Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى الماليزية
🇲🇾أحكام متنوعة

Orang awam tidak wajib bermazhab?

Soalan: Assalamualaikum ustaz,

Baru-baru ini tersebar beberapa video dari beberapa Ustaz mengatakan orang awam tak perlu bertaklid bermazhab. Kita boleh ikut mana-mana mazhab, mengikut mana yang ringan bagi kita. Mohon pencerahan Ustaz berkenaan isu ini, kerana saya pun keliru dengan kenyataan begini. Jazakallahu khairan.

Wassallam.

Jawapan: وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Ini hanyalah satu pandangan. Di Malaysia, secara umumnya kita menggunakan fiqh mazhab al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafie dalam pentadbiran Islam dan inilah mazhab yang dominan diamalkan. Dalam hal lain, tidaklah pula kita melarang, contohnya, saudara kita daripada bangsa India dan Pakistan yang melazimi mazhab al-Imam Nu`man bin Tsabit Abu Hanifah. Berkata sebahagian ulama: mazhab orang awam ialah mazhab syeikh mereka. Berkata Syeikh al-Azhar, Syeikh Hasananin Muhammad Makhluf:

مذهب العامى فتوى مفتيه المعروف بالعلم والعدالة

Maksudnya: Mazhab orang awam ialah fatwa muftinya yang diketahui keilmuannya dan keadilannya.

Maka, difahami, apabila kita menetapkan satu-satu mazhab dalam negara, tujuannya ialah untuk menyelesaikan sesuatu isu dengan harmoni berdasarkan mazhab yang muktabar juga, yakni mazhab al-Syafie, agar khilaf tidak berpanjangan dan menatijahkan perkara yang buruk, tanpa menafikan kewujudan mazhab-mazhab lain. Wallahua`lam.

المصدر: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan· رقم kafi-1727