Menghadiri Kenduri Majlis Perkahwinan
Soalan: Kenduri kahwin digalakkan sekali sahaja demi untuk mengisytiharkan perkahwinan seseorang iaitu semasa akad nikah sahaja. Bagaimanakah hukumnya mengadakan majlis-majlis perkahwinan yang diadakan tiga hari iaitu malam berbedak, semasa akad nikah, malam berpacar, bersanding yang diikuti oleh ambil-ambilan, mulih tiga hari?
Jawapan: Kenduri kahwin atau jamuan kahwin adalah sunat. Bagi orang-orang yang berada, sekurang-kurangnya ialah dengan seekor kambing, sementara bagi yang tiada berada, dengan sebarang yang terdaya sekalipun hanya dengan menyajikan minuman. Adapun hukum menghadiri atau memenuhi panggilan kahwin itu adalah fardhu ‘ain. Dasar wajib ini ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Apabila kamu diundang menghadiri walimah (perkahwinan), maka hendaklah kamu datang.” (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksudnya: “Apabila kamu diundang menghadiri walimah perkahwinan hendaklah kamu memperkenankan (hadiri) jemputan itu.” (Hadits riwayat Muslim dan Ibnu Majah)
Walau bagaimanapun wajib menghadiri undangan perkahwinan ini, ialah dengan syarat-syarat seperti berikut:
(i) Orang yang memanggil itu orang Islam.
(ii) Jangan jamuan itu hanya untuk orang kaya, bahkan hendaklah diratakan kepada kaum bangsanya atau jiran-jirannya atau rakan sekerjanya, sekalipun mereka kaya.
(iii) Hendaklah jemputan itu pada hari yang pertama, jika jamuan itu dibuat tiga hari, maka tiada wajib hadir pada hari yang kedua, dan makruh hadir pada hari yang ketiga, jika tiada dapat dipanggil semua pada hari yang pertama kerana sempit rumahnya atau kerana banyak orang, maka wajib hadir pada hari yang kedua.
(iv) Jangan dia panggil orang itu kerana takut atau kerana mencari faedah daripadanya, bahkan dia panggil orang kerana mesra dan kerana berbaik-baik dengan syarat hendaklah ditentukan orang yang akan dipanggil itu sama ada dirinya sendiri atau wakil bagi dirinya.
(v) Jangan orang yang dipanggil itu membuat-buat uzur.
(vi) Jangan ada panggilan lain mendahului panggilan orang itu.
(vii) Jangan ada ghalib zhan (lebih kuat sangka) terdapat pada harta yang memanggil itu harta syubhah.
(viii) Jangan ada di tempat jamuan dan tempat panggilan itu orang yang menyakiti akan orang yang dipanggil.
(ix) Jangan ada di tempat panggilan itu sesuatu perkara mungkar (seperti arak dan bunyi-bunyian haram, tari menari lelaki perempuan dengan lenggang-lenggok, campur gaul lelaki perempuan dan sebagainya).
(x) Jika kehadirannya ditempat panggilan itu membawa hilang mungkar, maka hendaklah dia hadir supaya mungkar itu hilang.
Mengenai dengan majlis berbedak, malam berpacar, malam ambil-ambilan dan mulih tiga hari hanyalah adat sahaja, bukan amalan dalam Islam.
Yang sudah pasti malam berbedak dan malam berpacar itu tidak sesuai dengan pengantin lelaki, sebagaimana telah disebutkan hukum berpacar sebelum ini, sementara malam ambil-ambilan dan mulih tiga hari pada setengah-setengah orang sangatlah membebankan kewangan dan sangat memenatkan, kadang-kadang terdapat perkara wajib ditinggalkan atau diabaikan, seperti ibadat sembahyang. Eloklah kita kembali kepada ajaran Islam yang mudah itu. Kembali kita kepada perinsip agama sebagaimana yang disarankan oleh hadits:
Maksudnya: “Daripada keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan barang yang tidak berguna kepadanya.” (Hadits Shahih diriwayatkan oleh Tirmidzi)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7612
