FATWA FAHAMAN DAN AJARAN RISALAH BAB KESUCIAN OLEH WAYANG HADI KESUMO MELALUI KUMPULAN NUR MUTIARA
Sel. P.U. 1. 8hb Januari 2025
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003
FATWA DI BAWAH SEKSYEN 47
MENURUT seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No. 1 tahun 2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor, atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, menyediakan pernyataan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual sebagai fatwa dan disiarkan menurut subseksyen 48(6) Enakmen itu.
JADUAL
FATWA FAHAMAN DAN AJARAN RISALAH BAB KESUCIAN OLEH WAYANG HADI KESUMO MELALUI KUMPULAN NUR MUTIARA
1. Fahaman dan ajaran Risalah Bab Kesucian oleh Wayang Hadi Kesumo melalui Kumpulan Nur Mutiara adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari aspek akidah, syariat dan tasawuf kerana mengandungi elemen-elemen berikut:
(a) Dari aspek akidah,—
(i) mengajak kepada pluralisme agama; dan
(ii) cenderung untuk melakukan penggubahan (tahrif) terhadap al-Quran dan menolak sumber hadis sahih.
(b) Dari aspek syariat,—
(i) menganjurkan pengikutnya untuk menyucikan diri dengan mengikuti ajaran Risalah Bab Kesucian sebelum melaksanakan ibadah fardu yang lain;
(ii) menghuraikan ibadah-ibadah fardu tersebut dengan cara yang tidak bertepatan dengan syariat Islam; dan
(iii) mempersendakan hukum Allah SWT dengan menghuraikan perkara-perkara halal sebagai haram dan perkara-perkara haram sebagai halal termasuklah dalam perkara pernikahan.
(c) Dari aspek tasawuf, mengandungi unsur-unsur yang memisahkan hubungan antara syariat, hakikat dan makrifat yang tidak selaras dengan ilmu tasawuf dan makrifat yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah.
2. Apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baharu yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen-elemen fahaman dan ajaran ini adalah disifatkan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah.
3. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk—
(i) beramal atau berpegang dengan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;
(ii) menjadi pengikut kepada fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;
(iii) mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;
(iv) mengajar, menyebarkan atau mengembangkan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;
(v) berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;
(vi) memiliki, menyimpan, menerbitkan, menyalin, mencetak, menjual, mengedar atau menyiarkan apa-apa bahan yang menonjolkan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa-apa bentuk termasuk filem, rakaman video atau audio, penulisan, akhbar, risalah, buku, majalah atau lain-lain bentuk penulisan;
(vii) menganjur, mengadakan atau membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya melalui pertubuhan, persatuan, syarikat atau badan lain; dan
(viii) memberi apa-apa kemudahan, sumbangan, pembiayaan atau bantuan kepada mana-mana orang atau badan untuk tujuan menyebarkan atau mengembangkan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya.
4. Mana-mana orang Islam yang telah menyertai atau mengamalkan atau berpegang kepada fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT.
Bertarikh 20 Disember 2024 [MAIS/BUU/600-6/1/38;P.U. Sel (ADV) PS. 05/4/12]
Dengan Titah Perintah
DATO’ SETIA PROF. MADYA DR. HAJI ANHAR BIN HAJI OPIR Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Selangor
المصدر: Jabatan Mufti Negeri Selangor· رقم selangor-10607
