Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى الماليزية
🇲🇾النكاح والطلاق

Fatwa Berkenaan Perkahwinan Suami Isteri Bukan Islam Yang Memeluk Agama Islam Dan Anak Yang Dilahirkan Lebih Dari Enam Bulan Qamariah Dalam Sesuatu Perkahwinan

[Kedudukan Perkahwinan Suami Isteri Bukan Islam Yang Memeluk

Agama Islam]

Perkahwinan pasangan suami isteri bukan Islam yang memeluk agama Islam secara serentak atau salah satu pihak mendahului pihak yang lain dalam tempoh edah rajie, sah di sisi Hukum Syarak dan pasangan tersebut tidak perlu diakad nikahkan semula dengan syarat pertalian antara suami dan isteri itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak yang melarang sesuatu perkahwinan1.

1 Sejarah umat Islam pada zaman Rasulullah S.A.W dahulu menunjukkan bahawa telah masuk ke dalam Islam begitu ramai individu dari kalangan lelaki dan perempuan. Ada dari kalangan mereka itu yang telah berkahwin dalam erti kata kedua-dua suami dan isteri telah masuk ke dalam Islam secara bersama. Riwayat-riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah memberi arahan kepada pasangan suami isteri yang baru memeluk Islam untuk memperbaharui akad nikah mereka.

Bahkan majoriti fuqaha mazhab turut menyatakan bahawa pernikahan orang-orang kafir adalah sah. Mereka berdalilkan firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan isterinya (Abu Lahab) adalah pemikul kayu api neraka. (Surah al-Masad: 4) Kata Imam Ibn Qudamah:

Maksudnya: Telah memeluk Islam ramai individu pada zaman Nabi S.A.W dan begitu juga isteri mereka turut serta memeluk Islam Bersama mereka. Baginda memperakukan pernikahan-pernikahan mereka dan baginda tidak bertanya kepada mereka tentang syarat-syarat dan kaifiat pernikahan mereka. (Rujuk Al-Mughni oleh Ibn Qudamah, 7/151) Demikian juga firman Allah S.W.T:

Maksudnya: Isteri kepada Fir’aun. (Surah al-Tahrim: 11) Justeru, hakikat kepada penyandaran isteri kepada Abu Lahab dan Fir’aun jelas menunjukkan kepada pernikahan yang sah antara mereka Perkahwinan ialah akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak dan tanggungjawab.

[Kedudukan Anak Yang Dilahirkan Lebih Daripada Enam Bulan Qamariah Dalam Sesuatu Perkahwinan]

Anak yang dilahirkan lebih daripada enam bulan Qamariah dari tarikh sesuatu pasangan itu diakadnikahkan ialah anak sah taraf.2

2 Isu anak sah taraf sangat berkaitan dengan sahnya nasab kepada bapanya. Kebanyakan fuqaha’ tidak mentakrifkan nasab. Tetapi mereka banyak membincangkan permasalahan dan solusinya tanpa mendefinisikan nasab.

Imam Raghib al-Asfahani mendefinisikan nasab dan nisbah sebagai persekutuan pada salah seorang ibu atau bapa, sama ada hubungan menegak seperti nasab antara bapa dan anak-anak; atau hubungan melintang seperti nasab antara saudara-mara dan bapa-bapa saudara. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al- Quran, hlm. 801)

Ini selari dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya). (Surah al-Furqan: 54)

Para fuqaha’ telah menetapkan beberapa kaedah untuk mensabitkan nasab. Antara:  Perkahwinan  Persaksian  Pengakuan (ikrar)  Qiyafah (pengecaman melalui persamaan fizikal antara dua orang oleh pakar)

Kaedah perkahwinan adalah satu dalil yang menyebabkan nasab atau mem’bin’/’binti’kan anak. Bahkan, kaedah ini disepakati oleh semua fuqaha’ tanpa terdapat khilaf. Kaedah pensabitan nasab melalui perkahwinan boleh membatalkan kaedah-kaedah lain jika berlaku pertembungan.

Namun begitu, para ulama’ khilaf tentang perlaksanaan kaedah pensabitan nasab melalui perkahwinan ini kepada beberapa pendapat: 1. Majoriti ulama yang terdiri daripada mazhab Maliki, Syafie, Hanbali menyatakan bahawa akad nikah mensabitkan nasab dengan syarat wujud kemungkinan berlaku persetubuhan dari aspek zaman dan tempat. Sekiranya tidak mempunyai kemungkinan tersebut, maka nasab tidak dapat ditetapkan. Contohnya: - Faktor zaman: jika seseorang berkahwin kemudian bercerai setelah akad nikah, maka nasab anak tidak boleh ditetapkan kepada suami. Begitu juga jika anak itu lahir kurang enam bulan qamariyyah selepas akad nikah, maka anak itu tidak boleh dinasabkan kepada ayah biologinya kerana sekurang-kurang hamil adalah enam bulan. - Faktor tempat: jika seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita melalui walinya tetapi tidak pernah bertemu dengan wanita itu. Kemudian selepas enam bulan, wanita berkenaan melahirkan anak. Anak berkenaan tetap tidak boleh dinasabkan kepada lelaki terbabit. 2. Mazhab Hanafi menyatakan bahawa ikatan perkahwinan semata-mata sudah cukup untuk menetapkan nasab. 3. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim berpegang bahawa nasab boleh disabitkan dengan membuktikan persetubuhan hakiki sekalipun zina. Ini juga pendapat ulama’ salaf terkemuka seperti Ishak bin Rahuyah, Urwah bin Zubair, Sulaiman bin Yasar, al-Hasan Basri, Ibn Sirin dan Ibrahim al-Nakhaie. Rujuk Zaad al-Ma`ad (5/381). Ini juga pandangan Ibn Muflih dalam al-Furu’ (9/255), Ibn al-Qasim dalam Hasyiah al-Raudh al-Murbi’ (7/45).

Dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (16/222), Syeikh Najib al-Muti’ie menyebut bahawa tiada khilaf dalam kalangan ahli ilmu bahawa anak zina tidak disabitkan nasab kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak tersebut dan mereka tidak saling mewarisi. Mazhab Syafie dan Maliki tidak mengharamkan pernikahan antara mereka berdua tetapi memakruhkannya. Manakala mazhab Abu Hanifah dan Hanbali mengharamkannya.

Imam Ibn Rusyd al-Maliki (w.595H) berkata: “Telah bersepakat jumhur bahawa anak-anak zina tidak dinasabkan kepada ayah-ayah mereka melainkan jika berlaku semasa zaman Jahiliyyah kerana terdapat riwayat daripada Umar al-Khattab berkenaan khilaf para sahabat tentang perkara ini. Manakala satu sebahagian pihak memiliki pandangan syaz (pelik) yang mengatakan bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa mereka sewaktu zaman Islam.” Rujuk Bidayah al-Mujtahid (4/142).

Imam Ibn Qudamah al-Hanbali (w.620H) menyebut: “Anak zina tidak dinasabkan (kepada bapa biologinya) di sisi jumhur ulama. Al-Hasan (al-Basri) dan Ibn Sirin berkata: Dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi itu jika ditegakkan hukum hudud ke atasnya (seperti sebatan 100 kali) dan anak itu boleh mewarisinya. Berkata Ibrahim (al-Nakhaie): Dinasabkan jika dihukum rotan sebagai hudud, atau memiliki wanita yang disetubuhi. Berkata Ishaq: Dinasabkan kepadanya. Ini juga disebut oleh Urwah (bin al-Zubair) dan Sulaiman bin Yasar.

Ali bin Asim meriwayatkan daripada Abu Hanifah yang berkata: Aku melihat tiada masalah bagi seorang lelaki yang telah berzina dengan seorang wanita lalu dia hamil akibat itu untuk lelaki itu berkahwin dengannya supaya menutup (aib) ke atas wanita itu, dan anak itu dianggap anaknya.” Rujuk al-Mughni (6/345).

Haram Menisbahkan Nasab Kepada Bukan Sebenarnya

Sebenarnya syara’ telah menegah mana-mana bapa mengingkari nasab anak. Begitu juga mengharamkan wanita menisbahkan anak kepada bukan bapanya yang hakiki. Ini berasaskan hadith daripada Abi Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Mana-mana perempuan yang memasukkan kepada satu kaum sedangkan ia bukan daripada mereka, maka tiadalah daripada Allah sesuatu pun. Dan Allah pasti tidak memasukkannya (perempuan tersebut) ke syurga. Mana-mana lelaki yang mengingkari anaknya sedangkan dia mengetahui hakikatnya, maka Allah akan menghijabkannya daripada-Nya dan menghinanya di khalayak mereka yang terdahulu hingga akhirnya. Riwayat Abu Daud (2263), al-Nasaie, (3481) dan Ibn Hibban (4108).

Begitu juga syara’ menegahkan anak-anak menisbahkan diri kepada selain bapanya seperti bukan bapanya yang sebenar atau hakiki. Hal ini berdasarkan dua hadith: Pertama: Daripada Abi Bakrah dan Sa’d bin Abi Waqas RAnhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Siapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, sedangkan dia mengetahui bahawa orang itu bukan ayahnya, maka haram ke atasnya untuk menghuni syurga. Riwayat al-Bukhari (6766), Muslim (63), Abu Daud (5113), Ibn Majah (2610) dan Ahmad (1553)

Rasulullah SAW juga bersabda:

Maksudnya: Siapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, atau menisbahkan kepada bukan maulanya, maka ke atasnya dilaknat oleh Allah secara berterusan hingga hari kiamat.” Riwayat Abu Daud (5155) Haram Menjadikan Anak Angkat Dibinkan Atau Dibintikan Kepadanya Hal ini amat jelas bilamana syariat sendiri mengharamkan nizam tabanni dengan menjadikan anak angkat dibinkan atau dibintikan kepadanya. Ini kerana Rasulullah SAW telah mengambil Zaid bin Harithah sebelum nubuwwah menjadikannya anak angkat. Ia digelar Zaid bin Muhammad sehingga turunnya nas Ilahi:

Maksudnya: “(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama dan sebagai "maula-maula" kamu. (Surah al-Ahzab: 4-5)

Imam al-Qurtubi (w.656H) rahimahullah berkata: “Telah berijma’ ahli tafsir bahawa ayat ini diturunkan kepada Zaid bin Harithah. Para imam meriwayatkan bahawa Ibn Umar berkata, ‘Tidaklah kami memanggil Zaid bin Harithah kecuali Zaid bin Muhammad sehingga turun ayat ini.” Lihat Mukhtasar Tafsir al-Qurtubi (3/450).

Syeikh al-Maraghi berkata, “Hal itu dianggap lebih adil menurut hukum Allah dan lebih benar daripada kamu memanggilnya dengan nama orang yang mengambilnya sebagai anak angkat. Lihat Tafsir al- Maraghi (21/128)

Pada frasa (َ ّللاَآ ْ ِلآ بَائآهآم ْ هُو َ أَقْسَط ُ عآنْد ادْعُوهُم) yang memberi maksud “Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah.” Dr. Wahbah al-Zuhaili (w.1436H) berkata, “Ia lebih adil bahkan lebih berhak di sisi Allah. Maka keadilan yang diputuskan dan hak yang mewajibkan nisbah anak kepada bapanya yang hakiki dan bukan bapanya yang palsu. Ini kerana, Islam adalah agama yang sebenar dan adil. Unsur yang asing daripada keluarga samada lelaki atau wanita tidak bersamaan dan sesuai secara qat’ie pada akhlak dan agama. Ini sudah barang tentu akan menatijahkan kerosakan dan kemungkaran kepadanya. Hal ini tidaklah menyebabkan Islam menegah untuk mentarbiyah anak pungut, mendidik dan mengajarnya”. Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (10/7248-7249)

Sebuah Kisah Diriwayatkan bahawa seorang lelaki telah berkahwin. Kemudian isterinya melahirkan anak selepas 6 bulan daripada perkahwinan. Hal ini diadukan kepada Saidina Uthman RA maka dia mahu merejam perempuan tersebut. Lantas jawab Ibn ‘Abbas, “Adapun sesungguhnya kalaulah mungkin aku berhujah dengan kamu kepada kitab Allah, nescaya aku menang. Ini kerana firman Allah SWT, ( ُ وَحَمْلُه وَفآصَالُه ُ ث ََلَثُون َ شَهْرًا) maksudnya “dan tempoh hamilnya serta berpisah daripada susu ibunya 30 bulan” ( آ وَفآصَالُه ُ فآي عَامَيْن) maksudnya “dan berpisah dari susu ibunya dalam tempoh 2 tahun. Justeru, hamil di sini hanya 6 bulan. Lantas Saidina Uthman mengambil pendapat Ibn Abbas dan tidak menghukumnya dengan had. Lihat al-Bada’i` al-Sana’i` (3/211)

Sabitan Nasab Dengan Sebab Perkahwinan Yang Fasid Perkahwinan yang rosak atau fasid dalam mengisbatkan nasab sama seperti perkahwinan yang sahih. Tetapi nasab diihtiyatkan pada sabitannya untuk menghidupkan anak dan memeliharanya. Disyaratkan pada perkahwinan fasid ini tiga;

Lelaki yang mampu untuk menghamilkan isterinya iaitu baligh di sisi mazhab Maliki dan Syafie. Atau baligh atau remaja di sisi mazhab Hanafi dan Hanbali. Berlaku dukhul dengan perempuan tersebut pada mazhab Maliki dan jika tiada, tidak mungkin disabitkan nasab. Hendaklah perempuan itu melahirkan anak selepas 6 bulan atau lebih daripada tarikh dukhul atau bersama di sisi mazhab Maliki.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Setelah meneliti pelbagai dalil dan pendapat samada yang membolehkannya atau sebaliknya, kami dapati isu ini merupakan persoalan ijtihadiyyah yang mana setiap pihak memiliki hujah dan kekuatan dalil masing-masing. Kami berpendapat bahawa hujah yang melarang dibinkan atau dibintikan anak tak sah taraf kepada ayah biologinya berdasarkan dalil kuat daripada nas al-Qur’an, hadith, amalan sahabat dan jumhur fuqaha.

Nasab anak kepada ibunya tetap sabit pada semua keadaan kelahiran samada secara syarie atau tidak. Adapun nasab anak kepada bapanya, ia tidak sabit kecuali melalui pernikahan yang sahih atau fasid (seperti yang telah kami kemukakan syaratnya) atau wat’i syubhah atau ikrar dengan nasab. Islam telah membatalkan apa yang diamalkan di zaman Jahiliyyah dengan menghubungkan anak-anak hasil daripada zina kepada nasab penzina. Fahaman yang sebenar berkenaan dengan sabda Rasulullah SAW ( ُ وَلآلْعَاهآر آ الحَجَر آ الوَلَد ُ لآلْفآرَاش) adalah dengan makna bahawa anak dinasabkan kepada bapa yang berada dalam perkahwinan yang sahih. Sedia maklum bahawa al-firash dengan maksud perempuan mengikut kebanyakan ulama’ dan dita’birkan dengan maksud dalam keadaan iftirasy. Adapun zina maka tidak harus menjadi penyebab untuk mensabitkan nasab. Sebaliknya, yang berhak kepada yang berzina adalah direjam dengan batu.

Begitu juga zahir hadith menunjukkan anak dihubungkan dengan bapa atau dibinkannya selepas sabit bersamanya bapa dan ibunya iaitu tidak sabit kecuali selepas berlakunya persetubuhan dalam perkahwinan yang sahih atau fasid. Inilah pendapat jumhur. Sedangkan riwayat Abu Hanifah bahawa sabit semata-mata dengan akad ini kerana semata-mata zhan sudah memadai. Pendapat ini ditolak kerana tertegah hasilnya dengan sebab akad berdasarkan zahir hadis. Bahkan mesti adanya imkan al-wat’i atau kelebihan bersetubuh.

Pendapat jumhur juga menjadi pegangan Kerajaan Arab Saudi. Fatwa al-Lajnah al-Da’imah Kerajaan Arab Saudi dalam fatwa bernombor 3408 dan 3056 menyebut bahawa yang sahih daripada pendapat ulama bahawa tidak boleh disabitkan nasabnya kepada yang menyetubuhi ibunya kecuali nikah yang sah atau fasid, nikah syubhah, perhambaan atau syubhah perhambaan.

Isu menutup malu dan aib bukanlah alasan yang kuat kerana syariat Islam jelas menunjukkan larangan membinkan atau membintikan kepada selain bapanya yang sah melalui perkahwinan. Ini kerana, banyak hukuman dalam Islam diperintahkan supaya dilaksanakan secara terbuka, termasuk dalam kes sebatan zina.

Jika yang dimaksudkan mendapat malu itu adalah si anak, maka mudarat menyembunyikan itu lebih besar. Ini kerana ia berkaitan dengan soal pembahagian faraid dan wali nikah bagi wanita. Sebenarnya, punca utama masalah ini adalah tersebarnya budaya zina yang tidak terkawal. Isu penamaan anak ini hanyalah simptom bagi masalah zina yang mengakar sebagai punca dalam masyarakat. Betapa lemahnya pendidikan seks yang berasaskan Islam dan betapa mudahnya akses kepada bahan-bahan lucah dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan ajnabi. Jika kita mengambil langkah jangka pendek seperti ini, ianya seperti mengambus masalah yang sebenar ke bawah tikar yang akhirnya akan terluah juga.

Justeru, sebagai sikap bertanggungjawab, hendaklah pasangan yang terjebak dengan zina bernikah secepat yang mungkin apabila sudah berlaku zina kali pertama sebagai bentuk pemulihan diri dan taubat kepada Allah dan berhenti daripada melakukan dosa kepada hubungan yang halal. Bahkan seperti mana yang telah disebutkan di atas, ulama yang membenarkan nisbah anak zina sendiri mensyaratkan bahawa hendaklah ibu bapa yang berzina itu dihukum dengan hukuman syariat yakni dirotan 100 kali sebelum dia boleh menasabkan anak tersebut kepada dirinya. Ini kerana zina itu seperti mana yang ditekan dalam al-Quran adalah fahisyah, benda yang tersangat keji dan merosakkan masyarakat. Maka, masyarakat perlu disedarkan dengan melihat hukuman rotan itu sendiri sebagai pengajaran daripada Allah atas kerosakan yang berlaku dan menghindari keluarga dan kerabat mereka daripada berbuat zina. Dengan itu, zina yang menjadi punca kepada masalah ini dapat dihilangkan, atau diminimumkan, seterusnya menghilangkan masalah anak zina, dan isu malu yang disebut-sebut.

Ingatlah kita perlu menjadi manusia yang bertanggungjawab atas setiap yang kita lakukan kerana itulah tugas sebagai khalifah di atas muka bumi ini, bukan hanya sekadar escapism untuk melarikan diri daripada masalah yang berakar umbi. Sikap melarikan diri dan menyembunyikan status hanya akan menambah masalah kemudian hari dan memakan integriti masyarakat Islam itu sendiri.

Bertarikh pada 02hb Januari 2001 [PMWP/100/20; PN(PU2)503/II.]

Kami juga menasihati para pasangan supaya mengambil berat isu persetubuhan sebelum berkahwin agar tidak timbul isu nasab anak sehingga mendatangkan aib kepada diri sendiri da naib kepada anak serta mengganggu emosi dan perasaan tidak selepas kepada ramai pihak. Sentiasalah bertaqwa kepada Allah, menginsafi diri sendiri atas keterlanjuran, dan wajib mentaati-Nya. Semoga kita menjadikan golongan yang mendapat mardhatillah dalam melayari kehidupan ini.

Syor dan Cadangan Kami cadangkan di sini beberapa cadangan: 1. Anak yang tak sah taraf dinisbahkan kepada Abdullah atau mana-mana nama yang dimulakan dengan Abdu seperti “bin Abdul Ghani” “bin Abdul Rahman” “bin Abdul Latif” 2. Nasab anak sabit kepada ibunya dalam semua keadaan samada kelahiran syar’ie atau tidak seperti ‘Isa bin Maryam, Muhammad bin bintu Syafie 3. Nasab anak dinisbahkan kepada ayahnya seperti “Ziyad bin Abihi” Kami tegaskan di sini bahawa anak yang tidak sah taraf bukanlah hina dan tiadalah ia berdosa kerana kesilapan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Ini kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Justeru, hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa yang paling bertakwa antara kita. Perhatikan bagaimana Allah SWT menyuruh kita berkelaku dengan orang yang tidak diketahui bapanya dalam Surah al-Ahzab ayat ke lima yang bermaksud: “Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama.” Ertinya, jadikanlah anak-anak tidak taraf ini sebagai warga istimewa dalam masyarakat dengan memberikan pendidikan yang cukup, nafkah dan memberdayakan mereka supaya mereka tidak terkesan dengan tragedi menimpa diri mereka kerana mereka dianggap sebagai keluarga oleh masyarakat Islam.

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 31 Julai 2017 telah memutuskan bahawa anak yang tidak taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada ayah biologinya, seperti mana yang diputuskan oleh Jumhur ulama. Sehubungan dengan itu, hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau kepada nama-nama Allah yang mulia atau seperti cadangan yang dinyatakan di atas. Mesyuarat juga bersetuju bahawa asas yang digunapakai ialah maslahah umum (yakni implikasi zina yang merosakkan masyarakat dan sistem keluarga secara keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus (yakni aib yang mungkin dialami oleh anak zina). Ini bertepatan dengan Maqasid al-Syariah yang meletakkan pemeliharaan nasab sebagai dharuriyyah (kepentingan yang sangat penting) di dalam Islam. Pengecualian juga wajar diberikan kepada keluarga yang memeluk Islam dengan perkahwinan yang diiktiraf oleh undang-undang sivil atau undang-undang adat kerana dikiaskan dengan zaman jahiliyyah, maka anak yang dianggap sah taraf dalam perkahwinan sivil atau adat itu dianggap sah taraf juga di dalam Islam. (Rujuk Bayan Linnas Siri Ke-106: Isu Penamaan “Bin/Binti Abdullah” Kepada Anak Tidak Sah Taraf oleh Mahkamah Rayuan)

DATO’ HJ. MD. HASHIM BIN YAHYA, Mufti, Wilayah-Wilayah Persekutuan

المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2001-71384ef6