Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى الماليزية
🇲🇾الطهارة

hukum murid sekolah rendah memegang al-Quran tanpa wuduk

Soalan: Assalamualaikum.

Saya ada pertanyaan berkenaan hukum memegang Al-Quran bagi murid-murid sekolah rendah ketika sesi pembelajaran Al-Quran. Pelbagai pendapat tentang isu ini menyebabkan timbul rasa was-was dari kalangan guru-guru agama. Syariat nak dijaga dan pada masa yang sama, akan mengambil masa sekiranya murid-murid perlu mengambil wuduk terlebih dahulu. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Wassallam.

Jawapan: وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Saya syorkan agar pihak sekolah tetap mengajar para murid tuntutan dalam mazhab agar hendaklah mengambil wuduk sebelum menyentuh mushaf al-Quran. Berkenaan dengan firman Allah SWT:

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.

Surah al-Waqi`ah, 56:79

Sebahagian ulama memilih tafsir ini bererti para malaikat. Namun, sebahagian ulama lain menafsirkan ayat ini dengan hadis nabawi. Daripada Hakim bin Hazzam RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا تمسَّ القرآنَ إلَّا وأنت طاهرٌ

Maksudnya: Jangan kamu menyentuh al-Quran melainkan kamu dalam keadaan bersuci.

Dalam al-Muwatta’, terdapat hadis yang menyebut isi surat Nabi SAW kepada Amru bin Hazm RA:

أن لا يمس القرآن إلا طاهر

Maksudnya: Jangan seseorang menyentuh al-Quran melainkan dia dalam keadaan suci.

Juga disarankan sebagai alternatif agar pihak sekolah menyediakan al-Quran berserta terjemahan seperti Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran oleh Syeikh Abdullah Basmeih. Ini lebih selamat dan terhindar daripada polemik. Wallahua`lam.

المصدر: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan· رقم kafi-1726