Doa Selamat Untuk Orang Kafir
Soalan: Dengan penuh hormat dan sukacita kaola ingin memohon pandangan dan fatwa daripada Yang Dimuliakan Pehin berhubung dengan perkara yang tersebut di bawah ini: Apa hukumnya membaca doa selamat dan doa kesyukuran di majlis orang Islam bagi meraikan orang kafir sama ada majlis tersebut diadakan di rumah orang Islam atau di rumah orang kafir yang diraikan? Bagaimana pula jika orang kafir menjemput orang Islam untuk menghadiri majlisnya dan meminta orang Islam untuk membaca doa?
Jawapan: Doa itu ibadat sepertimana yang dijelaskan dalam hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Doa itu ibadat.” (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim) Dalam hadis yang lain:
Maksudnya: “Doa itu adalah senjata orang yang beriman dan tiang agama dan cahaya langit dan bumi.” (Hadis riwayat al-Hakim dan Abu Ya‘la daripada hadis Ali) Bahkan berdoa itu adalah perkara yang digalakkan dalam kehidupan kita, firman Allah:
Tafsirnya: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah al-Mu’min: 60)
Bahkan diajar lagi bagaimana adab berdoa, firman Allah:
Tafsirnya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan.” (Surah al-A‘râf: 55)
Tafsirnya: “Dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan berharap-harap (supaya makbul).” (Surah al-A‘râf: 56)
Jika diperhatikan kehidupan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa Baginda itu sangat banyak berdoa, baik ia sebagai amalan harian mahupun doa-doa yang khusus. Di antara doa-doa Baginda itu telahpun diabadikan dalam kitab al-Adzkâr karangan Imam an-Nawawi, dan kitab Tuhfah adz-Dzâkirîn oleh asy-Syawkani dan lain-lain kitab.
Daripada ayat-ayat dan hadis yang disebutkan terdahulu itu, menunjukkan doa itu sangat besar ertinya kepada orang-orang Islam, dan bahkan sangat tinggi nilainya dalam agama.
Doa mempunyai adab-adabnya yang tersendiri. Untuk berdoa, terdapat hari-hari atau waktu-waktu serta tempat-tempat yang afdhal dan mustajâb. Hari-hari itu seperti hari Jumaat, Hari Raya, sepanjang bulan Ramadhan dan lain-lain. Tempat-tempat pula ialah seperti di padang ‘Arafah, Multazam dan banyak lagi. Juga doa orang yang dizalimi telah disebut oleh hadis sebagai tiada hijâb di antaranya dengan Allah, yakni doanya itu sangat mustajâb.
Semua orang Islam digalakkan berdoa, sama ada untuk dirinya sendiri ataupun untuk orang lain.
Untuk orang lain terdapat garis panduan, iaitu ada yang harus dan ada juga yang tidak. Untuk orang bukan Islam, tidaklah semua doa atau permohonan itu diharuskan. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullah: “Ketahui olehmu bahawa tidaklah harus dan tidak boleh (haram) mendoakan orang kafir yang telah mati dengan memohon ampun dan seumpamanya daripada perkataan yang tidak harus disebut untuk orang kafir, tetapi harus dan boleh mendoakan mereka dengan hidayah, dengan sihat tubuh badan dan seumpamanya.”
Nabi kita Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berdoa supaya agama Islam dikuatkan dengan Islamnya salah seorang daripada dua tokoh yang sangat kuat menentang Islam pada masa itu, Baginda berdoa:
Abu al-Hakam bin Hisyam ialah juga nama ‘Amr bin Hisyam atau Abu Jahal bin Hisyam.
Demikian juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah diminta oleh sahabat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu untuk mendoakan ibunya yang masih kafir supaya memeluk Islam. Kedua-dua doa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ini dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan Islamnya ‘Umar bin al-Khaththab dan ibu Abu Hurairah.
Doa seperti ini adalah harus, berbeza mendoakan mereka dengan keampunan dan keselamatan daripada azab dunia dan azab akhirat, tidaklah ia harus dan bahkan haram. Hanya yang harus itu ialah mendoakan mereka dengan hidayat, dengan sihat tubuh badan dan seumpamanya yang layak dan boleh disebutkan untuk orang kafir itu.
Suatu perkara lagi sayugia diambil ingatan bahawa doa-doa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk Abu al-Hakam bin Hisyam dan ‘Umar bin al-Khaththab, adalah datangnya daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri, sementara untuk ibu Abu Hurairah pula setelah diminta oleh Abu Hurairah bagi ibunya yang masih kafir, bukanlah atas permintaan dan kehendak mereka dalam masa keadaan mereka masih kafir itu. Adalah tidak berbangkit Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mendoakan sebagai memenuhi permintaan dan kehendak orang-orang kafir itu, sebab tidak mungkin berlaku orang kafir meminta Nabi mendoakan mereka padahal mereka tidak mempercayai Tuhan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan bahkan sentiasa bersifat kufur kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Hanya jika ada, mereka itu sengaja untuk memperdaya dan mempersenda-sendakan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan agama Islam, seperti riwayat oleh sahabat Abu Musa Radhiallahu ‘anhu yang berkata: “Adalah orang Yahudi buat-buat dan pura-pura bersin di majlis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan tujuan supaya Baginda bersabda dan mendoakan dengan rahmat (يـَرْمحَُكُم ُ اللهـه)” - sebagaimana doa bagi orang-orang Islam apabila mereka bersin - tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda untuk orang-orang Yahudi itu:
Maksudnya: “Allah memberi hidayat kepada kamu dan membetulkan hal ehwal kamu.” (Hadis riwayat Ahmad)
Daripada riwayat ini menunjukkan terdapat batas-batas dan keadaan-keadaan tertentu doa itu dibaca dan untuk tujuan apa.
Roh dan jiwa doa itu ialah keimanan yang sebenar-benarnya kepada Allah Yang Maha Esa. Tuhan yang Maha Esa itu adalah Tuhan orang-orang mukmin (orang-orang beriman) semata-mata, sementara tuhan orang-orang kafir menurut kepercayaan mereka adalah bermacam-macam. Kerana itu mereka juga dipanggil musyrik sebab mereka menyekutukan Allah dengan yang lain-lain, seperti dengan nabi-nabi, dengan malaikat, dengan matahari, bulan, batu, kayu, api dan sebagainya.
Jadi orang-orang kafir yang mempunyai bermacam-macam tuhan ini meminta kepada orang Islam supaya orang Islam itu mendoakan mereka di rumah-rumah atau di majlis-majlis mereka (orang-orang kafir) itu. Berdoa dan bermohon kepada siapa? Kepada tuhan yang mana satu? Sedangkan kepada Tuhan Allah Yang Maha Esa mereka itu tidak percaya dan tidak beriman? Sekiranya mereka percaya dan beriman, sudah barang tentulah mereka akan menerima Islam, memeluk agama Islam. Nah, pada ketika inilah, barulah tepat dan lurus mereka berdoa dan kita mendoakan mereka, atau bersama-sama berdoa, kerana matlamat dan tujuan sudah bulat dan satu untuk memenuhi perintah Allah sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: “Maka ingatlah oleh kamu akan Aku (dengan mematuhi hukum dan peraturanKu) nescaya Aku pun ingat kepada kamu, dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan jangan kamu kufur (akan nikmatKu).” (Surah al-Baqarah: 152)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu itu.”
(Surah al-Mu’min: 60)
Oleh itu sayugialah bagi orang-orang Islam itu beringat-ingat dan berhati-hati jangan sampai terjebak mempermain-main dan mempersenda-sendakan agama yang maha suci. Adapun hubungan orang Islam dengan agamanya ialah semata-mata ibadat, dan doa pula ialah jenis zikir dan ibadat.
Terdapat tempat-tempat yang afdhal untuk melakukan ibadat, seperti ibadat sembahyang dan berdoa. Sembahyang afdhal dilakukan di masjid, begitu juga berdoa afdhal di tempat-tempat tertentu seperti di Tanah Haram umpamanya. Semua ini turut diambil kira dan dinilai sama, bukanlah sebarang tempat dan sebarang keadaan atau suasana. Kerana itu, adalah dianggap tidak layak dan tidak wajar berdoa di majlis-majlis yang ada tari-menari umpamanya yang ada lagu-lagu dan nyanyi-nyanyian serta bunyi-bunyian yang dilarang oleh syara‘. Demikian juga di majlis-majlis atau tempat-tempat yang ada makan minum yang haram, patung-patung berhala, atau orang-orang derhaka sedang melakukan maksiat kepada Allah Ta‘ala. Ini semua sayugia dijauhi dan tidak layak untuk berdoa dan berzikir padanya, demi kerana memuliakan Allah dan agamaNya jua. Bukan kerana yang lain-lain, cuma demi kerana Allah semata-mata, kerana Allah itu adalah semata-mata baik, semata-mata bersih dan semata-mata suci, bahawa Dia tidak akan menerima kecuali yang baik, yang bersih dan yang suci sahaja, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah adalah baik, bersih dan tidak menerima kecuali yang baik dan bersih.” (Hadis riwayat Muslim)
Adapun masalah untuk mengambil hati dan masalah kerana berbaik-baik bagi menjalinkan hubungan di antara orang Islam dan bukan Islam, itu adalah perkara lain boleh dibuat dengan lain-lain cara yang bersesuaian, asalkan tidak bertentangan dengan syara‘.
Adapun doa dan majlis doa itu tertentu dan khusus selaku ibadat dan zikir kepada Allah oleh orang-orang yang beriman. Ia bukan adat, kebiasaan atau tradisi. Ia adalah satu cara munâjât berhubung langsung dengan Allah. Dasarnya ialah keimanan, yakin, percaya, tawâdhu‘ dan merendah diri kepada Allah, menyesal dan mengaku akan kesalahan serta memohon ampun, sebagaimana doa Nabi Allah Yunus ‘Alaihissalam:
Tafsirnya: “Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah), Maha Suci Engkau (daripada melakukan penganiayaan). Sesungguhnya akulah daripada golongan orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (Surah al-Anbiyâ’: 87)
Jadi mustahak kita orang-orang Islam menyedari bahawa doa itu ialah ibadat, bukan upacara menghias majlis atau semata-mata satu agenda dalam majlis. Bahkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar sebagaimana sabda Baginda, daripada Abu Birzah Radhiallahu ‘anhu, katanya: “Adalah Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata di saat-saat akhir apabila Baginda berdiri daripada majlis:
Lalu seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, Tuan mengucapkan kata-kata yang belum pernah Tuan ucapkan sebelum ini”. Rasulullah bersabda: “Ucapan yang demikian ialah penghapus kesalahan yang terjadi dalam majlis ini.” (Hadis riwayat al- Hakim)
Doa yang ditolak itu bukan sahaja berhubungkait dengan makan dan minum yang haram. Doa juga boleh ditolak kerana bermacam-macam sebab. Menurut pengarang kitab al-Majâlis as-Saniyyah oleh asy-Syeikh Ahmad bin Hijazi al-Fasyni al-Mishri, sewaktu mensyarahkan al-Arba‘în an-Nawawiyyah, beliau menceritakan:
“Suatu hari Ibrahim bin Adham (seorang ahli tashawwuf yang masyhur) berjalan lalu di pasar Basrah, beliau dikerumuni oleh orang ramai. Di antara mereka ada yang bertanya: “Wahai Abu Ishak (panggilan kepada Ibrahim bin Adham), apa halnya kami, kami berdoa, tetapi tidak dimakbulkan doa-doa kami”. Maka jawab (Ibrahim): “Kerana hati-hati kamu telah mati dengan sebab sepuluh perkara:
Pertama: Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak menyempurnakan hakNya.
Kedua: Kamu menyangka kamu mencintai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi kamu meninggalkan perjalanannya (sunnahnya).
Ketiga: Kamu membaca al-Qur’an, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
Keempat: Kamu makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak menyempurnakan kesyukuranNya.
Kelima: Kamu katakan bahawa syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu setuju dengannya dan tidak pula kamu menentangnya.
Keenam: Kamu katakan bahawa syurga itu hak (benar), tetapi kamu tidak beramal untuknya.
Ketujuh: Kamu katakan neraka itu hak, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
Kelapan: Kamu katakan bahawa mati itu hak, tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
Kesembilan: Kamu bangun daripada tidur, tetapi sibuk dengan keaiban manusia, padahal kamu lupa keaiban kamu (sendiri).
Kesepuluh: Kamu mengkebumikan mayat-mayat kamu, tetapi kamu tidak mengambil i‘tibâr daripada mereka.”
Cerita di atas ini membayangkan betapa doa itu adalah berkait rapat dengan hati atau menjadi urusan hati. Hanya hati-hati yang hidup dengan keimanan dan ketaqwaan sahaja yang akan berhasil memperolehi kemurahan dan perkenan Allah. Adapun tanda-tanda hati yang hidup dengan keimanan dan ketaqwaan itu ialah, apabila pemiliknya dapat menunaikan hak-hak Allah, mengikut perjalanan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, beramal dengan al-Qur’an, mensyukuri nikmat, gagah dan berjaya melawan syaitan yakni tidak tunduk atau menjadi pengikut syaitan, rajin dan tamak beramal untuk syurga dan lari daripada neraka, mengingat dan bersedia untuk mati, sibuk mengira-ngira aib sendiri, bukan aib orang lain serta mengambil i‘tibâr daripada kematian hamba-hamba Allah.
Adakah semua ini terdapat pada orang-orang yang bukan Islam? Adakah mereka itu faham dan mengerti semuanya? Jika tidak, maka siapa dan di manakah mereka dengan doa itu? Kerana itulah, sangat aneh bunyinya jika si polan yang bukan Islam meminta orang Islam supaya berdoa untuknya atau di rumahnya atau di majlisnya sedangkan tujuan, konsep, syarat dan adab-adab doa itu tidak difahaminya sama sekali.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7712
