Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى الماليزية
🇲🇾العقيدة

Buku Bertajuk-Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan Dan Manaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad Bin Abdullah As Suhaimi

Buku Aurad Muhammadiah oleh Ashaari Muhammad.

(i) Buku yang bertajuk “Aurad Muhammadiah1 Pegangan Darul Arqam2 sekaligus menjawab tuduhan” yang ditulis oleh Ustaz Hj. Ashaari Muhammad3 dan isi kandungannya; dan

["Manaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad Bin Abdullah As Suhaimi"]

1 Aurad Muhammadiyah merujuk kepada tariqat sufi yang diasaskan di Mekah pada awal abad ke-20 oleh Syeikh Muhammad Abdullah al-Suhaimi, seorang ulama’ dari Jawa yang kemudian berpindah ke Singapura dan akhirnya menetap di Kelang, Malaya. (Lihat Sejarah Hidup Syeikh Muhammad al- Suhaimi dan Aurad Muhammadiah oleh Mohd Taha Suhaimi) 2 Kumpulan Al-Arqam atau dikenali juga sebagai Jama`ah Aurad Muhammadiah telah ditubuhkan oleh Ustaz Ashaari Muhammad bersama beberapa orang sahabat pada tahun 1968 di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. (Lihat Al-Arqam dan Ajaran Aurad Muhammadiah: Satu Penilaian oleh Farahwahida Mohd Yusof, hlm. 47) 3 Haji Ashaari Muhammad merupakan bekas seorang guru agama yang berkelulusan Sekolah Menengah Maahad Hisyamuddin, Kelang, Selangor. Beliau dilahirkan di Kampung Pilin, Rembau, Negeri Sembilan oleh ibubapa yang mengamalkan Aurad Muhammadiah. (Lihat Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam: Sekaligus Menjawab Tuduhan oleh Ashaari Muhammad, hlm. 13. Lihat juga Al-Arqam dan Ajaran Aurad Muhammadiah: Satu Penilaian, hlm. 47)

(ii) “Manaqib (riwayat hidup) Sheikh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi”4 yang ditulis oleh Mohamad Taha Suhaimi5 dan juga ditulis oleh pihak-pihak lain dalam semua Bahasa,

adalah diharamkan kerana kandungannya mengandungi ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan akidah dan syariah Islamiah serta mengelirukan masyarakat Islam.

Oleh itu orang Islam adalah dilarang daripada memiliki, menyimpan, mencetak, menjual, mengedarkannya atau mana-mana bahagian daripadanya atau mengamal ajaran dan fahaman tersebut.”

Bertarikh pada 11hb November 1988. [JAWI/A/145; PN. (PU2) 197/II.]

4 Sheikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi dilahirkan pada 1843 Masihi bersamaan 1259 Hijrah di Kampung Sudagaran, dalam daerah Wonosobo, Jawa Tengah. Daripada sebelah ayahnya, Abdullah bin Umar yang merupakan seorang saudagar yang dihormati, Syeikh Suhaimi didakwa merupakan keturunan ke-33 daripada Rasulullah SAW. (Lihat The Aurad Muhammadiah Congregation: Modern Transnational Sufism in Southeast Asia oleh Ahmad Fauzi Abdul Hamid, hlm. 71) Pada tahun 1979, kumpulan al-Arqam telah berpecah lantaran kontroversi pegangan Ustaz Ashaari yang menganggap Syeikh Muhammad As-Suhaimi tidak mati, malah dia didakwa hanya ghaib dan akan muncul semula sebagai Imam Mahdi. Hal ini membawa kepada pemecatan enam orang pemimpin kanannya kerana mempersoalkan pegangan tersebut. Beberapa pengikut yang mempersoalkan perkara ini juga turut dipecat.

5 Mohamad Taha Suhaimi merupakan anak kepada Fadlullah Suhaimi. Manakala Fadlullah Suhaimi sendiri merupakan anak kepada Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi. Fadlullah Suhaimi telah menulis Manaqib Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi yang asal menggunakan bahasa Jawa dan setelah itu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Kemudian Muhammad Taha Suhaimi telah menyusun edisi tambahan yang ditulis dalam bahasa melayu Rumi dan Jawi. Muhammad Taha Suhaimi juga telah menyusun Salsilah Syeikh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi dan disiarkan dalam buku “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam” (1986) sebagai sebahagian daripada Manaqib Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi dalam edisi tambahan. (Lihat Himpunan Fatwa Negeri Melaka (1986-2005), oleh Mohd Ali Haji Zainal, hlm. 10-11)

DATO’ DR. MOHD. YUSOF BIN HAJI MUHAMMAD NOOR, Pengerusi, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-1988-66166379