Keputusan Mahkamah Mengenai Thalaq
Soalan: Mahkamah Qadhi telah mentsabitkan perceraian antara suami isteri dengan menjatuhkan satu thalaq. Tetapi, suami merasa ragu tentang keputusan qadhi itu kerana suami merasakan ucapan yang dilafazkannya itu tidak menyebabkan jatuh thalaq. Walau bagaimanapun berdasarkan pentsabitan mahkamah itu suami telah ruju‘ semula kepada isterinya dalam keadaan masih ber‘iddah.
Maka dipohonkan fatwa mengenai dengan perkara di atas terutama keraguan suami terhadap keputusan qadhi berkenaan.
Jawapan: Pentsabitan qadhi terhadap perceraian suami isteri sebagaimana yang diminta fatwa adalah dipakai di sisi agama dan undang-undang dan segala perintah yang berbangkit daripada pentsabitan thalaq itu mestilah dipatuhi. Adapun keputusan qadhi tersebut adalah berdasarkan keterangan-keterangan yang diberi di hadapannya. Sekiranya keterangan-keterangan itu benar atau betul atau sebaliknya, maka keputusan qadhi adalah berdasarkan keterangan yang diberi di hadapannya. Qadhi adalah bebas dan dia memutuskan satu-satu hukuman berdasarkan keterangan yang diberi di hadapannya.
Sebenarnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pun apabila membicarakan sesuatu kes, maka dia akan membuat keputusan berdasarkan keterangan yang diberi di hadapannya kerana itu Baginda bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya aku hanyalah manusia dan kamu pula meminta dibicarakan (hukum) kepadaku, boleh jadi sebahagian dari kamu lebih pintar mengemukakan hujjahnya berbanding dengan sebahagian yang lain, oleh sebab itu aku akan memberi keputusan hukum kepadanya berdasarkan keterangan (hujjah) zahir yang aku dengar daripadanya. Sesiapa yang aku buat keputusan yang memihak kepadanya mengenai sesuatu dari hak saudaranya, (sedangkan dia telah berbohong atau silap dalam memberi keterangan) maka janganlah dia mengambil walaupun sedikit dari hak saudaranya itu, (berdasarkan keputusan itu) kerana sesungguhnya ianya adalah sepotong dari api neraka.” (Hadits riwayat Bukhari)
Manakala dalam riwayat yang lain pula Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya aku hanyalah manusia, dan saya didatangi oleh (mereka) yang meminta dibicarakan, boleh jadi sesetengah dari kamu adalah lebih pintar daripada sesetengah yang lain (dalam memberikan hujjahnya), oleh sebab itu aku akan mengiranya sebagai orang yang benar, dan aku pun akan membuat keputusan kepadanya berdasarkan yang demikian, maka sesiapa yang menerima keputusan hukum daripadaku dengan mengambil hak muslim yang lain, ianya adalah sepotong dari api neraka. Maka hendaklah kamu menerimanya atau meninggalkannya.” (Hadits riwayat Bukhari)
Walau bagaimanapun mengikut prosedur mahkamah jika orang yang dikenakan atau dijatuhi hukuman itu tidak berpuas hati dengan keputusan qadhi itu, maka orang itu boleh membuat rayuan kepada Jawatankuasa Kehakiman atau Mahkamah Ulang Bicara.
Berhubung dengan krisis rumah tangga suami isteri itu telah pun selesai di mana mereka telah ruju‘ semula. Apa yang penting ialah usaha suami isteri itu bagaimana hendak mengekalkan kerukunan rumah tangga mereka supaya menjadi rumah tangga yang bahagia.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7572
