Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى الماليزية
🇲🇾العقيدة

Fatwa Mengenai Kumpulan Pemuda Kahfi @ Ajaran Bina Negara Islam (N11) @ Maahad Al-Zaitun

KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK

5/80/2011 15 DISEMBER 2011

FATWA MENGENAI KUMPULAN PEMUDA KAHFI @ AJARAN BINA NEGARA ISLAM (N11) @ MAAHAD AL-ZAITUN

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-80 yang bersidang pada 15 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Kumpulan Pemuda Kahfi @ Ajaran Bina Negara Islam (N11) @ Maahad Al-Zaitun. Fatwanya adalah seperti yang berikut:

Hukum ajaran kumpulan Negara Indonesia (N11) di Wilayah Persekutuan adalah sesat kerana menyeleweng dari ajaran Islam sebenar. Ini adalah kerana ajaran tersebut mempunyai ciri-ciri penyelewengan seperti berikut:

1) Dari Segi Akidah

i. Memberi definisi sendiri terhadap konsep tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan ubudiyyah. Bagi mereka, konsep tauhid tersebut ialah dengan maksud menubuh negara Islam Indonesia (N11) mengikut resepi mereka. Dalam pembelajaran dan penjelasan mengenai agama, hanya boleh merujuk kepada ketua mereka sahaja.

ii. Mengkafirkan kumpulan selain mereka. Mereka menganggap merekalah berpegang kepada akidah Ahli Sunna Wal Jamaah yang sebenar. Orang Islam yang tidak mengikut kumpulan itu dianggap tidak sah Islamnya.

iii. Pemahaman dan doktrin mereka adalah berasaskan pemikiran ketua kumpulan yang didakwa bersandarkan al-Quran. Dengan kata lain, mereka menggunakan ayat al-Quran dengan tafsiran mengikut keperluan kumpulan mereka, seperti mengubah hukum dengan mengatakan solat hanya dua kali sahaja wajib sehari semalam, dan solat Subuh sewaktu program mereka sedang berjalan tidak diwajibkan.

iv. Semua aturan, perintah dan arahan ketua mereka adalah sama dengan perintah Allah SWT dan wajib dipatuhi.

v. Mendakwa kerasulan dan kenabian tidak berakhir kerana mereka menganggap setiap orang menyampaikan dakwah Islam juga dianggap Rasulullah.

vi. Mana-mana ayat dalam al-Quran boleh ditafsir mengikut logik dan manusia biasa mentakwil atau mentafsir ikut kehendak sendiri.

vii. Setiap muslim yang tidak ikut menjadi anggota mereka dianggap kafir dan darahnya halal.

2) Dari Segi Syariat

i. Membuat potongan wang terhadap ahli-ahli dan orang ramai dengan dakwaan bertujuan menubuhkan negara Islam. Mereka juga memungut yuran kepada pelajar dan keluarga pelajar dengan kadar yang tinggi kononnya atas dasar suruhan agama yang difahami mereka. Kegiatan mereka ini seiring menggunakan berbagai istilah seperti sedekah, nafkah harakat korban dan sebagainya.

ii. Mendakwa bahawa zakat fitrah tidak dinilai dengan kadar 3.5 kilogram beras, kerana dosa setahun tidak wajar lagi dibersihkan dengan kadar tersebut. Fitrah dianggarkan oleh diri sendiri atau ketua mereka.

iii. Mendakwa bahawa ibadah korban keatas haiwan ternakan hanya sekadar lambang sahaja. Korban yang sebenar ialah bersama membangunkan negara Islam mengikut fahaman mereka.

iv. Mendakwa Rasulullah SAW membina negara Madinah hasil dari dana zakat fitrah.

v. Dosa berzina dan maksiat dapat dihapuskan dengan membayar sejumlah wang.

vi. Tidak ada kewajipan membayar (hutang) was-was, tetapi boleh dibayar dengan sejumlah wang.

vii. Bertaubat boleh dilakukan dengan membayar sejumlah wang dengan disebut sebagai “sedekah istighfar”.

viii. Ibadah haji tidak wajib ditunaikan kecuali setelah menjadi pemimpin dalam kumpulan N11.

3) Dari Segi Umum i. Mengumpulkan dana dan wang dengan bersandarkan Islam. Mereka mempopulerkan istilah yang didakwa sebagai Islam seperti: a) Sedekah Musyahadah b) Sedekah Munakahat c) Sedekah Kafarah/Tahkim d) Sedekah Tertib e) Harakat Ramadan f) Tazkiyah Baitiyyah g) Nafkah Daulah h) Harakat Kurban i) Infaq Tarbiyyah j) Sedekah Masjid Rahmat lil ‘Alamin dan lain-lain.

ii. Setiap ahli diwajibkan mengumpul dana untuk pembangunan dan membantu operasi gerakan membina negara Islam dengan apa cara sekalipun, sama ada menipu, mencuri milik orang lain yang tidak menjadi ahli mereka termasuk orang tua sendiri. iii. Bapa kandung yang tidak menjadi anggota gerakan ini tidak sah menikahkan anak perempuannya. Bertarikh 15 Disember 2011 MJKPHSWP Kali ke 80/2011 DATO’ HAJI WAN ZAHIDI BIN WAN TEH Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan

المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2011-855812cd