Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Orang Berkuasa Adakah Wajib Baginya Melarang Orang Minum Arak

Soalan: Bolehkah seseorang ketua jabatan membenarkan diadakan minuman-minuman keras di dalam majlis perpisahan bagi kakitangannya yang bukan berugama Islam kalau minuman-minuman tersebut disediakan oleh orang-orang yang bukan Islam yang menghadiri majlis tersebut (orang-orang yang bukan Islam membawa sendiri minuman keras itu)?

Jawapan: Dalam negeri Islam, orang-orang bukan Islam yang dinamakan dzimmi atau sebagai orang dzimmi, mereka itu dikehendaki tunduk dan mematuhi hukum-hukum Islam, termasuklah dalam perkara mengamalkan ajaran ugama mereka, bahawa mereka itu harus dan boleh mengamalkan ajaran ugama masing-masing di dalam rumah mereka sendiri sahaja, dan tidaklah dibenarkan mereka berhimpun beramai-ramai di dalam suatu tempat atau rumah untuk menjalankan amal ibadat atau upacara keugamaan mereka, dan tiada juga dibenarkan mereka menzahirkan upacara ibadat mereka di hadapan ramai. Inilah antara syarat yang dikenakan ke atas orang dzimmi yang tinggal dan diam di dalam negeri Islam.

Berdasarkan syarat ini, di manakah alasan dan dalil orang Islam yang menjadi ketua kepada satu-satu kumpulan antara orang Islam dan bukan Islam itu boleh membenarkan anak buahnya yang bukan Islam bersenang-senang dengan arak di dalam suatu majlis yang dihadiri sama oleh orang Islam? Sedangkan membiarkan mereka berkumpul dan menzahirkan arak itu kepada orang ramai pun adalah menjadi kesalahan dan wajib dicegah.

Orang Islam, istimewanya ketua-ketua yang diamanahkan oleh raja untuk mengawal dan mentadbirkan hal ehwal ummah hendaklah selalu peka dengan perkara-perkara yang menjadi tegahan syara‘ dari berlaku dan berjalan di dalam masyarakat dan negara. Kerana sifat orang awam atau orang ramai itu banyak mengikut ke manakah mereka akan dibawa atau diarahkan. Mereka tidak banyak memilih dan berdiri sendiri melainkan mengikut dan mencontohi ketua.

Hal ini sebenarnya molek kerana bersesuaian dengan perintah taatkan Allah, Rasul dan Ketua yakni Uli Al-Amri, sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an, Surah Al- Nisâ’, ayat 58.

Kerana itulah perkara yang molek ini (taat orang bawah kepada ketua) patut dan wajiblah disuburkan menjadi budaya yang kekal di kalangan ummah, dengan syarat ketua-ketua itu juga mestilah mempelopori kebajikan dan sentiasa patuh dengan titah perintah Allah, agar perintah dan pimpinan mereka itu tidak boleh diingkari yang bertujuan semata-mata mengajak dan membawa ummah kepada taqwa dan taatkan Allah. Inilah perjalanan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat serta orang-orang salaf yang dirahmati Allah. Kita perlu mengambil contoh dan berpegang dengan cara ini supaya sama-sama, dari pemimpin membawa kepada yang dipimpin, beroleh keselamatan di dunia dan di akhirat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7483