Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Adil Dalam Poligami

Soalan: Apakah Islam menetapkan hanya empat perkahwinan? Dan apakah maksud berlaku adil?

Jawapan: Seseorang lelaki Islam harus mengahwini perempuan Islam sehingga empat orang dalam satu masa. Ketetapan ini adalah berdasarkan Al-Qur’an dan Al-Sunnah (hadits). Dan Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah Al-Nisâ’: 3)

Ayat di atas telah ditafsirkan oleh ayat lain untuk menerangkan kecenderungan adalah lebih baik berkahwin seorang sahaja andainya tidak mungkin melakukan keadilan. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Nisâ’: 129)

Dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa Ghailan bin Salamah Al-Tsaqafî memeluk Islam dan bersamanya sepuluh orang isterinya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Ghailan: “Pilihlah empat daripada mereka itu.”

Apakah maksud berlaku adil dalam ayat-ayat di atas?

Keadilan yang dimaksudkan itu menurut ahli tafsir ialah dalam perkara pembahagian giliran bermalam (bagi suami yang bekerja siang atau giliran di waktu siang hari bagi suami yang bekerja di sebelah malam) dan membawa dalam pelayaran dan nafkah, sedangkan dalam perkara kasih sayang tidak wajib dilakukan keadilan, kerana perkara ini adalah di luar kemampuan dan kesanggupan manusia. Kerana itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berdoa kepada Allah:

Maksudnya: “Ya Allah, inilah pembahagian yang dapat aku berikan pada perkara yang dapat aku kuasai, janganlah engkau sesali aku dalam perkara yang hanya Engkau menguasainya, sedangkan aku tidak berdaya menguasainya.” (Hadits riwayat Ahmad dan Ashhab Al-Sunan)

Walau bagaimanapun para suami janganlah hanya menumpukan kasih sayangnya kepada seorang isteri sahaja, sehingga isteri atau isteri-isteri yang lain diabaikan, tidak diambil perhatian langsung.

Oleh kerana itu, jangan sekali-kali isteri yang kurang dicintai itu laksana barang bergantung, bergantung tidak bertali, diceraikan tidak, digauli apatah lagi. Lebih-lebih lagi jangan sampai ada penganiayaan terhadap jasmani dan jiwanya.

Hendaklah diingat oleh para suami yang berpoligami itu yang tidak melakukan keadilan terhadap isterinya sebagaimana yang dituntut dalam perkara pemberian nafkah dan giliran, maka balasannya di akhirat nanti dia akan berjalan dalam keadaan badannya senget atau condong sebelah.

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri, dia cenderung kepada salah seorang daripadanya tidak kepada isteri yang satu itu, maka apabila datang Hari Kiamat badannya akan senget sebelah.” (Hadits riwayat Ahmad)

Jadi keadilan dituntut ialah keadilan lahir sahaja seperti:

(i) Nafkah hidup hari-hari (lahir sahaja).

(ii) Giliran bermalam (semata-mata bermalam sahaja).

(iii) Giliran membawa isteri ketika musafir, yang mana untuk kali pertama perlu dibuat undi dan tidak harus memilih sesuka hati, kecuali jika dibenarkan oleh yang lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7499