Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Jemaah Tabligh

Soalan: Dengan hormat dimaklumkan bahawa Majlis Ugama Islam, Negara Brunei Darussalam telah menerima satu laporan penyiasatan sulit kegiatan Jemaah Tabligh di Negara Brunei Darussalam daripada Bahagian Penyiasatan dan Pendakwaan Jabatan Hal Ehwal Syara‘iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Di dalam laporan berkenaan telah dinyatakan beberapa perkara yang berhubung dengan Jemaah Tabligh iaitu dari segi sejarah kedudukan dan perkembangannya, organisasi pentadbirannya, prinsip, amalan, tujuan dan pandangan-pandangan daripada institusi-institusi keagamaan, masyarakat dan pengikut-pengikutnya.

Oleh yang demikian, bagi maksud tersebut di atas, dipohonkan fatwa mengenai kegiatan jemaah tersebut khususnya di Negara Brunei Darussalam pada kadar yang segera mengenainya.

Jawapan: Saya telah baca laporan penyiasatan sulit kegiatan Jemaah Tabligh di Negara Brunei Darussalam. Laporan mengandungi sejarah kedudukan dan perkembangannya, organisasi pentadbirannya, prinsip, amalan, tujuan dan pandangan-pandangan daripada institusi-institusi keugamaan, masyarakat dan pengikut-pengikutnya.

Untuk lebih menjelaskan kedudukan Jemaah Tabligh ini, maka elok dinukil semula tulisan dan fatwa bekas Mufti Kerajaan Brunei Darussalam, Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Ismail bin Omar Abdul Aziz Rahimahullah, yang bertajuk: “KUMPULAN DAKWAH INDIA DAN TUJUAN MEREKA.” Beliau antara lain menulis:

“Ahli Dakwah dan Tabligh dari India, dipelopori dan dipimpin oleh Al-‘Allâmah Al- Muhaddits Al-Faqîh Al-Syeikh Muhammad Ilyas bin Muhammad Ismail Al- Kandahlawi yang mati tahun 1363 Hijriah (1943 Masihi) yang diambilnya dari ajaran Allah, sehingga dia mati setelah sembilan belas tahun berdakwah dan bertabligh, kemudian dipimpin olah anaknya Al-‘Allâmah Al-Muhaddits Al-Faqîh Muhammad Yusuf sehingga dia mati tahun 1965 Masihi (1385 Hijriah), kemudian dipimpin oleh Al-Syeikh Al-Fâdhil Muhammad In‘âm Al-Hasan Ibn Al-Syeikh Al-Haj Ikrâm Al- Hasan yang berjalan hingga tahun 1973 Masihi (1393 Hijriah) menurut keterangan yang ditulis oleh Al-Syeikh Shadruddin ‘آmir Al-Anshâri dalam buku bernama Al- Syeikh Muhammad Ilyas wa Da‘watuhu Al-Dîniyyah yang diterbitkan pada tahun 1394 Hijriah.

Asas Dakwah Dan Tabligh

Adalah Al-‘Allâmah Al-Syeikh Muhammad Ilyas mengasaskan dakwah dan tabligh yang dipimpin olehnya ada tujuh perkara:

(i) Kalimah Thayyibah iaitu:

(ii) Mendirikan sembahyang fardhu dan sunat.

(iii) Mengaji ilmu dan berzikir dan berwirid.

(iv) Memuliakan dan menghormatkan tiap-tiap orang Islam.

(v) Ikhlas dan jujur dalam segala gerak geri.

(vi) Ke arah tenaga pada mengajak manusia pada jalan Allah (sabilillah).

(vii) Berusaha pada meninggalkan perkara yang tiada kena mengena pada menyampaikan pada enam tujuan itu.

Tujuh perkara itu dilaksanakan oleh Al-‘Allâmah Muhammad Ilyas dengan cara amal dengan tiada dia menulis di dalam kitab, kerana dakwah dan tabligh yang dipimpinnya itu berdasarkan amal dan perbuatan dan dicuba dan pelaksanaan bukan dengan cakap-cakap dan tulisan-tulisan dan pidato-pidato dan mengarang buku-buku dan kitab dan menyiarkan siaran dan majalah-majalah dan akhbar-akhbar. Tetapi pengikut-pengikutnya telah menulis cara melaksanakan tujuh perkara itu.

Bagaimana Cara Berdakwah

Cara menjalankan dakwah itu iaitu berhimpun sekumpulan orang dengan nama Allah dan kerana Allah dalam satu-satu masjid Allah, dan kumpulan itu mengangkat seorang daripada mereka seorang ketua, yang bertanggungjawab akan kerehatan orang-orang kumpulannya itu, mereka taat pada perintahnya yang bukan dalam perkara maksiat dan dosa, kemudian berjalan dan keluar ke mana-mana tempat sekurang-kurangnya dua kali seminggu, sebelum masuk waktu mana-mana sembahyang, tujuan keluar itu ialah berjumpa dengan orang-orang Islam, dan mengajak mereka, supaya berhimpun dan mendengar kata-kata mereka.

Apabila orang-orang sudah berhimpun di masjid, mereka mengingatkan peranan agama Islam dan tujuan beragama dan mustahak beragama, dan mengajak mereka dengan segala hormat bersama berdakwah.

Apabila orang-orang daripada mereka yang hadir telah bersedia berdakwah, maka mereka menyusun satu kumpulan, kerana keluar pergi menjalankan dakwah, maka kumpulan itu pergi keluar menuju pada tempat-tempat orang-orang yang telah biasa menjalankan kerja-kerja dakwah, supaya kumpulan itu bekerja di bawah pimpinan mereka. Apabila orang-orang itu telah berlatih dan telah belajar cara berdakwah, maka mereka pergi keluar ke tempat-tempat yang dekat atau tempat-tempat yang jauh, menurut kemampuan masing-masing kumpulan itu, kerana mengajak dan menyeru orang-orang Islam dan memimpin mereka supaya berbuat sebagaimana dibuat oleh kumpulan yang tersebut tadi.

Tiap-tiap orang keluar berdakwah itu di atas belanjanya sendiri, berazam dengan belanja itu dia benar-benar beradab dengan Allah dan rasulNya dan dengan dirinya serta dengan sekalian manusia, berlumba-lumba berbuat benar dan bersih hati, serta memelihara benar-benar akan perjalanan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam serta mengambil kira akan melazimkan dzikrullah dan membaca Al-Qur’an Al- Karim.

Dalam masa keluar dakwah itu, dikehendaki masing-masing ahli dakwah itu menjaga masa dengan betul dan tepat, maka janganlah dia menghabiskan masa dengan perkara yang tiada kena mengena dengan peranan mereka, dan hendaklah mereka mengambil perhatian dengan empat perkara yang di bawah ini:

Pertama: Dakwah dan Tabligh yang khas dan caranya iaitu menghantar setengah-setengah orang dari kumpulan itu keluar dan berhubung dengan penduduk yang terkenal di kampung atau negeri itu, dan menerangkan kepada mereka akan tujuan berdakwah dengan keadaan hormat dan sopan santun, minta mereka menolong dan hadir ke majlis dakwah itu.

Kedua: Dakwah Am dan caranya ialah setengah-setengah daripada kumpulan itu keluar dan berhubung dengan orang-orang ramai daripada umat Islam di dalam pasar-pasar dan kampung-kampung, dan mengajak mereka dengan keadaan beradab dan sopan santun dan lemah lembut dan mengajak mereka hadir dan mendengar, dan lebih afdhal dan lebih baik berhimpun di masjid, dan apabila berhimpun orang-orang ramai itu, maka dakwah ditujukan kepada mereka, dan mengajak mereka dengan lemah lembut dan bersungguh-sungguh supaya mereka mengosongkan diri dari kerja-kerja mereka, akan satu bahagian masa bagi berdakwah dan tabligh dan apabila ada setengah-setengah daripada mereka telah bersedia, maka diangkat dan disusun satu jemaah atau kumpulan mengikut cara-cara yang telah lalu itu.

Ketiga: Mengajar dan caranya hendaklah orang-orang kumpulan itu duduk dengan beradab dan hormat pada tiap-tiap hari, pada muzakarah dan membaca dan memahamkan hadits-hadits dan ayat-ayat Al-Qur’an yang memberi gembira dan riang hati bagi mengerjakan ibadat-ibadat, dan pada berperangai dengan perangai yang mulia, iaitu seorang daripada mereka membaca akan hadits-hadits yang berhubung dengan kelebihan beribadat dan berperangai yang mulia, dan orang-orang lain dalam kumpulan itu mendengar dan beradab yang munasabah dengan kemuliaan sabda-sabda dan hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, ditentukan sedikit masa itu bagi membaca Al-Qur’an Al-Karim, dan bagi muzakarah akan doa-doa yang ma’tsûrah (yang datang daripada Rasulullah), dan membaca surah-surah Al-Qur’an Al-Karim supaya dapat belajar oleh orang-orang yang tiada tahu akan perkara-perkara yang tersebut itu.

Selain dari itu, maka tiap-tiap orang daripada kumpulan itu berusaha pada menunaikan sembahyang-sembahyang fardhu dan sembahyang sunat dengan khusyu‘ hati dan merendah diri kepada Allah demi sedikit-sedikit sehingga penuh khusyu‘ dan merendah diri itu.

Keempat: Hendaklah tiap-tiap seorang dari kumpulan itu menampakkan dirinya sebagai contoh yang lengkap dari perangai yang baik, dan sebagai ikutan kepada kawan-kawannya pada memberi kemudahan kepada mereka, dan dia sentiasa bersedia berkhidmat kepada lain-lain orang, dengan tiada tamak akan mendapat balasan, dengan membuat kerja-kerja yang mesti dibuat seperti membeli perkara-perkara yang dihajatkan dan menyediakan makanan dan membasuh alat dan perabot yang mesti dengan bergilir-gilir.

Tujuan Dari Dakwah Dan Tabligh

Tujuan utama dari usaha-usaha dan kegiatan-kegiatan itu semuanya, sebagaimana kata Al-‘Allâmah Al-Syeikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi Rahimahullahu Ta‘ala, pengganti dakwah bagi ayahnya Al-‘Allâmah Syeikh Muhammad Ilyas itu, ialah menghidupkan sunnah Rasulullah dan berusaha melaksanakan cara-cara Rasulullah berdakwah dan cara hidup Rasulullah dalam semua lapangan kegiatan hidup manusia, iaitu menghidupkan keyakinan iman, dan membaharukan keyakinan iman dan mendirikan dan mengerjakan ibadat-ibadat, menurut caranya yang betul menepati kegiatan Rasulullah, dan membiasakan diri berperangai dengan perangai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan melaksanakan perangai Rasulullah itu pada bermuamalah dan berurusan dengan manusia, serta mengadakan majlis-majlis zikir dan wirid dan ratib dan majlis-majlis mengajar dan mengkaji bagi mencapai tujuan-tujuan yang tersebut itu.

Bila kumpulan itu kembali dari pelayaran dan dari perjalanan dan dari menyampaikan dakwah dan tabligh itu dan masing-masing orang dari sesuatu kumpulan tadi itu kembali ke rumah masing-masing, maka sayugialah masing-masing itu dengan dirinya sendiri menjalankan dan menunaikan kerja-kerja yang tersebut tadi, di dalam tempat kediamannya dan dia berusaha bersama-sama dengan kawan-kawannya mengembara dan keluar bertemu dengan orang-orang Islam sekurang-kurangnya dua kali seminggu, sekali di kampung tempat kediamannya, dan sekali di kampung lain, dan orang-orang kumpulan itu hendaklah berhimpun sekali pada satu malam dalam seminggu dan bermalam bersama-sama dengan beribadat dan berzikir.

Kerahan Tenaga Keluar Pada Jalan Allah (Sabilillah)

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Hendaklah satu kumpulan dari tiap-tiap satu suku kaum daripada umat Islam keluar mengangkat senjata memerangi musuh-musuh Allah, dan hendaklah kumpulan yang tinggal yang tiada keluar pergi perang itu, belajar dan memahamkan agama Islam, dan hendaklah mereka memberi ingat dan mengajar akan kumpulan yang keluar pergi perang itu, apabila mereka kembali ke kampung tempat mereka diam itu, setelah selesai peperangan itu, moga-moga mereka takutkan Allah dengan mengerjakan perintah Allah dan menjauhi larangan Allah.” (Surah Al-Taubah: 122)

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Jika kiranya kamu tiada keluar bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berjihad dan berperang pada sabilillah, nescaya Allah akan mengazabkan kamu dengan azab yang amat pedih dan Allah Ta‘ala gantikan kamu dengan kaum dan bangsa yang lain daripada kamu pergi keluar berjihad pada sabilillah bersama-sama Rasulullah.” (Surah Al-Taubah: 39)

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Hendaklah satu kumpulan dan satu jemaah dan satu pasukan daripada kamu (umat Islam) mengajak manusia pada agama Islam, dan mereka menyuruh orang berbuat perkara ma‘ruf yang digemarkan oleh agama, dan mereka menegah orang dari melakukan perkara mungkar larangan Allah, maka orang-orang yang berbuat begitu, keluar mengajak orang dan menegah orang, adalah mereka orang yang beruntung.” (Surah Ali ‘Imrân: 104)

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Tiada siapa yang lebih elok perkataannya daripada orang yang mengajak menyeru orang pada mentauhidkan Allah, dan dia orang beramal dengan amal salih, kemudian dia berkata saya adalah daripada golongan orang-orang Islam.” (Surah Fushshilat: 33)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Barangsiapa melalui satu jalan dengan tujuan mencari sesuatu ilmu, nescaya Allah Ta‘ala memudahkan baginya akan jalan menuju ke Syurga.” (Hadits riwayat Muslim)

Bersabda Rasulullah:

Maksudnya: “Barangsiapa keluar menuntut ilmu, maka dia berjihad pada jalan Allah sehingga dia kembali ke tempat tinggalnya.” (Hadits riwayat Tirmidzi)

Tujuan keluar pada sabilillah itu, ialah melapangkan masa dari kerja-kerja sehari-hari, kerana berlatih dan berusaha pada menyelaraskan hidup sehari-hari itu dengan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan mengajak dan menyeru orang lain berlatih dan berusaha, sebagaimana saya kata dahulu dari ini, bahawa kita tiada dapat lapang dari kerja-kerja hidup manusia sepanjang umur kita, kerana perkara itu tiada dapat dilaksanakan, tetapi kita boleh dengan tiada payah berbuat apa-apa sekadar kita lapangkan masa umur kita beberapa bulan dalam setahun, atau beberapa hari dalam sebulan, sebagaimana kita lapangkan masa kita bagi makan angin dan bersiar-siar dan berehat, dalam masa itu kita dapat membersihkan diri kita, dan dapat berdakwah mengajak saudara-saudara kita umat Islam, bagi membersihkan diri semata-mata kerana Allah, dan kita berusaha dan bekerja dalam masa lapang yang diuntukkan itu, pada tiap-tiap detik dan second kerana mengikut akan tauladan yang baik dari perjalanaan hidup Rasulullah, dan kita berusaha bertaubat, beribadat, memuji Tuhan, ruku‘ dan sujud, menyuruh orang berbuat baik, dan menegah orang dari melakukan mungkar dan kejahatan, dan derhaka kepada Allah dan kita menjaga sempadan-sempadan hukum larangan Allah supaya jangan kita limpasi akannya. Berusaha pada menghidupkan agama Allah, dan kita tiada langkah setapak dan kita tiada buat sesuatu dan kita tiada berkata-kata sesuatu melainkan dia sama dan tepat dan setuju dengan apa yang telah diperintahkan Allah akan kita suruh buat, dan apa yang telah disabdakan Rasulullah, maka kita akan sempurnakan dan amalkan.

Adalah keluar dari melakukan sesuatu pada jalan Allah dan pada sabilillah itu, adalah ia suatu jihad, kerana jihad pada sabilillah dan jalan Allah itu tiada tertentu sahaja menghadap musuh dengan senjata dan kekuatan dan tenaga, tetapi jihad pada sabilillah itu juga dengan jalan berdakwah dan mengajak orang pada menghayati kitab Allah dan sunnah Rasulullah, dan berpegang teguh dengan keduanya dan sentiasa melazimkan keduanya itu.

Percubaaan dan pengalaman tetapi menunjukkan bahawa keluar kumpulan-kumpulan kerana berdakwah dan tabligh dan menyampaikan dalam perkara yang berhubung meneruskan dakwah pada sabilillah dan jalan Allah itu, apabila dibuat pada tiap-tiap tahun dalam masa empat puluh hari, adalah ia sebaik-baik jalan bagi mencapai maksud yang dituju itu, sekurang-kurangnya kita berhimpun sehari dalam seminggu dalam mana-mana satu masjid Allah dan kita berlatih dan berusaha pada melakukan enam perkara yang tersebut di atas tadi.

Ini kita naqalkan dari kitab Al-Syeikh Muhammad Ilyas wa Da‘watuhu Al-Dîniyyah.

Dakwah Al-‘Allâmah Al-Syeikh Muhammad Ilyas itu ialah dakwah yang berlaku pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kerana tiada pada masa itu kitab-kitab dan siaran-siaran dan tiada sekolah-sekolah menurut pengertian zaman sekarang ini, tetapi cara-cara baharu yang direka oleh orang-orang sekarang ialah mengikut hajat-hajat zaman sekarang, dan orang-orang lupa akan jalan dakwah yang asal pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu memberi penerangan dengan disertakan dengan laksanaan.

Saya berpendapat jalan yang direka oleh Al-‘Allâmah Al-Syeikh Muhammad Ilyas itu adalah satu jalan yang lebih baik dan lebih berkesan supaya orang-orang Islam dapat menghayati perjalanan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, kerana ia dakwah dan amal.” Tamat katanya.

Beberapa Pandangan Tentang Jemaah Tabligh

Yang agak menarik perhatian ialah beberapa pandangan daripada institusi-institusi keagamaan. Pandangan-pandangan itu kelihatannya berbeza-beza pada isi dan pendekatannya. Ada yang mensifatkan ajaran Tabligh itu serupa dengan ajaran Gautama Budha dari India kerana pendakwah-pendakwahnya gemar berdakwah secara mengembara dari rumah ke rumah dan kampung ke kampung menyerupai cara Budha menjalankan dakwahnya.

Bagimanapun ini adalah satu pendapat. Ia hanya semata-mata pendapat. Apabila ada satu pendapat, maka pendapat lain juga mungkin ada banyak lagi. Di antara pendapat-pendapat itu, misalnya ialah jawapan kepada pendapat tadi, bahawa tidaklah tepat menyamakan Jemaah Tabligh dengan gerakan Budha hanya kerana Jemaah ini menggalakkan dakwah bergerak. Adalah dakwah dan tabligh itu memanglah biasanya bergerak, bukan tahan-tahan. Bukankah pengembang-pengembang Islam dari dahulu kala lagi adalah pengembara-pengembara yang berjalan jauh? Jika tidak, masakan Islam boleh sampai ke China, sampai ke India, ke Afrika, ke Eropah dan juga hatta kepada kita sendiri?

Dikatakan juga kebangkitan dakwah Tabligh berlaku setelah gagalnya kegiatan Qadiani. Kalau ini benar, juga tidak ada negatifnya. Qadiani telah disifatkan oleh sejarah dan sarjana-sarjana Islam sebagai tajaan penjajah untuk melemahkan kebangkitan Islam dan umat Islam di India, supaya pecah tidak dapat melawan penjajah itu. Qadiani membuang jihad dalam apa pun bentuknya, sedangkan gerakan Tabligh ini bergerak dilingkungan majoriti Budha/Hindu, yang tentunya mestilah menguntungkan Islam.

Seorang ulama Arab Saudi yang masyhur masa ini, Al-Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, iaitu pakar penyelidik ilmiah, fatwa dan dakwah dalam kenyataannya kerana menjawab pertanyaan yang dikemukakan kepadanya tentang Jemaah Tabligh ini, telah berkata antara lain:

“Pendapat orang adalah berbeza, ada yang memuji ada yang mengeji. Tetapi kami telah mengenal pasti mengenai mereka itu dari saudara-saudara kita yang boleh dipercayai dari ahli Najd dan dari mereka yang sentiasa bersahabat dengan mereka yang bermusafir ke India dan Pakistan. Ahli Najd dan mereka yang mengikuti bersamanya tidak pernah menyebut bahawa kegiatan yang dijalankan oleh dakwah Tabligh bertentangan dengan syara‘..... dan mereka telah melihat ramai dari mereka yang mengikut Jemaah Tabligh itu keadaannya bertambah baik sama ada dari segi amalan agamanya, akhlak dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan akhirat. Dengan itu saya berpendapat tidak ada apa-apa halangan keluar dengan bersama-sama mereka berdakwah dijalan Allah, bahkan seharusnya bagi ahli-ahli ilmu, ahli-ahli aqidah dan cerdik pandai sepatutnya turut serta bersama-sama mereka dan membantu mereka memenuhi kekurangan yang didapati pada mereka. Bersama-sama surat ini disertakan sebuah kitab yang dikarang oleh Al-Syeikh Muhammad bin Ibrahim Al-Syeikh yang memuji Jemaah Tabligh dan memberi galakan kepada alim ulama dan cerdik pandai Islam menolong memberi sokongan terhadap kerja-kerja dakwah yang dijalankan oleh Jemaah Tabligh dan jangan menghalang mereka. Tugas pendakwah itu ialah memberi ingatan, galakan ke arah membaiki aqidah dan berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah dan memberi amaran terhadap kerja-kerja bid‘ah dan khurafat dan hingga akhir perkara tersebut dalam kitab itu, dan saya sertakan bersama ini satu laporan yang ditulis oleh saudara-saudara yang kita boleh percayai iaitu Al-Syeikh Mohd. Amin bin Ali, Dekan Fakulti Hadits dan Pengajaran Islam di Jâmi‘ah Islamiyyah, Madinah Al-Munawwarah. Laporan ini ditulis oleh Al- Syeikh ini, apabila beliau bersama Al-Syeikh Abdul Kadir Murad yang telah dihantar oleh Jâmi‘ah Islâmiyah untuk menghadiri Muktamar Tahunan di Pakistan. Ringkasan laporan itu ialah beliau memuji usaha Jemaah Tabligh dan kerja-kerja Dakwah mereka serta menyeru supaya turut serta dalam kerja dakwah itu dan sentiasa mengikut perjumpaan dan sentiasa mengadakan hubungan dengan mereka.

Saya berdoa semoga kita semua mendapat keredhaan Allah dan kejayaan. Semoga mendapat manfaat dari usaha mereka itu sesungguhnya Allah itu Maha mendengar dan sentiasa berada di sisi kita.” Tamat katanya.

Berbangkit dari kenyataan dan fatwa Al-Syeikh Abdul Aziz bin Baz ini, ada pihak yang mengulas seolah-olah fatwa itu tidak boleh diterima kerana Al-Syeikh Abdul Aziz adalah pendukung pergerakan Wahabi. Pergerakan Wahabi memang tidak cocok dengan amalan orang-orang Melayu. Banyak amalan yang diamalkan oleh orang-orang Melayu ditentang oleh pergerakan Wahabi, seperti amalan berwirid dan berzikir selepas sembahyang, amalan bertalqin di atas kubur dan lain-lain, sehingga pergerakan Wahabi mengatakan amalan-amalan itu syirik atau khurafat menyalahi syara‘. Tamat kata pengulas itu.

Pendapat kita, kenyataan dan fatwa Al-Syeikh Abdul Aziz itu adalah bebas, tidak dikongkong oleh aliran Wahabiah atau berdasarkan pendirian orang-orang Wahabi. Perkara ini secara tidak disedari turut dibenarkan sendiri oleh pengulas apabila dia menyebut orang-orang Wahabi itu menentang amalan-amalan seperti berwirid dan bertalqin dan lain-lain. Kalau benar Al-Syeikh Abdul Aziz menjawab bersandarkan fahaman Wahabiah yang menentang wirid dan zikir, tentulah dia tidak seterbuka dan sekuat itu menyatakan persetujuan dan sokongan dengan pergerakan Jemaah Tabligh itu, kerana di antara perkara-perkara yang sangat dihayati menjadi amalan Jemaah Tabligh itu ialah ibadat dan zikir-zikir sunat dan doa-doa. Mereka menganjurkan ini pagi dan petang.

Cahaya Islam Memancar Daripada Jemaah Dalam sejarah umat Islam, pada awal-awalnya membuktikan, bahawa cahaya Islam itu memancar daripada jemaah. Cuba kita lihat dan amati rumah Dar Al-Arqam yang terletak di kaki bukit Safa di Makkah di zaman Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu, di sinilah tempat lahir dan memancarnya cahaya Islam dan iman dan telah keluar ahli cerdik pandai, pemimpin-pemimpin, panglima-panglima dan pendakwah-pendakwah yang menjadi tauladan kepada umat Islam dari zaman ke zaman sampailah ke hari kita ini. Dari sinilah tercetusnya amanah, sifat jujur, ikhlas dan sabar, cekal hati dan kuat jiwa serta semangat untuk melihat Islam itu berkembang dan tersebar melalui jihad dan dakwah.

Cetusan dan tampias daripada Rumah Al-Arqam inilah sehingga kita umat Islam dapat berbangga memiliki panglima-panglima dan pendakwah-pendakwah seperti ‘Uqbah bin Nafi‘, Qutaibah Al-Bahîli dan lain-lain lagi. ‘Uqbah pernah berdiri di pantai Atlantik di akhir tanah Maghribi dengan berkata sambil kudanya mengharung air masin:

Ertinya: “Ya Allah Tuhan Nabi Muhammad, kiranya tiadalah lautan ini, nescaya hamba buka dunia ini pada melaungkan kalimat Tuhan hamba ( ُ ال إَلـــه َ إَاله ا ّلِله ) Ya Allah, mohon saksikan doa hamba ini.”

Qutaibah Al-Bahîli pula telah menjelajah sampai ke negeri-negeri Timur Jauh, dan dia bersumpah hendak meneroka Negeri China, lalu seorang daripada pengikutnya telah memberi ingat kerana kasihan kepadanya, dengan berkata:

Ertinya: “Tuan telah menjelajah dalam negeri Turki wahai Qutaibah, sedangkan keadaan masa itu bergelora, sekali mara dan sekali kecewa.”

Qutaibah menjawab dengan semangat dan keimanan:

Ertinya: “Dengan penuh percaya terhadap pertolongan Allah kepada saya, saya akan menjelajah dan apabila sampai tempoh, tiadalah berguna segala kelengkapan.”

Melihat ini, maka pengikutnya itu pun berkata:

Ertinya: “Silalah tuan maju mengikut suka tuan, wahai Qutaibah. Azam tuan tidak dapat dipatahkan melainkan Allah jua.”

Inilah gambaran panglima-panglima dan pendakwah-pendakwah Islam pada zaman dahulu, dan kita pun juga tergambar, bahawa inilah juga sifat-sifat dan perilaku pendakwah-pendakwah yang membawa Islam ke rantau ini ke Tanah Aceh, Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Pulau Jawa, Borneo, Brunei, Sulawesi dan pulau-pulau Maluku. Mereka itu dengan semangat dan cekal hati serta bertawakal serta berpegang dan percaya dengan janji-janji Allah untuk menolong mereka, maka mereka pun (pendakwah-pendakwah) daripada Tanah Arab melalui Pakistan dan India itu berhasil memikat hati raja-raja sampai kepada rakyat-rakyat mereka untuk menerima Islam dengan redha hati, bukanlah dipaksa. Padahal pendakwah-pendakwah datang tidak dengan membawa bala tentera dan bekalan-bekalan yang cukup sempurna, bukan seperti kaum penjajah Eropah dan Jepun cukup dengan alat kelengkapan dan senjata mereka. Pendakwah-pendakwah itu menawan hati raja-raja dan rakyat hanya dengan sifat-sifat yang baik, budi bahasa yang luhur dan tingkah laku muslim yang sempurna, cara hidup, ibadat dan taqwa, sehingga dengan mudahnya raja-raja dan penduduk-penduduk itu menerima Islam.

Berbanding penjajah-penjajah seperti Sepanyol, Portugis, Inggeris, Belanda, Amerika, Perancis dan Jepun yang datang ke rantau ini atau lain-lain rantau dengan cukup kelengkapan dan senjata, cukup dengan bekalan dan tentera dan armada-armada, tetapi raja-raja dan pengikut-pengikut mereka itu tidak mahu tunduk begitu sahaja, bahkan rata-rata melakukan perlawanan apabila penjajah-penjajah itu mula menunjukkan belang mereka.

Inilah perbezaan asasi di antara pendatang-pendatang yang dipanggil pendakwah, dan pendatang-pendatang yang bernama penjajah tadi.

Pendakwah-pendakwah itu adalah ahli-ahli pengorbanan yang membelanjakan harta-harta mereka untuk kebajikan dan kebenaran, sedangkan orang lain itu berbelanja untuk kebatilan dan kezaliman. Pendakwah-pendakwah sentiasa menjaga dan memelihara nama baik serta kehormatan manusia, sedangkan orang lain datang dengan tangan yang berlumuran darah, menjadi perampas hak dan pencabul kehormatan wanita-wanita dan perempuan-perempuan yang tidak berdosa.

Pendakwah-pendakwah itu dengan iman telah beramal dan berusaha untuk membetulkan dunia, beristiqâmah membela agama dan dunia, serta menghimpunkan agama dan dunia itu untuk mencapai kehidupan yang mulia, yang bermaruah dan selamat dunia akhirat.

Jika inilah tujuan sebenar pendakwah-pendakwah, dari dahulu sampai sekarang, maka tujuan itu adalah tujuan yang betul semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah jua.

Berusaha dan berjihad dengan dakwah ini, orang-orang yang beriman tidaklah mengambil kira sama ada mereka disukai ataupun tidak. Yang utama bagi mereka ialah Allah dan RasulNya lebih berhak disukakan (dicari keredhaanNya) dari yang lain-lain. Inilah matlamat orang-orang beriman satu-satunya.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Allah dan RasulNya itu lebih berhak dan lebih utama mereka dapatkan keredhaannya, jika benar mereka orang-orang beriman.” (Surah Al-Taubah: 62)

Panduan Kepada Pendakwah

Apa yang disebutkan di atas ini merupakan cara-cara umum yang mesti ada kepada pendakwah-pendakwah. Yang lebih-lebih lagi penting dan mustahak, hendaklah mereka itu betul-betul meniru dan menyalin sifat-sifat dan kelakuan-kelakuan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai yang ditegaskan oleh Al-Qur’an bahawa Baginda itu adalah Uswah Hasanah (contoh terbaik), di antaranya:

(i) Tauladan dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam

Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah orang terunggul dan teratas sekali dalam beribadat.

Daripada sahabat Al-Mughirah bin Syu‘bah Radhiallahu ‘anhu katanya: “Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu bangun tidur pada malam hari lalu Baginda sembahyang tahajjud sehingga bengkak kedua tapak kaki Baginda. Manakala orang berkata: “Bukankah Tuan telah diampunkan segala dosa-dosa Tuan yang terdahulu dan akan datang?” Baginda menjawab:

Maksudnya: “Tidakkah patut aku menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah?” (Hadits riwayat Bukhari)

Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan daripada sahabat ‘Alqamah, katanya: “Saya telah bertanya kepada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha: “Adakah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu menentukan satu-satu ibadat pada siang dan malam?” (beribadat lebih pada setengah-setengah ketika). Sayyidatina ‘Aisyah menjawab: “Tidak, bahkan amal ibadat Rasulullah itu terus menerus tiada putus. Mana ada seorang kamu yang berupaya membuatnya seperti berupaya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membuatnya.” (Shahih Muslim: Bab: Fadhîlah Al- ‘Amal Al-Dâ’im).

Banyak beribadat tidak menghalang kemajuan

Benar pun dalam riwayat di atas menegaskan betapa ibadat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu tidak mampu untuk diikut bulat-bulat oleh sesiapa pun, namun konsep mengikut Sunnah Rasul itu tetaplah digalakkan dan terus kekal. Sebab itulah ulama berkata: “Sila kamu (wahai pemuda dan pemudi) ambil tauladan dalam ibadat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (lihat fatwa bekas Mufti Kerajaan Brunei, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz Rahimahullah, bilangan (36) dlm. MKB/13/1967).

Banyak dan tekun beribadat itu adalah sifat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sifat sahabat-sahabat dan sifat orang-orang mukmin yang salih. Ia bukanlah sifat melampau. Sifat melampau itu adalah sebaliknya iaitu mengabaikan ibadat kepada Allah, zalim kepada diri sendiri, derhaka dan menentang perintah-perintah Allah dan RasulNya. Inilah dia sifat melampau yang sebenar-benarnya.

Banyak dan tekun serta kuat beribadat itu tidaklah menghalang untuk maju. Cuba kita ingati, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah penghulu ibadat, raja ibadat yakni yang paling puncak dan teratas sekali dalam beribadat. Begitu juga sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut yang datang kemudian. Dan kita telah pun membaca sejarah seorang khalifah Islam yang sangat kuat beribadat, yang zuhud dan adil, Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz. Di dalam masa Baginda itu memerintah, negeri menjadi makmur, aman dan sejahtera, sehingga kerana kemakmuran melimpah-limpah itu, sampai untuk mencari fakir miskin yang hendak diberikan zakat pun adalah susah.

Keadaan inilah, lebih-lebih lagi terakam di dalam peri hidup Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam pada Baginda itu tekun dan menyeluruh dalam ibadat, pada ketika yang sama, Baginda juga menjalankan kerja-kerja dan tugas-tugas dunia, kerja-kerja dakwah, kerja-kerja jihad. Baginda mengatur tentera, mengarah dan memerintahkannya mara berjuang melawan musuh. Baginda juga mengirim utusan-utusan kepada pemuka-pemuka pada zaman itu untuk mengajak mereka supaya menerima Islam. Baginda memilih dan mengirim pegawai-pegawai untuk memungut zakat, fai’ dan jizyah dan membahagi-bahagikan harta-harta tersebut. Baginda juga selaku mursyid menerangkan hukum-hukum Allah kepada manusia, menghuraikan tujuan-tujuan ayat yang ringkas dan sulit. Baginda juga adalah hakim dan imam sembahyang.

Dari contoh-contoh ini nyatalah, bahawa bukanlah kerana banyak beribadat, seperti banyak ke masjid, banyak sembahyang dan banyak berzikir dan lain-lain itu yang membawa jumud dan mundur serta miskin.

Kita turut tumpang hairan, bahawa masa-masa yang digunakan untuk beribadat, berdakwah, berzikir dan lain-lain amal salih itu sering sahaja kita ungkit-ungkit, kita hitung-hitung dan kira dengan amat cermat dan cerewet sekali. Tetapi waktu-waktu yang terbuang begitu sahaja, tidak pula kita suka mengungkit dan apatah lagi menyesalinya. Umpamanya berapa banyak sudah masa kita kerana makan angin, melancong, berpelesiran, bersukan sampai dua tiga macam jenis sukan (kadang-kadang terjejas waktu sembahyang), menonton televisyen sampai berjam-jam setiap hari dan lain-lain lagi. Ini semua jarang kita timbulkan dan perinci. Padahal ruginya bukan kepalang, bukan rugi masa semata-mata, bahkan muflis pahala. Maha Benar Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang berfirman:

Tafsirnya: “Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah Al-‘Ashr)

Apa yang dimaksudkan dengan kerugian di sini ialah dari segi penggunaan masa itu, padahal ia berlalu bersama umur kita. Semua manusia di dalam kerugian bila ia digunakan di jalan yang sia-sia, sekalipun perkara yang harus, masih juga tetap rugi kerana tidak dapat menjadi bekal di akhirat, apatah lagi terang-terang maksiat kecuali akan terlepas daripada kerugian itu ialah mereka yang benar-benar beriman dan beramal salih, iaitu mereka yang diistilahkan oleh Al-Baidhawi sebagai orang-orang yang membeli akhirat dengan dunia. Mereka itulah orang-orang yang akan beruntung dan berjaya mencapai kehidupan kekal abadi dan bahagia. Mereka berpesan-pesan mengingatkan dengan tutur kata dan perbuatan yang benar serta bersabar menahan diri daripada maksiat. Inilah panduan dan cara menggunakan masa supaya tidak rugi itu.

(ii) Tauladan dari zuhud Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam Berkata sahabat, Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan: “Tidur Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas tikar, kemudian Baginda bangun daripada tidurnya itu dan (telah nampak bagi kami) berbekas di sebelah badan Rasulullah. Maka kami pun berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana kalau kami jadikan satu alas atau bantal yang lembut di antara Tuan dengan tikar itu?” Bersabda Rasulullah:

Maksudnya: “Saya tiada berhajat akan dunia. Tiadalah saya dengan dunia itu melainkan umpama orang belayar berteduh di bawah suatu pohon, kemudian dia bergerak meninggalkan pohon itu.” (Hadits riwayat Tirmidzi)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berdoa:

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah kehidupan keluarga Muhammad itu secukupnya dengan tiada lebih dari hajat.”

Itulah gambaran keadaan zuhud Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, setinggi-tinggi martabat zuhud, sebagai menyahut perintah Allah dalam Al-Qur’an, dan Al-Qur’an itu ialah akhlak Baginda. Firman Allah:

Tafsirnya: “Janganlah kamu panjangkan pandangan kamu kepada dunia dan perhiasannya yang telah Kami berikan kepada orang-orang kafir berupa kesenangan dengannya, kerana Kami hendak mencuba mereka atau memberi azab kepada mereka di akhirat dan kesenangan itu, dan apa pun pemberian Tuhan kami di akhirat itu lebih baik dari dunia yang diberikan kepada mereka dan lebih kekal.” (Surah Thaha: 131)

Janganlah salah faham dengan zuhud Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai melarang dari kehidupan dunia dan dari rezeki-rezeki yang halal. Kerana Baginda juga bangun menegur sikap dan pendirian setengah sahabat yang mengharamkan atas diri mereka berkahwin, makan daging, tiada berbuka puasa dan mengambil apa-apa yang patut dari kehidupan dunia ini.

Dan kita jangan salah faham menyangka zuhud Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu membawa kepada papa dan sengsara. Sebenarnya, jika Baginda itu mahu mewah, nescaya datang dunia kepada Baginda. Tetapi Baginda ingin mendidik dan membawa umat Islam hidup sederhana dan berpada, kerana takut nanti umat Islam akan kecewa, lengah daripada berdakwah, daripada berjihad dan daripada beribadat. Kerana apabila lebih mewah dan lebih senang dan lebih kenyang itu boleh membawa lengah dan mundur dari bekerja menegakkan kalimah Allah, dan Baginda juga takut dengan sebab mewah hidup dunia ini akan membinasakan umat Islam sebagaimana perkara ini biasa berlaku kepada umat-umat yang terdahulu.

Cuba kita perhatikan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim ini, bahawa sahabat, Abu ‘Ubaidah Radhiallahu ‘anhu telah datang daripada wilayah Bahrain dengan membawa harta. Orang-orang Anshar pun keluar beramai-ramai untuk mengalu-alukan sahabat ini, iaitu waktunya selepas sembahyang Subuh. Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun tersenyum melihat mereka, kemudian bersabda:

Maksudnya: “Saya fikir kamu telah dengar Abu ‘Ubaidah datang membawa sesuatu daripada Bahrain?” Sahabat-sahabat menjawab: “Benar, wahai Rasulullah.” Baginda seterusnya bersabda: “Maka bergembiralah kamu, dan bercita-citalah dengan apa yang kamu inginkan itu. Demi Allah, bukan papa yang saya takutkan atas kamu, tetapi yang saya takutkan ke atas kamu ialah dunia ini terbuka untuk kamu, sebagaimana dunia itu terbuka kepada umat-umat sebelum kamu. Maka kemudian kamu pun berlumba-lumba mencari kemewahan dunia, sebagaimana mereka berlumba merebutnya. Maka kamu pun binasalah sebagaimana mereka (umat-umat dahulu kala itu) binasa.

(Kisah umat-umat ini tersebut dalam Al-Qur’an)

Suatu jawapan kepada musuh-musuh

Sikap zuhud Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ini juga sebenarnya menjadi jawapan kepada orang-orang yang sakit hati kepada Islam yang sentiasa mengintai-intai untuk melancarkan tohmah dan tuduhan kepada Nabi dan agama Islam dengan berbagai-bagai tohmah dan tuduhan. Mereka itu ialah orang-orang Munafiq, Nasrani dan Yahudi dan Orientalis-orientalis. Dengan sifat zuhud Nabi itu menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bukanlah orangnya yang tamakkan dunia, yang mengajak dan membawa manusia kepada Islam kerana hendakkan harta, untuk mengumpulkan harta, hendak bersenang-senang dan bermewah-mewah atas nama agama, tidak seperti perbuatan dan ajaran pemimpin-pemimpin ajaran-ajaran salah dan sesat dari dahulu sampai sekarang, yang mencari dan mengharapkan pengaruh serta harta atas nama agama. Tetapi Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hanyalah semata-mata bertujuan membawa dan menyampaikan risalah Allah dan ingin berjumpa dengan Allah dalam keadaan tiada membawa harta benda dunia, melainkan cukup Baginda itu makan, minum dan berpakaian menutup aurat, dan apa-apa yang tinggal di rumah menjadi sedekah.

Inilah juga sunnah nabi-nabi yang terdahulu. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai kaumku, aku tidak minta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menjalankan dakwah. Aku tidaklah mengharapkan melainkan daripada Allah semata-mata.” (Surah Hûd: 29)

Kerana itu tidak hairan ramai sahabat-sahabat yang kaya raya akhirnya memilih hidup miskin atau cukup-cukup, dan demikian juga orang-orang yang terkebelakang kemudian turut memasuki alam zuhud itu semata-mata didorong oleh keinginan mahu bertabarruk dengan sunnah atau perjalanan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Perkara ini tidak akan pupus dan habis walaupun di tengah-tengah kempen keduniaan yang sehebat mana sekalipun, kerana sunnah dan millah Nabi itu adalah cahaya yang sentiasa bersinar dan abadi yang tidak akan hapus dan padam, walau segiat dan sekuat mana pun usaha hendak memadamkannya. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Mereka itu berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) dengan mulut-mulut mereka (dengan berbagai-bagai tohmah, propaganda dan kempen-kempen), sedang Allah tidak berkenan, tetapi sebaliknya akan tetap menyempurnakan cahayaNya itu, walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya.” (Surah Al-Taubah: 32)

Mengambil kepada alasan ini, jika kita dapati dan lihat ada orang-orang perseorangan atau kumpulan yang suka memasuki kehidupan zuhud itu (zuhud yang ada persamaan dengan zuhud Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat serta pengikut-pengikut yang datang kemudian), maka sayugialah jangan ganggu mereka itu, kerana mengganggu orang yang ingin berdamping dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah amat buruk akibatnya di sisi Allah Ta‘ala.

(iii) Tauladan dari tawâdhu‘ Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam

Bagi pendakwah-pendakwah dan belia-belia patutlah mencontohi tawâdhu‘ Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Walaupun Baginda itu Nabi dan Rasul yang utama, namun tawâdhu‘ Baginda tetap unggul. Apabila bertemu dengan para sahabat, Bagindalah yang mendahului memberi salam, dan apabila bercakap dengan mereka itu, Baginda akan mendengarnya dengan bersungguh-sungguh dengan tiada mengira sama ada muda atau tua. Apabila berjabat tangan, Baginda pula yang akhir menarik tangannya. Apabila Baginda ke pasar dan mengangkat barang-barang, Baginda akan mengangkatnya sendiri.

Baginda bersabda:

Maksudnya: “Saya lebih utama mengangkatnya sendiri (barang-barang itu).”

Baginda sekali-kali tidak membesarkan diri. Baginda juga menambal baju, membaiki selipar, menolong kerja rumah, sama-sama membuat masjid dan menggali parit pertahanan. Baginda bersifat lemah lembut, menyampaikan hajat orang dhaif dan fakir, dan makan bersama khadam.

Allah Ta‘ala yang mengajar Baginda demikian itu, sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: “Rendahkanlah sayapmu (berlemah-lembut dan merendah dirilah) kepada pengikut-pengikutmu dari kalangan orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Syu‘arâ’: 215)

Sifat tawâdhu‘ merendah diri yang ada pada Rasulullah ini patut dan mustahak diikut oleh para pendakwah, pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai, kerana dengan sifat-sifat begitu lebih membawa tunduk dan patuh serta setia, dan lebih cepat diterima oleh masyarakat yang didakwah atau dipimpin itu. Kerana itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah berjaya, dan tidak ada seorang setelah beriman dan menjadi pengikut Baginda yang menentang balik atau derhaka, melainkan semuanya kekal patuh dan bertambah-tambah taat setia mereka itu kepada Baginda.

Inilah hikmat dan rahsia sifat tawâdhu‘ itu yang menjadi pakaian nabi-nabi ‘Alaihimushshalatu wassalam serta pengikut-pengikut mereka.

Tidaklah seperti hari ini, kesetiaan orang terhadap pemimpin tidak tahan lama, kerana orang-orang apabila lama berkuasa dan menjadi pemimpin itu, semakin nipislah sifat tawâdhu‘ mereka, ini menjadikan orang benci dan timbulnya nafsu melawan terhadap mereka. Sebagai contohnya cuba kita lihat keadaan pemimpin-pemimpin dunia yang sering bertukar ganti, ada setengahnya itu yang dibunuh, atau diguling, atau dihalau, atau paling biasa ditentang dengan undi dan lain-lain lagi cara. Berbeza dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, tiadalah terlintas bagi orang-orang yang beriman untuk melawan dan menentang Baginda. Demikian juga sahabat-sahabat yang datang kemudian yang mengikut jejak langkah Baginda, sama sahaja mendapat sokongan dan dokongan ikhlas daripada umat Islam, dan jika ada pun sahabat-sahabat yang syahid dibunuh, itu bukanlah atas nama penderhakaan dan penentangan daripada kalangan muslimin, tetapi dari musuh-musuh di luar Islam dan di luar iman terhadap Allah Ta‘ala.

(iv) Tauladan dari sabar dan pemaaf Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam

Tidak perlu bagi dibincang mengenai sifat sabar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam. Ia sudah jelas dan memadai bila menyebutnya secara umum sahaja, iaitu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu memang seteguh-teguh dan sesabar-sabar orang. Baginda sanggup bersabar dari segala tekanan dan ancaman musuh. Musuh-musuh itu tidak pernah berhenti dari mencari jalan atau membuat rancangan-rancangan jahat untuk menyakiti Baginda, bahkan untuk mengusir Baginda daripada Makkah, dan malahan kemuncak dari rancangan jahat mereka itu ialah hendak membunuh Baginda. Namun Baginda tetap sabar dan tidak pernah mengubah sedikit pun pendirian Baginda untuk meninggikan Kalimah Allah.

Walaupun Baginda pernah disakiti dan dipakat-pakatkan untuk dibunuh, namun apabila Baginda dapat masuk ke Makkah dan menawan semula Makkah, sedang tokoh-tokoh musuh yang memusuhi Baginda kini sudah berada di bawah tangan Baginda, maka sekiranya Baginda mahu membalas dengan menimpakan sebarang pembalasan, perkara ini boleh sahaja dibuat. Tetapi Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidaklah sekali-kali berpendirian begitu, sebaliknya Baginda tetap berbuat baik dan memaafkan mereka. Cubalah dibandingkan pula dengan pemerintah-pemerintah dalam dunia ini, mereka itu lebih cepat membalas dendam dan menganiaya musuh-musuh mereka apabila ada peluang. Tidak seperti Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda mengampunkan musuh-musuh Baginda dan menjamin keamanan mereka itu. Baginda bersabda kepada musuh-musuh yang ditawan:

Maksudnya: “Apa kamu fikir yang patut saya lakukan dengan kamu?”

Mereka menjawab:

Maksudnya: “Kebajikan. Kerana Tuan saudara kami yang baik, dan anak saudara lelaki kami yang baik.”

Sabda Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Pergilah kamu semua, kamu bebas sekarang daripada tawanan.”

Hadits tersebut diriwayatkan oleh Baihaqi.

Muamalah dengan pengikut-pengikut

Cara bergaul atau muamalah Nabi kita Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sahabat-sahabat Baginda, itulah dia sebenar-benar cara dakwah dan pendidikan yang terbaik, yang patut ditiru dan diamalkan oleh kita sekarang. Baginda tidak pernah menjatuhkan air muka seseorang, walau ada kesalahan dan silap orang itu. Contohnya satu riwayat oleh Imam Muslim, bahawa sahabat, Mu‘awiyah bin Al-Hakam Al-Sulami telah berkata: “Suatu hari ketika saya sembahyang bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, tiba-tiba seseorang telah bersin. Saya pun berkata kepadanya: “Yarhamukallâh” sedang sahabat-sahabat lain memandang kepada saya.” Kata saya: “Mati ibuku! Mengapakah kamu menoleh kepada saya.” (Mendengar itu) mereka menepuk paha saya (dengan tujuan untuk mententeramkan saya). Manakala saya lihat mereka ini menyuruh saya diam, maka saya pun diam. Apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam selesai sembahyang, demi sesungguhnya belum pernah saya melihat seorang guru, baik sebelum mahu pun sesudah Rasulullah, yang lebih pandai mengajar, dan demi Allah, tiadalah Baginda itu menengking dan memukul saya, serta tiada juga memaki hamun. Hanya Baginda bersabda:

Maksudnya: “Bahawa ini sembahyang tiada harus padanya sesuatu dari kata-kata manusia. Hanyalah sembahyang itu tasbih, takbir dan membaca Al-Qur’an.” (Hadits riwayat Muslim)

Lihat betapa cantiknya contoh ini, betapa itulah caranya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melayan dan bermuamalah dengan sahabat-sahabat Baginda.

Semua ini terbentuk dan terjadi dengan bimbingan dan ajaran Allah sendiri kepada Baginda. Firman Allah:

Tafsirnya: “Maka dengan rahmat dan kasihan belas daripada Allah kepada engkau wahai Muhammad, engkau pun bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikut-pengikutmu), dan sekiranya engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka itu lari dan jauh daripadamu. Oleh itu maafkanlah mereka dan pohonlah ampun untuk mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka (dalam perkara urusan perang dan lain-lain). Kemudian apabila engkau telah berazam setelah mendapat fikiran daripada mereka, maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.” (Surah Ali ‘Imrân: 159)

(v) Tauladan dari sikap teguh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam

Seperti juga diterangkan awal-awal tadi bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sangat teruk menempuh berbagai kesulitan dan kesusahan dalam menjalankan tabligh dan dakwah, namun Baginda tiada sekali-kali undur dan tawar hati. Hanya Baginda itu berdoa memohonkan pertolongan, seperti satu contoh doa yang amat indah ini:

Maksudnya: “Ya Allah, aku mengadu lemah kekuatanku, kurang dayaku, hina aku di mata orang, wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani lebih dari segala orang yang pengasihani. Engkau Tuhan orang-orang yang lemah, Engkaulah Tuhanku, kepada siapakah Tuhan hendak menyerahkan aku? Kepada orang yang jauh yang bencikan aku, atau kepada seteru yang menguasai perkaraku? Kiranya tidak ada murka kepadaku, maka aku tidaklah peduli, tetapi yang penting itu ialah redha dan ‘afiat Tuhan terhadapku adalah maha luas dan terbuka, aku berlindung dengan cahaya nurMu yang mulia, yang dengannya menerangi kegelapan, dan sempurna segala urusan dunia dan akhirat, (dan menjauhkan) dari turun murkaMu ke atasku, aku mohon redhaMu. Tiadalah aku berdaya menolak mudarat dan bencana, dan tiadalah aku kuasa mendatangkan kebajikan melainkan dengan limpah perkenan dan qudrah kuasaMu jua.” (Al-Targhîb wa Al-Tarhîb li Al-Mundziri)

Dari isi doa itu teringat dan tergambarlah kita lebih jelas lagi betapa penderitaan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu bukan kepalang. Baginda pernah dilontar dengan batu dan dicurahkan tanah di atas kepala Baginda yang mulia. Bapa saudara Baginda, Abu Thalib hampir-hampir membiarkan Baginda dan menyuruh Baginda supaya berhenti daripada berdakwah menyiarkan Islam, kerana tiada sanggup melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diperlakukan begitu buruk dan ganas oleh kaumnya. Tetapi apa reaksi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam? Cuba kita perhatikan dengan hati nurani kita sabda Baginda ini:

Maksudnya: “Wahai bapa saudaraku demi Allah, kiranya mereka itu meletakkan matahari di sebelah kananku, dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan dakwah mengajak manusia kepada Islam, sehingga Allah memberi kemenangan kepada Islam itu, ataupun aku dibinasakan kerananya, nescaya tidaklah aku tinggalkan.”

Melihat azam dan sikap serta iman yang tidak boleh dipatah-patah itu, maka Abu Thalib pun berkata:

Ertinya: “Pergilah wahai anak saudaraku, dan katakan apa yang engkau suka, demi Allah aku tidak akan serah dan biarkan engkau sama sekali pada sesuatu yang membinasakan engkau.”

Baginda dengan tidak mencongak dan menghitung-hitung apa yang akan ditimpakan kepada Baginda, terus sahaja mara dan berjalan lurus melaksanakan perintah ini, firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang telah diturunkan ke atasmu dari Tuhanmu (iaitu ajaran Islam), dan jika engkau tidak berbuat begitu, maka tidaklah engkau menyampaikan risalah ajaran Allah.” (Surah Al-Mâ’idah: 67)

Lepas di Makkah, Baginda berhijrah ke Madinah. Di sini juga bersambung terus siri penentangan dan serangan orang-orang kafir ke atas Nabi dan kaum muslimin. Serangan-serangan itu juga mempunyai tujuan yang sama untuk mematahkan perjuangan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Tetapi Baginda tetap sabar menolak dan menangkis serangan-serangan itu, sehinggalah pada akhirnya Islam menang dan kerajaan Islam tertegak dengan berkat jihad pimpinan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang tidak mengenal undur dan takut, tetapi penuh sabar, tawakkal dan iman kepada Allah.

Kesimpulan Dan Rumusan

Demikianlah ringkasan beberapa tauladan dari kelakuan dan akhlak Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang merujuk kepada sifat-sifat zuhud, tawâdhu‘, sabar berdakwah dan bertabligh, tawakkal, lemah-lembut dalam bermuamalah dan bergaul, berani dan lain-lain lagi yang tidak disebutkan.

Jika ada sesiapa dari orang Islam, sama ada perseorangan atau jemaah seperti Jemaah Tabligh yang ditanyakan ini umpamanya, yang ingin meniru dan mengikut atau bercita-cita dan berusaha ingin meniru dan mengikut akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang demikian itu, maka adalah dia terpuji dan afdhal, dan adakalanya wajib, kerana apa-apa jua yang datang dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah semuanya benar dan mulia, semuanya membawa untung dan pahala, tiada rugi dan tiada cela, dan tiada terbuang hampas di dunia dan di akhirat.

Saya telah sampai dan lihat halaman 153 hingga 156 LAPORAN PENYIASATAN SULIT KEGIATAN JEMAAH TABLIGH DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM, yang disediakan oleh Bahagian Penyiasatan dan Pendakwaan, Jabatan Hal Ehwal Syara‘iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Dalam pandangan/cadangan mereka itu, ada yang munasabah, seperti mendapatkan bimbingan dan garis panduan daripada Pusat Dakwah Islamiah, mendapatkan kebenaran bertulis daripada Majlis Ugama Islam. Dan mana-mana yang patut dibincang, dibincangkan pula dengan semangat bertolak ansur dan persaudaraan seugama, dan niat tolong menolong di jalan kebajikan dan taqwa. Kerana Allah sangat mendorong ke arah itu seperti firmanNya:

Tafsirnya: “Dan bertolong-tolonglah kamu membuat kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah itu amat berat seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).” (Surah Al-Mâ’idah: 2)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7564