Jemaah Haji Enggan Mengikut Nasihat Doktor
Soalan: Kebiasaan jemaah haji Brunei tinggal di Madinah kira-kira sembilan hari kerana untuk menyempurnakan sembahyang fardhu lima waktu sebanyak empat puluh waktu sebagaimana ada disebutkan dalam sebuah hadits Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Semasa berada di Madinah itu ada sebilangan jemaah haji ditahan di Klinik Perubatan Brunei di Madinah dalam beberapa hari itu kerana menerima rawatan demam panas, batuk, darah tinggi, kencing manis sehingga pihak doktor berpendapat dan menasihatkan jemaah haji yang ditahan itu bersabar dan jangan keluar dari klinik umpamanya ke Masjid Nabi kerana ditakuti akan melarat dan boleh mendatangkan kesan buruk kepada jemaah haji berkenaan. Perkara serupa ini juga berlaku di Makkah.
Jadinya ada sebilangan jemaah haji itu tidak mahu mendengar nasihat doktor berkenaan sehingga jemaah itu mengalami sakit yang lebih dahsyat lagi.
Adakah nasihat doktor seperti jangan keluar rumah bersalahan dengan hukum syara‘, sedangkan tugas mereka untuk memberi perkhidmatan perubatan berdasarkan ilmu pengetahuan, pengalaman dan adat kelazimannya?
Ada juga jemaah itu berkata: “Selamat jua ku ke masjid, doktor bukan Tuhan”.
Jawapan: Masalah ini semuanya perlu ditangani dengan penuh kesabaran dan lemah lembut oleh semua pihak yang bertanggungjawab mengendalikan para jemaah haji kerana dalam masa menunaikan fardhu haji itu memang banyak sangat cubaan dan dugaannya, terutama dalam menghadapi berbagai-bagai karenah manusia yang bermacam-macam.
Ini adalah kerana masing-masing datang ke tanah suci untuk menunaikan fardhu haji dan umrah dan juga beribadat di dalam Masjid Al-Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Tiba-tiba di antara mereka ada terganggu oleh berbagai sebab, terutama sakit. Sedangkan masa untuk mereka berada di kedua-dua tanah suci itu adalah terhad. Kerana ini, sebahagian daripada mereka yang sedang menghidap sakit pun, seboleh-bolehnya, tidak mahu tunduk dan menyerah kalah, bahkan ingin juga untuk merebut peluang melakukan sembahyang jemaah dan thawaf yang merupakan sesuatu yang sangat-sangat digemari dan tidak mahu ketinggalan, walaupun dalam keadaan uzur dan sakit.
Dari itu pegawai-pegawai yang bertugas perlu ada kebijaksanaan memahamkan kepada jemaah tentang perkara-perkara yang lebih utama dan perlu dilakukan dalam keadaan-keadaan tertentu.
Sementara itu bagi para jemaah pula hendaklah mendengar nasihat pegawai-pegawai yang bertugas, seperti nasihat doktor kepada pesakitnya, kerana tujuan nasihat itu adalah bagi kepentingan dan keselamatan pesakit itu sendiri.
Pekerjaan-pekerjaan atau tuntutan mengerjakan sembahyang jemaah di Masjid Nabawi adalah sunat, sedangkan pekerjaan umrah dan haji yang akan ditempuh pada hari-hari berikutnya adalah wajib yang memerlukan tenaga dan kesihatan yang secukupnya, supaya tujuan utama mengerjakan perkara-perkara yang wajib dalam umrah dan haji tidak akan terjejas.
Nasihat doktor kepada pesakit-pesakitnya sekalipun bukanlah pandangan Hukum Syara‘ secara mutlak, tetapi jika benar nasihat itu untuk mengelakkan pesakit daripada bahaya dan mudarat, maka ianya sangatlah sesuai dengan amaran Al-Qur’an, firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah Al- Baqarah:195)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7560
