Fatwa Berkenaan Ajaran Ilmu Makrifat Mohd Yusof Cik Wook Yang Dibawa Oleh Haji Shaari Bin Mohd Yusof
AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993 FATWA DI BAWAH SEKSYEN 34
MENURUT subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], Mufti, setelah berbincang dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 37(5) Akta, membuat fatwa sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual.
ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW (FEDERAL TERRITORIES) ACT 1993 FATWA UNDER SECTION 34
PURSUANT to subsection 34(1) of the Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993 [Act 505], the Mufti, after having discussed with the Islamic Legal Consultative Committee pursuant to subsection 37(5) of the Act, makes the fatwa as set out in the Schedule.
JADUAL/SCHEDULE FATWA BERKENAAN AJARAN ILMU MAKRIFAT MOHD YUSOF CIK WOOK YANG DIBAWA OLEH HAJI SHAARI BIN MOHD YUSOF
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-115 yang bersidang pada 22 Februari 2019 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Ajaran Ilmu Makrifat Mohd Yusof Cik Wook yang dibawa oleh Haji Shaari bin Mohd Yusof. Fatwanya adalah seperti yang berikut:
1. Ajaran Ilmu Makrifat Mohd Yusof Cik Wook yang dibawa oleh Haji Shaari bin Mohd Yusof adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Ciri-ciri penyelewengannya termasuklah— (a) membawa fahaman ‘Mujassimah’ iaitu fahaman yang mendakwa Allah mempunyai jisim yang sama seperti makhluk. Sebagai contoh fahaman tersebut adalah kenyataan-kenyataan seperti yang berikut:
(i) sebagaimana wajah makhluk, begitulah wajah Allah;
(ii) manusia dan Allah sama-sama mempunyai mata walaupun mata kita sama dengan Allah, tetapi ia tidak serupa;
(iii) ketidaksanggupan orang yang mengenal diri untuk memakai kain sarung Allah, kulit Allah, persalinan Allah dan pakaian gerak Allah;
(b) membawa fahaman ‘Muktazilah’ iaitu aliran pemikiran yang antara lain menafikan sifat-sifat yang dimiliki oleh Allah SWT dan seterusnya menolak pengamalan kepada Sifat Dua Puluh yang diimani oleh Ahli Sunnah wal Jamaah. Sebagai contoh fahaman tersebut adalah kenyataan bahawa Sifat Dua Puluh dicipta oleh para ahli sufi dan para auliya terdahulu bagi memudahkan pengajaran untuk menuju jalan mengenal Allah;
(c) membawa fahaman ‘hulul’ iaitu menempatkan Allah dalam jisim makhluk dan ‘ittihad’ iaitu menyatukan makhluk dengan Allah. Sebagai contoh fahaman tersebut adalah kenyataan-kenyataan seperti yang berikut:
(i) apa yang kita lihat bukan lagi sifat dan rupa harimau, tetapi yang kita lihat telah bertukar wajah kepada wajah Allah, paras Allah, sifat Allah, nama Allah dan zat Allah;
(ii) apabila manusia berjalan, hakikatnya bukan dia yang berjalan tetapi Allah yang berjalan;
(iii) apabila manusia bercakap, hakikatnya Allah yang bercakap;
(iv) apabila manusia memandang, hakikatnya Allah yang memandang;
(v) apabila manusia yang bergerak, hakikatnya Allah yang bergerak;
(d) membawa fahaman ‘Batiniyah’ iaitu kepercayaan bahawa perkara yang paling penting adalah batin dan bukan zahir. Contohnya, mendakwa bahawa segala perbuatan zahiriah seseorang itu tidak boleh menentukan kafir atau Islamnya seseorang namun berdasarkan kepada qalbunya (rohnya atau hatinya);
(e) membawa fahaman pluralisme agama iaitu fahaman yang menyamakan semua agama dan mendakwa syurga boleh dicapai menerusi mana-mana agama selain agama Islam. Sebagai contoh fahaman tersebut adalah kenyataan seperti yang berikut:
(i) setiap agama adalah sama menuju kepada Allah yang satu. Bagi orang yang bukan Islam, ajaran ilmu makrifat ini adalah untuk semua orang. Seandainya perkataan Allah disebut, agama lain boleh menukarnya dengan nama tuhan masing-masing. Ilmu Tok Kenali Kelantan tidak kira Islam, Kristian atau Buddha, yang pokoknya menuju kepada Tuhan yang Satu;
(f) bertentangan dengan fakta sejarah kerana mendakwa bahawa ilmu yang diperolehi adalah peninggalan ilmu Syeikh Daud al-Fatani (1769M-1847M) yang diwarisi oleh dua ulama terkenal iaitu Tok Kenali (1868M-1933M) dan Tok Selehor atau Tok Selehong (1871M-1935M) sedangkan kedua-dua ulama tersebut tidak sempat berguru dengan Syeikh Daud al-Fatani.
2. Mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran yang dibawa oleh Haji Shaari bin Mohd Yusof sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1 dan dilarang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya. Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1 hendaklah bertaubat.
3. Mana-mana orang yang telah mengambil ijazah dan mengamalkan ajaran buku “Ilmu Makrifat dan Mengenal Diri Peninggalan Tok Kenali Kelantan” oleh Haji Shaari bin Mohd Yusof atau mereka yang berpegang dengan ajaran tersebut atau apa-apa bahan penerbitan sama ada dalam talian atau luar talian yang kandungannya mempunyai persamaan dengan ajaran tersebut atau buku tersebut hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT.
4. Tiada seorang pun boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau apa-apa bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa bentuk keluaran atau ulangannya, termasuklah filem, audio visual, rakaman, laman sesawang, media cetak atau media elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1.
5. Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan mana-mana perkara yang dilarang dalam perenggan 2 dan 4.
Bertarikh 2 Mac 2022 Dated 2 March 2022 [PMWP/100/20 Klt. 5; PN(PU2)530/JLD. 16]
DATUK DR. LUQMAN BIN HAJI ABDULLAH Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan/ Mufti for the Federal Territories
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2022-4ee0e157
