Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Istiadat Bersanding

Soalan: Bagaimanakah menyedarkan masyarakat kita supaya adat istiadat persandingan dalam majlis perkahwinan yang masih kuat diamalkan ketika ini ditiadakan?

Jawapan: Majlis persandingan atau istiadat bersanding dalam masyarakat Melayu hari ini (dengan rujukan di Negara Brunei Darussalam) iaitu kedua mempelai akan duduk di atas pelamin untuk dipertontonkan kepada yang hadir. Pada masa ini ada juga pengantin perempuan sudah menutup aurat atau tidak mendedahkan rambut dan mana-mana anggota tubuh badan, namun masih ada yang bertabarruj (berhias) secara yang berlawanan dengan kehendak syara‘. Ada juga kalangan masyarakat melayu hari ini yang sedar akan kehendak agama mereka iaitu dengan melakukan persandingan di dalam bilik tertutup dengan hanya dihadiri oleh kaum kerabat atau mahramnya sahaja. Sikap sedemikian menunjukkan adanya kesedaran beragama yang sihat.

Bersanding itu tidak terdapat dalam Islam. Ia hanya satu budaya yang baru atau adat yang dicipta orang. Adapun agama Islam memang tidak bersetuju dengan apa jua jenis adat atau budaya yang bertentangan dengan kehendak-kehendak hukum syara‘.

Bagaimanapun istiadat bersanding yang hendak ditiadakan tergantunglah kepada kesedaran atau pendirian agama seseorang. Ini mungkin mengambil masa yang panjang. Di sini proses pembelajaran agama turut mengambil peranan yang penting. Semua pihak, lebih-lebih lagi yang sedar kepada perlunya berusaha ke arah menjadikan istiadat bersanding itu kepada yang tidak bertentangan dengan agamanya.

Nampaknya sikap setengah orang melakukan bersanding di bilik yang tidak terdedah kepada hadirin secara terbuka yakni hanya dihadiri oleh kaum keluarga yang mahram sahaja adalah suatu perubahan yang patut dipuji. Sikap agama dalam perkara perkahwinan ini adalah jelas.

Bergerak kepada perubahan-perubahan positif dan berkebajikan itu adalah sesuatu yang dipuji akal dan syara‘. Orang-orang Islam mesti berlumba dan terus berlumba melakukan dan mencari perkara-perkara yang baik yang digemari oleh syara‘ dan bukan yang ditegahnya, seperti firman Allah:

Tafsirnya: “Dan bagi tiap-tiap umat itu ada arah masing-masing menujunya, maka oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebajikan, kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan menghimpunkan kamu semua (pada Hari Kiamat untuk menerima balasan amal masing-masing), sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Surah Al-Baqarah: 148)

Beberapa contoh perubahan yang baik itu umpamanya di dalam masyarakat kita pernah berlaku budaya atau adat membuat persediaan-persediaan dan memberikan keutamaan-keutamaan kepada perkara makan minum dan berhidang sewaktu menguruskan mayat atau mayat masih diuruskan. Perkara ini sudah banyak yang berubah, dan bahkan sepanjang yang dapat kita lihat pada masa ini, orang hanya menumpukan soal tajhîz atau pengurusan mayat sahaja, bukannya dengan sibuk membeli belah, memasak dan berhidang makan minum. Ini adalah satu contoh yang baik, dan ianya tiadalah terhenti kepada satu perkara itu sahaja, misalnya boleh juga berlaku atau dibuat kepada lain-lain perkara umpamanya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hal ehwal perkahwinan dan lain-lain lagi.

Bagaimanakah cara menyedarkan masyarakat khasnya mengenai perkara persandingan ini supaya ia tidak bercanggah dengan syara‘ tentulah banyak, di antaranya melalui kurikulum di mana mata pelajaran yang difikirkan munasabah, seperti mata pelajaran agama atau mata pelajaran sivik atau mata pelajaran M.I.B (jika ada), peranan melalui dakwah di radio dan televisyen dan lain-lain cara di mana semua pihak bersatu padu menuju ke arah perubahan-perubahan berkebajikan itu. Mudah-mudahan dengan azam yang kuat dan niat yang baik untuk mencari dan mendapatkan keredhaan Allah, maka Allah menolong hambaNya dalam perkara-perkara taqwa itu. Mulakan daripada sekarang, insya’ Allah akan ada kesannya yang berkat kepada umat Islam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7556