Fatwa Berkenaan Dengan Hukum Pembedahan Bariatrik
AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993 FATWA DI BAWAH SEKSYEN 34
MENURUT subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], Mufti, setelah berbincang dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 37(5) Akta, membuat fatwa sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual.
ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW (FEDERAL TERRITORIES) ACT 1993 FATWA UNDER SECTION 34
PURSUANT to subsection 34(1) of the Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993 [Act 505], the Mufti, after having discussed with the Islamic Legal Consultative Committee pursuant to subsection 37(5) of the Act, makes the fatwa as set out in the Schedule.
JADUAL/SCHEDULE FATWA BERKENAAN DENGAN HUKUM PEMBEDAHAN BARIATRIK
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali ke-134 yang bersidang pada 26 dan 27 Oktober 2021 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Hukum Pembedahan Bariatrik. Fatwanya adalah seperti yang berikut:
1. Hukum pembedahan bariatrik bagi tujuan kecantikan adalah haram kerana mengubah ciptaan Allah SWT.
2. Hukum pembedahan bariatrik bagi merawat individu yang mengalami obesiti yang serius atau penyakit-penyakit kritikal yang lain seperti diabetes dan sakit jantung adalah harus sekiranya tiada rawatan alternatif lain yang sesuai untuk individu tersebut. Perkara ini selaras dengan Kaedah Fiqhiyah:
Maksudnya: “Suatu hajat (keperluan) termasuk dalam kategori darurat (mendesak) sama ada ia berbentuk umum mahupun khusus”.
3. Sebelum mana-mana orang melakukan pembedahan bariatrik, pengesahan oleh sekurang-kurangnya dua orang pakar perubatan bahawa pembedahan tersebut perlu dilakukan dan tidak membahayakan kesihatan dan nyawa individu tersebut perlu diperolehi.
Bertarikh 26 Oktober 2022 Dated 26 October 2022 [PMWP/100/20 Klt. 5; PN(PU2)530/Jld. 16]
PROF. MADYA DATUK DR. LUQMAN BIN HAJI ABDULLAH Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan/ Mufti for the Federal Territories
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2022-d634496d
