Hadiah Hole-In-One Dalam Permainan Golf
Soalan: Dalam permainan golf ada satu acara dinamakan hole-in-one dan hadiahnya begitu lumayan sehingga kepada sebuah kereta yang mahal seperti Benz, Saab, Porche.
Apakah hukum di segi Islam mengenai hole-in-one? Adakah merupakan judi kerana ianya adalah nasib. Jika yang demikian masih tidak diharamkan seperti mengharamkan fun fair kerana adanya permainan menghumban bola ke sasaran, memasukkan ring ke dalam kayu square dan darts ditikam kepada sasaran bernombor. Jika tin jatuh, ring masuk kayu atau darts kena pada nombor yang tertentu akan diberikan hadiah-hadiah ringan dan murah sahaja. Perkara ini dianggap haram tapi hole-in-one di mana hadiahnya berpuluh ribu ringgit harganya dibenarkan diadakan. Dalam golf juga diadakan pertaruhan wang bagi yang menang.
Dipohonkan fatwa daripada Pehin Mufti mengenai perkara ini dan sila sebarkan secara meluas mengenai fatwa ini nanti.
Jawapan: Permainan golf telah dianggap suatu perkara kemahiran, seperti juga halnya dengan memanah, menembak dan sebagainya. Sesebuah kelab golf biasanya mengadakan perlawanan di antara ahli-ahlinya dan juga perlawanan-perlawanan terbuka.
Demikian juga persatuan-persatuan golf di berbagai peringkat mengendalikan perlawanan-perlawanan peringkat kebangsaan dan juga di serata dunia, sehingga permainan golf itu sudah menjadi bidang kerjaya dan profesi yang menarik, ditambah lagi dengan perlawanan-perlawanan itu biasanya menawarkan hadiah-hadiah yang bernilai tinggi. Maka atas semua ini golf telah turut memainkan peranan dalam pertumbuhan ekonomi apabila wujudnya industri yang berkaitan dengannya, seperti industri membuat peralatan-peralatan, pakaian dan minuman yang berkaitan dengan golf itu. Bahkan bagi negara-negara yang serius dengannya, barangkali ia telah dijadikan sebagai komponen daripada industri pelancongan.
Demikian secara ringkas kedudukan permainan atau sukan golf itu. Jika ia hanya sebagai permainan semata-mata adalah hukumnya harus jua. Berbeza sekiranya terdapat perkara-perkara lain yang menjadi tegahan syara‘ dilibatkan kepadanya.
Di antara perkara-perkara yang menjadi tegahan syara‘ itu ialah seperti perjudian, ataupun jika permainan itu sendiri boleh membawa seseorang yang bermain itu sampai terlupa kepada kewajipannya terhadap Allah dan lain-lain.
Apa pun jua permainan yang boleh menyebabkan tertinggalnya tuntutan wajib dalam agama, seperti sembahyang fardhu dan lain-lain, adalah ia haram. Demikian juga jika sampai menyebabkan terabainya segala hak dan kewajipan yang wajib ditunaikan.
Namun, tidaklah dapat diramalkan sejauh mana kesan negatifnya permainan itu boleh menjejaskan hak-hak dan kewajipan-kewajipan seseorang.
Walau bagaimanapun, yang perlu bagi kita ialah mengetahui bahawa perintah Allah adalah tetap dan pasti berlaku untuk kita umat Islam mesti dan wajib menunaikan setiap hak bagi sesiapa jua yang empunya hak, sebagaimana hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam di bawah ini:
Maksudnya: “Sesungguhnya atasmu ada hak (yang hendak ditunaikan) terhadap Tuhanmu dan atasmu ada hak (yang hendak ditunaikan) terhadap dirimu sendiri dan atas dirimu ada hak (yang hendak ditunaikan) terhadap keluargamu, maka berikanlah olehmu tiap-tiap yang empunya hak itu akan haknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sebagai untuk renungan jua cuba kita lihat Berita Harian Malaysia, Rabu, 9 Ogos, 1995 di bawah tajuk: ‘Jangan Abai Kerja Kerana Golf’: “Seorang ketua kerajaan telah menegur sikap pegawai kerajaan yang terlalu leka bermain golf sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka dalam menjalankan tugas. Malah, kata pemimpin itu ada pegawai kerajaan yang tidak melaksanakan tugasnya dengan baik kerana sudah memikirkan untuk bermain golf jam 3.00 petang. Jika jam 3.00 petang sudah siap sedia hendak ke padang golf, ini sudah tentu menjejaskan tugas mereka.”
Sila lihat juga Utusan Malaysia, Jumaat, 1 November, 1996 di bawah tajuk: ‘Pendidik, Pegawai Dipecat Kerana Bermain Golf’:
“SEOUL 31 Okt. - “Seramai 19 pendidik dan kakitangan kerajaan Korea Selatan mungkin dipecat kerana bermain golf semasa waktu bertugas”, kata pemeriksa kerajaan hari ini.
Mereka yang bakal dipecat itu, termasuk profesor universiti, pengetua sekolah menengah dan eksekutif bank dan syarikat, ditemui bermain golf di tiga padang golf tentera pada awal September, menurut pihak Pejabat Audit dan Pemeriksaan (OIA).
“Tindakan disiplin akan disyorkan terhadap 19 orang itu serta kakitangan awam lainnya yang didapati bermain golf semasa waktu bertugas,” kata jurucakap OAE.
Juruaudit telah menjalankan siasatan secara rahsia di padang golf sejak Presiden Kim Young Sam, seorang bekas penentang kerajaan, mengharamkan pegawai kerajaan daripada bermain golf sebagai sebahagian kempen anti rasuah yang dilancarkannya.
Para pegawai kerajaan dan kakitangan syarikat kendalian kerajaan pernah dipecat kerana bermain golf. AFP.”
Lihatlah kandungan berita di atas ini, kedua-duanya mengenai dengan permainan golf, iaitu betapa pengaruh golf itu nampak-nampaknya sampai mendorong seseorang menyalahgunakan masa bertugas dan lain-lain yang tidak diingini.
Dua berita tersebut kita dapati menjurus kepada kesan negatifnya dari segi, ianya boleh membawa kepada penyalahgunaan masa bertugas dan rasuah yang sangat-sangat dilarang dan bertentangan dengan peraturan serta etika pekerjaan. Belum lagi ianya dihubungkan dengan agama - jika yang terlibat itu orang Islam.
Bagi kita orang Islam ada lebih banyak lagi perkara yang mesti diperhatikan.
Mengenai ‘penyalahgunaan masa’ sahaja, ada bermacam-macam kesalahan boleh terjadi, di samping salah satunya ialah penyalahgunaan masa bertugas. Bahkan yang lebih-lebih menjadi ukuran kesalahan dan dosa ialah menggunakan masa itu sehingga tertinggal kewajipan terhadap Allah seperti tertinggalnya sembahyang fardhu, ataupun sembahyang itu tidak dapat disempurnakan sebagaimana semestinya kerana sibuk atau bergegas untuk memenuhi jadual permainan.
Jika kewajipan terhadap Allah boleh terjejas, betapa kewajipan terhadap keluarga, anak, isteri, ibu bapa dan jiran lebih-lebih lagi dengan senang sahaja boleh terabai. Padahal masing-masing itu ada hak-hak yang mesti ditunaikan. Hak keluarga umpamanya memerlukan perhatian dan pemedulian yang saksama; hak ibu bapa untuk menziarahi mereka; hak jiran untuk melawat jika mereka sakit atau menunaikan undangan jika mereka mengundang dan lain-lain lagi. Ini semua boleh menjadi dosa dan salah jika tidak ditunaikan dengan sewajarnya. Lain lagi kiranya permainan itu dikaitkan dengan perkara judi atau ianya dijadikan landasan untuk berjudi, adalah juga sangat terang menjadi kesalahan dan haram di sisi syara‘, iaitu seperti orang bermain dengan bertaruh, sama ada orang yang bermain itu sendiri yang bertaruh ataupun orang lain. Tidak kira pertaruhan itu kecil ataupun besar.
Adapun mengenai dengan hole-in-one dan hadiah kerananya, perlulah dilihat bagaimana hadiah itu diperolehi. Jika ianya diperolehi daripada seseorang, yang dengan hartanya sendiri suka memberikan hadiah itu kepada pemenang secara hole-in-one itu, maka adalah ini harus sebagai hadiah biasa kerana berjaya dalam ujian kepandaian atau kebolehan, dengan syarat ianya tidaklah jadi perkara maksiat atau dicampur dan dilibatkan dengan maksiat.
Berbeza kiranya ia dijadikan perkara maksiat atau jadi sebab berlakunya maksiat, seperti terdapat pihak-pihak yang mengalami untung rugi kerananya seperti bertaruh atau lain-lain.
Atau seperti misalan ini: A telah bertindak menjadi penganjur permainan. Selaku penganjur, A ingin mencari penaja yang boleh menyumbangkan hadiah untuk pemenang hole-in-one. Penaja ini kita sebut sebagai B. Maka B pun dapat diperolehi berupa sebuah syarikat penjual kereta yang telah menyatakan kesanggupannya untuk menyumbangkan sebuah kereta yang berharga $100,000/= sebagai hadiah kepada pemenang hole-in-one itu nanti.
B selaku penaja tidak mahu menanggung risiko kerugian sebanyak $100,000/= itu secara bersendirian. Oleh itu iapun mencari pihak ketiga (C) untuk membantunya mengurangkan beban kerugian tersebut, sehingga tidaklah akan sampai $100,000/= ditanggungnya sendiri jika berlaku ada pemenang hole-in-one. C ini sebuah syarikat insurans.
Maka perundingan tawar-menawar di antara B dan C pun dibuat, di mana C telah bersetuju menerima bayaran daripada B sebanyak $30,000/= sebagai insurans, dengan pengertian, sekiranya terdapat pemenang hole-in-one itu, maka di atas C yang akan menanggung pembelian kereta berharga $100,000/= untuk dihadiahkan kepada pemenang, dalam makna C tidak untung apa-apa malahan akan rugi sebanyak $70,000/= lagi. Sementara B pula hanya rugi sebanyak $30,000/= (harga insuran yang telah dibayarnya kepada C tadi). Sebaliknya jika tidak terdapat pemenang hole-in-one itu, maka C lah yang akan untung cuma-cuma sebanyak $30,000/= sementara B sebagai penaja cuma rugi $30,000/= sahaja sebagai pertaruhannya membayar harga insyurans kepada C.
Dalam kedudukan seperti ini sekiranya berlaku, maka tidaklah diragukan bahawa permainan itu telah dilibatkan dengan judi atau menjadi judi. Sedang judi itu hukumnya sudah jelas iaitu haram, berdasarkan dalil daripada Kitab Suci al-Qur’an, firman Allah:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Surah al-Mâ’idah: 90-91)
الـمَيسَر di dalam ayat di atas bermakna judi, iaitu apa sahaja jenis perjudian.
Adapun perjudian itu diharamkan kerana ia membawa kepada berbagai keburukan seperti permusuhan dan juga boleh menjerumuskan seseorang kepada memakan harta haram atau harta orang lain secara bâthil, sedangkan memakan harta orang dengan cara yang bâthil itu ditegah oleh Allah, seperti firmanNya:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.” (Surah al-Baqarah: 188)
Pengharaman ini juga termasuk seperti sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menceburkan diri dengan mengambil harta Allah secara tidak hak, maka baginya api neraka di Hari Kiamat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Barang siapa yang memperolehi harta daripada sumber dosa (haram seperti judi dan sebagainya), lalu dia menggunakannya untuk menghubungkan silaturahim atau bersedekah, atau berderma pada jalan Allah, maka dikumpulkan semua dan dicampakkan bersamanya (orang tersebut) ke dalam neraka Jahanam.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Hadis di atas riwayat Abu Daud dengan lafaz tersebut di atas. Terdapat beberapa riwayat dengan makna yang sama dengan lafaz yang lain oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam kitab-kitab Shahîh bagi kedua-duanya dan oleh al-Hakim, ath-Thabarani, Ahmad dan lain-lainnya.(At-Targhîb wa at-Tarhîb: 2/304)
Hadis ini bermaksud bahawa apabila seseorang itu mempergunakan harta-harta haram bagi tujuan-tujuan yang baik sekalipun, semuanya itu tidaklah akan berkesan apa-apa melainkan dosa jua yang didapatnya serta Neraka Jahanam menjadi tempatnya.
Walau bagaimanapun, dia masih boleh bertaubat dan membersihkan diri dan keluarganya daripada harta haram itu, dengan cara menyerahkan semua harta haram itu kepada Baitulmal, badan atau lembaga yang diamanahkan bagi menjalankan kebajikan untuk masyarakat umat Islam, iaitu bukan sebagai sedekah atau derma, tetapi hanya melepaskan harta haram itu. Orang yang melakukan ini akan mendapat pahala kerana taubatnya dan juga kerana langkahnya melepaskan diri daripada harta haram itu.
Adapun mengenai dengan hole-in-one, sekiranya ia dijudikan, terlibat atau dilibatkan dengan perjudian, maka hadiahnya itu adalah dinamakan hasil judi dan hasil judi itu hukumnya haram. Mana-mana orang yang terlibat dengannya hendaklah bertaubat dan membersihkan diri daripada harta haram dengan cara menyerahkannya kepada Baitulmal, badan atau lembaga yang berkuasa mengenai masyarakat Islam.
Dengan itu, diharapkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan menerima taubatnya dan melepaskannya daripada golongan yang tidak diterima doa mereka seperti tersebut dalam hadis, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah adalah baik, bersih dan tidak menerima kecuali yang baik dan bersih. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyebut: “Lelaki (seseorang) yang bersungguh-sungguh berbuat kebajikan dan menadahkan tangan ke langit berdoa: “Ya Allah! Ya Allah!” sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan yang haram, maka bagaimanakah doanya boleh diperkenankan?”
(Hadis riwayat Muslim)
Menggunakan harta daripada sumber yang haram menjadikan ibadat tidak diterima oleh Allah. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam suatu hadis panjang kepada seorang yang bertanya kepada Baginda, disebutkan dengan panggilan Akh al- ‘Âliyah.
Maksudnya: “Wahai Akh al-‘Âliyah, bahawasanya barang siapa yang memperolehi harta daripada sumber yang haram, lalu dia pakai pakaian (jilbâb) daripada harta yang haram itu, maka tidak akan diterima sembahyangnya sehingga dia membuangkan pakaian itu daripadanya. Allah ‘Azza wa Jalla lebih Mulia dan lebih Tinggi (tidak layak) untuk menerima amalan atau sembahyang seseorang yang memakai pakaian daripada sumber yang haram.”
Hadis riwayat al-Bazzar dengan lafaz tersebut dan lafaz yang lain tetapi maknanya sama oleh Ahmad daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma.(At-Targhîb wa at- Tarhîb: 2/303-304)
Dalam hadis lain Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Ka‘b bin ‘Ujrah:
Maksudnya: “Wahai Ka‘b bin ‘Ujrah, bahawasanya tidak akan masuk syurga daging (tubuh) yang subur atau sihat daripada harta haram.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban dalam Shahîhnya)
Oleh yang demikian, sayugia bagi setiap Muslim memelihara dirinya dan keluarganya daripada harta yang haram yang mana di akhir zaman ramai orang tidak mempedulikan lagi sumber rezekinya sama ada halal atau haram seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:
Maksudnya: “Akan tiba ke atas manusia suatu masa di mana orang tidak mempedulikan lagi apa yang dia ambil, sama ada daripada yang halal atau daripada yang haram.” (At-Targhîb wa at-Tarhîb: 2/305) (Hadis riwayat al-Bukhari dan an-Nasa’i)
Berasaskan ayat al-Qur’an dan hadis-hadis yang telah disebutkan di atas, maka mengambil atau menerima apa jua daripada sumber yang haram itu adalah haram dan akan menjadi bala, mendapat azab di akhirat serta amal ibadat tidak diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7729
