Fatwa Mengenai Akidah, Syariah Dan Akhlak Tasawuf Dalam Gisb Holdings Sdn. Bhd
KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK WILAYAH PERSEKUTUAN
1/147/2024 15 NOVEMBER 2024
FATWA MENGENAI ISU-ISU AKIDAH, SYARIAH DAN AKHLAK/TASAWUF DALAM GISB HOLDINGS SDN. BHD.
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke- 147 yang bersidang pada 15 November 2024M bersamaan 13 Jamadilawal 1446H telah membincangkan perkara berkenaan dengan Kajian Isu-Isu Akidah, Syariah Dan Akhlak/ Tasawuf Dalam GISB Holdings SDN. BHD. Fatwanya adalah seperti yang berikut:
1. Global lkhwan Services and Business Holdings (GISBH) adalah kesinambungan daripada kumpulan al-Arqam dan Syarikat Rufaqa' Corporation (SRC) yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng dari segi akidah, syariah dan akhlak yang disiarkan melalui Warta No. P.U.(B) 460 pada 1 Disember 1998 dan P.U.(B) 212 pada 31 Mei 2007.
2. Ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh GISBH dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana orang lain yang mempunyai ciri-ciri penyelewengan termasuklah yang berikut adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam:
a) Ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh GISBH dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana orang lain yang mempunyai ciri-ciri penyelewengan termasuklah yang berikut adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam:
i. mendakwa bahawa Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/ Syeikh Muhammad Suhaimi merupakan Imam Mahdi;
ii. mendakwa bahawa Ashaari bin Muhammad akan muncul bersama Asy- Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/ Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai pembantunya di akhir zaman;
iii. mendakwa bahawa Ashaari bin Muhammad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya;
iv. mendakwa bahawa air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat;
v. mengeksploitasi sistem ekonomi ma'ash yang bercanggah dengan ajaran Islam dengan menindas, menganiaya, menzalimi serta memperhambakan golongan bawahan, kanak-kanak dan wanita; dan
vi. mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung pimpinan Ashaari bin Muhammad yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng.
b) Sesiapa yang masih berpegang atau mengamalkan ajaran dan amalan tersebut adalah sesat dan hendaklah bertaubat.
c) Ahli-ahli GISBH hendaklah mengikuti program pemulihan yang dianjurkan oleh pihak berkuasa.
Bertarikh 15 November 2024 MJKPHSWP Kali Ke-147/2024
DATUK PROF. MADYA DR. LUQMAN BIN HAJI ABDULLAH Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2024-46d12498
