Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Gereja Menjadi Masjid

Soalan: Majlis Ugama Islam telah menerima permohonan daripada seorang untuk meminta bantuan kewangan bagi membeli sebuah gereja yang akan ditukar menjadi masjid.

Majlis sendiri dan beberapa pihak tertentu di Brunei Darussalam bersedia memberi bantuan kepada pemohon untuk membiayai pembelian itu, tertakluk kepada beberapa syarat. Wang yang dimaksudkan telahpun dikumpulkan dalam suatu tabung dan disimpan di I.B.B (Bank Islam Brunei).

Oleh kerana beberapa hal, maka usaha untuk menghulurkan bantuan kewangan itu telah tidak dapat diteruskan dan hanya setakat yang telah dibuat sahaja. Persoalan yang hendak diminta fatwa ialah mengenai dengan kedudukan wang yang sudah terkumpul di bank itu.

Jawapan: Dalam perkara pemberian, Imam an-Nawawi mengatakan:

Ertinya: “Dan tidak dimiliki sesuatu yang diberikan kecuali dengan sempurna penerimaan dengan keizinan orang yang memberi.”

Ini bererti sesuatu pemberian itu baru akan menjadi milik jika telah sempurna penyerahan dan sempurna penerimaannya.

Asy-Syeikh Syarbini menjelaskan bahawa maksud “sesuatu yang diberikan” itu termasuklah hadiah dan sedekah.

Melihat kepada keterangan yang diberikan, dapatlah difahami bahawa wang derma yang dimaksudkan telah terkumpul tetapi belum diserahkan kepada pihak yang hendak dibantu itu. Mengikut hukum syara‘, pemberi boleh menarik balik atau membatalkan pemberiannya selama mana ianya belum lagi diserahkan kepada si penerima.

Asy-Syeikh Syarbini mengatakan:

Ertinya: “Jikalau pemberi hibah, termasuk juga pemberi hadiah dan sedekah, atau waris pemberi hibah, menarik balik izin untuk menerima (mengambil) pemberian, atau mati pemberi atau mati orang yang diberi sebelum menerima pemberian, maka dalam kedua-dua keadaan itu (menarik balik atau mati) batallah izin tersebut. Maka tidak ada kuasa bagi yang diutus untuk menyampaikan itu menyerahkan pemberian berkenaan kepada orang yang diberi atau warisnya kecuali dengan izin yang baru.”

Maka dalam hubungan ini jelas bahawa derma tersebut belumlah menjadi milik pemohon kerana Majlis Ugama Islam belum lagi menyerahkan hibah itu kepada pemohon.

Majlis Ugama Islam dan penderma boleh menarik balik derma mereka atau dengan maksud yang lain tidak jadi menyerahkan derma tersebut. Oleh yang demikian, Majlis Ugama Islam akan mengembalikan wang-wang derma berkenaan kepada penderma-pendermanya.

Oleh kerana kedudukan Majlis Ugama Islam hanya sebagai perantara untuk menyampaikan pemberian itu, jika penderma menarik balik, atau membatalkan izin, maka Majlis Ugama Islam yang diwakilkan untuk menyerahkan derma tersebut tidak ada kuasa lagi untuk menyerahkannya kepada pemohon kecuali dengan izin yang baru daripada penderma-penderma yang berkenaan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7724