Ma’mum Sembahyang Seorang Diri Di Belakang Shaf
الجواب
Antara perkara yang mesti diambil perhatian oleh imam dan para jemaah ialah meluruskan shaf sembahyang sebelum sembahyang berjemaah dimulakan. Meluruskan shaf sembahyang hukumnya adalah sunat, manakala meninggalkan atau mengabaikan tuntutan ini hukumnya adalah makruh. Bagi memastikan shaf itu lurus, sunat ke atas imam menyeru para ma’mum supaya meluruskan shaf sebelum dia melakukan takbîratul-ihrâm. Sunat juga ke atas ma’mum menyuruh ma’mum yang dilihatnya belum meluruskan shaf supaya meluruskan atau merapatkan shafnya.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘, maksud meluruskan shaf itu ialah menyempurnakan atau memenuhkan shaf satu persatu bermula dari shaf pertama terlebih dahulu dan mengisi ruang kosong atau bahagian yang renggang di antara ma’mum dalam shaf, meluruskan barisan ma’mum sekira-kira ma’mum yang berdiri di dalam shaf itu tidak berdiri lebih ke hadapan atau terkebelakang daripada ma’mum yang berada di sampingnya dan tidak memulakan shaf yang seterusnya melainkan shaf yang di hadapan telah diisi.
Sayyid ‘Abdurrahman Ba‘alawi Rahimahullâh dalam kitabnya Bughyah al-Mustarsyidin ada menukil perkataan Imam al-‘Allâmah ‘Abdullah al-Husin Bafaqih Rahimahullâh yang menyatakan bahawa termasuk dalam tuntutan sunat meluruskan shaf itu ialah mengimbangi jumlah ma’mum di sebelah kiri dan sebelah kanan di belakang imam.
Memulakan shaf baru tanpa sebarang keuzuran ketika shaf di hadapannya masih ada ruang yang belum diisi hukumnya adalah makruh.
Ada kalanya orang yang hendak sembahyang berjemaah itu mendapati shaf-shaf di belakang imam telah penuh diisi malah dia juga tidak mendapati ada ruang di antara ma’mum untuk menyelit masuk ke dalam shaf. Ini bererti ma’mum berkenaan tidak ada pilihan selain sembahyang di belakang shaf terakhir. Dalam keadaan sebegini, terdapat sebahagian orang akan sembahyang seorang diri di belakang shaf yang penuh tersebut. Persoalannya, apakah hukum ma’mum sembahyang seorang diri itu?
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn menyebut mengenai dengan ma’mum yang sembahyang seorang diri di belakang shaf, katanya:
Ertinya: Dan dihukumkan makruh ma’mum yang berdiri seorang diri (di belakang shaf), bahkan hendaklah dia masuk ke dalam shaf jika dia mendapati ada ruang, dan jika dia tidak (mendapati ada ruang), maka hendaklah dia menarik seseorang (ma’mum di hadapannya) setelah dia melakukan takbîratul-ihrâm dan ma’mum yang ditarik itu hendaklah membantunya (dengan berundur ke belakang dan sembahyang bersamanya dalam satu shaf).
Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh ketika mensyarahkan nash Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas menyebut dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj bahawa hukum ma’mum yang mengerjakan sembahyang seorang diri di belakang shaf jemaah yang lain tanpa sebarang keuzuran hukumnya adalah makruh. Perbuatan sedemikian juga meluputkan fadhilat sembahyang berjemaah baginya iaitu ganjaran dua puluh tujuh darjat.
Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn menjelaskan bahawa fadhilat sembahyang berjemaah yang luput dalam hal ini bukan bererti luput fadhilatnya pada keseluruhan sembahyang, bahkan fadhilat jemaah yang luput itu hanyalah bagi tempoh berlaku di dalamnya perkara makruh tersebut.
Menurut asy-Syibramallisi Rahimahullâh dalam hâsyiyah kitab Nihâyah al-Muhtâj, sekiranya seorang ma’mum mendapati shaf-shaf di hadapan sudah penuh diisi, maka ma’mum yang hendak memulai shaf baru itu hendaklah berdiri di belakang shaf terakhir yang penuh itu dan tempat dia berdiri pada posisi seolah-olah dia berdiri bersebelahan dengan kanan imam.
Jika masih belum ada ma’mum lain yang datang dan sembahyang bersamanya di shaf tersebut, maka pada ketika ini sunat baginya menarik seorang ma’mum yang berada di shaf hadapan untuk berundur ke belakang dan sembahyang bersamanya dalam satu shaf. Perbuatan menarik ma’mum daripada shaf di hadapan untuk berundur ke shaf belakang itu adalah sunat apabila memenuhi syarat-syarat berikut:
1. Hendaklah ma’mum yang akan ditarik ke belakang itu seorang yang merdeka.
2. Hendaklah terdapat lebih daripada dua orang ma’mum dalam shaf ma’mum yang akan ditarik itu. Jika hanya terdapat dua orang ma’mum dalam shaf tersebut, maka ditegah menarik salah seorang ma’mum daripada kedua-duanya kerana perbuatan ini akan menyebabkan ma’mum yang seorang lagi mengerjakan sembahyang seorang diri dalam shaf tersebut. Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh, hukum menarik salah seorang daripada kedua-duanya itu adalah haram kerana melakukan suatu perbuatan yang manfaatnya kembali pada dirinya sendiri namun berlaku mudharat (dharar) ke atas orang lain.
Dalam keadaan hanya terdapat dua orang ma’mum dalam shaf di hadapan, jika tempat ma’mum yang hendak sembahyang seorang diri di belakang shaf itu boleh menempatkan mereka bertiga dalam satu shaf, maka harus baginya untuk menarik kedua-dua ma’mum di shaf hadapan itu untuk berundur ke belakang.
3. Hendaklah ma’mum yang menarik itu tahu bahawa ma’mum yang hendak ditarik itu akan menurut dan memberi kerjasama untuk berundur ke belakang. Jika pada sangkaannya ma’mum yang hendak ditarik itu tidak akan menurut dan tidak memberi kerjasama untuk berundur ke belakang, maka ditegah menariknya kerana ditakuti terjadi fitnah.
4. Hendaklah perbuatan menarik itu dilakukan dalam sembahyang iaitu setelah ma’mum yang menarik melakukan takbîratul-ihrâm. Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh, jika dilakukannya sebelum takbîratul-ihrâm hukumnya adalah haram. Manakala menurut pendapat Imam ar-Ramli Rahimahullâh pula, hukumnya adalah makruh.
5. Hendaklah perbuatan menarik ma’mum itu dilakukan ketika dalam keadaan berdiri dalam sembahyang. Jika perbuatan menarik itu dilakukannya selain dalam keadaan berdiri, maka hukumnya adalah makruh.
Bagi ma’mum yang akan ditarik pula, apabila syarat-syarat yang disebutkan di atas sudah dipenuhi, sunat baginya untuk menurut dan memberi kerjasama kepada ma’mum yang menariknya iaitu dengan berundur ke belakang dan sembahyang dalam satu shaf bersama-sama dengan ma’mum yang menariknya itu. Malah adalah sunat bagi salah seorang ma’mum di shaf hadapan untuk berundur ke belakang walaupun tanpa ditarik jika dia tahu bahawa ma’mum yang sembahyang seorang diri di belakang shaf itu jahil mengenai perkara tersebut.
Dalam hal ini, ma’mum yang berundur ke shaf belakang itu diberi ganjaran pahala kerana melaksanakan perbuatan tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan. Dari sudut perolehan ganjaran fadhilat shaf pula, ma’mum yang ditarik dan berundur ke shaf belakang itu tetap memperolehi fadhilat shafnya yang asal kerana perbuatannya keluar daripada shaf itu adalah kerana suatu keuzuran syara‘. Apabila terdapat ruang kosong dalam shaf kerana salah seorang ma’mum dari shaf tersebut berundur ke belakang, maka para ma’mum dalam shaf tersebut juga dituntut untuk merapatkan shaf tersebut dan tidak membiarkan ruang tersebut kosong. m
Demikian penjelasan mengenai ma’mum sembahyang seorang diri di belakang shaf.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15867
دليل الألوان
