Fatwa Berkenaan Hukum Menggunakan Dadah Jenis Kanabis Bagi Tujuan Perubatan
AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993 FATWA DI BAWAH SEKSYEN 34
MENURUT subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], Mufti, setelah berbincang dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 37(5) Akta, membuat fatwa sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual.
ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW (FEDERAL TERRITORIES) ACT 1993 FATWA UNDER SECTION 34
PURSUANT to subsection 34(1) of the Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993 [Act 505], the Mufti, after having discussed with the Islamic Legal Consultative Committee pursuant to subsection 37(5) of the Act, makes the fatwa as set out in the Schedule.
JADUAL/SCHEDULE FATWA BERKENAAN HUKUM MENGGUNAKAN DADAH JENIS KANABIS BAGI TUJUAN PERUBATAN
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-116 yang bersidang pada 1 April 2019 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Hukum Menggunakan Dadah Jenis Kanabis Bagi Tujuan Perubatan. Fatwanya adalah seperti yang berikut:
1. Hukum menggunakan dadah jenis kanabis adalah haram kerana mendatangkan mudarat kepada tubuh badan manusia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah 2:195 yang bermaksud “... dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. Hal ini bertepatan dengan Kaedah Fiqh “Kemudaratan hendaklah dihilangkan”.
2. Walau apa pun perenggan 1, hukum menggunakan dadah jenis kanabis adalah harus bagi tujuan perubatan sekiranya memenuhi syarat-syarat seperti yang berikut: (a) mendapat kebenaran daripada pihak yang berautoriti; (b) mendapat pengesahan daripada dua (2) orang pakar perubatan; dan (c) tidak digunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang. 3. Hal keadaan dalam perenggan 2 adalah bertepatan dengan Kaedah Fiqh “Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang”. 4. Bagi maksud Fatwa ini, kanabis ialah sejenis dadah yang berasal daripada pokok hem atau dikenali sebagai ganja dalam kalangan masyarakat umum. Bertarikh 22 September 2022 Dated 22 September 2022 [PMWP/100/20 Klt. 5; PN(PU2) 530/JLD. 16] DATUK DR. LUQMAN BIN HAJI ABDULLAH Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan/ Mufti for the Federal Territories
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2022-447be5f5
