FATWA BERKENAAN MUKNANNATH MENURUT FIQH
Sel. P.U. 16. 15hb April 2025
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003
FATWA DI BAWAH SEKSYEN 47
MENURUT seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No. 1 tahun 2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan, menyediakan pernyataan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual sebagai fatwa dan disiarkan menurut subseksyen 48(6) Enakmen itu.
JADUAL
FATWA BERKENAAN MUKNANNATH MENURUT FIQH
Semua hukum fiqh berkaitan mukhannath iaitu lelaki yang menyerupai wanita adalah mengikut jantina asalnya iaitu seorang lelaki seperti berikut:
(a) Hukum lelaki bersalaman dengan mukhannath adalah haram sekiranya menimbulkan fitnah dan syahwat. Sekiranya tidak menimbulkan fitnah dan syahwat, hukum bersalaman adalah harus. Namun sekiranya mukhannath tersebut merupakan golongan yang suka mempamerkan kemaksiatan mereka (mujaharah bi al-su’), hukum bersalaman dan berpelukan dengan golongan tersebut adalah dilarang.
(b) Hukum mukhannath yang melakukan hubungan seksual, sekiranya pasangan mukhannath itu adalah—
(i) seorang lelaki, hukumnya adalah haram dan hukumannya hendaklah mengikut hukuman liwat; atau
(ii) seorang wanita (selain isterinya), hukumnya adalah haram dan hukumannya hendaklah mengikut hukuman zina.
(c) Hukum seorang lelaki atau wanita yang tinggal bersama mukhannath yang bukan mahramnya tanpa penghuni lain atau berdua-duaan di mana-mana sahaja adalah haram kerana terdapat unsur fitnah dan syahwat yang mendorong kepada liwat atau zina.
(d) Hukum mukhannath memelihara anak angkat adalah dilarang kerana boleh menyebabkan anak angkat itu terdedah dengan cara hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam.
(e) Hukum mukhannath menyertai solat jemaah dengan—
(i) berpakaian lelaki dan berada dalam saf bersama jemaah lelaki adalah harus dan solatnya sah; atau
(ii) berpakaian wanita dan berada dalam saf bersama jemaah wanita adalah haram namun solatnya sah.
(f) Hukum mukhannath menjadi imam dalam solat adalah makruh kerana tergolong dalam kalangan orang yang fasik dan berdosa.
(g) Mukhannath yang mengerjakan ibadah haji dan umrah hendaklah tertakluk kepada hukum ibadah haji dan umrah seorang lelaki dalam semua perkara.
(h) Sekiranya mukhannath tersebut mengerjakan ibadah haji dan umrah dengan berpakaian wanita, ibadah haji dan umrahnya adalah sah jika mematuhi rukun haji dan umrah, namun perbuatannya adalah haram dan boleh dikenakan dam.
(i) Jenazah mukhannath hendaklah diuruskan sama ada oleh warisnya, mukhannath lain atau pengurus jenazah lelaki.
(j) Hukum pembahagian harta pusaka yang diterima oleh mukhannath adalah mengikut hukum jantina asal iaitu hukum pembahagian bagi seorang lelaki.
(k) Hukum mukhannath menjadi wali dalam perkahwinan adalah tidak sah kerana tergolong dalam kalangan orang yang fasik secara zahir.
Bertarikh 8 April 2025 [MAIS/BUU/600-6/1/20; P.U. Sel (ADV) PS.05/4/12]
Dengan Titah Perintah
DATO’ SETIA PROF. MADYA DR. HAJI ANHAR BIN HAJI OPIR Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Selangor
المصدر: Jabatan Mufti Negeri Selangor· رقم selangor-10974
