Fatwa Berkenaan Zakat Penggajian
Zakat wajib dikeluarkan ke atas pendapatan daripada penggajian seseorang Islam termasuklah apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus. Oleh itu adalah wajib bagi seseorang Islam mengeluarkan zakat daripada pendapatan yang layak dikenakan zakat daripada penggajian tersebut 1.
1 Induk pembicaraan zakat harta berpaksi di atas kalimah mal (harta) dengan kata tunggal mal atau kata jamak amwal, atau kalimah aghniya’ daripada kata tunggal ghani. Dalam pertimbangan ulamak usul al-fiqh dan ulum al-Quran, kalimah tersebut digolongkan ke dalam kalimah umum, berdasarkan kata jamak amwal dan aghniya.
Pelaksanaan zakat gaji di setengah negara Islam samada secara mandatorI atau sukarela adalah seperti di Sudan (1983), Arab Saudi (1951), Pakistan (1980), Kuwait (1983), Kedah Darul Aman (1985) dan lain-lain lagi.
Antara dalil kewajipan zakat penggajian:
Maksudnya: Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan mendoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Surah al-Taubah (103)
Frasa ما كسبتم merupakan lafaz yang bersifat mubhamah, iaitu tidak jelas dan samar-samar. Menurut Imam al-Suyuthi dan Imam al-Baji, kalimah al-mubhamah memberi pengertian umum. (Rujuk Al-Itqan fi Ulum al-Qur’an hal. 48 dan Ihkam al-Fusul hal. 231) Maka setiap harta yang diperoleh perlu dikenakan zakat jika telah cukup syaratnya.
Begitu juga dengan sabda Baginda SAW:
Maksudnya: Tiada kewajipan zakat ke atas suatu harta, melainkan ia telah melepasi tempoh setahun (pada milikan pemiliknya.
Riwayat Ibn Majah (1792) al-Tirmizi (632) dan Imam Malik dalam al-Muwatta’ (586)
Nisab zakat pendapatan bersandarkan 85 gram emas. Kadar bayaran zakat pendapatan ialah 2.5% daripada jumlah pendapatan kasar atau pendapatan bersih.
Bertarikh pada 09hb April 1999 [JAWI/A/145; PN. (PU2) 530/II.]
Pakar-pakar di kalangan ulama kontemporari tidak meletakkan haul sebagai syarat wajib zakat pendapatan. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, tidak mensyaratkan haul ke atas zakat pendapatan gaji adalah atas beberapa faktor, antaranya:
i. Pertama, faktor keumuman nas-nas al-Quran yang mewajibkan orang kaya tentang kewajipan membayar zakat sebagai bukti iman dan kepatuhan seseorang kepada agama. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat) (Al-Baqarah[2]: 267)”
ii. Mengecualikan syarat haul dalam zakat pendapatan lebih bertepatan?dengan konsep keadilan. Ini kerana dengan mengenakan syarat haul, bermakna sistem zakat memberi kesempatan kepada orang-orang kaya untuk mengelakkan diri daripada membayar zakat. Hal ini terjadi apabila sesiapa yang boros berbelanja boleh menggunakan alasan tidak mempunyai wang yang berbaki dalam setahun untuk mengeluarkan zakat. Sedangkan sesiapa yang berjimat-cermat dengan menyimpan wang hasil pendapatan dalam setahun dibebankan dengan zakat. Ia sudah tentu tidak mencerminkan keadilan dalam sistem zakat itu sendiri.
Pada masa yang sama tidak mensyaratkan haul lebih meraikan maslahat umat Islam kerana setiap orang kaya akan menanggung keperluan ekonomi masyarakat. (Rujuk http://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-pendapatan/ )
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 telah membincangkan Zakat Gaji & Pendapatan Professional, dan memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.
DATO’ HJ. MD. HASHIM BIN YAHYA, Mufti, Wilayah-Wilayah Persekutuan/ Federal Territories
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-1999-c0bdacd4
