Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى الماليزية
🇲🇾المعاملات المالية

Fatwa Berkenaan Dengan Hukum Insurans Am Dan Hukum Menggunakan, Menternak Dan Berjual Beli Lintah Dan Cacing

[Hukum Insurans1 Am]

Hukum Insurans Am adalah tidak harus2 dan umat Islam perlu menjauhinya.

1 Insurans adalah pemindahan risiko daripada seorang individu atau sebuah organisasi kepada syarikat insurans. Individu atau syarikat tersebut akan dikenali sebagai pemegang polisi. Syarikat insurans akan menerima bayaran daripada pelanggan (individu atau syarikat) dalam bentuk premium dan sekiranya pelanggan mengalami sebarang kerugian atau kerosakan, syarikat insurans akan membayar pampasan kepada mereka.

Definisi Insurans menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula ialah perjanjian tanggungan yang dibuat oleh sesebuah syarikat untuk mengganti kerugian dan bayaran premium tertentu. Insurans kebakaran ialah insurans yang menjamin ganti rugi sekiranya berlaku kebakaran (pada rumah dan lain-lain). Insurans nyawa pula ialah insurans yang menjamin ganti rugi sekiranya orang yang berkenaan meninggal dunia. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=insurans)

Al-Majma’ al-Fiqh al-Islami dengan majoriti ahlinya telah mengeluarkan resolusi bahawa insurans konvensional berserta jenis-jenisnya adalah haram menurut syarak. (Lihat Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami, bil. 2, 1407H/1986M, 2/643)

Alternatif kepada insurans adalah takaful. Syeikh `Abd al-Sattar Abu Ghuddah mentakrifkan takaful sebagai penyertaan sekumpulan individu dalam satu skim yang membolehkan mereka bekerjasama dalam menanggung sebarang kemudaratan yang berlaku terhadap salah seorang ahli peserta dengan cara membayar pampasan yang munasabah kepada ahli yang ditimpa kemudaratan melalui wang yang disumbangkan oleh peserta-peserta yang dibayar secara ansuran. (Lihat Buhuth fi al-Mu’amalat wa al-Asalib al-Masrafiyyah al-Islamiyyah oleh `Abd al-Sattar Abu Ghuddah, 9/276)

Takaful adalah pelan perlindungan berdasarkan prinsip Syariah. Dengan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan (tabarru’), pelanggan memeterai kontrak (aqad) bagi membolehkannya menjadi seorang peserta dengan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain, sekiranya salah seorang peserta mengalami kerugian yang ditetapkan.

2 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-80 yang bersidang pada 1-3 Februari 2008 juga telah membincangkan Kajian Hukum Insurans Am. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum ke atas Insurans Am adalah tidak diharuskan oleh Islam. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia hlm. 71)

[Hukum Menggunakan, Menternak dan Berjual Beli Lintah3 dan Cacing4]

1. Hukum menggunakan lintah dan cacing. dalam perubatan dan sebagai bahan dalam kosmetik adalah harus.5

3 Lintah ialah sejenis binatang dalam kelas Hirudinea, rupanya seperti pacat tetapi lebih besar. Antara jenis-jenisnya seperti lintah padi, lintah paya, lintah perca, dan lain-lain. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=lintah )

4 Cacing ialah beberapa jenis binatang yang bulat atau pipih panjang dan tidak beranggota (ada yang hidup dalam air, tanah, perut manusia atau binatang, dan lain-lain). Terdapat beberapa jenis cacing:

 cacing benang atau cacing gelang ialah cacing halus yang biasanya hidup dalam tanah di lautan, daratan, dan padang pasir;  cacing filaria ialah cacing yang hidup dalam sistem limfa manusia yang boleh menyebabkan penyakit untut;  cacing kerawit atau cacing keruit ialah cacing yang hidup dalam usus manusia dan binatang;  cacing kermi pula ialah cacing dalam usus;  cacing parasit ialah cacing yang mendapat makanan daripada usus binatang dan manusia;  cacing pita atau cacing pipih ialah cacing panjang dan leper yang berwarna putih kelabu (hidup dalam usus binatang atau manusia);  cacing rambu ialah cacing yang halus-halus;  cacing tanah ialah cacing bulat panjang yang licin dan badannya bergelang-gelang (hidup dalam tanah yang lembap); (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=cacing)

5 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 di Negeri Sembilan telah membincangkan Hukum Menternak dan Menjual Lintah dan Cacing untuk Tujuan Perubatan dan Kosmetik. Muzakarah telah memutuskan bahawa: “Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 telah membincangkan Hukum Menternak Dan Menjual Lintah Dan Cacing Untuk Tujuan Perubatan Dan Kosmetik. Muzakarah telah memutuskan bahawa menggunakan lintah dan cacing dalam perubatan dan sebagai bahan kosmetik adalah harus, dan hukum menternak atau berjual beli atas dasar manfaat yang diperolehi daripada kedua-dua haiwan tersebut juga adalah harus.” (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia hlm. 118)

Lintah mutakhir ini diternak bagi tujuan kosmetik. (Gambar hiasan)

2. Hukum menternak dan berjual beli lintah dan cacing atas dasar manfaat yang diperolehi daripada kedua-dua haiwan tersebut adalah harus6.

Bertarikh 18 November 2008 [PMWP/100/20 Klt. 2; PN(PU2)530/V]

6 Hal ini adalah berdasarkan kepada satu kaedah fiqh yang masyhur: Antara dalil pensyariatan muamalah pelaburan ialah hadis daripada al-Ala’ Bin Abdul Rahman daripada bapanya dan daripada datuknya:

Maksudnya: “Hukum asal segala sesuatu (yang bermanfaat) adalah mubah (halal) sehingga ada dalil yang menunjukkan ke atas pengharamannya. Inilah pandangan jumhur.”

DATO’ HJ. WAN ZAHIDI BIN WAN TEH, Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan/ Mufti for the Federal Territories

المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2008-8ba0fc40