Penilaian Terhadap Tarekat Naqsyabandiyah Aliyyah Pimpinan Syeikh Nazim Al-Haqqani
KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK WILAYAH PERSEKUTUAN
PENILAIAN TERHADAP TAREKAT NAQSYABANDIYAH ALIYYAH PIMPINAN SYEIKH NAZIM AL-HAQQANI
Mesyuarat setelah membincang dan meneliti pembentangan kertas kajian semula Tarekat Naqsyabandiah Al-’Aliyyah Sheikh Nazim Al-Haqqani pada Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (Khas) Bil. 4/2023 pada 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiul Awal 1445H dan 30-31 Oktober 2023 bersamaan 15-16 Rabiul Akhir 1445H dan membuat keputusan seperti yang berikut: i. Pada dasarnya Tarekat Naqsyabandiah yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad Bahauddin Naqsyabandi al-Bukhari (w.791H) adalah satu tarekat yang muktabar dan diamalkan oleh ramai para ulama;
ii. Satu daripada cabangnya iaitu Tarekat Naqsyabandiah Al-’Aliyyah yang ketika ini dipimpin oleh Syeikh Muhammad (Mehmet) Adil boleh diamalkan oleh pengikutnya di Wilayah Persekutuan dengan syarat amalan tersebut tidak bercanggah dengan asas akidah dan syariah;
iii. Pengamal tarekat tersebut hendaklah memastikan tidak berlaku amalan dan perbuatan yang tidak bersesuaian dengan adat dan kebiasaan masyarakat setempat; dan
iv. Pemimpin tarekat atau wakilnya yang dilantik hendaklah merupakan seorang pemegang tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menurut peraturan-peraturan yang berkaitan.
MJKPHSWP Kali Ke-143/2023 Bertarikh: 30-31 Oktober 2023
PROF. MADYA DATUK DR. LUQMAN BIN HAJI ABDULLAH
Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2023-9f3ddb76
