Bekerja Di Bank
Soalan: Bagaimana kedudukan orang yang bekerja dengan pihak bank yang bukan Islam yang mengamalkan riba, adakah sah pendapatan mereka, adakah sah jika digunakan wang gaji mereka untuk pergi haji dan adakah sah ianya digunakan untuk memberi nafkah pada anak isteri?
Jawapan: Sistem ekonomi Islam ditegakkan atas asas menghapuskan riba. Riba itu dikategorikan salah satu dosa besar yang menghapuskan atau menghilang berkat dari individu dan masyarakat, riba itu juga akan menyebabkan turunnya bala di dunia dan di akhirat. Hal ini jelas diterangkan melalui nash Al-Quran dan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ijma‘ ulama tentang pengharamannya.
Di antara ayat-ayat yang mengharamkan riba itu ialah:
Tafsirnya: “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba, dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.” (Surah Al-Baqarah: 276)
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah oleh kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (Surah Al-Baqarah: 278 - 279)
Syariat Islam memerintah supaya setiap orang Islam akan berusaha menentang dan menghapuskan maksiat. Paling minima, jika dia tidak mampu mencegah dari menyertai perkara maksiat itu dengan perkataan atau perbuatan, maka dengan hatinya. Oleh kerana itu adalah haram apa jua bentuk kerjasama dalam hal-hal dosa dan permusuhan, termasuk sokongan moral terhadap maksiat itu.
Firman Allah:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah Al-Mâ’idah: 2)
Sementara itu di antara hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mengharamkan riba:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat pemakan riba, orang yang memberi makan riba, juru tulis dan dua saksi riba, dan Rasulullah bersabda: “Mereka semuanya sama (dalam dosa sekalipun mereka berbeza-beza tentang kadar banyaknya).” (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas akan menyeksa para hati nurani orang-orang yang kuat pegangan agamanya yang bekerja di agensi-agensi kewangan atau syarikat yang tidak sunyi operasinya dengan riba sama ada sebagai juru tulis atau lain-lainnya.
Hanyasanya dosa riba itu tidaklah terbatas kepada pegawai yang bertugas di bank atau kerani di sebuah syarikat (riba) sahaja. Perkara ini hendaklah dilihat secara menyeluruh penyusunan sistem ekonomi negara Islam dan agensi-agensi kewangannya yang boleh membawa bala riba itu menyeluruh sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Maksudnya: “Sesungguhnya akan datang kepada manusia suatu zaman di mana tidak akan terlepas seorang pun, melainkan akan makan riba, maka sesiapa yang tidak memakannya (riba) akan terkena juga debu-debu riba itu.” (Hadits riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)
Hadits ini menerangkan sistem riba itu meluas, tetapi umat Islam diingatkan supaya jangan bermudah-mudah bahkan berhati-hati dan terus menentang dengan sebarang cara yang termampu dan bukan membantu dengan membuka bank-bank riba dan sebagainya.
Sebenarnya kedudukan riba seperti ini tidak akan berubah atau menjadi kurang dengan sebab keengganan orang tidak mahu bekerja di bank-bank atau syarikat (yang operasinya berdasarkan riba), tetapi yang hanya dapat mengubahnya ialah pemerintah yang merasakan bahawa sistem riba itu tidak selaras dengan Islam, dan sambil itu berusaha mengubahnya secara beransur-ansur, di mana perubahan ini tidak merupakan kejutan yang menimbulkan krisis kepada negara dan rakyat. Islam tidak menghalang konsep beransur-ansur dalam menangani masalah yang sukar dicegah seperti ini. Ini dapat dilihat konsep beransur-ansur sewaktu pengharaman arak dan lain-lain; yang penting ialah usaha yang tidak ditangguh-tangguhkan dan keazaman yang kuat ke arah menanganinya seperti yang telah dibuktikan oleh kerajaan dengan penubuhan institusi kewangan Islam (Tabung Amanah Islam Brunei dan Bank Islam Brunei).
Walau bagaimanapun, buat sementara pintu-pintu pekerjaan yang jelas halal dapat disediakan dengan kadar yang mencukupi, dan sementara institusi-institusi kewangan Islam dapat dibuka lebih banyak, maka adalah menjadi rukhshah (suatu kelonggaran) bagi orang Islam bekerja di bank-bank biasa.
Bagaimanapun juga orang Islam yang bekerja di bank konvensional ini sedang dia mampu mendapatkan pekerjaan lain untuk menyara hidupnya dan keluarganya, maka cukuplah dengan bertugas di tempat lain itu, bukan di bank berkenaan supaya terjauh perkara-perkara syubhah yang membawa haram. Sebagaimana perkara yang dijelaskan oleh hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Dari Abi Abdillah Al-Nu‘man bin Basyir Radhiallahu ‘anhuma katanya: “Aku dengar Rasululllah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itupun nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia, maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah dia ke dalam yang haram seperti seseorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternaknya) makan di dalamnya. Ketahuilah! bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ketahuilah! bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! itulah yang dikatakan hati.” (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Andainya seorang muslim itu tidak memperolehi pekerjaan selain yang ada di bank berkenaan, maka bolehlah dia meneruskan pekerjaan di bank itu atas asas pencarian atau pekerjaannya dianggap dalam keadaan bersangatan hajat yang dinilai kadarnya (yang diperlukan) dan yang penting pekerjaan itu berdasarkan niat, sehingga terbuka baginya pekerjaan yang lain dengan harapan untuk melepaskan dari yang haram dan sehingga tenteram dirinya dan memperolehi pekerjaan yang halal buat diri dan anak-anaknya.
Maka berdasarkan faktor-faktor hajat dan ada usaha untuk mencari sumber pekerjaan lain serta ada niat untuk melepaskan dari pendapatan melalui bank riba ini, di samping memenuhi keperluan (hajat) untuk hidup, maka hasil pendapatannya dari bank itu adalah halal dalam batas dan lingkungan seperti ditetapkan oleh Allah dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana dharurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. SesungguhNya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Baqarah: 173)
Keadaan terpaksa tersebut hendaklah betul-betul berlaku pada seseorang yang bererti dia benar-benar perlu kepada pekerjaan untuk saraan hidup diri dan tanggungannya, dan dalam masa yang sama tiada pekerjaan yang sesuai bagi mendapatkan pendapatan yang mencukupi bagi membiayai perbelanjaan hidup diri dan tanggungannya, kecuali pekerjaan yang terdapat di bank riba itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7507
