Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Kirong Atau Tatu

Soalan: Apakah hukum menyimpan/membuat kirung di mana-mana bahagian badan bagi orang-orang Islam?

Dan apa yang harus dibuat oleh seseorang yang telah membuat kirung di badannya kerana jahil tentang hukum dan tentang perbuatannya itu atau berbuat demikian sebelum dia memeluk Islam?

Jawapan: Adapun kirung atau tatu itu ialah perbuatan menyucuk kulit badan dengan jarum yang tajam atau yang seumpamanya sehingga keluar darah, kemudian ditabur di atas badan yang telah dicucuk jarum itu dengan nila atau lain-lain bahan supaya tempat itu menjadi biru atau hijau atau seumpamanya. Benda-benda itu telah menjadi najis kerana bercampur dengan darah itu. Tujuan berkirung itu biasanya kerana hiasan atau adat atau kerana tujuan keagamaan. Perbuatan itu adalah haram, kerana ianya mengubah kejadian Allah. Banyak hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan bahawa Allah dan RasulNya melaknat orang-orang yang melakukan kirung itu. Di antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Dan daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melaknat perempuan yang menyambung rambutnya dan yang minta disambungkan, dan yang menyucuk kulit badan dengan jarum (berkirung) dan yang minta dibuatkan kirung.” (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Berkirung itu adalah haram, namun Allah memaafkan kiranya perbuatan itu dilakukan tanpa mengetahui tentang hukum haram berkirung itu atau dia ketahui bahawa perbuatan berkirung itu haram, tetapi dia telah menyesal dan memohon ampun serta bertaubat kepada Allah dengan taubat nashuha.

Walau bagaimanapun wajiblah dihilangkan (dihapuskan kesan) kirung itu kiranya diperolehi cara-cara yang selamat atau tidak memudaratkannya. Jika tidak dapat dihilangkan kirung itu dengan apa jua cara, maka tidaklah mengapa yang tinggal (dari kesan kirung itu), bolehlah dia melakukan ibadat seperti sembahyang sebagaimana orang-orang Islam yang lain bersembahyang. Hal ini sesuai dengan firman Allah:

Tafsirnya: “Tidaklah Allah memberati seseorang itu melainkan sekadar yang terpikul olehnya.” (Surah Al-Baqarah: 286)

Adapun berkirung itu jika dibuatnya semasa sebelum ianya memeluk Islam, maka tidak ada apa tuntutan ke atasnya, kerana dengan Islam telah menghapuskan dosanya yang terdahulu berdasarkan firman Allah:

Tafsirnya: “Allah memaafkan apa yang telah lalu.” (Surah Al-Mâ’idah: 95)

Dan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang berbunyi:

Maksudnya: “Islam menghapuskan segala dosa sebelum daripadanya.” (Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7576