Ingkar Suruhan Ibu Bapa Pada Perkara Yang Bertentangan Dengan Ajaran Islam
Soalan: Bolehkah kita menolak kata orang tua kita atau ibu bapa jika yang disuruh itu bertentangan dengan ajaran Islam dan bagaimana pula jika mereka kecewa atas tindakan kita menolak permintaan mereka atau mereka betul-betul marah, dan jika kita mengikut kata mereka demi menjaga hati mereka adakah kita dihukumkan berdosa juga kerana kita tahu hukumnya?
Jawapan: Menghormati orang tua adalah perkara yang dituntut oleh hukum syara‘.Ini termasuk mentaati akan suruhan-suruhan dan mematuhi akan larangan-larangan mereka. Hal ini dibicarakan oleh para ulama dalam perkara berbuat baik kepada ibu bapa (Birr Al- Wâlidain) firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu menyembah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu pun dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” (Surah Al-Nisâ’: 36)
Dalam pada itu kita juga dilarang membantah kehendak-kehendak mereka apa lagi hendak bercakap kasar, mencaci atau mengherdik mereka. Allah telah berfirman:
Tafsirnya: “Janganlah engkau berkata kepada mereka berdua (ibu bapa) dengan perkataan yang kasar sekalipun dengan perkataan “ah” dan jangan engkau menengking atau menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang bersopan.” (Surah Al-Isrâ’: 23)
Terdapat beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mengambarkan balasan buruk akibat menderhaka kepada kedua ibu bapa itu dan dikatakan ianya termasuk daripada golongan dosa besar. Dalam riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Dosa-dosa besar itu ialah menyekutukan Allah, derhaka kepada ibu bapa, membunuh orang dengan tiada hak, dan sumpah yang bohong.” (Hadits riwayat Bukhari)
Dan hadits riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Tiga golongan yang tiada dipandang Allah kepada mereka di Hari Kiamat iaitu orang yang derhaka kepada ibu bapanya, peminum arak dan orang yang suka mengungkit pemberiannya dan tiga golongan yang tidak masuk syurga iaitu orang yang derhaka kepada ibu bapanya, orang yang membiarkan berlaku zina dalam ahli keluarganya dan perempuan yang meniru untuk menyerupai lelaki.” (Hadits riwayat Nasâ’i, Al-Bazzar, Al-Hakim dan Ibnu Hibban)
Dari hadits ini menggambarkan bahawa derhaka kepada ibu bapa itu boleh menyebabkan tidak dipandang Allah di Hari Kiamat dan yang lebih dahsyat menyebabkan tidak masuk syurga. Wal‘iyâdzubillah.
Demikianlah besarnya tuntutan hukum syara‘ dalam berbuat ihsan kepada ibu bapa, walau bagaimanapun tuntutan berbakti kepada ibu bapa itu hanya pada perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan kehendak hukum syara‘. Allah Subhanahu wa Ta’ala menyuruh kita mentaati mereka hanya dalam perkara yang berkebajikan, sebaliknya dia melarang kita mentaati dalam perkara-perkara yang membawa kepada dosa dan perbalahan. Ini dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Dan jika mereka berdua mendesak engkau supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka berdua dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Surah Luqmân: 15)
Maka dari keterangan di atas tiada mengapa seorang anak itu menolak kehendak orang tuanya jika yang disuruh itu bertentangan dengan kehendak syara‘. Perlu diingatkan dalam menolak suruhan tersebut, hendaklah digunakan kata-kata lemah lembut dan jangan sekali-kali kita bercakap kasar kepada mereka, mudah-mudahan dengan yang demikian akan melembutkan hati mereka. Memadailah menolak suruhan itu dengan tidak melakukan apa yang disuruhnya. Jika timbul kemarahan mereka disebabkan anak itu tidak melakukan suruhan berkenaan tiadalah menyebabkan anak itu berdosa kerana yang demikian itu tidak dianggap derhaka mengikut hukum syara‘. Ini dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam haditsnya:
Maksudnya: “Tiada ketaatan bagi mana-mana makhluk pada perkara yang melanggar perintah Allah.” (Hadits riwayat Imam Ahmad bin Hanbal)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7548
