Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى الماليزية
🇲🇾العقيدة

Fatwa Berkenaan Ajaran Masitah Binti Ab Jalar @ Kumpulan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (Pmyt)

AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993 FATWA DI BAWAH SEKSYEN 34

MENURUT subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], Mufti, setelah berbincang dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 37(5) Akta, membuat fatwa sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual.

ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW (FEDERAL TERRITORIES) ACT 1993 FATWA UNDER SECTION 34

PURSUANT to subsection 34(1) of the Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993 [Act 505], the Mufti, after having discussed with the Islamic Legal Consultative Committee pursuant to subsection 37(5) of the Act, makes the fatwa as set out in the Schedule.

JADUAL/SCHEDULE FATWA BERKENAAN DENGAN AJARAN MASITAH BINTI AB JALAR ATAU KUMPULAN PERJALANAN MIMPI YANG TERAKHIR (PMYT)

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-134 yang bersidang pada 26 dan 27 Oktober 2021 telah membincangkan fatwa berkenaan dengan Ajaran Kumpulan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang diajar oleh Masitah binti Ab Jalar. Fatwanya adalah seperti yang berikut:

1. Ajaran Kumpulan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang diajar oleh Masitah binti Ab Jalar adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Ciri-ciri penyelewengannya yang utama ialah menjadikan mimpi sebagai sumber ilmu dan menyebarkan kepada umum bahawa berdasarkan mimpi, Masitah binti Ab Jalar— (a) telah diberitahu oleh Allah SWT bahawa dia merupakan orang yang mengetahui tentang sesuatu peristiwa yang bakal berlaku;

(b) akan menyelamatkan mana-mana orang yang melakukan perbuatan ahli neraka atau ahli maksiat daripada dimasukkan ke dalam neraka pada hari pembalasan;

(c) telah berinteraksi dan berkomunikasi dengan malaikat, Rasulullah SAW dan zat Allah SWT sehingga akhirnya dia diberi amanah oleh zat Allah SWT untuk menyelamatkan dan mengeluarkan seseorang daripada seksaan api neraka;

(d) mendapat nur atau cahaya dari Allah SWT melalui malaikat yang menjaga sirat dan akan menjadi penyuluh laluan di titian sirat serta yang akan menyelamatkan orang yang berjalan berpandukan nur yang beliau miliki daripada jatuh ke lubang neraka; dan

(e) bertemu dengan Imam Mahdi di atas Arasy. Semua manusia mesti mencari Imam Mahdi sebagai penyelamat daripada huru-hara yang akan berlaku di dunia ini.

2. Mana-mana orang dilarang berpegang pada, mempercayai, menyebarkan atau mengamalkan Ajaran Kumpulan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang diajar oleh Masitah binti Ab Jalar sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1. Mana-mana orang yang melakukan perkara sedemikan hendaklah bertaubat.

3. Tiada seorang pun boleh memiliki, menyebarkan, mengedarkan, memuat naik, memuat turun, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau apa-apa bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa bentuk keluaran atau ulangannya, termasuklah filem, audio visual, rakaman laman sesawang, media cetak atau media elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1.

4. Tiada seorang pun boleh bersubahat dalam melakukan mana-mana perkara yang

dilarang dalam perenggan 2 dan 3.

Bertarikh 9 Januari 2023 Dated 9 January 2023 [PMWP/100/20 Klt. 5; PN(PU2)530/Jld. 16]

DATUK PROF. MADYA DR. LUQMAN BIN HJ. ABDULLAH Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan/ Mufti for the Federal Territories

المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2023-7cda890c