamalkan ilmu nujum dan mendatangi ahli nujum, belajar dan mengajarkannya kepada orang lain juga adalah haram. Demikian juga haram memberi atau menerima sesuatu sebagai ganti seperti memberi upah kepada ahli nujum untuk meramal nasib dalam kehidupan yang akan datang.

Adapun jual beli buku-buku yang mengandungi ilmu nujum, menurut hukum syara‘, jual beli buku-buku ilmu nujum yang terdapat di dalamnya kenyataan bahawa apabila muncul bintang sekian maka akan berlaku sekian dan tidak berdasarkan pengamatan dan kebiasaan adalah tidak sah.

Demikian penjelasan tentang pandangan Islam mengenai ramalan zodiak.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15872

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص