Menghadiri Majlis Yang Menghidangkan Arak
Soalan: Apakah hukumnya bagi seseorang yang telah mengetahui terlebih dahulu akan adanya minuman-minuman keras, menghadiri sesuatu majlis perpisahan (minuman-minuman keras ini hanya dihidangkan bagi orang yang bukan Islam). Apakah orang ini termasuk bersubahat kerana dia sudah lebih awal tahu dan adakah wajib dia menghindari (menolak) dari datang ke majlis itu?
Jawapan: Ugama Islam ialah ugama selamat, ugama sejahtera, ugama waras yang bertujuan menjadikan penganutnya selamat, sejahtera dan waras. Tidak sekali-kali Islam itu membawa kerosakan, kebinasaan dan celaka melainkan adalah sebaliknya. Ia terdiri dari lima sendi, iaitu memelihara ugama itu sendiri, memelihara akal, memelihara nasab, memelihara harta, memelihara nama baik dan nyawa.
Kelima-lima yang wajib dipelihara ini boleh musnah akibat arak, iaitu berpunca dari hilangnya akal kerana mabuk, maka segala-galanya boleh terjadi; menodai kesucian ugama, mencemarkan nasab (keturunan), merosakkan harta benda, merosakkan nama baik dan nyawa. Kerana itulah ia (arak itu) dipanggil sebagai “Umm Al-Khabâ’its” iaitu ibu segala najis dan racun.
Dalam kitab Al-Zawâjir ‘an Iqtirâf Al-Kabâ’ir karangan Imam Ibnu Hajar Al-Syafi‘e, bahawa minum arak itu ialah dosa besar yang ke 371 hingga 382, sama ada minum itu banyak ataupun sedikit.
Dalil haram arak itu adalah putus dengan Al-Qur’an, hadits dan Ijma‘ ulama Islam:
(i) Dalil Al-Qur’an:
Firman Allah:
Tafsirnya: “Mereka bertanya tentang arak dan judi, maka kata olehmu wahai Rasulullah: Pada keduanya itu ada dosa besar dan ada juga beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” (Surah Al-Baqarah: 219)
Allah berfirman lagi:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak, judi, berhala dan anak-anak panah yang dibuat tilik, adalah semuanya itu kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya, supaya kamu beruntung.” (Surah Al-Mâ’idah: 90)
Firman Allah:
Tafsirnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud ingin menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu dari mengingati Allah dan dari mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti (dari melakukan keduanya).” (Surah Al-Mâ’idah: 91)
(ii) Dalil hadits
Hadits riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Daud, Tirmidzi dan Nasa’i:
Maksudnya: “Tiap-tiap yang memabukkan itu arak, dan tiap-tiap yang memabukkan itu haram.”
Hadits riwayat Abu Daud:
Maksudnya: “Tiap-tiap yang memabukkan itu arak, dan tiap-tiap arak itu haram.”
Hadits riwayat Ahmad dan Abu Ya‘la:
Maksudnya: “Ketahuilah, adalah tiap-tiap yang memabukkan itu arak, dan tiap-tiap arak itu haram.”
Demikianlah ayat Al-Qur’an dan setengah dari hadits yang menyatakan hukum arak itu adalah haram.
Kemudian ada dua belas macam perkara terkena ke atas hukum arak itu sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Zawâjir, iaitu meminumnya, memerahnya, minta diperahkan, membawanya, minta dibawakan, memberi minum, minta diminumkan, menjual, membeli, minta dibeli dan minta dijualkan, memakan harganya, menyimpan dan memilikinya.
Nash lebih terang lagi sebagaimana tersebut dalam hadits riwayat Abu Daud:
Maksudnya: “Allah telah melaknat arak, peminum arak, pembawa arak, pembeli arak, penjual arak, pembuat arak, orang yang minta dibuatkan arak, tukang angkat arak dan orang yang diangkatkan arak kepadanya.”
Riwayat Ibnu Majah pula menambah:
Ertinya: “Juga termasuk orang yang dilaknat Allah itu ialah orang yang makan harga arak.”
Adapun erti laknat ialah terhalau dan jauh dari rahmat Allah.
Dari ibarat hadits-hadits di atas, nyatalah tiada ruang dan peluang untuk melonggarkan hukum arak itu. Ini termasuklah duduk dan menghadiri majlis arak yakni yang ada dihidangkan arak, berdasarkan dua riwayat ini, pertama oleh Imam Thabarani, hadits yang berbunyi:
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia minum arak, dan siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia duduk pada meja jamuan yang ada diminum arak.”
Hadits lain riwayat Ahmad, berbunyi:
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia duduk pada meja atau hidangan yang dihidangkan arak.”
Kedua-dua nash hadits ini cukup terang menegah atau melarang orang-orang Islam dari hadir dan duduk di majlis yang ada dihidangkan arak, sekiranyalah benar mereka itu orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, apatah lagi dengan sengaja dan mengetahui adanya minuman-minuman arak itu dihidangkan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7475
