Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Fungsi Al-Qur’an

Soalan: Apakah fungsi al-Qur’an dalam kehidupan seharian, adakah ianya panduan atau ikutan yang boleh dilebih-kurangkan? Kebanyakan umat Islam akhir zaman hanya membuatnya sebagai panduan bukannya ikutan. Haraf dapat penjelasan daripada pehin.

Jawapan: Al-Qur’an merupakan kitab suci yang istimewa dalam segala- galanya, sama ada dari segi keasliannya, metodologi periwayatannya, susunan dan gaya bahasa ayat-ayatnya, pendekatan hukum-hukumnya mengenai manusia dan segala isi alam ini dan sebagainya.

Ia membuka pintu selebar-lebarnya kepada setiap hal yang berkaitan dengan realiti kehidupan yang sesuai di sepanjang masa dan tempat. Ia bukanlah syair yang dicipta oleh kepintaran manusia dan bukan juga hasil kajian risalah akademik. Bahkan al- Qur’an adalah Kalamullâh yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mengandungi petunjuk yang menerangi jalan-jalan kehidupan di segala segi, bagi membimbing kepada jalan yang lurus.

Melihat kepada kedudukan dan keistimewaan al-Qur’an itu dan peranannya di dalam kehidupan, maka ia wajib dijadikan sebagai panduan, rujukan, ikutan dan amalan di dalam semua lapangan kehidupan.

Kemunduran yang dihadapi oleh umat Islam sekarang dan beberapa abad yang lalu adalah berhubungkait dengan perlakuan umat Islam dan kurangnya penghayatan mereka terhadap ajaran-ajaran al-Qur’an. Perkara yang sama pernah dilakukan oleh orang-orang Yahudi juga, iaitu ketika diturunkan kepada mereka kitab Taurat. Mereka mengetahui bahawa kitab Taurat itu ialah wahyu Allah, tetapi mereka tidak mengikut dan mengamalkan ajaran-ajaran yang terdapat di dalamnya. Maka diumpamakan mereka itu seperti keldai yang membawa kitab-kitab sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungkan dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungan dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya).” (Surah al-Jumu‘ah: 5)

Bahkan mereka lebih buruk halnya daripada keldai itu, kerana keldai tidak mempunyai akal dan kefahaman, sedangkan mereka mempunyai kefahaman tetapi tidak menggunakannya.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A‘râf: 179)

Al-Qur’an mempunyai dua fungsinya yang penting:

(i) Sebagai tanda kebenaran kerasulan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam dakwah dan penyampaian risalahnya, dan bahawa al-Qur’an itu adalah wahyu daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, di mana jika al-Qur’an itu bukan wahyu daripada Allah, al-Qur’an mencabar (kepada orang yang meragukannya) supaya mendatangkan satu surah sepertinya, dan setentunya mereka tidak akan dapat (lemah) mendatangkan sepertinya walaupun mereka bertolong-tolongan di antara satu sama lain.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Qur’an ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Isrâ’: 88)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: “Dialah (Muhammad) yang mengada-adakan al- Qur’an menurut rekaannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Qur’an itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain daripada Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!” (Surah Yûnus: 38)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Qur’an? Kalaulah al-Qur’an itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah an-Nisâ’: 82)

(ii) Sebagai hidâyah (petunjuk) kepada makhlukNya sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya al-Qur’an ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam).” (Surah al-Isrâ’: 9)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Kitab al-Qur’an ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 2)

Sebagaimana al-Qur’an itu ialah hidayat, maka adalah satu kemestian ke atas kita mengikuti ajaran-ajarannya.

Firman Allah:

Tafsirnya: “(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): “Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu, dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain daripada Allah.” (Surah al-A‘râf: 3)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Dan ini sebuah Kitab (Al-Qur’an) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya, dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.” (Surah al-An‘âm: 155)

Manakala jika ada perbalahan atau perselisihan di antara kamu, diperintahkan supaya merujuk kepadanya (Al-Qur’an). Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah an-Nisâ’: 59)

Begitu juga, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam menerangkan bahawa hidup akan teguh (istiqâmah) jika berpegang dengan al-Qur’an dan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu yang jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selepasku selama-lamanya (iaitu) Kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnahku.” (Hadis riwayat al-Hakim dan dishahîhkannya)

Manakala bagi mereka yang meninggalkan ajaran-ajaran dan petunjuk-petunjuk yang diturunkan di dalam al-Qur’an, Allah Ta‘ala memberi amaran dengan firmanNya:

Tafsirnya: “Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripadaKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu celik?” Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.” (Surah Thâhâ: 123-126)

Ajaran-ajaran dan hukum-hukum yang terdapat di dalam al-Qur’an itu adalah satu iaitu tidak dapat dicerai-ceraikan, kerana ajaran-ajaran dan hukum-hukumnya itu saling kait mengait, lengkap melengkapi di antara satu dengan lain yang boleh diumpamakan seperti satu tubuh badan berserta lengkap dengan anggota-anggotanya yang mempunyai tugas dan memberi kesan di antara satu dengan lain juga. Maka adalah tidak wajar dan layak apabila kita mengatakan beriman dengan al-Qur’an dan tunduk kepada hukum-hukum dan ajaran-ajarannya, tetapi hanya di dalam beberapa lapangan sahaja seperti di lapangan aqidah, ibadat dan akhlak, manakala di lapangan undang-undang, ekonomi dan politik, al-Qur’an dibelakangkan. Perbuatan sedemikian itu telahpun dicela dan diingkari oleh al-Qur’an terhadap Bani Israel ketika mereka menapis-napis dan mengambil ajaran-ajaran dan hukum-hukum kitab Taurat yang mereka sukai sahaja, manakala yang tidak mereka sukai, mereka tinggalkan. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada Hari Kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat.” (Surah al-Baqarah: 85)

Perlu diketahui bahawa al-Qur’an adalah sumber maklumat bagi menjelaskan segala-galanya, lebih-lebih lagi di dalam perkara-perkara yang berhubungkait urusan manusia di dalam kehidupan mereka di dunia dan juga di akhirat, dari peringkat yang sekecil-kecilnya hinggalah ke peringkat yang sebesar-besarnya seperti di bidang ekonomi, politik, peperangan dan sebagainya. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan Kami turunkan kepadamu al-Qur’an menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam.” (Surah an-Nahl: 89)

Penjelasan al-Qur’an bagi tiap sesuatu itu kadang-kadang dengan nash yang khusus, dan kadang-kadang nash yang umum, yang mana semua ini memberikan peluang bagi ulama mujtahidîn mengistinbâth (mengeluarkan hukum) daripadanya bagi satu-satu kejadian dan penyelesaian bagi satu-satu kemusykilan. Semua ini menunjukkan akan kesyumulan al-Qur’an dan keberterusannya (al-Qur’an) dalam memberikan petunjuk dan sekaligus memperlihatkan bahawa agama Islam itu sesuai di setiap zaman dan tempat. Kerana risalah agama Islam itu sudah sempurna dan tidak ada selepasnya agama lain yang menyempurnakannya atau menasakhkannya. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama kamu untuk kamu.” (Surah al-Mâ’idah: 3)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7716