HUKUM PENGGUNAAN DANA ZAKAT BAGI PENGGEJALA BERPANJANGAN DI BAWAH ASNAF GHARIMIN
Sel. P.U. 2. 12hb Januari 2026
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003
FATWA DI BAWAH SEKSYEN 47
MENURUT seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No. 1 tahun 2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan, menyediakan pernyataan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual sebagai fatwa dan disiarkan menurut subseksyen 48(6) Enakmen itu.
JADUAL
HUKUM PENGGUNAAN DANA ZAKAT BAGI PENGGEJALA BERPANJANGAN DI BAWAH ASNAF GHARIMIN
1. Bantuan zakat kepada penggejala berpanjangan di bawah asnaf gharimin adalah bertujuan membantu pesakit untuk mendapatkan rawatan penyakit yang berkaitan sahaja serta tidak merangkumi keperluan asasi yang lain.
2. Penggejala berpanjangan yang telah mendapatkan rawatan perubatan dan memohon bantuan zakat untuk menjelaskan kos rawatan perubatan boleh dikategorikan sebagai asnaf gharimin dan layak menerima agihan zakat di bawah asnaf gharimin kerana dia dikira sebagai orang yang telah berhutang (dain muhaqqaq).
3. Bantuan zakat di bawah asnaf gharimin boleh diberikan kepada penggejala berpanjangan yang bukan berpunca daripada masalah sosial seperti mengamalkan gaya hidup songsang.
4. Bagi maksud fatwa ini, “penggejala berpanjangan” ertinya seseorang yang mengalami satu atau lebih kesan jangka masa panjang akibat daripada penyakit serius yang pernah dihadapinya walaupun telah sembuh sepenuhnya sebelum itu.
Bertarikh 2 Januari 2026 [MAIS/BUU/600-6/1/43; P.U. Sel (ADV) PS.05/4/12]
Dengan Titah Perintah
DATO’ SETIA DR. HAJI ANHAR BIN HAJI OPIR Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Selangor
المصدر: Jabatan Mufti Negeri Selangor· رقم selangor-12974
