Fatwa Berkenaan Dengan Hukum Pelaburan Dalam Asn, Asb Dan Skim Yang Seumpamanya Dan Hukum Menggunakan Kaedah Khidmat Ibu Tumpang Untuk Mendapatkan Zuriat
[Hukum Pelaburan dalam Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham
Bumiputera (ASB)1 dan Skim Yang Seumpamanya]
Hukum melabur dalam Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan skim yang seumpamanya berserta dengan dividen dan bonus yang diterima daripada pelaburan tersebut adalah harus.2
1 Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) ialah produk dari Pengurus Dana iaitu Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB). ASNB ditubuhkan pada 22 Mei 1979 sebagai syarikat pengurusan unit amanah di bawah PNB. Setelah 40 tahun berada dalam industri, ASNB kini mengurus 14 dana yang bernilai RM235.74 bilion pada tarikh catatan terakhir 31 Disember 2018. (Lihat web rasmi Amanah Saham Nasional Berhad pada bahagian Maklumat Korporat [http://www.asnb.com.my/asnbv2_1about.php])
2 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1-3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Jakim, hlm. 71)
[Hukum Menggunakan Kaedah Khidmat Ibu Tumpang3 Untuk
Mendapatkan Zuriat]
Hukum menggunakan kaedah khidmat ibu tumpang untuk mendapatkan zuriat adalah haram4 walaupun sperma dan ovum diambil daripada pasangan suami dan isteri yang sah.
Bertarikh 27 Mei 2008 [PMWP/100/20 Klt. 2; PN(PU2)530/V]
3 Ibu Tumpang bermaksud adalah perempuan yang bersedia di sewa rahimnya atas suatu perjanjian atau kontrak kepada pihak lain (suami isteri) untuk mengandung selama 9 bulan terhadap hasil persenyawaan pasangan suami isteri tersebut yang ditanamkan kedalam rahimnya. Selepas melahirkan beliau hendaklah menyerahkan bayi yang sudah dikandungnya kepada pihak suami isteri berdasarkan dengan perjanjian yang telah disepakat antara kedua-dua belah pihak. (Lihat Ibu Tumpang Menurut Sains dan Ulama Kontemporari dalam Proceeding of International Conference of Empowering Islamic Civilization, hlm. 255)
4 Melihat kepada isu ini, pengharaman bagi kaedah ini adalah bertitik tolak dari maqasid syari’ah iaitu prinsip hifz al-Nasl (menjaga nasab keturunan). Penggunaan kaedah ibu tumpang boleh menyebabkan berlakunya percampuran nasab yang mana boleh menimbulkan keraguan dan juga kecelaruan. Dengan membenarkan penggunaan khidmat ibu tumpang, sudah tentu akan membawa kepada kecelaruan nasab, identiti dan juga keturunan dan lebih besar lagi boleh membawa kepada pergaduhan serta permusuhan jika masing-masing mendakwa anak itu adalah anaknya. Justeru, kami dengan tegas mengatakan bahawa hukum menggunakan khidmat ibu tumpang adalah haram. (Lihat Irsyad al-Fatwa ke-130: Hukum Terhadap Penggunaan Ibu Tumpang (Surrogate Mother), diterbitkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 26 September 2016)
DATO’ HJ. WAN ZAHIDI BIN WAN TEH, Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan/ Mufti for the Federal Territories
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2008-b924f341
