Fatwa Berkenaan Perkhawinan Orang Islam Dengan Menggunakan Wali Am Dari Selatan Thailand, Ajaran Ahmadiah Atau Qadiani Yang Dibawa Oleh Mirza Ghulam Ahmad Dan (Gro)
[Perkahwinan Orang Islam Dengan Menggunakan Wali Am Dari Selatan
Thailand]
Bahawa pernikahan atau perkahwinan orang Islam dengan menggunakan Wali Am dari Selatan Thailand yang dijalankan di luar kawasan tauliahnya adalah tidak sah mengikut hukum syarak.1
Perkahwinan di luar sempadan sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama di Selatan Thailand.
1 Wali adalah salah satu rukun nikah yang perlu untuk dipenuhi. Sheikh Muhammad Bin Ismail Sheikh Daud Al-Fatoni menyebut: “Sultan berkuasa mengahwinkan seorang perempuan apabila wali Aqrab ghaib sejauh 2 marhalah, atau sedang dalam ihram, atau enggan kurang dari 3 kali untuk mengahwinkan seorang perempuan yang telah mukallaf yang diminta dikahwinkan dengan lelaki yang kufu’, jika wali aqrab ghaib kurang daripada dua marhalah, tidaklah boleh dikahwinkan oleh sultan, kecuali mendapat keizinan daripadanya”. (Lihat Matla’ al-Badrain, hlm. 414)
Ini bermakna perkahwinan itu hanya sah jika yang menikahkan itu adalah individu yang telah dilantik oleh kerajaan atau pemerintah. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Kahwin Lari di Selatan Thailand.
Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat: Pernikahan itu mengikut rukun nikah Pernikahan itu melebihi dua marhalah Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak di tempat dia bermastautin. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.
[Ajaran Ahmadiah Atau Qadiani Yang Dibawa Oleh Mirza Ghulam Ahmad]
Bahawa ajaran Ahmadiah atau Qadiani yang dibawa oleh Mirza Ghulam Ahmad adalah bukan daripada ajaran Islam dan orang-orang yang mengikut ajaran ini bukanlah orang Islam.2
Mirza Ghulam Ahmad lahir di Qadian, Punjab, India pada 13 Februari 1835 dan meninggal dunia pada 26 Mei 1908 pada umur 73 tahun)
2 Mirza Ghulam Ahmad lahir pada 13 Februari 1835 di Qadian, Iran. Di antara ciri-ciri utama yang menzahirkan kesesatan beliau ialah: Mengaku secara terang-terangan bahawa beliau adalah Al-Masih Isa AS. Beliau mengaku mempunyai mukjizat sebagaimana nabi-nabi terdahulu dan mengaku menerima wahyu terus daripada Allah SWT. Beliau mengaku sebagai Imam Mahdi (Rujuk Penyelewengan ajaran Qadiani oleh Farahwahida Yusuf dan Siti Ramlah Ibrahim, hlm 75)
Golongan ini juga mengatakan bahawa selain daripada golongan ahmadiyah atau qadiani adalah kafir. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh khalifah kedua kumpulan ini, Mirza Mahmood Ahmad. Beliau mengatakan sesiapa yang tidak mengakui Mirza Ghulam Ahmad sebagai nabi maka orang itu kafir. (Rujuk Qadianiyat oleh Ehsan Illahi Zahir, hlm 35). Mirza Ghulam Ahmad juga mengatakan bahwa tiada jihad di dalam Islam. (Rujuk Penyelewengan ajaran Qadiani, hlm 89).
[Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO)]
Bahawa adalah haram dan berdosa bagi orang Islam yang bekerja sebagai Perhubungan Pelanggan (GRO) dengan kelab-kelab malam, kelab dangdut, disko, karaoke dan pub atau apa sahaja yang seumpamanya.3
Bertarikh 09 Disember 2003 [PMWP/100/20; PN(PU2)530/III)
3 Ini kerana ianya dianggap sebagai menolong perkara-perkara maksiat. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-Maidah: 2)
PROF. DR. MOHAMMED YUSOFF BIN HUSSAIN, Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan/ Mufti for the Federal Territories
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2004-8b6e8ae8
