Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Bayang-Bayang Al-Qur’an Di Atas Lantai

Soalan: Dengan penuh hormat kaola maklumkan bahawa di Jame‘ ‘Asr Hassanil Bolkiah ini terdapat ayat Al-Qur’an ditulis di atas kaca yang berbentuk dom, yang mana bayang-bayang ayat itu kelihatan jelas di atas lantai tangga yang menjadi laluan dan tempat berpijak para jemaah dan juga pelawat-pelawat ke Jame‘ ini.

Oleh yang demikian kaola pohonkan penjelasan mengenai memijak bayang-bayang ayat Al-Qur’an berkenaan.

Jawapan: Al-Qur’an itu Kalamullah yang wajib dihormati serta wajib dipelihara dari sebarang kehinaan seperti jatuh ke lantai atau dibawa masuk ke tempat-tempat yang najis atau lain-lain seumpamanya.

Adapun perkara memijak bayang-bayang ayat-ayat Al-Qur’an seperti mana yang ditanyakan mungkin tidak boleh terjadi, kerana sekiranya bayang-bayang itu jatuh ke lantai dan ada objek seperti orang berdiri di bawah bayangan itu, maka bayang-bayang ayat Al-Qur’an itu dengan sendirinya akan mengenai objek (orang) yang lebih dekat dengan bayang-bayang itu seperti belakang, atau kepala atau belakang kaki (tertakluk di mana arah datangnya bayang dan kedudukan orang sebagai objek). Ini bermakna bayang ayat Al-Qur’an itu akan hilang digantikan oleh bayang objek tadi.

Walau bagaimanapun hal ini boleh diperhatikan melalui percubaan amali. Jika andaian-andaian di atas benar, maka ini tidaklah dapat dianggap sebagai memijak-mijak ayat Al-Qur’an.

Oleh yang demikian tidaklah timbul maksud penghinaan di sini, kecuali jika ada orang yang sengaja memijak-mijak bayang ayat Al-Qur’an ataupun hadits dengan tujuan atau apa jua cara yang boleh mendatangkan penghinaan. Perbuatan ini hukumnya haram dan berdosa. Maka perkara ini tidak boleh dibiarkan dan hendaklah dihindarkan.

Walau bagaimanapun, tanpa merosakkan keindahan seni khat ayat-ayat Al-Qur’an yang terdapat di dom yang dimaksudkan, maka kawalan boleh dibuat dengan apa jua cara yang difikirkan bersesuaian supaya dapat dihindarkan atau dielakkan orang yang berjalan di kawasan bayang-bayang ayat Al-Qur’an itu yang boleh membawa maksud penghinaan itu (jika ada).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7503