Perbelanjaan Perkahwinan Yang Membebankan
Soalan: Perbelanjaan bagi membuat pelamin, sewa baju untuk pasangan pengantin memerlukan duit dua tiga ribu bahkan ada yang lebih mahal lagi, adakah cara ini digalakkan dalam Islam?
Jawapan: Membuat pelamin dan lain-lain yang disebutkan oleh penanya itu tidak ada dalam Islam.
Sebagaimana penjelasan yang terdahulu dan penjelasan yang akan disebutkan berikut ini bahawa cara-cara yang disebutkan oleh penanya itu memang tidak ada dalam Islam.
Marilah kita perhatikan majlis perkahwinan sebagaimana dituntut oleh syara‘ dan juga majlis perkahwinan yang dicampuri oleh adat. Majlis perkahwinan yang dikehendaki oleh syara‘ sangatlah mudah dan tidak menyusahkan. Ini selaras dengan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu.” (Surah Al-Baqarah: 185)
Apa yang sudah nyata dalam istiadat perkahwinan yang dicampuri oleh adat iaitu adat sebelum berkahwin termasuk majlis akad nikah, majlis bersanding dan majlis pengantin muleh, semuanya itu memerlukan kewangan yang bukan sedikit. Di sini pembaziran wang tidak dapat dielakkan.
Selaras dengan sikap agama Islam sebagai agama yang mudah, tidak membazir, maka jalan yang selamat ialah kembali kepada jalan yang diaturkan oleh agama, supaya majlis perkahwinan itu dapat dilaksanakan dengan sederhana sekali.
Namun perkara ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa dengan kesedaran yang menyeluruh mungkin juga campur tangan pihak berkenaan diperlukan untuk memberikan garis pandu dan nasihat. Adat yang baik boleh dikekalkan selama tidak bertentangan dengan ajaran agama.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7660
