Menikah Secara Wali Hakim
Soalan: Sepasang mempelai telah dinikahkan secara wali hakim dengan perintah Mahkamah Qadhi kerana wali (bapa perempuan) itu enggan mewalikan mauliahnya (anak perempuannya). Selepas akad nikah bapa perempuan tidak membenarkan anaknya bersama suaminya kerana bapa mendakwa pernikahan tersebut tidak sah. Oleh yang demikian dipohonkan fatwa mengenai penikahan tersebut.
Jawapan: Enggan wali yang mengharuskan berpindah wali kepada sultan atau qadhi itu dengan enam syarat: (i) Tsabit ingkar wali itu pada qadhi dengan ada dua saksi. (ii) Adalah lelaki yang meminang itu lelaki yang kufu’. (iii) Hadir perempuan dan lelaki atau wakilnya di hadapan qadhi. (iv) Telah ditentukan oleh perempuan itu seorang daripada lelaki yang kufu’. (v) Perempuan itu berakal. (vi) Tiada berulang-ulang tiga kali enggan itu, maka jika sampai tiga kali berpindahlah kepada wali jauh. Dengan itu, jika telah tsabit enggan (‘adhal) wali di sisi qadhi, maka pernikahan dengan menggunakan Wali Hakim sebagaimana yang diputuskan oleh qadhi itu adalah sah mengikut hukum syara‘ dan dengan syarat sempurna segala rukun-rukun nikahnya. Maka dengan sahnya pernikahan tersebut, tidaklah selayaknya seorang bapa itu menghalang anaknya itu daripada mengikut suaminya, kerana taat isteri kepada suaminya itu diwajibkan oleh syara‘. Secara ringkas, di antara hak-hak yang wajib disempurnakan oleh isteri kepada suaminya ialah:
(i) Taatkan suami.
(ii) Berkelakuan baik terhadap suami.
(iii) Menyerahkan diri kepada suami.
(iv) Melazimkan duduk dalam rumah yang diuntukkan oleh suami.
Sebenarnya syara‘ mencela sikap bapa yang enggan untuk mewalikan mauliahnya (anak perempuannya) yang telah memenuhi syarat-syarat perkahwinannya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada orang-orang tua berhubung dengan anak-anak gadis mereka: “Apabila datang kepada kamu pemuda yang kamu sukai agama dan akhlaknya, maka kamu kahwinkanlah dia, jika tidak kamu kahwinkan, akan timbullah di muka bumi ini fitnah dan kerosakan.” Mereka bertanya: “ Wahai Rasulullah, jika dia orang miskin atau dari keluarga sederhana?” Rasulullah bersabda: “Apabila datang kepada kamu pemuda yang kamu sukai agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia.” (Ucapan ini Rasulullah ulangi sebanyak tiga kali). (Hadits riwayat Tirmidzi)
Dengan mudah difahami dari hadits ini, bahawa adalah tidak wajar bagi si bapa menghalang anak gadisnya berkahwin apabila sudah ada orang yang layak datang untuk mengkahwininya. Jika si bapa bertindak menghalang, maka si bapa telah melanggar hak anak gadisnya, dan telah menghalang berlangsungnya perkara yang telah dihalalkan serta digemari oleh Allah, iaitu sunnah perkahwinan yang sangat digalakkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Keengganan bapa ini tidak habis setakat itu sahaja (iaitu tidak mahu mewalikan anak perempuannya), bahkan selepas perkahwinan pun bapa yang enggan ini berusaha lagi tidak mahu melepaskan anak perempuannya itu ikut bersama-sama suaminya. Pada hal syara‘ menghendaki supaya seorang isteri itu taat kepada suaminya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Andainya aku perintahkan seseorang itu sujud kepada seorang lain, nescaya aku perintahkan seorang isteri sujud kepada suaminya.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Jadinya jika bapa tersebut yang tidak mahu melepaskan anaknya mengikuti suaminya, lebih-lebih lagi jika bertujuan untuk memisahkan mereka (suami isteri) tanpa sebab-sebab yang wajar, maka perbuatan ini adalah haram dan suatu dosa, sedangkan syara‘ menghendaki supaya orang-orang Islam sentiasa menghubungkan silaturahim, bukan sebaliknya, hatta suami isteri yang bertelingkah hendaklah diusahakan supaya didamaikan supaya kembali menjalani kehidupan rumah tangga yang bahagia.
Memisahkan atau tidak mempertemukan suami isteri akhirnya boleh membawa perceraian (thalaq), perceraian itu pula adalah yang dibenci oleh Allah walaupun ianya halal.
Hendaklah diingat bahawa seorang perempuan yang belum bersuami, maka bapanyalah yang menguasainya, dan anak itu mestilah taat akan perintah-perintah bapanya, tetapi apabila anak perempuan itu telah bersuami, maka berpindahlah bidangkuasa itu kepada suaminya, suaminya pula wajib ditaati selama mana bukan perkara-perkara maksiat.
Oleh yang demikian, demi menjaga kerukunan suami isteri dan demi menjaga hubungan baik di antara anak dan bapa, adalah wajib bapa melepaskan anak perempuannya itu mengikuti suaminya, supaya isteri dapat menjalankan kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap suaminya, dalam waktu yang sama dia tidak menderhaka kepada orang tuanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7616
