Perniagaan Laser Disc Dan Video
Soalan: Dengan penuh hormat serta takzim sukacita kaola memohon agar sekiranya Pehin Mufti dapat memberi ulasan berkenaan dengan perniagaan laser disc dan video mengikut landasan Islam, kerana kaola berhasrat untuk membuka perniagaan tersebut. Untuk makluman Pehin Mufti, laser disc dan video ini adalah seperti wayang gambar tetapi berbentuk video dan laser dan ianya disewa oleh pelanggan untuk ditonton seperti juga siaran wayang gambar di televisyen. Dari itu kaola pohon penjelasan sama ada perniagaan ini harus, halal atau haram untuk diperniagakan mengikut landasan Islam? Penerangan daripada pihak Pehin Mufti adalah sangat-sangat dihargai.
Jawapan: Mencari rezeki dengan melalui perniagaan adalah sangat-sangat dituntut oleh syara‘, kerana sembilan persepuluh sumber rezeki datangnya dari perniagaan. Di antara ayat-ayat Al-Qur’an yang menganjurkan perniagaan itu ialah:
Tafsirnya: “Dan yang lainnya orang-orang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah.” (Surah Al-Muzzammil: 20) Mengikut Tafsir Ibnu Katsir maksud “Untuk mencari rezeki” itu ialah berniaga dan berusaha. Di antara hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang memberi penekanan terhadap perniagaan itu ialah:
Maksudnya: “Daripada Rafi‘ bin Khudaij beliau bertanya: “Dikatakan wahai Rasulullah, apakah mata pencarian yang lebih baik?” Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Kerja seseorang dengan tangannya dan tiap-tiap jual beli yang mabrur.” (Hadits riwayat Ahmad, Al-Bazzâr dan Al-Thabarani)
Berkata Abu ‘Ubaidah: “Mabrur itu yang tidak bercampur dengan pembohongan, tidak ada sesuatu yang membawa dosa atau tidak syubhah, khianat, dan penipuan.” (Kitab Al-Barakah fi Fadhl Al-Sa‘yi wa Al-Harakah, bagi Abu Abdillah Muhammad bin Abdul Rahman bin ‘Umar bin Al-Washabi Al-Habsyi).
Maksudnya: "Pedagang/Peniaga yang benar lagi amanah (akan dibangkitkan) bersama-sama dengan para Nabi, Shiddiqin, dan para Syuhada’.” (Hadits riwayat Tirmidzi dan Al-Hakim)
Bahawasanya wara‘ dan memelihara diri dari haram atau yang syubhah serta mencari hanya yang halal sahaja dan memakan dari yang halal dengan menjauhi yang haram dalam perusahaan dan makan dan seumpamanya, semua itu adalah menjadi perkara penting sekali di dalam agama dan dikira antara perkara-perkara yang boleh mendekatkan seseorang hamba kepada Allah.
Sementara itu banyak ayat-ayat Al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan manusia supaya memakan yang halal dan baik di antaranya: Allah telah berfirman:
Tafsirnya: “Wahai manusia! makanlah sebahagian dari makanan yang ada di bumi ini, yang halal dan baik, dan janganlah kamu turuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata.” (Surah Al-Baqarah: 168)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Dan makanlah dari rezeki yang diberi Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.” (Surah Al-Mâ’idah: 88)
Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Mencari yang halal adalah wajib atas setiap muslim.” (Hadits riwayat Thabarani dan Dailami)
Sabdanya lagi:
Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan itu adalah baik, tiada menerima dari hambaNya melainkan yang baik sahaja, dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kaum mukminin sebagaimana Dia telah memerintahkan para Rasul. Allah berfirman: “Wahai para Rasul, makanlah dari yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang salih, sesungguhnya Aku Maha Mengetahui terhadap apa yang kamu kerjakan.” Dan Allah berfirman lagi: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah yang baik dari apa yang Kami rezekikan kepada kamu.” Kemudian Baginda menyebutkan pula tentang seorang yang belayar jauh, sedang rambutnya kusut masai, berdebu kerana pelayaran yang begitu jauh. Dia mengangkat kedua belah tangannya arah ke langit, seraya berdoa: “Ya Tuhanku! ya Tuhanku!”, manakala makanannya dari yang haram, dan minumannya dari yang haram, dan pakaiannya juga dari yang haram, malah (perutnya) telah selama-lamanya diisikan dengan makanan yang haram, bagaimana ia boleh dikabulkan.”
(Hadits riwayat Muslim dan Tirmidzi)
Sabdanya lagi:
Maksudnya: “Tidak akan memasuki syurga daging yang tumbuh dari yang haram.” (Hadits riwayat Imam Ahmad)
Sabdanya lagi:
Maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka api neraka lebih baik menerimanya.” (Hadits riwayat Thabarani)
Sabdanya lagi:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengumpul dari jalan yang tidak halal, kelak apabila dia bersedekah tidak akan diterima sedekahnya, dan jika dia membelanjakannya tidak akan diberkati perbelanjaannya dan jika ditinggalkannya sebagai harta pusaka, akan menjadilah harta itu sebagai kayu api yang kekal membakarnya di dalam neraka.”
Berkata Ibnu Mubarak Rahimahullahu Ta‘ala: “Menolak satu derham yang ada syubhah adalah lebih dicintai Allah daripada bersedekah dengan seratus ribu derham, kemudian ditambah lagi dengan seratus ribu yang lain, seratus ribu yang lain, hingga dia kira enam ratus ribu derham.”
Berkata Sahl bin Abdullah Al-Tsauri Rahimahullahu Ta‘ala: “Barangsiapa memakan yang haram, maka seluruh anggotanya akan bermaksiat, sama ada dia suka atau tidak dan dia mengetahui atau tidak, dan barangsiapa memakan yang halal, maka seluruh anggotanya akan bertaat, dan dia akan diberi taufiq untuk membuat kebajikan sebanyak-banyaknya.”
Para ulama salaf Rahimahumullah pernah berkata: “Jika anda makan apa sahaja yang anda dapat, nescaya seperti itu juga anda akan beramal.”
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Tuhan hanyalah menerima dari orang-orang yang bertaqwa (yang memelihara dirinya dari kejahatan).” (Surah Al-Mâ’idah: 27)
Pemakan haram yang bertaat, tentu sekali akan menghadapi beberapa rintangan lahir atau batin, sehingga merosakkan pula semua ketaatannya tadi, menurunkan dan mengeluarkannya dari sifat taat dan ibadat. Perkara ini akan menjadi terang dan nyata bagi orang yang cuba menelitinya, ataupun cuba memerhatikan pada diri sendiri atau pada diri orang lain, dengan syarat dia tidak ditipu oleh hawa nafsunya atau dikelirukan oleh keadaan yang benar.
Kini, jelaslah sudah bahawa yang haram itu wajib dijauhi dalam segala hal dan keadaan, wajib memelihara diri daripadanya dengan apa jua sekalipun. Maka dalam keghairahan kita mencari harta dengan jalan berniaga atau lain-lain sumber pencarian, maka wajiblah kita berhati-hati dari terjebak kepada perkara-perkara yang tidak sah dalam jual beli, apa lagi jika ia membawa kepada yang haram.
Maka berdasarkan keterangan di atas matlamat yang wajib dicapai oleh orang Islam dalam mencari rezeki ialah yang halal, kerana memakan yang halal itu akan menambahkan cahaya pada hati serta melembutkannya. Selain itu ia akan menimbulkan kegentaran dan kekhusyu‘an terhadap kebesaran Allah Ta‘ala, mencergaskan seluruh anggota badan untuk beribadat dan bertaat, mengurangkan kecenderungan hati kepada dunia dan menambah ingatan terhadap Hari Akhirat. Semua sifat-sifat yang tersebut tadi akan menjadi sebab utama pada terkabulnya amalan salih dan diterima doa. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berkata kepada Sa‘ad bin Abi Waqash Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Pilih makanan yang halal, nescaya doamu dikabulkan.” (Hadits riwayat Thabarani)
Apabila kita melihat kepada penjelasan di atas, maka sejauh mana keharusan membuka perniagaan laser disc dan video?
Hendaklah diingatkan di antara syarat barang yang hendak dijual itu ialah ada manfaat mengikut hukum syara‘. Imam Nawawi telah menyebut di dalam kitabnya Minhâj Al-Thâlibîn, Kitab Al-Bai‘ adalah tidak sah jual beli alat hiburan yang melalaikan (alat-alat Al-Lahw). Menurut Al-Syeikh Muhammad Al-Syarbini Al- Khathib alat-alat hiburan yang tidak sah dijual beli itu ialah seperti biola, shanjun (gendang), mizmâr, rabab, gambus kerana semua ini tiada manfaatnya pada syara‘.
Berdasarkan pendapat Imam Nawawi ini, maka alat hiburan/bunyian adalah tidak sah dijual beli kerana tidak ada manfaatnya dari segi syara‘, maka laser disc atau video itu termasuk alat hiburan, kerana bukan sahaja nyata tiada gunanya berqiyas kepada alat hiburan bahkan ianya kadang-kadang lebih merbahaya termasuk dari segi aqidah dan akhlak. Ini dapat kita perhatikan melalui tayangan gambar sama ada yang ditayangkan di televisyen atau di panggung wayang. Gambar atau filem yang ditayangkan itu akan ada sahaja berunsur seks atau adegan-adegan lucah, atau keganasan atau pembunuhan, perjudian, dan banyak lagi adegan-adegan yang tidak sesuai untuk ditonton sama ada dari segi pandangan agama dan akhlak. Malah dari sudut apa pun pertimbangan yang hendak diukur bahawa setengah filem-filem itu sangat berlawanan dengan moral atau akhlak yang mulia. Bahkan di dalam filem yang dikatakan mempunyai dakwah atau yang berunsur agama sekalipun masih terdapat hal-hal aqidah atau kepercayaan yang diada-adakan atau tidak ada dalam Islam, cuma disandarkan kepada kepercayaan kaum atau bangsa. Sikap sedemikian sebagaimana yang digambarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Tafsirnya: “Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung kamu.” (Surah Al-Anfâl: 48)
Haruslah diingat bahawa filem-filem yang ditayangkan di televisyen atau di panggung-panggung itu telah pun diluluskan oleh jawatankuasa atau lembaga penapisan, namun dalam kebanyakan hal masih terdapat filem-filem yang tidak sesuai ditayangkan untuk tontonan umum.
Jika filem yang hendak dipertontonkan kepada orang ramai sudah sedemikian rupa, betapa halnya pula dengan laser disc atau video itu, adakah ianya seketat atau sekeras yang dibuat oleh lembaga penapisan filem yang masih juga longgarnya di sana sini itu, ataupun sebenarnya tapisan untuk laser disc atau video itu sekadar berlebih kurang?, wallallahu a‘lam.
Menurut Berita Harian (Malaysia) dalam keluarannya pada 22hb. Mei, 1995 di bawah tajuk “Haram import mainan video ganas”, di antara lain berita itu memetik:
“Kabinet mengharamkan import alat permainan video yang mempunyai unsur keganasan, lucah dan perjudian di pusat hiburan kerana adalah punca keruntuhan akhlak di kalangan belia di negara ini.
Menurut Menteri berkenaan tindakan ini diambil berikutan aduan daripada ibu bapa dan pelbagai pihak berhubung gejala keruntuhan akhlak yang menular di kalangan belia dianggap berpunca daripada permainan video yang kurang sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia.
Jemaah Menteri mengambil berat masalah ini dan selepas membincangkannya dengan serius minggu lalu, memutuskan pengharaman import alat permainan video berunsurkan seks, perjudian dan keganasan.”
Kemudian Berita Harian (Malaysia) keluaran berikutnya pada 23hb. Mei, 1995 di bawah tajuk “80 peratus berunsur lucah, judi dan ganas”, di antara berita itu:
“Hampir 80 peratus daripada alat permainan video di setiap pusat hiburan negara ini mengandungi unsur lucah, perjudian dan keganasan, menurut pengusaha pusat hiburan.
Menurut mereka, walaupun permainan terbabit dilarang, tetapi mereka terpaksa menyediakannya berikutan permintaan yang tinggi daripada pelanggan yang kebanyakannya remaja.
Seorang pengusaha yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau terpaksa menyediakan permainan berkenaan kerana bimbang perniagaan terjejas dan tidak mendapat sambutan ramai akibat dari persaingan hebat dalam perniagaan.”
Dalam lembaran yang sama di atas, semuanya menyokong haramkan import permainan video tersebut. Alat permainan video dengan laser disc dan video hampir mempunyai ciri-ciri atau berunsurkan keganasan, lucah dan lain-lain adegan yang tidak sopan.
Kalau inilah yang hendak diperniagakan, apakah yang dapat kita harapkan dari anak-anak kita, bahkan kita sendiri akan menjadi korban pesona dari filem sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sama ada kita sedari atau tidak, yang sudah pasti banyak tayangan-tayangan filem (termasuk juga drama-drama) di televisyen mempunyai kesan negatif kepada penontonnya.
Sebagai contoh, berapa banyak berita-berita yang telah disiarkan melalui surat khabar atau televisyen yang menceritakan tentang kanak-kanak yang belum patut membunuh telah melakukan jenayah pembunuhan dan lain-lain jenayah seperti curi, rompak, keganasan, seks dan banyak lagi perkara-perkara yang negatif yang dilakukannya, kerana mengambil contoh apa yang mereka tonton di televisyen. Jika kanak-kanak sudah melakukan demikian rupa, betapa halnya anak-anak remaja dan orang-orang dewasa.
Ada yang memberi alasan mengatakan bahawa dari filem itu ada yang memberi iktibar dan pengajaran sebenarnya itu adalah andaian semata-mata, bahkan seperti orang sakit yang berubat dengan penyakit. Apakah yang diharapkan dengan racun sekalipun ia dibalut atau dibungkus dengan sesuatu yang indah. Maka racun jua kesudahannya. Lambat laun tuannya akan menerima akibat yang buruk juga dengan sebab makan racun itu.
Dalam dunia perniagaan termasuk perniagaan laser disc atau video, maka pelanggan akan memilih yang baik bagi mereka, peniaga jua akan sentiasa memikirkan kehendak pelanggan itu. Filem-filem yang berunsur seks, lucah, keganasan pembunuhan dan lain-lain yang seumpamanya sangatlah laris. Peniaga biasanya, akan melayani selera pelanggan-pelanggannya itu. Jadi di mana kedudukan peniaga seperti ini, jika bukan jalan yang batil lagi?
Inilah yang diingatkan oleh Allah dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Janganlah kamu menurut hawa nafsu sesuatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.” (Surah Al-Mâ’idah: 77)
Dalam perniagaan bukan sahaja kita mengharapkan keuntungan, bahkan yang penting rezeki itu halal lagi diberkati.
Apa jua urusan perniagaan yang membawa haram, maka perniagaan itu tidak akan mendatangkan berkat, sekalipun pada zahirnya mendatangkan keuntungan yang banyak.
Berkata pengarang Al-Nashâ’ih Al-Dîniyyah wa Al-Washâyâ Insâniyyah: “Orang yang memakai dari yang haram dan dari yang syubhah, sekalipun pada lahirnya dia telah membuat ketaatan, maka semua ketaatannya itu tidak akan diterima oleh Allah Ta‘ala.” Sila baca buku ini kerana ia sangat berguna dan sangat memberi manfaat dan telah dialihbahasa oleh Syed Ahmad Semait.
Maka bertolak dari penjelasan-penjelasan di atas, maka membuka perniagaan laser disc dan video itu akan tertakluk kepada:
(i) Harus jika ia mengandungi unsur-unsur pendidikan dan pengajaran semata-mata dan tidak ada bercampur keganasan, lucah dan perkara-perkara yang tidak diharuskan oleh syara‘.
(ii) Jika mengandungi dan bercampur unsur keganasan, lucah atau lain-lain yang tidak diharuskan oleh syara‘, maka perniagaan itu termasuk ke dalam kumpulan barang yang tidak sah dijual beli, kerana ianya tidak berguna, tidak berfaedah seperti alat-alat hiburan, bahkan haram kerana ianya akan menyesatkan, membawa kepada keruntuhan akhlak, melalaikan dan lain-lain perkara yang negatif. Berdasarkan kaedah fiqhiyyah:
Ertinya: “Apabila berhimpun di antara halal dan haram, maka ianya dikira haram.”
Dan lagi:
Ertinya: “Menolak keburukan lebih utama daripada mendatangkan kebaikan.”
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7668
