Jumlah Isteri Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
Soalan: Adakah jumlah isteri Rasulullah sebenarnya seramai lapan belas orang, yang dipakai hanyalah empat orang sahaja, benar atau salah?
Jawapan: Mula-mula umat Islam sayugialah berhati-hati dengan tohmah-tohmah dan diayah-diayah musuh. Adalah telah menjadi tabiat dan perangai musuh-musuh itu menghina Islam dan menghina nabi-nabi, terutama Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan berbagai-bagai teori dan diayah palsu yang sengaja dilakukan untuk merosakkan imej Islam dan nama baik Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Apabila imej Islam cacat dan nama baik Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tercemar, maka tercapailah maksud mereka untuk melihat Islam tidak diminati serta manusia akan lari daripada agama itu.
Adapun yang disepakati oleh ulama bahawa isteri-isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu sebelas orang, enam orang dari suku Quraisy, empat orang bangsa Arab lain dan seorang berasal dari bangsa Bani Isra’il.
Ulama juga sepakat mengatakan bahawa yang mula-mula sekali dikahwini oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah Khadijah binti Khuwailid dan Baginda tidak berkahwin dengan sesiapa sehinggalah Khadijah Radhiallahu ‘anha wafat.
Ulama juga mengatakan bahawa kesemua mereka yang sebelas orang itu sudah pernah berkahwin sebelum berkahwin dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, kecuali ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha.
Tuduhan Jahat Musuh-Musuh Islam Dan Jawapannya
Dengan jumlah isteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu, orang-orang kafir dan musuh-musuh Islam membuat tuduhan jahat bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kononnya sebagai gila seks.
Tuduhan dan sangkaan jahat seperti ini tidaklah benar sama sekali. Tuduhan seperti ini tidak sesuai dan tidak layak dilemparkan kepada seorang Nabi yang diutus untuk menyatupadukan umat.
Berkata Muhammad Redha dalam bukunya “Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam”: “Sebenarnya ramai dan banyaknya isteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu, bukanlah untuk memuaskan nafsu seks, akan tetapi tujuan utama Baginda berbuat demikian adalah untuk mencipta suasana silaturahim yang erat dan ikatan yang kuat di antara Baginda dengan para sahabat dan pemuka-pemuka Arab lain melalui jalan semenda. Kerana dengan adanya silaturahim yang erat dan ikatan yang kuat melalui jalan persemendaan ini akan membantu dan menyokong Baginda khasnya dalam penyebaran Islam.”
Katanya lagi: “ Adapun jika disebut bahawa Baginda itu bukan gila seks, adalah tepat sekali, kerana berdasarkan kenyataan dan zahir hidup Baginda sendiri.” Perkara ini dapat dibuktikan, di antaranya:
(i) Baginda ketika berkahwin kali pertamanya, ialah dengan seorang wanita janda yang sudah berusia empat puluh tahun, manakala Baginda sendiri masih muda dalam usia dua puluh lima tahun.
(ii) Baginda tidak pernah berkahwin dengan wanita lain sehinggalah isteri pertama itu wafat dan pada masa itu usia Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sudah mencapai lima puluh tahun. Sekiranya seorang lelaki dituduh gila seks, sedangkan sehingga usia lima puluh tahun masih hanya mempunyai seorang isteri, dan apabila isteri pertama ini wafat barulah berkahwin lagi. Adakah lelaki seperti ini dinamakan gila seks? Tentu tidak. Jadi tuduhan ini nyatalah palsu semata-mata dan bertujuan jahat.
(iii) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebenarnya tidak pernah berehat, Baginda terus menerus dalam keadaan berjihad. Semenjak dari permulaan Baginda dilantik sebagai rasul, sehinggalah Baginda wafat. Baginda hanya hidup untuk menyiarkan Islam.
(iv) Tujuan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam berkahwin ramai itu ialah untuk menciptakan suasana silaturahim yang erat dan ikatan persaudaraan bagi tujuan menyebarluaskan dakwah Islam dan ini terbukti di mana bapa kepada beberapa isteri-isteri Baginda adalah orang-orang kenamaan, seperti ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha adalah puteri Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu, Hafshah Radhiallahu ‘anha adalah puteri Umar bin Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu dan Ummu Habibah Radhiallahu ‘anha adalah puteri Abu Sufyan Radhiallahu ‘anhu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7568
