Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Haji Bagi Perempuan Hamil

Soalan: Adakah dibolehkan bagi seorang wanita yang sedang hamil untuk menunaikan fardhu haji?

Jawapan: Ibadat haji adalah rukun Islam yang kelima, yang wajib dikerjakan oleh setiap orang mukallaf sekali seumur hidup iaitu bagi orang yang telah cukup syarat-syaratnya seperti berkuasa melakukannya sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Âli ‘Imran: 97)

Adapun berkuasa mengerjakan haji itu ada dua bahagian:

(i) Berkuasa pergi melaksanakan haji oleh dirinya sendiri. (ii) Berkuasa menunaikan haji dengan perantaraan orang lain.

Adapun berkuasa membuat dan menjalankan haji oleh dirinya sendiri itu ada beberapa syaratnya, antaranya ialah:

i) Mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk dirinya semasa dalam perjalanan pergi dan balik serta semasa melaksanakan fardhu haji, dan juga untuk sara hidup orang yang wajib dibelanjai semasa dalam pelayarannya, serta perbelanjaannya itu melebihi daripada hutangnya.

ii) Ada kenderaan seperti kapal terbang, kapal laut, bas dan seumpamanya, sama ada miliknya sendiri atau dia mampu menyewanya dengan sewa biasa menurut tempat dan masa. Disyaratkan ada kenderaan itu adalah bagi orang yang hendak mengerjakan haji itu, jauh tempat tinggalnya dengan Makkah al-Mukarramah dua marhalah atau lebih iaitu kadar yang membolehkan diqasharkan sembahyang.

Termasuk juga maksud berkuasa itu ialah mengerjakan haji dengan tidak menanggung sebarang kesusahan yang berat. Dalam hal ini wanita-wanita hamil, menurut orang-orang yang tahu hal-hal perbidanan adalah dinasihatkan supaya menambah masa rehat, memperbanyak meminum minuman berkhasiat dan memakan makanan yang berprotein, serta menjauhi segala kerja-kerja yang berat yang mana boleh membawa kepayahan dan kepenatan, khasnya di bulan-bulan awal dan akhir kehamilan. Tujuannya ialah untuk mencapai matlamat “kelahiran yang sejahtera, anak selamat dan ibu yang sihat ”.

Ibadat haji bukanlah suatu perkara yang mudah, ia memerlukan tubuh badan yang sihat dan cergas, kerana semasa melakukan kerja-kerja ibadat haji itu, biasanya para jemaah haji akan menghadapi beberapa kesusahan dan kepenatan lebih-lebih lagi kepada perempuan yang sedang hamil.

Perlu diingat ibadat haji itu sungguhpun wajib, tetapi bagi orang yang ada keuzuran seperti sakit atau perempuan hamil yang mendapat nasihat doktor yang ‘âdil supaya tidak menunaikan haji kerana sebab-sebab yang berkaitan dengan kehamilan itu, maka tidaklah semestinya dilakukan dengan serta merta, bahkan bolehlah ditangguhkan ke tahun hadapan. Walau bagaimanapun, hendaklah seseorang itu sentiasa berniat dan berazam untuk menunaikan pada tahun hadapan jika tidak ada lagi keuzuran itu.

Berkata Imam Ibnu Hajar dalam az-Zawâjir: “Dosa besar yang keseratus empat puluh lapan, dia meninggalkan haji padahal dia berkuasa dan berdaya mengerjakan haji sehingga dia mati.”

Imam Ibnu Hajar telah membawa banyak hadis ketika menerangkan kesalahan orang yang enggan pergi haji setelah dia berupaya mengerjakan, setengah hadis-hadis itu, katanya: Telah diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi juga daripada Abdullah bin Tsabit daripada sahabat, Abu Umamah daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Barang siapa tidak dikurung atau dihalang oleh sesuatu hajat yang nyata atau sakit yang menghalang atau sultan yang zalim dan dia tidak pergi haji, maka biarlah dia mati jika dia suka; mati Yahudi atau dia suka mati Nashrani.”

Kesimpulannya, untuk menentukan sama ada perempuan yang hamil boleh menunaikan haji atau sebaliknya, elok dirujukkan kepada doktor yang ‘âdil untuk mendapatkan penjelasan yang terperinci atau apa-apa nasihat yang perlu mengenainya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7733