Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Menghadiri Jemputan Kahwin

Soalan: Di sampul kad jemputan, selalu disebutkan nama orang yang hendak dijemput, iaitu hanya nama suami dan isteri. Bolehkah mereka ini membawa anak dan saudara mereka bersama mereka ke majlis itu?

Jawapan: Hukum menghadiri jemputan akad nikah itu wajib, bahkan fardhu ‘ain seperti tersebut dahulu dan inilah yang dimaksudkan dengan walimah. Walaupun begitu, hukum membawa anak ke majlis perkahwinan akan tertakluk kepada keadaan setempat, jika kehadiran anak-anak bersama-sama ibu bapanya ke majlis perkahwinan itu tidak mendatangkan gangguan atau menyebabkan tidak selesa kepada majlis tersebut, atau keadaan masyarakat setempat tidak menunjukkan karenah-karenah yang negatif atau tidak senang dengan kehadiran anak-anak bersama ibu bapanya itu, maka kehadiran anak-anak itu adalah harus.

Adalah harus juga membawa anak-anak jika tidak boleh ditinggalkan bersendirian di rumah, kerana ketiadaan orang yang dapat menjaga keselamatan anak-anak tersebut.

Jika adat setempat atau ‘uruf (kebiasaan) menunjukan bahawa tidak menjadi kelaziman atau kebiasaan anak-anak hadir ke majlis perkahwinan, maka elok tidak dibawa ke majlis tersebut, kecuali bagi keluarga yang diundang seluruh isi rumah/anggota keluarganya.

Adapun pertanyaan mengenai membawa saudara adalah kurang jelas. Walau bagaimanapun ia boleh diqiyaskan kepada hukum anak-anak di atas, mana-mana yang berkenaan. Demikian juga jika maksud saudara itu sudah dewasa, dan kehadirannya tidak menunjukkan reaksi yang tidak menyenangkan kepada tuan rumah, maka berjalanlah hukum adat padanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7608